Theflowersellingboy

Rabu, 30 November 2011

Orang Melayu Dalam Bahaya?

Benarkah orang Melayu dalam bahaya? Akan hilang segala-galanya termasuk kehilangan raja/institusi raja?

Kerisauan atau kekhuatiran atau kebimbangan atau 'perasaan cemas yang penuh kesedaran dan keinsafan' itu telah menjadi satu barisan pertahanan/benteng terakhir bagi menyelamatkan kedudukan dan talian hayat sebuah parti yang telah dari sejak semula Tanah Melayu merdeka diberikan amanah untuk memertabatkan maruah orang Melayu. Katakan tempoh yang telah diberikan itu ialah 54 tahun.

Kata orang parti itu bahawa orang Melayu sekarang ini akan hilang segala-galanya. Termasuk raja.

Bahasa sudah tentu akan lenyap.
Agama, ramai orang Melayu menjadi murtad. Sebahagian besarnya masuk kristian.
Hak istimewa misalnya peruntukan tertentu (quota) dan biasiswa akan lenyap.
Akibatnya orang Melayu akan menjadi bertambah miskin, merempat dinegara sendiri. Papa kedana.

Sesungguhnya orang Melayu akan hilang segala-galanya. Maka akan terbatallah kata-kata Hang Tuah  bahawa "Takkan Melayu hilang di dunia".

Memang benar dari segi jasad manusia Melayu itu masih ada di dunia. Cuma hidup segan dan mati apabila sampai ajal saja.

Maknanya orang Melayu yang akan datang ini, saya andaikan kerisauan orang parti itu adalah selepas pilihanraya umum ke 13 nanti , adalah bangsa yang hidup tiada apa-apa, melata saja ke sana ke sini. 

Yang menyebabkan orang Melayu jadi begitu adalah berpunca dari orang selain dari ahli parti itu dan parti-parti yang bergabung dengannya. Maknanya orang Melayu dari parti yang lain juga adalah 'petualang dan pengkhianat' terhadap bangsa sendiri, terhadap agama Islam yang menjadi pegangan orang Melayu selama ini. Maknanya juga bahawa ada dikalangan orang bukan Melayu merasa sedih dan simpati diatas nasib yang bakal menimpa orang Melayu selepas pilihanraya ini, 'kalau tidak kena gayanya' (kalau tidak mengundi mereka).

Begitulah yang telah didendang dan dinyanyikan dengan deraian airmata oleh ahli parti itu, meminta supaya semua orang Melayu termasuk katanya 'yang duduk diatas pagar' supaya beramai-ramai memanjangkan lagi amanah yang telah diberikan dulu. 

Sebab kata mereka 54 tahun terlalu pendek untuk memertabatkan maruah orang Melayu.

Dalam tempoh sependek ini mereka telah mampu melakukan antara lain,
1.Mengumpul sedikit harta benda agar ada juga contoh Melayu yang kaya.

2.Mengambil sedikit saja harta negara sebagai habuan khidmat mereka. Cuma sedikit saja misalnya melalui tender menender, rundingharga, bayaran perundingan. Apa salahnya menfaatkan  sedikit kuasa. Lagipun mereka memang benci akan habuan ini, dan sesiapa yang tidak satu selera akan disumbat dalam penjara kerana buat malu saja.

3. Membantu sahabat-sahabat gabungan untuk berharta dan kaya kerana sebagai rakyat  itu adalah hak mereka. Tak kisahlah mereka itu Cina, India dan siapa saja. Caranya, semuanya boleh saja.

4. Melaksanakan hukum dan undang-undang yang mengikut selera mereka. Orang selain dari mereka mesti disiasat segera dan tempatnya hanya sesuai dalam penjara.

5. Memertabatkan bahasa Melayu. Tapi ikut cara bila suka. Masa tak suka boleh saja diganti dengan bahasa lain. Bila suka mertabatkan semula. Tak suka boleh dibuang ke dalam longkang semula.

6. Menghalang hukum Hudud kerana terlalu zalim dan tiada keadilan. Banyak yang akan kena potong tangan. Lebih baik istiharkan negara sebagai negara Islam. Seluruh dunia tahu dan dapat pujian dari negara Islam yang lain. Yang juga penting sesiapa yang mendapat bantuan orang keristian kita boleh kata mereka murtad. Mengapa tidak minta tolong jabatan agama Islam?

7. Mengutuk sekeras-kerasnya mereka yang menghina raja/institusi raja. Orang seperti ini adalah penderhaka. Cuma melucutkan/mengurangkan kuasa raja dan memaklumkan kepada khalayak ramai akan tingkah laku raja yang buruk seperti yang telah mereka lakukan dulu adalah bertujuan kearah memertabatkan kedudukan raja, bukan menderhaka.

8. Mereka berjuang demi bangsa, agama dan negara. Itu sudah jelas menunjukkan kesungguhan mereka menjaga kepentingan orang Melayu. Jadi tempoh sambungan yang diminta itu adalah satu kewajaran.

Saya menganggap kerisauan atau kekhuatiran atau kebimbingan ahli parti itu sebagai sesuatu yang perlu diberi perhatian yang utama. Apatah lagi jika perasaan cemas akan kedudukan orang Melayu itu dibuat dengan penuh sedar dan insaf. 

Tapi adakah sebenarnya mereka itu sedar dan insaf?

Bagi saya mereka itu terlalu sedar tapi tidak insaf. Mereka sedar akan perasaan benci dan meluatnya orang Melayu terhadap parti itu setelah diberi amanah selama lebih 54 tahun. Yang meluat dan benci itu termasuk orang Melayu dalam parti itu juga. Orang Melayu di luar parti sudah tentu tidak dapat diharap untuk bersama dengan mereka.

Mereka juga sedar bahawa keputusan pilihanraya kali ini akan menghapuskan peluang mereka untuk mengumpul harta dan jadi orang kaya dengan menggunakan apa saja cara sementara berkuasa. Malah mereka tidak berpeluang untuk memfitnah dan menyumbat orang dalam penjara.

Saya mengatakan mereka tidak insaf kerana cara dan gaya mereka risau dan bimbang akan kedudukan orang Melayu itu adalah bertentangan dengan  apa yang sepatutnya dilakukan oleh orang yang insaf. Orang yang insaf akan pertama sekali memeriksa diri sendiri, mencari kelemahan atau kesalahan atau kesilapan sendiri. Misalnya setelah diberi amanah memimpin negara dalam tempoh lebih 54 tahun mereka patut bertanya: mengapa masih timbul lagi kerisauan akan kedudukan orang Melayu dari segi politik, sosial dan ekonomi serta agama Islam, termasuk kedudukan raja dan institusi raja.

Tapi mereka sepantas kilat menuding jari kepada orang dari parti lain sama ada parti yang ahlinya terdiri dari berbagai bangsa atau majoriti dari satu bangsa. Orang-orang dalam parti inilah yang punya angkara mengapa orang Melayu akan hilang segala-galanya. Itu kata mereka.

Saya hendak juga bertanya: 
1.Benarkah orang Melayu hanya boleh mengharapkan mereka saja sebagai pihak yang boleh menjaga kepentingan Melayu? Rekod 54 tahun mengesahkan begitu?
 
2. Sebenarnyakah mereka bimbang nasib orang Melayu dan bukan nasib mereka kerana yang akan terjejas peluang bermewah dengan cara yang diragukan?

Maka saya berpendapat sekiranya kaedah menuding jari ini masih menjadi amalan mereka maka jika mereka diberikan tambahan tempoh untuk meneruskan terajuan negara kebimbingan mereka bahawa kedudukan orang Melayu dalam bahaya akan menjadi sebenar-benarnya satu kenyataan yang kita akan saksikan. 

Dengan demikian semua kita bertanggongjawab jika keadaan itu berlaku. Saya tetap tidak membenarkan perkara itu berlaku menurut kemampuan yang ada.  Jadi renungkanlah secara penuh keinsafan akan masa depan kita.

Adakah orang yang suka menuding jari boleh kita percaya?

 

Selasa, 29 November 2011

Lain Ulu Lain Parang

Lain ulu lain parang , lain dulu lain sekarang. Begitulah pantun dua kerat Melayu yang membawa maksud perbezaan diantara dahulu dan sekarang. Sememangnya terlalu banyak perbezaan diantara dua tempoh ini.

Disebelah pagi jam 11 saya bersama isteri ke sebuah klinik kerajaan membawa cucu untuk pemeriksaan susulan seperti yang telah dijadualkan. Sebahagian besar yang membawa anak-anak adalah dari pasangan suami isteri yang masih muda dianggarkan tidak melebihi 35 tahun. Hanya kami saja membawa cucu kerana kedua-dua ibubapa cucu kami bekerja.

Perkara yang menarik yang saya lihat ialah peranan yang dimainkan oleh suami (orang muda) ketika ini dalam urusan membawa anak-anak ke klinik. Nampaknya suami dan isteri berkongsi sama tanggongjawab membawa anak-anak ke klinik. 

Tidak seperti dahulu (maksud saya generasi ibubapa saya dan sebahagian kecil mungkin generasi saya) sebahagian besar kerja menguruskan anak-anak yang baru lahir termasuklah pergi mendapat rawatan di klinik adalah terbeban kepada isteri saja. Secara amnya suami-suami dulu (terutama yang kurang berpelajaran) tidak ambil kisah untuk membawa bayi ke klinik. Semuanya dilakukan oleh isteri dan kaum perempuan saja. Si suami hanya cukup sekadar mendaftarkan nama bayi itu saja.
Ini adalah satu perkembangan yang baik dari segi perkongsian rumah tangga.

Tapi saya lihat satu keadaan yang kurang sihat juga dari segi peranan suami dan isteri dalam hal yang sama. Seorang suami kelihatan melakukan tanggongjawab bersendirian menguruskan anak sedangkan isteri yang turut hadir sama begitu asyik dengan melayari ipadnya. 

Suamilah yang masuk kedalam bilik membawa anaknya untuk diambil berat badan dan dia juga yang membawa anaknya itu untuk pemeriksaan-pemeriksaan yang lain. Isterinya tidak langsung mengambil berat tapi asyik dengan ipadnya. Siapa yang mendukung anak? Suami juga. Si isteri berlenggang sambil memegang erat ipadnya.

Bahawa dulu isteri memainkan peranan menjaga anak tapi sekarang suami pula yang lebih mengambil berat. Lain dulu lain sekarang. 

Tapi yang seorang yang saya lihat ini, adalah satu yang luar biasa kerana yang biasanya saya nampak ketika ini pasangan suami isteri adalah berrsama-sama mengambil berat, berkongsi tanggungjawab. Cuma yang ada ipad ini saja. Tapi orang lain pun ada ipad , tugas sebagai isteri masih dilakukan. Saya bukan kesiankan suaminya tetapi kepada anaknya nanti.





Ahad, 27 November 2011

Bunga-bunga Di taman Yang Kekeringan

Bunga-bunga ditaman yang kekeringan kerana musim ini kemarau berpanjangan. Tiada air yang mengalir disaliran.. Kering kontang. Tanah menjadi kering keras merekah seperti bibir yang menunggu jilatan lidah membasahi kekeringan dan rekahan. Air disungai menghilir perlahan . Ikan-ikan jelas kelihatan berenang-renang ke tepi ketengah tidak keruan.

Dia duduk termenung diatas sofa lusuh yang tidak langsung memberi kesegaran dan inspirasi kepada otaknya. Lembab. Beku. Kaku. Sama seperti bunga-bunga ditaman yang tidak mendapat siraman air dik musim kemarau yang berpanjangan. Batang, daun dan bunganya layu kekeringan tiada kumbang yang sudi datang.


Mengapakah hari ini dia sampai menjadi begitu sekali. Otaknya menjadi kering kontang tiada apa-apa ransangan. Sistem sarafnya seperti tidak lagi sensitif.

Dia hanya dapat melakarkan beberapa ayat  saja. Ayat-ayat yang tidak dapat membawa dia kemana-mana. Semacam ada tembok tebal yang menghalang dan menggelapkan perjalanan minda dan perasaan untuk dizahirkan. Semuanya terhenti tidak tahu kemana matlamat yang hendak dituju. 

Sudah berulang kali dibacanya ayat-ayat itu. Dia cuba mencari makna bagi setiap ayat-ayat itu dan cuba mengaitkan diantara ayat yang mula dengan yang selepasnya. Adakah sebenarnya wujud 'the missing link' sehingga ianya tidak dapat membentuk satu kesatuan untuk menyampaikan mesej yang hendak disampaikan.

Bunga-bunga ditaman yang kekeringan kerana musim ini kemarau yang berpanjangan.
Tiada air yang mengalir disaliran.
Kering kontang.
Tanah menjadi kering keras merekah seperti bibir yang menunggu jilatan lidah membasahi kekeringan dan rekahan.
Air disungai mengalir perlahan.
Ikan-ikan jelas kelihatan berenanang-renang ke tepi ke tengah tidak keruan.


Perlahan-lahan otaknya mula mencerah. Dia sudah mula nampak jalan untuk menyambungkan cerita yang hendak disampaikan. Sebenarnya tidak wujud apa yang dikatakan 'the missing link'  seperti yang disangkakan. Setiap ayat itu saling sokong menyokong, kuat menguatkan untuk satu maksud yang hendak disampaikan. 


Dia hendak bercerita fasal musim kemarau yang berpanjangan. Dia mahu maklumkan akan kesan dari kemarau yang berpanjangan. Bunga ditaman mati kekeringan, paling kurang terkulai layu. Longkang, parit dan apa juga bentuk saliran menjadi kering tiada air yang mengalir. Tanah menjadi keras dan merekah. Air di sungai semakin kurang mengalir perlahan, sehingga ikan-ikan susah berenang mencari makan.


Tapi mengapa dia hendak bercerita fasal musim kemarau yang berpanjangan dan kesannya kepada alam. Itu sesuatu yang amat biasa yang sudah memang menjadi maklum kepada semua orang. Perkara biasa seperti juga orang biasa tiada apa istimewa yang dapat diraih. Tiada siapa pun berminat.


Dia teringat akan kisah seorang kawan. Kawan biasa saja. Tidak rapat tetapi selalu juga berbual-bual di warung di tepi longkang berdekatan dengan sebuah pasar basah sewaktu singgah minum pagi selepas berbelanja  di pasar. Nampaknya kawan itu mudah dicari diwarung itu.


Kawan itu seorang kontraktor kelas F, kelas paling rendah dari segi ranking di kalangan kontraktor. Sudah lebih tujuh tahun beliau terlibat dalam projek-projek kecil khususnya projek pembinaan sama ada bangunan baru atau kerja-kerja tambahan kepada benaan yang sedia ada.

"Boleh tahan ", katanya apabila di tanya rezeki yang diraih. 

Kawan itu memandu sebuah kereta mercedez prabus. Dilengan kanannya sebuah jam berjenama Rolex memancar kilauan. Baju 't' nya dari jenama pemain golf. Cincin batu berwarna ungu tersembul dijari manis tangan kiri. Dan kawan itu amat pemurah sekali yang tidak pernah gagal membayar minum paginya setiap kali mereka berjumpa diwarung itu.

Sesungguhnya dia terkeliur apabila melihat hidup kawan kontraktornya itu yang dipandang agak mewah. 


Itu kisah enam tahun yang berlalu.

Minggu lepas sekali lagi dia bersua kawan nya itu. Bukan di warung tapi di pasar ketika dia sedang sibuk tawar menawar. 


"Kurangkanlah  harga tu sikit tauke", dia terdengar dari belakang suara yang biasa dia dengar membantu kerja tawar menawar itu. Dia segera toleh kebelakang. Tangannya terpaksa menyambut huluran tangan dari orang itu untuk bersalaman.


"Lama tak jumpa. Sihat?" Orang itu melepaskan genggaman tangan sebagai isyarat untuk dia juga melepaskan genggaman. Dia tidak segera menjawab tapi sempat memberikan senyuman kecil sambil mengecam siapakah gerangan yang memakai topi keledar itu.

"Minta maaf. Tidak berapa cam sebab pakai topi keledar. Tuan sihat ke. Dah lama kita tak jumpa", Dia sudah kenal orang itu. Kawan yang sentiasa membayar minuman paginya di warung apabila mereka minum bersama, seorang kontraktor kelas F.


Kawan itu mengajaknya minum pagi diwarung yang sama. Dia tidak berfikir lama terus bersetuju mengangguk kepala.


Di warung kawannya bercerita fasal persaingan yang hebat diantara kontrektor kelas F kerana bilangan mereka telah bertambah. Projek pula tidak tidak banyak yang turun. Maka terpaksalah mereka bersaing secara sengit. Harga yang berani ditawarkan hanya sekadar membolehkan syarikatnya mendapat kerja saja. Margin keuntungan tidak seberapa. Lagipun dia terpaksa mengenepikan sedikit keuntungan untuk sumbangan kepada kelab sukan jabatan, sumbangan kepada aktiviti-aktiviti anjuran masyarakat tempatan dibawah naungan wakil rakyat. Mereka ini katanya ada peranan dalam sesuatu projek yang diperolehi.


Dan akhirnya dengan sedikit nada mengeluh dia mengatakan hanya dapat tulang saja setelah isi diagih-agihkan. Sekarang kawannya itu hanya mampu bermotorsikal saja. Mercedez  prabus? Katanya sudah berambus kerana tidak mampu meneruskan bayaran ansuran bulanan lima ribu ringgit.


Kawannya itu sudah kekeringan projek. Sudah lama projek tidak lagi melekat. Liat sungguh untuk mendapatkannya. Kawannya itu sudah menjadi seperti ikan disungai dimusim kemarau panjang. Berenang ke tepi dan berenang ketengah tidak  keruan, bernafas  di dalam sungai yang airnya semakin cetek  menghilir perlahan.


Dia tersenyum sendirian. Sekarang makin jelas kepadanya bahawa apa yang ditulisnya pada awal tadi sebenarnya adalah mengenai kawan kontrakter kelas F. Dia terlalu simpati akan kesah kawannya yang pemurah itu semasa mewah dulu. Tapi apa boleh buat sekarang adalah musim kemarau projek. Wang simpanannya menjadi kering kontang. 


Kawannya itu adalah seperti bunga-bunga ditaman yang kekeringan dalam kemarau yang berpanjangan. Itulah minda bawah sedarnya mahu bercerita. 

Sabtu, 26 November 2011

KUNJUNGAN DI MUSIM GUGUR

"......kau menapak berbatu-batu........semata-mata untuk bertemu kami yang tinggal di hulu...."

Aku tahu akan maksud kunjungan mu tempoh hari
kau begitu mesra sekali,
masih terasa panas pelukan dan dakapan mu ketika itu
rekahan bibir mu yang mengukir senyum, manis sekali
ukirannya tiada saat untuk berhenti, 
kau senyum sentiasa bila berbicara
kau sentiasa senyum bila bercerita
apa saja gerak dan kata mu, senyum sentiasa mengiring sama

Dan aku faham akan maksud kunjungan mu itu
kau tiada kekok untuk duduk bersila, seperti sudah biasa
berbicara menanya khabar , apa yang kurang, apa yang tiada
selesakah kami selama ini
Wajah mu murung sekali apabila kau mula mendongak
begitu sedih nampak gayanya
walaupun langit jelas membiru dimata mu

Sesungguhnya aku sedar akan maksud kunjungan mu
kau begitu manja sekali dengan anak anak kecil kami
kau menimang anak yang paling kecil 
terlalu manja timangan mu itu
kau sungguh peduli sekali nampak gayanya
kau ketawa suka bila tapak tangan mu terasa basah
hasil tirisan dari lampin sikecil kami
'ah ini hadiah untuk saya'
kau ketawa suka
kami pucat pula

Bahawa memang aku sedia maklum maksud kunjungan mu itu
menapak dari jauh berbatu-batu
semata-mata untuk bertemu kami yang tinggal di hulu
kerana musim dulu pun begitu
sebelum dulu pun kau telah datang juga
ada berbagai keriangan yang kau bawa
ada yang boleh dilihat dan dirasa, seronok juga seketika
ada yang cerita-cerita indah, yang hanya kami boleh mimpi saja
Aku sudah biasa
Kami sudah tegal kerana tiada apa yang bisa

Aku tahu bahawa senyuman mu sentiasa terukir manis
Aku faham bahawa kau amat prihatin sekali akan hal kami
Aku sedar bahawa kau amat menyayangi anak-anak kecil kami yang nakal itu
Aku sedia maklum bahawa kunjungan kau menyeronokkan kami walau sejenak
dan kami boleh bermimpi akan bulan dan bintang
cukuplah untuk kami yang di hulu bermain di waktu malam
  
Sesungguhnya musim gugur telah tiba 
kunjungan mu menepati masa buat kami untuk seketika


Ya, musim gugur telah tiba
maka masanya telah tiba
untuk kau gugur bersama

Jumaat, 25 November 2011

Salam Jumaat 36: Muharram, Bulan Pertama Tahun Islam

Assalamualaikum wbth dan Salam Jumaat kepada anda budiman semoga sentiasa sihat adanya.

Hari ini Jumaat 29 Zulhijjah 1432 bersamaan 25 November 2011.

Pada hari Ahad yang akan datang ini maka bermulalah tahun baru bagi umat Islam iaitu tahun 1433 Hijriah. Ada kemungkinan diantara kita  orang Islam yang tidak menyedari perkara ini kerana kita telah terbiasa dengan tahun Masihi yang menjadi panduan serta rujukan kita dan semua orang yang bukan Islam dalam mengingati dan mencatatkan peralihan hari ke hari dalam sesuatu tempoh/tahun. Tarikh tahun Masihi juga adalah tarikh yang  digunakan untuk kesahihan dalam sesuatu dokumen. 

Kalau pun ada pihak/orang yang cuba mengingatkan peralihan hari/tahun Hijriah itu biasanya peraturan yang diikuti ialah sekadar menyamakan tahun itu dengan tarikh tahun Masihi. Misalnya mana-mana pihak termasuklah Kerajaan yang akan mengadakan acara pada hari Isnin ini akan mencatatkan bahawa 'majlis ini akan diadakan pada 28 November 2011 bersamaan 2 Muharram 1433'. 

Yang jelas bahawa tahun Hijriah itu hanya disedari kerana hari itu termasuk hari-hari yang diistiharkan sebagai hari cuti umum negara. Itu saja. Tentang hal-hal lain yang berkaitan tahun itu misalnya apakah nama bulan selepas Muharram dan seterusnya , berapakah bilangan hari bagi setiap bulan dan berapakah bilangan bulan dalam tahun Hijriah ada kemungkinan tidak ramai yang tahu.

Satu lagi mungkin tahun Hijriah itu disedari wujud kerana adanya penganugerahan Tokoh Maal Hijriah.

Maka mengapa kita, termasuk pihak Kerajaan yang selalu bercakap fasal perlunya perubahan kearah kebaikan tidak pun memulakan langkah kearah memberi keutamaan kepada penggunaan tarikh Hijriah dalam urusan harian. Surat/dokumen dan lain-lainnya masih lagi mengutamakan tahun Masihi walaupun ianya datang dari jabatan yang menguruskan soal-soal agama Islam. Penggunaan tahun Hijriah kalau adapun seperti yang dinyatakan diatas hanya setakat taraf bersamaan sahaja dengan tahun Masihi. Ertinya tiada keutamaan langsung setelah lebih setengah abad merdeka.


Mungkin alasan bahawa tahun Masihi adalah tahun yang digunakan oleh semua negara didunia. Dengan demikian adalah praktikal supaya tahun itu digunakan dalam sebarang urusan. Dan Hijriah ini hanya sesuai diraikan bagi memberi cuti am negara dan juga memberi penganugerahan Tokoh Maal Hijriah saja. Dalam hal penganugerhan ini pun aturcara dan surat jemputan untuk menghadiri ke majlis itu berkemungkinan akan ditulis 'penganugerahan ini akan diadakan pada misalnya 12 Januari 2011 bersamaan 23 Muharram 1433.


Kita pun sedar bahawa penggunaan tahun Masihi itu lebih praktikal dan memudahkan perhubungan terutama yang melibatkan perhubungan antarabangsa. Tetapi tidakkah kepentingan tahun ini boleh dipertingkatkan dalam acara-acara yang ada kaitan langsung dengan urusan agama Islam misalnya acara musabaqah al-Quran, tarikh perasmian masjid dan sebagainya. Rasanya tidak menjadi satu keresahan kepada yang bukan Islam (yang sepatutnya tidak wajar resah, seperti orang Islam dengan rela menggunakan tahun Masihi) jika penggunaan yang amat terhad  digunakan pada acara/dokumen yang melibatkan pengurusan berkaitan dengan Islam seperti beberapa contoh yang dinyatakan diatas.


Kita selalu diminta untuk menghormati agama orang bukan Islam. Dan saya amat bersetuju supaya kita mesti menghormati agama mereka. Cuma jangan pula apabila yang berkaitan penggunaan tahun Hijriah dalam beberapa hal yang terhad akan mendapat tentangan dari mereka. Saya mengharapkan tidak akan jadi begitu. Jangan jadi seperti perkara berkaitan dengan Hukum Hudud yang mendapat ulasan/tentangan dari orang bukan Islam yang tidak ada kaitan dengan mereka.

Tapi merenung sejenak akan reaksi orang bukan Islam itu, saya merasakan mereka berbuat demikian mungkin kerana kurang faham atau tiada maklumat yang mencukupi bagi mereka memahami perkara berkaitan dengan Islam itu. Maka tugas kita kena beri kefahaman kepada mereka. 


Bagaimana dengan orang Islam yang menentang misalnya dalam hal Hudud dan meningkatkan penggunaan tahun Hijriah dalam urusan harian? Perkara ini pun kita perlu beri maklumat dan penjelasan yang sebaiknya. Cuma saya ada sedikit rasa kecewa akan reaksi seperti itu.


Maka jika Kerajaan/Ketua Kerajaan  ditanya apakah azam tahun Hijriah yang akan disambut dalam beberapa lagi ini , saya ingin mencadangkan supaya penggunaan tarikh tahun hijriah akan diperluas dan diutamakan dalam beberapa urusan tertentu. Jika itu dapat dilaksanakan dan kita mendoakan supaya ianya berlaku maka sebenarnyalah kita mahukan satu perubahan yang tebaik kepada maruah umat Islam.
 

Jumpa lagi.






Khamis, 24 November 2011

Selamat Jalan dan Jumpa Lagi

Selamat Jalan dan Jumpa Lagi
Sudah menjadi kebiasaan kepada kita semua untuk mengucapkan selamat jalan kepada mereka yang hendak berkepergian terutama dikalangan sanak saudara dan rakan kenalan. Ucapan itu juga disertai dengan satu harapan untuk bertemu lagi walaupun kadang-kadang yang berkepergian itu ada yang mungkin tidak akan kembali lagi misalnya kenalan dari warga negara asing atau mereka yang telah bercadang untuk bermastautin di negara lain. 

Itu adalah ucapan perpisahan sesama kita yang hidup. 

Tetapi bagaimana pula ucapan kepada mereka yang pergi selama-lamanya, mereka yang meninggal dunia. Sudah tentu bukan 'selamat jalan dan jumpa lagi'. Sebaliknya kita menghadiahkan surah-surah tertentu dari kitab al-quran  dan mendoakan semoga mereka diampunkan dosa dan dimasukkan dikalangan orang-orang yang diredhai. 

Saya percaya bacaan surah-surah dan doa yang kita panjangkan itu juga mengandungi maksud selamat jalan kepada orang yang meninggal itu. Selamat dan sejahtera dalam alam kubur. Cuma kita tidak pula berkata 'jumpa lagi' .

Sama ada perpisahan hidup atau perpisahan mati, pada akhirnya kita akan berjumpa juga apabila tiba hari pengadilan di akhirat nanti. Semua kita akan berjumpa tapi bagaimana bentuknya diluar pengetahuan kita manusia. Ertinya bagi perpisahan mati ini boleh juga kita mengucapkan 'kita jumpa lagi'. Tapi perkara ini tidak biasa disebutkan maka terlalu kekok untuk keluar dari mulut kita. Atau mungkinkah kita terlalu takut untuk menyebutkannya kerana kematian adalah sesuatu yang tidak ramai orang mengharapkan.


Soal hidup dan mati atau selalu disebut sebagai 'ajal maut dan jodoh pertemuan' adalah di tangan Tuhan. Ertinya kita semua telah ditakdirkan sesuatu yang akan berlaku keatas kita. Yang maha mengetahui hanya Allah sahaja. Tetapi tidak bermakna kita tidak perlu bekerja dan berusaha untuk menjalani satu penghidupan yang baik ke arah pengabdian kita kepada Allah SWT. Yang pasti kita tidak tahu apa yang akan berlaku terhadap diri kita. Sebab itu kita sentiasa berusaha dan berdoa yang terbaik dan kemudian bertwakkal berserah kepada Allah.


Berbalik kepada mengucap 'selamat jalan dan jumpa lagi' pada saat perpisahan kita sesama yang hidup ianya menunjukkan betapa tingginya nilai sebuah persaudaraan/persahabatan/kenalan. Satu ucapan yang  penuh dengan kasih sayang, mendoakan supaya yang berkepergian itu selamat dalam perjalanan dan mengharapkan akan jumpa kembali pada suatu hari nanti. Apatah lagi mereka yang berkepergian  itu adalah anak/ibubapa/adik/kakak/abang sendiri.  

Saya mahu bercerita tentang berkepergian yang bersifat kekal iaitu mati. Yang memang semua orang akan melaluinya tetapi tidak diketahui saat dan tarikhnya. Ia sesuatu yang ditakdirkan kepada setiap manusia.


Dan saya mahu bercerita tentang perkara yang saya sendiri tahu dan alami untuk berkongsi sesama kita. Semoga ada perkara yang dapat sekurang-kurang menjadi renungan.


Seperti yang dikatakan bahawa kita tidak boleh lari dari takdir. Jika itulah yang ditentukan Allah maka itulah yang berlaku dan itulah yang perlu kita terima secara redha.


Saya kehilangan dua orang anak lelaki berturut-turut. Maksud saya selepas abang, adiknya pula tetapi bukanlah dalam tempoh yang berdekatan. Kedua-kedua kehilangan adalah bersebabkan dari kemalangan kenderaan. Satu, kemalangan kenderaan yang saya sendiri pandu yang mengakibatkan anak pertama saya meninggal. Satu lagi kemalangan menjadi pemboncing motorsikal kawan dalam kampus sebuah institusi pengajian tinggi, melibatkan anak kedua saya.


Nampaknya cerita saya ini seperti biasa saja. Ramai orang mengalami perkara seperti itu. Ya, saya bersetuju. Ramai telah menghadapi lebih sedih dari itu. 


Cuma saya bukan hendak bercakap tentang sedih saja. Ada yang lain untuk dikongsi bersama agar jika ada yang bersamaan hendaklah kita berbalik kepada Rukun Iman tentang takdir.


Anak pertama saya adalah seorang bayi jantung berlubang. Kami diberitahu semasa beliau berumur dua bulan. Mengurus anak jantung berlubang memerlukan banyak kesabaran sebab dia kerap menangis berpanjangan terutama diwaktu malam. Kami dapat hadapi dengan penuh kesabaran kerana kasih sayang. Tetapi kami berasa bersalah terhadap jiran sebelah yang sudah tentu tergangggu tidurnya kerana setiap malam anak saya itu akan menangis panjang dan kuat juga.


Kami telah bersetuju untuk dibuat pembedahan sebagai usaha untuk mengubatinya walaupun tidak mendapat sokongan dari keluarga yang lebih tua. Kerana kepada mereka saya telah ditakdirkan untuk seorang anak yang jantung berlubang. Lagipun mereka berpendapat , pembedahan lebih bahaya dan boleh menyebabkan maut. Namun kami (saya dan isteri) berkorban perasaan, sanggup menerima risiko dengan penuh doa semuanya selamat. Akhirnya pada umur dua tahun pembedahan dijalankan. Syukur , pembedahan itu berjaya.


Anak saya itu dari setahun ke setahun telah menunjukkan kemajuan yang baik, boleh berlari dan bermain seperti budak biasa .Alhamdulillah.


Rupanya masanya telah tiba untuk dikembalikan kepada Allah pada 3 hari raya idilfitri apabila kereta yang saya pandu terlibat dalam perlanggaran dengan sebuah lori. Waktu itu umurnya sudah masuk tujuh tahun. Beliau meninggal diatas riba saya dalam perjalanan ke hospital. Yang paling terkesan ialah apabila anak saya itu menyatakan kesakitannya dan minta supaya kereta yang membawa kami ke hospital itu bergerak laju kerana dia tidak tahan dengan kesakitan.


Apa yang terkesan ialah kesakitan yang terbayang pada wajahnya. Maka saya tidak dapat bayangkan bagaimana agaknya kalau perkara itu berlaku kepada saya. Saya percaya sakitnya sudah tentu melebihi jauh dari itu kerana sedangkan anak yang baru tujuh tahun pun menunjukkan rasa kesakitan apatah lagi orang yang telah berumur seperti saya yang sudah tentu banyak dosa.

Itulah takdir. Walaupun kami telah melakukan usaha mengubatinya melalui pembedahan tetapi jika telah ditakdirkan bahawa pada sekian masa anak itu akan kembali kepada yang hak maka terjadilah perkara itu. Ini tidak bermakna saya menyesal dengan usaha saya itu malah berasa bersyukur kerana selama 5 tahun anak saya itu dapat menjalani satu penghidupan seperti anak-anak yang sihat.


Adiknya pula meninggal pada usia 22 tahun akibat jatuh dari memboncing motorsikal kawan dalam perjalanan dari hostelnya ke dewan kuliah untuk menghantar 'assingment'. Peristiwa itu berlaku pada hari ke 13  umat Islam berpuasa.

Satu lagi takdir yang saya terima.

Ada sesuatu yang 'istimewa' tentang dua peristiwa ini. Ianya semacam ada kaitan. Anak pertama saya dilahirkan pada 12 Januari. Adiknya pula meninggal pada 12 Januari juga. Yang ;istimewanya lagi ialah kawasan tanah perkuburan anak saya yang pertama itu pula telah dirasmikan pada 27 Oktober. Tarikh itu bersamaan dengan tarikh kelahiran adiknya iaitu anak saya yang kedua. Mungkin ini adalah kebetulan, kata setengah orang. Tapi saya lebih cenderung untuk mengatakan ini adalah yang telah ditakdirkan. Ini adalah perancangan Allah, bukan perancangan saya. Sudah tentu saya merancang untuk kedua-dua anak saya itu hidup lebih lama sekurang-kurangnya mereka tidak mendahului saya.

Namun semuanya telah ditakdirkan. Telah dirancang oleh Allah untuk memberi ingatan terutamanya kepada saya dengan melihat sendiri akan kesakitan yang dialami oleh seorang anak yang tidak berdosa pada saat dipanggil menemui Allah. Bagaimana saya yang tua bangka ini? Sudah tentu saya ada jawapan sendiri tersimpan di dalam hati.

Saya juga percaya bahawa persamaan tarikh yang disebutkan itu adalah satu perancangan Allah yang saya tidak tahu rahsianya. Ianya bukan kebetulan. Cuma ianya menguatkan kepercayaan saya bahawa kita boleh merancang tetapi perancangan Allah lah yan pasti terjadi. Dengan sebab itu apa yang telah berlaku sama ada yang sedih mahu pun yang suka hendaklah kita terima sebagai ketentuan dari Allah. Kita hanya berusaha melakukan sebaiknya selaras dengan kehendak Allah bagi menjalani kehidupan harian dengan sentiasa berdoa dan mengharapkan bahawa usaha kita itu akan mendapat keredhaan dari Allah SWT.

Akhirnya bahawa ucapan 'selamat jalan dan berjumpa lagi' boleh juga kita ucapkan kepada mereka yang berkepergian selama-lamanya. Semoga roh kedua-dua anak saya itu berada dalam kalangan mereka yang diredhai Allah SWT.










 



 


Selasa, 22 November 2011

Malaysia lwn Indonesia: Indonesia Kalah Teruk

Pertemuan perlawanan akhir bolasepak diantara Malaysia dan Indonesia dalam Sukan SEA yang ke 26 yang dapat ditonton secara siaran langsong pada pukul 8.30 malam Isnin 21.11.11 berakhir dengan kemenagan kepada Malaysia 4 dan Indonesia 3 melalui tendangan penalti setelah berkeputusan 1-1 dalam tempoh perlawan selama 120 minit.

Tahniah kepada Pasukan Malaysia. Kepada Pasukan Indonesia saya ucapkan syabas kerana telah bermain sebagai sebuah pasukan bola yang berdisiplin dan professional dibawah tekanan dari para penyokong tempatan yang sebahagian besarnya 'menggila' tanpa perasaan malu dan beradab sebagai tuan rumah. Saya amat sedih sekali.

Kita tidak kesah dengan keghairahan mereka untuk menang. Kita juga boleh menerima segala sindiran dan kata-kata yang memandang rendah keupayaan pasukan Malaysia. Ingat tak semasa kali pertama berjumpa Malaysia akan kata-kata bahawa mereka menurunkan pasukan kedua hanya kerana merehatkan 2/3 orang pemain handal mereka pada perlawanan itu. Maka akibatnya mereka kecundang 1-0.

Kata-kata mereka itu saya tafsirkan sebagai memperlekehkan kekuatan pasukan kita. Itu tidak mengapa. Mungkin satu perang saikologi dalam permainan bagi menimbulkan rasa kemarahan pihak lawan yang boleh menyebabkan pihak lawan hilang tumpuan. Tapi sayang perang saikologi berbentuk provokasi itu memakan diri sendiri.

Banyak lagi provokasi yang kita boleh lihat. Antaranya saya terbaca satu kain rentang yang mahu mengganyang Malaysia seolah-olah kita musuh mereka yang mahu diserang dan di jahanamkan. Itupun tidak mengapa kerana hanya kain rentang saja. Mungkin itu cara mereka untuk menyatakan sokongan kepada pasukan sendiri supaya menganggap perlawanan dengan Malaysia sebagai satu peperangan. Dan anggapkan juga Malaysia sebagai budak-budak yang boleh dibuli. Boleh diganyang. Tidak mengapa kerana tidak jadi kudis.
Mungkin ada kata-kata lain atau sindiran-sindiran lain yang tidak dapat dilihat melalui tontonan di tv. Kalau ada dan jumlahnya banyak pun tidak mengapa.

Hanya yang tersentuh dihati apabila para pengulas sukan kita di Jakarta menyatakan bahawa mereka (Indonesia) tidak tahu untuk meraikan kejayaan pasukan lain terutamanya pasukan Malaysia apabila lagu kebangsaan negara ke udara. Mereka langsung tidak menunjuk tanda hormat. Perbuatan yang sungguh memalukan. Jadi tuan rumah berperangai macam itu? 
Mungkin mereka tidak faham makna 'sporting dan gentleman' yang perlu ada dalam semangat bersukan. Tidak mengapa. Tapi sebagai tuan rumah, tidak kiralah sama ada yang berkaitan sukan atau yang lain-lainnya, cara melayan tetamu bukanlah begitu. Tuan rumah bukan saya mengukir senyuman, menghulur tangan bersalaman mengeratkan tali persahabatan bahkan sanggup melebihkan tetamu dari diri sendiri. Agaknya cara mereka melayan tetamu sama dengan melayan hantu.

Saya tidak percaya cara mereka sampai begitu kerana saya selalu bertamu disana. Sebahagian besar mereka terlalu elok budi bahasanya. Jadi yang buat tidak senonoh ini memberi malu orang Indonesia saja.
Kita pun merasa sedih apabila pemain dan pegawai pasukan bola sepak kita terpaksa dikawal oleh pasukan keselamatan mereka dan menaikki kenderaan tentera- baracudda. Macam kita tawanan perang. Tidak mengapa juga demi keselamatan kita juga. 

Tapi tidakkah cara itu boleh ditafsirkan sebagai satu cara melindungi dari serangan orang yang suka mengganas yang dunia selalu menyebut sebagai 'terrorists'. Tidak mungkin rakyat Indonesia berkelakuan seperti itu terhadap warga lain apatah lagi warga asing itu adalah tetamu mereka.

Itupun tidak mengapa kerana kita diberi perlindungan. Bermakna pemerintah Indonesia adalah pemerintah yang bertanggongjawab.

Cuma apabila diberitakan bahawa berlaku pembakaran di kaunter tiket di stadium Gelora Bung Karno yang dilakukan bukan oleh orang Malaysia, bukan orang Singapura, tidak juga orang Thai, jauh sekali orang Brunai, Timur Leste, Kemboja, Vietnam , Myanmar, Laos dan Filipina semata-mata untuk menonton perlawanan diantara Indonesia dan Malaysia untuk merebut sebutir pingat emas (bukan emas pun) maka saya rasa itu sesuatu yang amat parah sekali. Bukan pada kita tapi kepada Indonesia sendiri. Ingat bukan stadium di Bukit Jalil tapi stadium di Jakarta.

Diberitakan juga mereka memasuki stadium secara berasak-asakan sehinngga mengakibatkan dua orang mati dan seorang kanak-kanak dalam keadaan kritikal. Ah terlalu amat sedih sekali hanya semata-mata mahu tonton Indonesia ganyang Malaysia sehingga mengorbankan dua nyawa rakyat Indonesia.

Maka akhirnya mereka kalah juga kerana berjaya memasukkan bola kurang sebiji dari pasukan Malaysia dalam peraduan tendangan penalti. 

Bola mereka kalah, semangat kesukanan pun kalah, jadi tuan rumah yang baik pun kalah.Yang menjadi kalah teruk adalah apabila mereka membakar kaunter tiket ,seorang kanak-kanak koma dan dua orang mati, kesemuanya Indonesia. Sesungguhnya Indonesia kalah teruk.

Malaysia jangan tiru. Jangan jadi begitu sebab kita juga nampaknya sudah ada unsur-unsur ke arah itu. Ingat peristiwa bakar bas?

Isnin, 21 November 2011

TUMBUK RUSUK, MAKAN SUAP, RASUAH dan.......

Tumbuk Rusuk adalah kata-kata kiasan yang saya percaya masih lagi ramai orang yang faham akan maknanya. Dalam masa yang sama saya menjangkakan juga ada orang yang mempunyai fahaman tidak sama apa yang hendak disampaikan oleh kiasan itu. Maka dengan itu ianya tidak berfungsi sebagai kiasan. Misalnya jika ada yang memahami Tumbuk Rusuk itu sebagai satu perbuatan untuk mencederakan seseorang melalui tumbukan ke rusuk orang itu maka fahami itu bukanlah maksud yang hendak disampaikan oleh kiasan itu.

Tetapi mencederakan orang itu ada kaitan dengan maksud kiasan itu. Cuma fahaman bentuk kiasan itu tidak melibatkan perbuatan secara fizikal menumbuk rusuk seseorang. Ia hanya kiasan saja yang menyebabkan seseorang itu cedera akibat tumbuk rusuk. Maknanya kedua-dua fahaman itu merujuk kepada akibat dari perbuatan tumbuk rusuk iaitu kesakitan/kecederaan.

Dari segi tumbuk rusuk secara fizikal ianya boleh mencederakan seseorang sehingga membuatkannya rasa sakit dan mungkin hilang /kurang daya upaya untuk menjalankan kerja seperti biasa. Usaha bagi meningkatkan produktivitinya akan terhalang, terganggu dan tersekat disebabkan kecederaan itu. Apa tah lagi kalau tumbukan itu terlalu kuat dan terlalu kerap berulang kali. Maka lumpuhlah orang itu sehingga tidak mampu melaksanakan kerja, tugas dan tanggongjawab. 

Kesannya tertimpa bukan saja kepada diri orang yang kena tumbuk rusuk itu bahkan kepada mereka yang mengharapkan khidmat orang itu kerana yang diharapkan memberi khidmat telah lumpuh.

Bagaimana pula  dengan orang yang melakukan tumbukan. Adakah orang itu bebas dari dikenakan tindakan? Dari segi hukum keadilan, sewajarnya orang yang mencederakan seseorang melalui perbuatan itu wajar diambil tindakan, diadili secara terbuka akan perbuatannya itu. Tetapi ada masanya perbuatan itu terlepas pandang atau sengaja terlepas pandang.

Berbalik kepada Tumbuk Rusuk sebagai kata-kata kiasan. Ianya membawa kesan yang sama juga iaitu kecederaan di kedua-dua belah pihak, si penumbuk dan si kena tumbuk. Kesannya juga akan melebar kepada mereka yang mengharapkan perkhidmatannya.

Maknanya fahaman secara kiasan mahu pun fahaman perbuatan sebenar akan merujuk kepada kesan yang sama iaitu kesan yang tidak baik kepada penumbuk, yang kena tumbuk dan pihak lain yang mengharapkan perkhidmatan orang yang kena tumbuk. 

Saya percaya atas asas akibat kecederaan dari perbuatan tumbuk rusuk itu maka perbuatan itu telah dikiaskan sebagai tidak baik dan perlu dielakkan oleh semua pihak. Jadi jangan Tumbuk Rusuk walaupun tidak dilakukan secara fizikal.

Bagaimana pula dengan Makan Suap? Adakah ini juga satu kiasan? Jawapannya boleh saja ya atau bukan bergantung kepada fahaman kita atau apa yang sebenar berlaku.

Makan suap jika difahami sebagai perbuatan memasukkan sesuatu kedalam mulut untuk dikunyah sebelum ditelan dan jika diteruskan membolehkan seseorang itu rasa kenyang. Dan kadang-kadang kalau terlalu kenyang disebabkan banyak makan akan  mendatangkan kemudaratan dari segi kesihatan. Paling kecil kemudaratan ialah kita akan rasa mual yang mengakibatkan  muntah.

Suapan makanan biasanya kita yang melakukan sendiri melainkan anak-anak kecil yang masih belum mampu menyuapkan makanan kedalam mulut sendiri atau mereka yang tidak berupaya melakukan disebabkan sakit teruk/tenat.

Makan suap juga ialah satu dari kiasan. Mengkiaskan perbuatan makan suap itu untuk memberi maksud menerima sesuatu dengan cara tidak wajar. Menerima sesuatu yang bukan hak. Ertinya ada pihak lain yang memasukkan makanan kedalam mulut kita jika mahu dilihat dari segi perbuatan fizikal. Tugas kita hanya mengunyah makanan itu dan terus menelannya. Kita tidak perlu ambil tahu dari mana makanan itu datang dan bagaimana makanan itu diperolehi sama ada dengan secara suasah payah dan sebagainya. Tugas yang kita tahu ialah makan sampai kenyang. Ada masanya kita tidak kenal erti kenyang.

Akibatnya ialah terbentuk sifat dan sikap tidak kesah. Semua ditelan saja asalkan ada makanan yang disuapkan. Walaupun banyak dan kerap yang disuap , masih lagi tidak merasai nikmat kenyang. Maka seperti dengan tumbuk rusuk, makan suap ini juga satu kiasan tentang perbuatan yang tidak baik.

Rasuah pula bagaimana? Saya percaya secara amnya semua orang faham perbuatan rasuah ini adalah satu perbuatan yang tidak baik dan amat dikutuk dan dikeji oleh semua orang termasuk mereka yang memberi dan menerima hasil perbuatan itu. Pelik bukan? Saya tidak merasa pelik kerana itu yang sebenarnya berlaku yang semua orang sedia maklum. 

Hanya saya hendak memanjangkan apa yang saya telah dimaklumkan dalam  khutbah Jumaat yang baru lepas di sebuah masjid bahawa dalam ayat 88 Surah al-Baqarah (minta maaf saya belum sempat menyemak semasa menulis hal ini) perkara rasuah ini ada disebut dan menjadi satu perkara yang tidak disukai Allah. Maka kalau Allah tidak suka selama-selamnya bermaksud tidak suka. Tidak seperti manusia walaupun dikutuk , dikeji akan perbuatan rasuah itu , melakukannya sama ada sebagai pemberi atau penerima adalah perkara biasa saja.
Dan sekarang ini ada lagi perkataan-perkataan yang membawa maksud yang sama dengan tumbuk rusuk, makan suap dan rasuah. Antara nya ialah minyak pelincir, komisyen, bayaran perunding, tips, sagu hati, keadaan menang menang dan banyak lagi. Cuma setengah perkataan-perkataan  itu  boleh mengelirukan dan nampak bersih saja atau dinampakkan bersih. Entahlah.
Dengan demikian janganlah tumbuk rusuk, jangan makan suap, jangan rasuah dan jangan yang lain-lain yang nampaknya bersih atau sengaja dinampakkan seperti bersih. Ini bukan larangan saya. Ini larangan Allah. Cakap saya adalah cakap manusia yang boleh diragukan. Cakap Allah tiada keraguan.

Sabtu, 19 November 2011

SEMUA DALAM KELUARGA

Dua Bersaudara Ini Adalah Warisan Sebuah Keluarga
SEMUA DALAM KELUARGA
Dimanakah titik bermula saya
Bagaimana saya perlu melihat
Mengapa saya perlu prihatin
Bilakah saya perlu menumpah kasih
Apakah perlu saya lakukan
 
Semua Dalam Keluarga
  
Ia bermula dari saya
Mereka adalah jantung hati saya
Mereka adalah talian hayat  saya
Apabila mereka gundah gulana
Saya tetap disini-mereka dalam dakapan erat saya

Semua Dalam Keluarga
 
Bermula dari saya datuknya  
Mereka adalah segalanya
kerana saya  pemimpin  mereka
Apabila mereka diserang
Saya tetap di sini sedia berkorban

Semua Dalam Keluarga
Kami adalah satu sebagai keluarga

Padanan dari puisi asal dalam Bahasa Inggeris dengan tajuk :All In The Family dari ZAHAR BLOG.

Jumaat, 18 November 2011

ALHAMDULILLAH MASIH ADA YANG INGAT

Seperti biasa pada musim cuti sekolah banyak pihak mengambil kesempatan mengadakan majlis perkahwinan walaupu pada luar musim cuti sekolah majlis-majlis yang serupa diadakan juga. Cuma diperhatikan bilangan majlis pada musim cuti sekolah dirasakan melebihi dari yang di luar musim.

Bermula pada hari Sabtu dan Ahad minggu pertama cuti sekolah telah kelihatan majlis-majlis ini diadakan sama ada dirumah, di hotel, restoran atau pun di dewan-dewan. Pada tahun ini pula terdapat sedikit kelainan apabila ada pihak-pihak yang menganjurkan majlis pernikahan pada hari Jumaat mengambil sempena tarikh yang menggunakan angka 1 iaitu 11.11.11. 

Dan seperti orang lain saya juga menerima beberapa jemputan dari kawan-kawan yang masih lagi ingat dan sudi untuk menjemput ke majlis mereka. Sesungguhnya saya amat berbesar hati akan ingatan mereka itu dan mengucapkan ribuan terima kasih. Pagi tadi terima lagi satu jemputan dari kawan yang datang ke rumah untuk menjemput ke majlis anaknya.


Datang ke rumah menjemput adalah satu cara yang dilakukan oleh sebahagian besar masyarakat kampong yang lebih mesra dengan cara bersemuka. Setengahnya menganggap cara begini lebih sopan dan beradab terutama kepada mereka yang berkedudukan atau lebih tua. Maknanya satu penghormatan kepada yang dijemput. Dan yang dijemput pula secara timbalbalik akan menentukan bahawa ia tidak akan mengecewakan penghormatan yang diberikan itu. 


Begitulah adat beradat orang kampong terutama masyarakat yang masih lagi tidak banyak menerima pengaruh dari penggunaan alat-alat perhubungan moden. Masih lagi dengan jemput secara bersemuka dari rumah ke rumah walaupun yang di jemput itu duduk di tempat yang berjauhan. Kalau tidak ada daya mereka akan menjemput secara menghantar kad jemputan. Dan jika terdapat saudara/orang sekampong di sesuatu tempat itu, kadang-kadang pertolongan mereka diminta untuk mewakili pihaknya untuk membuat jemputan kenalan/kawan di tempat itu bagi pihaknya.

Tetapi dari masa ke semasa masyarakat berubah selaras dengan keperluan semasa. Maka pada hari ini terutama dengan perkembangan teknologi  perhubungan jemputan cara lama tidak lagi menjadi satu saja cara bagi menjemput kawan-kawan ke majlis perkahwinan. Selain ada yang masih lagi membuat jemputan rumah ke rumah, jemputan juga dibuat secara khidmat pesanan  ringkas, melalui emel, facebook dan twitter. Mereka yang ada blog sendiri akan juga menggunakan blog menjemput tetamu ke rumah.


Nampaknya nilai masyarakat telah berubah. Cara-cara jemputan moden itu tidaklah dianggap sebagai kurang beradab malah ianya kelihatan sebagai satu keperluan disebabkan mungkin kesibukan masa dan juga tempat yang berjauhan.


Apa pun pada pandangan saya jemputan secara kad adalah satu cara yang say suka pilih selain jemputan rumah ke rumah. Namun tidak ada masalah untuk menerima jemputan secara sms, emel, facebook atau twitter. Boleh saja kerana ianya satu tanda ingatan.


Saya juga teringat akan pengalaman yang kurang enak semasa membuat jemputan secara bersemuka ini. Apabila kad dihulur maka seorang kawan itu berkata "Kahwin lagi", dengan nada yang boleh mengusik hati. Jemputan itu adalah bagi majlis kedua bagi anak yang kedua. Majlis anak yang pertama saya juga menjemput kawan itu.


Seorang lagi kawan semasa menghadiri majlis yang kedua itu menyatakan bahawa dia tidak mengharapkan menerima jemputan kerana sangkanya saya tidak mengetahui alamat kediamannya. Sambungnya lagi kalau tidak terima jemputan dia mengatakan 'alhamdulillah' kerana tidak perlu hadir. Sedih juga mendengar kata-katanya itu.

Oleh itu menerima jemputan majlis perkahwinan ini hendaklah dianggap sebagi satu tanda penghormatan dan ingatan kawan terhadap kita. Janganlah jemputan itu dianggap sebagai bebanan. Saya faham bahawa setiap jemputan yang kita hadir sedikit pemberian akan dihulurkan. Tetapi kalau ada sedikit berilah sedikit. Jika tidak juga mampu saya percaya kehadiran kita akan di junjung tinggi oleh tuan rumah yang berbesar hati kesudian kita menerima jemputan. 




Salam Jumaat 35: Tahniah Pasukan Bolasepak Malaysia di Sukan Sea 26 Jakarta Tapi Jangan Besar diri dan Bongkak

Assalamualaikum wbth dan Salam Jumaat kepada anda budiman semoga sentiasa sihat.

Jam 8 malam semalam saya kira saya adalah diantara penonton siaran lansung pertandinga bole sepak diantara Pasukan Malaysia melawan Pasukan Indonesia yang berlangsung di stadium Bung Karno , Jakarta. Saya menonton melalui saluran 801.

Setelah melalui saat-saat yang mendebarkan selama 90 minit maka akhirnya merasa lega dan terlalu gembira apabila Malaysia menang 1-0 hasil jaringan di minit k e17 oleh seorang pemain gantian. Tahniah kepada pasukan dan tahniah kepada Malaysia.

Secara keseluruhannya saya dapati permainan kedua-dua pasukan adalah seimbang walaupun Indonesia menguasai bola pada kadar 62 % . Malah saya berpandangan bahawa Malaysia berkemampuan menjaring lebih dari satu gol jika peluang yang terbuka dapat disempurnakan oelh penyerang no.14. Nampaknya ketajaman menyerang dan menyumbat gol perlu dipertingkatkan lagi. Dalam masa yang sama Indonesia juga mempunyai peluang untuk menjaringkan gol tapi seperti Malaysia peluang itu tidak digunakan sebaiknya.

Dengan keputusan menang itu saya merasa lega kerana jika Indonesia mula membolosi gol kita maka saya amat khuatir sekali dengan semangat juang pasukan. Dalam pertandingan-pertandingan yang lepas apa yang berlaku ialah semangat pemain kita mudah 'terpeli'ot' sebaik saja pihak lawan membolosi gol kita. Maka berbiji gol lagi akan dapat dimasukkan kedalam gawang kita.  Sekiranya terjadi begitu maka Singapura dan Indonesia yang akan ke separuh akhir kerana Singapura telah berjaya mengalahkan Thailand 2-0. Inilah satu lagi debaran yang menyerang saya sebelum tamat permainan.

Ia tidak berlaku kali ini kerana kita telah berjaya mendahului jaringan. Tapi saya merasakan semangat pasukan kita kali ini adalah amat kental sekali. Teruskan dalam persaingan seterusnya.

Kita wajar mempunyai kepercayaan bahawa kita boleh melakukan yang terbaik untuk mencapai kemenagan. Tapi janganlah sampai kepada terbentuknya siakap ambil mudah dan terlalu berkhayal atas kemenangan kita itu sehingga lupa akan perjuanagan didepan yang amat penting untuk menjadi juara. Yang paling saya khuatir sekali ialah apabila pemain-pemain kita merasa besar diri atas kemenagan itu dan terus bersifat bongkak sehingga memperkecilkan pihak lawan. Ini lah pada pendapat saya yang menyebabkan Indonesia kalah kerana terlalu memandang rendah pasukan kita. 

Selain dari memandang rendah saya dapati para penyokong Indonesia nampak gayanya terlalu marah dan mempunyai perasaan benci kepada Malaysia apabila saya terbaca satu kain rentang yang bertulis perkataan ;Ganyang Malaysia'. Saya teringat pada masa konfrantasi dulu, semasa Sukarno, perkataan 'Ganyang Malaysia' menjadi kat-kata yang selalu menjadi laungan mereka.

Namun tidak mengapa, biarlah mereka dengan perangainya begitu. Kita pasukan Malaysia dan orang Malaysia tunjukkan semangat juang kental kita tanpa menyakitkan hati orang lain. Kita tunjukkan skill kita. Ok. Selamat berjuang.

Jumpa lagi.

Selasa, 15 November 2011

Monyet (Beruk) dan Kelapa Dalam Industri Pelancungan (MOpaT)

Pokok-pokok Kelapa Di Tepi Pantai
Monyet (Beruk) Yang Boleh Diajar Memetik Buah Kelapa
1.Setakat yang diketahui Malaysia belum lagi menggunakan dua aset ini iaitu Kelapa dan Monyet (Beruk) dalam menambahkan lagi produk pelancungan negara. Saya berpendapat kedua-dua aset ini mempunyai potensi untuk dimajukan dalam industri pelancungan kerana kedua-duanya mempunyai kaitan yang erat dan amat menarik sekali. Beruk memerlukan pokok kelapa dan pokok kelapa memerlukan beruk.

2. Pada masa ini terdapat banyak beruk yang berkeliaran di taman-taman perumahan, sekolah-sekolah dan ditempat-tempat awam kerana tempat tinggal mereka telah dirampas oleh manusia bagi tujuan keselesaan hidup dengan pembinanaan berbagai jenis bangunan seperti rumah kediaman, kompleks perniagaan, kompleks rekreasi dan sukan, dan berbagai lagi jenis pembangunan.

3. Banyak juga beruk-beruk itu dibunuh kerana mengganggu ketenteraman manusia atau terbunuh digilis kenderaan semasa mahu melintas jalan.

4. Dengan demikian sewajarnyalah dimenfaatkan sebaik mungkin akan keadaan beruk yang berkeliaran itu dengan menjadikan beruk-beruk itu  sebagai pemetik buah kelapa. Ini bukan satu perkara baru kerana ianya telah dilakukan. Mungkin ada disetengah-setengah tempat di kampong atau pedalaman amalan memetik buah kelapa dengan menggunakan beruk ini masih diteruskan.

5.Maknanya beruk-beruk ini boleh dilatih untuk melakukan kerja memetik buah kelapa.

6. Di Malaysia dusun-dusun kelapa yang pokoknya tinggi melempai masih lagi boleh ditemui. Dan sekiranya pokok kelapa jenis yang tinggi ini berkurangan maka usaha untuk membiak jenis pokok seperti ini perlu dilakukan.

7. Maka beruk dan kelapa adalah satu gabungan yang terbaik untuk manusia menfaatkan dari segi menambahkan pendapatan melalui industri pelancungan. Banyak pekerjaan dapat kita wujudkan. 

8. Satu pembangunan berpekej boleh dimaju atau diusahakan dengan menggunakan beruk dan kelapa ini. Dapatkan satu kawasan seluas misalnya 5 ekar atau lebih dengan ditanam pokok kelapa tinggi.  Dapatkan juga beruk-beruk terutamanya anak-anak beruk yang mudah diajar untuk memetik buah kelapa. Dapatkan tenaga pengajar yang ada di kampong.


9. Maka pakej pembangunan yang boleh diusahakan anataranya ialah rumah rehat atau chalet untuk mereka yang mahu bermalam; jualan makanan yang mempunyai kaitan dengan kelapa iaitu  bahan utama atau bahan yang digunakan dalam makanan itu terdiri dari hasil kelapa seperti nasi lemak, satay, lemang dan sebagainya; jualan cenderamata dan hadiah hasil seni tangan; pertunjukan (show) kemahiran beruk memanjat kelapa dan memetik buahnya, hubungan antara beruk dan tuannya; dan pertunjukan kemahiran mengupas kelapa, memarut dan sebagainya.  

10. Saya percaya jika ada usaha yang bersungguh-sungguh dan dengan sokongan pihak kerajaan industri pelancongan berasakan beruk dan kelapa ini mempunyai potensi untuk maju dan dikembangkan. Perkembangan industri ini akan mewujudkan banyak peluang pekerjaan.  Mereka yang pandai mengajar beruk untuk memetik buah kelapa yang kedudukan mereka sekarang ini hampir pupus akan berpeluang dipulihkan semula dan berkembang. Ada kemungkinan sebuah akedemi mengajar beruk memanjat pokok kelapa dan kemahiran-kemahiran yang lain boleh di tubuhkan


11. Yang paling penting ialah menfaat kepada si beruk itu tadi. Beruk itu tidak lagi berkeliaran kerana kita sudah menyediakan satu penempatan baru untuk mereka yang dahulunya kita biarkan saja walaupun kita telah merampas tanah air mereka.

13. Berjaya atau gagal projek seperti ini adalah bergantung kepada kesungguhan dan iltizam kita untuk memajukan lagi satu produk pelancungan. Sebenarnya projek seperti ini telah pun diusahakan di Australia dimana aset yang digunakan ialah kambing biri-biri dan kangaroo. Maka mengapa pula Malaysia tidak menfaatkan beruk dan kelapa sebagai produk pelancungan. Kita namakan pelancungan MOpaT: Monyet Kelapa Tourism (Monkey Kelapa Tourism).

Wang Rakyat Amanah Kita

1. Saya terbaca kata-kata yang terpapar dalam sebuah logo sebuah jabatan kerajaan yang berbunyi "Wang Rakyat Amanah Kita". Saya tidak pasti apakah nama jabatan itu tapi saya berkeyakinan jabatan itu menguruskan hal berkaitan dengan kewangan.

2. Saya cuba memahami maksud atau mesej yang hendak disampaikan oleh kata-kata itu kepada warga kerja jabatan itu khususnya dan kepada orang ramai amnya.Lama juga saya memikirkan kata-kata itu. 

3. Akhirnya saya membuat kesimpulan bahawa kata-kata itu terbahagi kepada dua bahagian yang saling berkaitan. Bahagian pertama menonjolkan tentang 'Wang Rakyat'. Bahagian kedua pula tentang 'Amanah Kita'.

4. Jabatan itu adalah jabatan yang menguruskan kewangan. Wang itu bukan jabatan itu yang punya tetapi kepunyaan rakyat sebab itu dipanggil 'Wang Rakyat'. Maknanya kita termasuk saya ada hak untuk mengetahui bagaimana cara wang itu diuruskan dan untuk apa digunakan.

5. Jabatan itu pula hendaklah menguruskan wang itu secara yang beramanah sebab ianya 'Amanah Kita'. Maknanya setiap warga kerja jabatan itu dari peringkat atas hingga kebawah hendaklah tidak menyalahgunakan wang yang telah diamanah untuk diuruskan.

6. Kalau betullah tafsiran saya itu maka nampaknya ianya sesuatu yang amat baik sekali kerana jabatan itu mempunyai matlamat yang baik dalam menguruskan wang rakyat. Saya percaya setiap warga kerja jabatan itu akan melaksanakan tanggongjawab dengan penuh amanah selaras dengan kata-kata di logo jabatan itu.


7. Tapi mengapa kita selalu kedengaran tentang salah guna wang dalam jabatan-jabatan kerajaan? Saya tidak pula mengatakan jabatan yang ada logo itu kerana saya tidak ada maklumat tentang pengurusan kewangannya. Cuma dalam laporan Ketua Audit Negara perkara tentang pengurusan kewangan ini mendapat teguran yang utama. Banyak kelemahannya. Maknanya tidak amanahlah.

8.Kata-kata seperti itu yang terpapar dilogo sesuatu jabatan  baik juga sebagai mengingatkan kepada setiap warga kerja akan  tanggongjawab yang telah diamanahkan supaya tidak berlaku penyelewengan. Tapi kata-kata itu bukanlah sebagai hiasan untuk sedap di dengar saja sedangkan sikap, perbuatan dan perangai pekerja tidak ada ciri-ciri pekerja yang beramanah. 


10. Apa pun tahniah kepada jabatan itu yang telah sedia ada satu kesedaran kearah pengurusan wang rakyat secara beramanah. Harapan kita supaya salah guna wang misalnya rasuah akan dapat dielakkan.

 

Ahad, 13 November 2011

Didikan Cara Manja

Semua orang mahu memberikan yang terbaik kepada anak-anak. Sudah tentu yang terbaik itu bermula dari anak itu dilahirkan. 

Saat ketika terdengar tangisan atau teriakan pertama anak semasa  mula menjenguk dunia. Yang terbaik diberikan ialah rasa kasih sayang semula jadi yang tulus ikhlas yang tidak mampu dibeli walaupun telah menangong berbagai uijian dan cabaran semasa mengandung anak itu, ditambah rasa kesakitan waktu melahirkan anak itu. Tiada marah tiada benci hanya kasih sayang yang sejati.  Maka dia akan berbangga untuk dipanggil ibu/emak/mama/ummi/mammy dan...mengikut pilihan masing-masing menyimpulkan kasih sayang seerat-eratnya diantara mereka, ibu dan anak. 

Dan gembiralah hati seorang lelaki suami kepada isteri yang melahirkan anak itu yang telah bersedia untuk mula dipanggil ayah/abah/bapa/papa/daddy dan....mengikut pilihan masing-masing, tapi hasratnya tetap hanya satu iaitu ikatan kasih sayang yang sejati.

Maka bermulalah satu tanggongjawab sebagai penerima amanah Allah, kepada kedua ibubapa untuk memberikan yang terbaik kepada anak/anak-anaknya itu (jika kembar yang dihadiahkan). Dan yang terbaik itu pula berbeza cara dan bentuknya diantara ibubapa, yang dipengaruhi antara lain kedudukan ekonomi, latarbelakang didikan dan cara dibesarkan, dan persekitaran dalaman (mereka yang ada bersama ibu bapa misalnya datuk dan nenek) dan persekitaran luaran iaitu masyarakat.

Dengan demikian berbagai kaedah dan pendekatan digunakan dalam memberi yang terbaik itu kepada anak-anak. Satu daripada kaedah atau pendekatan itu dilihat oleh setengah pihak sebagai memanjakan anak. Biasanya perkataan 'memanjakan anak' ini membawa bersama maksud  yang negatif  yang kadang-kadang disamakan dengan 'memuakan' anak sehingga anak yang dibawah jagaan itu dikatakan akan menjadi 'rosak' masa depannya.

Saya tidak berpandangan sama bahawa memanjakan anak itu akan menghasilkan atau memberi kesan yang negatif kepada keperibadian anak itu sehingga boleh merosakkan masa depan anak itu. Memanjakan anak itu perlulah bertunjangkan kepada yang terbaik yang mampu diberikan oleh pasangan ibubapa kepada anak itu. Ertinya dalam memberikan kemanjaan itu unsur-unsur yang boleh menjejaskan hasrat untuk yang terbaik itu sudah tentu tidak akan menjadi pilihan oleh mana-mana ibubapa. Secara mudah saya katakan bahawa 'tiada ibubapa yang rela masa depan anaknya rosak berpunca dari jagaan secara manja'.
   
Kita mungkin telah biasa mendengar kata-kata anak manja yang setengah pihak secara amnya menyifatkan anak yang diberi segala kasih sayang dengan diberi layanan menurut apa yang di sukainya. Atau diberi kasih sayang seperti menatang minyak yang penuh, yang tumpuan tatangannya  tidak kurang dari 100% agar minyak yang penuh itu tidak tumpah dari bekasnya. Begitulah jika minyak yang penuh itu dapat disamakan dengan seorang anak. Dijaga dan dibelai dengan sepenuh perhatian.

Sekali lagi saya tidak bersetuju bahawa anak manja itu bermaksud anak yang diberikan segala kasih sayang dengan diberikan layanan menurut apa yang disukainya. Cara itu bukan cara manja atau memanjakan anak. Cara itu ialah cara merosakkan anak. Kerana anak manja adalah anak yang diasuh untuk masa depan yang terbaik. Memanjakan anak adalah membina keperibadian anak yang terbaik secara penuh kasih sayang.

Begitulah sebahagian besar yang telah dilakukan oleh ibubapa keatas anaknya atau oleh nenek dan datuk terhadap cucu mereka. Diantara ibubapa dan datuk nenek pula , banyak yang berpandangan bahawa datuk nenek lah yang paling memanjakan cucunya sehingga ada yang menyatakan cara itu boleh memberi kesan yang tidak elok kepada anak-anak itu. Anak manja itu akan 'rosak' dibawah jagaan datuk nenek itu.

Maka tidak hairanlah akan kata-kata ingatan yang selalu di keluarkan iaitu 'jangan manjakan sangat budak itu, susah/rosak nanti'.

Atas hujahan yang sama saya tidak sepandangan dengan kenyataan diatas.

Antara bentuk perbuatan dan jagaan yang dikatakan memanjakan anak yang didakwa boleh merosakkan anak itu ialah kerap mendukung anak terutama yang bayi. 

Perbuatan kerap mengkelek atau mendukung anak itu, hujah setengah pihak, boleh membuatkan anak itu tidak mahu diletakkan diatas katil atau tilam. Ini boleh menyusahkan ibubapa untuk melakukan kerja-kerja yang lain. Perbuatan seperti ini iaitu suka mendukung ,dakwa mereka lagi, adalah menjadi kegemaran datuk nenek yang suka sangat memanjakan cucunya.

Pertama saya tidak menafikan ada kebenaran akan hujahan itu. Tetapi mungkin ada yang terlupa bahawa tiada siapa yang suka penat terutama datuk nenek yang telah lanjut usia. Mereka lebih seronok berehat sambil melihat keletah cucunya berbaring diatas katil atau tidur didalam buaian. Tetapi ibubapa atau nenek dan datuk tidak akan sanggup membiarkan anak/cucunya menangis mengeluarkan juraian air mata. Jadi apa yang perlu dibuat? Sudah tentu anak itu perlukan dakapan dari ibu/bapanya atau nenek/datuknya. Maka dengan penuh kasih sayang walaupun tenaga tidak sekuat mana datuk/nenek akan mendakap/mendukung cucunya. Itulah didikan cara manja. Tak salahkan?

Anak-anak adalah amanah Allah yang sifat, kelakuan, pembawaan  dan rupa paras yang berbeza diantara satu dengan yang lain. Ada setengahnya mudah menangis apabila dia melihat seseorang yang tidak biasa pada penglihatan matanya. Ada anak-anak yang boleh terima siapa saja yang mengambilnya. Begitu juga tentang reaksi anak terhadap suara atau bunyi. Ada yang tidak suka suara bising atau kuat. Maka jika terdengar suara seseorang itu yang kuat, bukan suara marah, anak itu akan merasa takut dan menangis. Dan adakah ini berpunca dari jagaan manja ibubapa/datuk nenek budak itu?  Dan adakah mahu dibiarkan saja anak itu menangis. Sudah tentu jawapannya 'tidak'.


Didikan secara manja atau memanjakan anak adalah satu bentuk asuhan/jagaan pilihan saya kerana saya percaya hanya dengan kasih sayang kita mampu menyediakan anak-anak itu dengan asas yang baik dan kuat untuk menghadapi kehidupan seterusnya dengan penuh yakin dan bersifat kasih sayang. Dalam kemanjaan kita tanamkan harapan dan kasih sayang.
 

Mission Accomplished

Dalam kesepian malam aku berjalan terhendap-hendap melepasi barisan beberapa rumah teres satu tingkat di sebuah taman perumahan kos rendah. Waktu itu semua rumah telah dipadamkan lampu melainkan dibahagian hadapan ditempat letak kereta. Sudah masuk pukul 1.30 pagi.

Aku akhirnya sampai di rumah paling hujung yang selalunya di kenal sebagai 'corner house'. Aku memberhentikan langkah. Ada sesuatu yang menarik  yang mematikan langkah ku itu. Aku menghampiri pintu pagar rumah itu dan memegang daun pintu disebelah kiri. Rumah ini telah dibuat ubahsuaian dan tambahan sehingga seluruh kawasan tanah telah digunakan. Garaj kereta boleh memuatkan lebih dari tiga buah kereta. 

Mata ku merenung ke satu objek berwarna putih sebuah kereta mewah. Dikiri kanannya diapit oleh sebuah kereta kecil buatan Malaysia.

Tangan kiriku mengeluarkan buku catatan kecil dari poket baju di sebelah kiri dan sebuah pen mata bola telah tersedia ada ditangan kanan. Dibawah sinaran lampu garaj mata ku dapat membaca dengan jelas plet pendaftaran kereta itu  WK1318 . Plet pendaftaran tahun-tahun 1980an. Tetapi kereta itu sebuah kereta baru BMW 5 siri. Mungkin plet itu adalah dari kereta lama. Angka 1318 mungkin angka yang bermakna bagi tuan punya kereta.

Aku juga mencatatkan plet pendaftaran dua buah kereta lagi yang mengapit dikiri dan kanan BMW itu.

Aku tersenyum sendirian sambil berjalan perlahan meninggalkan rumah itu menuju ke kereta yang di letakkan 100 meter dari barisan rumah teres itu. 'Mission accomplished', aku berbisik seorang diri sambil menghidupkan enjin kereta menuju ke rumah.

Siang tadi aku telah dipanggil oleh bos besar masuk ke dalam biliknya. "You baca surat ini", bos menghulurkan dua helai kertas sebelum aku sempat duduk diatas kerusi di hadapannya. Aku tidak jadi duduk tapi terus mengambil surat itu dari huluran tangan bos. Sambil berdiri aku membaca surat bertulisan tangan itu.

Belum pun aku habis membaca surat itu bos telah mengeluarkan arahan. " Malam nanti saya hendak awak pergi buat tinjauan. Betul ke apa yang ada dalam surat itu. Saya hendak awak pergi pada larut malam. Orang semua sudah tidur. Esok saya hendak pengesahan". Aku mengangguk tanda akur akan perintah bos itu. Dan aku tidak meneruskan bacaan kerana setakat yang telah dibaca aku faham apa yang perlu aku buat. Aku mohon diri untuk keluar dari bilik bos.

Bos mempunyai seorang anak lelaki yang telah berumur menghampiri 35 tahun tetapi masih lagi bersendirian walaupun telah berbuih isteri bos mencadangkan anaknya itu mencari jodoh. Malah dia sendiri boleh mencarikan jodoh anaknya itu jika itu yang anaknya mahu. Bukannya anaknya itu tidak mampu dari segi kewangan kerana semuanya akan ditanggong oleh keluarga. Lagi pun anak bos itu seorang jurutera professional yang mempunyai pendapatan lima angka. 

"Mengapa liat sangat nak kahwin?", Aku menyibuk buat pertanyaan yang tidak dapat didengar oleh anak bos itu. Kalau aku anak bos semuanya beres tidak perlu diacah-acah oleh sesiapa. Aku sendiri akan membawa calun isteri untuk mendapat persetujuan. "Bodoh". 

'Kreeeeeeet...'. Bunyi tayar kereta bergeser dengan jalan akibat dari tekanan dari kaki aku keatas pedal brek. Mujur tiada kereta di hadapan mahu pun dari belakang. Aku dapat mengawal kereta itu sambil mengurut dada beristighfar.

Aku meneruskan perjalanan ke rumah. 

Pagi-pagi lagi jam 8.30 aku mengadap bos menyampaikan laporan. Bos nampaknya gelisah. "Kenapa ke situ kau pergi. Perempuan tak guna. Anak dan bapak sapu", terdengar keluhan marah bos sebelum aku sempat menutup pintu biliknya. Langkah aku tersekat dipintu, mulut ternganga, mata terbeliak besar dan lidah menjadi kelu. Tapi hati sempat berbisik , "Oh macam tu, patutlah".
 

Jumaat, 11 November 2011

Salam Jumaat 34:11dot 11dot11 dot. Myday

Assalmualaikum  wbth dan Salam Jumaat kepada anda budiman semoga sihat walafiat.

Bagaimana dengan anda hari ini? Ada kah anda juga bersama-sama meraikan hari ini Jumaat 11.11.11?  Dan bagaimana caranya anda meraikan  hari ini ?

Saya bagaimana? 

Hari ini saya anggap sama seperti hari-hari yang lain . Ertinya saya akan menjalani kehidupan mengikut keperluan pada sesuatu hari itu. Angka 111111 itu tidak pula mempengaruhi saya untuk menjadikannya sebagai satu hari  yang amat penting dan istimewa dalam menentukan apakah yang perlu saya lakukan. 

Kalau ada pun perbezaan cara saya meraikan hari ini dengan hari-hari yang lain hanyalah dalam bentuk  cara menulis tarikh itu. Saya menulis tarikh hari ini seperti tajuk paparan sebagai 11dot11dot11dotMyday menurut gaya dan kecenderungan pada masa kini. 


Lagipun tarikh hari tidak semestinya menggunakan angka 1 saja. Cuba rujuk kalender Islam atau kalender selain Masihi, kita akan dapat angka yang berbeza bagi menyatakan tarikh hari ini. Maknanya angka tarikh hari ini bergantung kepada kalender mana yang kita rujuk walaupun saya maklum bahawa kebanyakan kita yang Islam tidak banyak menjadikan tarikh dalam bulan Islam sebagai panduan dan rujukan harian. 


Banyak pihak nampaknya menjadikan tarikh yang menggunakan angka 1 itu sebagai tarikh yang amat istimewa yang tidak wajar berlalu begitu saja tanpa diraikan dengan peristiwa/acara yang istimewa dan penting untuk dirakamkan dalam sejarah kehidupannya. 

Hari yang dicatat sebagai 11.11.11 adalah terlalu cantik bagi mereka dan perlu dikenang dengan satu peristiwa yang istimewa. Mungkin ada yang percaya bahawa tarikh ini akan memberi sesuatu keuntungan  atau masa depan yang lebih baik. Jadi mengapa tidak mereka mengambil peluang keemasan ini. 

Lagipun tarikh itu tidak menjadi hak eksklusif atau monopoli mana-mana pihak, tidak perlu didapatkan secara tender dalam apa bentukpun, dan semua orang boleh meraikannya dengan peristiwa/acara masing-masing tanpa sebarang halangan/sekatan. 

Tidak seperti untuk mendapatkan angka pendaftaran kereta yang perlu ditender yang terpaksa bersaing harga. Itupun tidak semua angka boleh ditender kerana ada angka-angka telah sedia ada tuan yang punya.


Maka pada hari ini antara peristiwa/acara yang dilangsungkan adalah majlis pertunangan dan perkahwinan. 

Adalah diharapkan mereka yang bernikah dan mendaftarkan perkahwinan pada hari ini bukan saja dapat merakamkan peristiwa yang penting itu pada tarikh pilihan yang mereka idamkan itu bahkan akan menikmati kehidupan seterusnya yang lebih baik. Harapan atau doa itu bukanlah disebabkan angka 111111 itu tetapi adalah semata-mata kerana kesediaan mereka mendirikan sebuah rumah tangga. 

Jumpa lagi.