Theflowersellingboy

Isnin, 27 Januari 2014

ANGKARA SIAPAKAH INI?




Angkara siapakah ini? Siapakah yang menyebabkan:
 
i) Hutang negara meningkat pada tahap yang amat kritikal, lebih 500 juta billion.
ii) Bajet tahunan negara berterusan defisit mencampai angka 16 tahun.
iii) Kos sara hidup yang meningkat dan kekerapan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan.
iv) Pendapatan tidak meningkat seiring dengan peningkatan kos sara hidup.
v) Kemerosotan dalam kualiti pendidikan.
vi) Jurang antara miskin dan kaya semakin melebar.
vii) Kadar jenayah yang meningkat
viii) Keruntuhan nilai dan moral hidup yang beradab dan bertemaddun.
ix) Bersangka buruk berasaskan kaum dan agama sehingga menimbulkan berbagai rasa kekhuatiran dan kegelisahan yang tidak baik bagi pembinaan sebuah negara bangsa. .
x)  Ketandusan kepimpinan dalam menerajui Malaysia yang maju, makmur, selamat dan sejahtera.
xi) Ketandusan rakyat yang berkualiti bagi membantu dan menyokong kepimpinan kearah Malaysia yang maju, makmur, selamat dan sejahtera.

Banyak lagi soalan yang boleh ditanya bagi mendapat jawapan siapakah yang menyebabkan Malaysia berada dalam keadaan sekarang ini, yang sepatutnya kita berada lebih baik dari jiran kita di Singapura. Kita mempunyai sumber kekayaan. Tapi malang sekali kehidupan kita , maksud saya, kehidupan sebahagian besar dari kita tidak seberuntung kehidupan rakyat dinegara jiran.
 
Sebenarnya saya merasa malu untuk membandingkan dengan Singapura, sebuah negara pulau yang terlalu kecil. Bagi saya Singapura itu 'tidak ada benda' (nothing) berbanding dengan Malaysia. Kita dianugerahkan dengan sumber kekayaan. Hasil bumi yang melempah dan rakyat yang pelbagai kaum dan latarbelakang telah tidak dimenfaatkan kearah membangun dan mensejahterakan negara demi kepentingan rakyat.
 
Jangan pula ada yang menyuruh saya untuk berhijrah ke Singapura kerana memuji negara itu. Tidak, saya tidak pernah dan tidak juga berhajat untuk memuji negara pulau kecil itu. Malaysia adalah negara yang terbaik untuk saya dari semua segi melainkan mereka yang menguruskan negara ini saja. Maknanya,  terlalu berlaku salah urus sepanjang kita mencapai kemerdekaan. Jika tidak, kedudukan kita adalah jauhn lebih baik dari Singapura, dan tidak kurang pada tahap kemajuan negara Korea. 
 
Saya teringat satu masa dulu, negara Korea belajar dari kita dalam konsep gotong royong yang di panggil dalam bahasa Korea sebagai 'samil undung; ( mungkin sebutan dan ejaannya tidak sempurna). Lihat , Korea belajar dari kita. Lihat sekarang siapa yang tertinggal ke belakang. Ambil contoh permainan bole sepak. Dimana kita sekarang? Dimana Korea sekarang.
 
Dan saya percaya, jika kita berterusan seperti tahap dan kemampuan pengurusan pada ketika ini termasuk soal integriti dan kredibiliti kepimpinan, Vietnam yang dulunya terjebak dalam perang dengan Amerika, akan meninggalkan kita. Indonesia juga akan lebih maju dari kita.
 
Sebab itulah  soalan-soalan diatas perlu kita jawab dengan mencari siapakah angkara yang menyebabkan kita berada dalam keadaan seperti yang ada ketika ini.
 
Bagi saya, saya juga tidak boleh melepaskan diri dari mengambil tanggungjawab yang menyebabkan Malaysia berada dalam keadaan seperti ini seperti yang ditanyakan diatas. Sebenarnya kita semua adalah juga penyebabnya.
 
Ambil saja satu contoh tentang tanggungjawab ini. Berbelanja boros dan kurang mengambil berat keatas kedudukan jiran. Sudah tentu saya tidak dapat menafikan bahawa ada berlaku perlakuan berbelanja boros. Belanja bagi yang tidak perlu. Saya berbelanja boros sedangkan jiran sebelah yang tidak kecukupan wang amat memerlukan wang untuk membeli kelengkapan sekolah anak-anaknya. Mengapa saya tidak gunakan wang itu bagi membantu jiran itu?
 
Itu hanya satu contuh kecil diperingkat hubungan peribadi.
 
Jika saya pula diberi tanggungjawab menguruskan wang awam, misalnya menjadi pegawai kewangan bagi sesuatu negeri, maka jika tabiat boros ini saya teruskan, akibatnya buruk sekali. Pertama wang itu bukan wang saya. Saya hanya diberi amanah bagi menguruskan wang itu saja bagi kepentingan negeri dan rakyat negeri tempat saya berkhidmat. Kedua, orang bawahan saya, akan menjadikan alasan yang terbaik untuk boros berbelanja atau salah belanja.
 
Itu hanya saya sebagai penjawat awam. Jika saya sebagai Ketua Menteri/Menteri Besar bagi sesuatu negeri yang mempunyai kuasa dalam cara mana menggunakan hasil negeri, dan jika saya juga melakukan pemborosan maka kesannya lebih dahsyat berbanding saya sebagai penjawat awam. Begitulah jika saya sebagai Perdana Menteri.
 
Jadi untuk mengetahui jawapan angkara siapakah yang menyebabkan 11 keadaan diatas berlaku, kita mesti lihat pada diri kita terlebih dahulu. Kita melihat sebagai seorang peribadi dalam hubungkait kita dengan peribadi yang lain; dan kita sebagai pemegang amanah dalam menjalankan amanah yang diberikan. Lebih tinggi kedudukan kita sebagai pemegang amanah, maka lebih besarlah tanggungjawab dalam melaksanakan amanah itu. 
 
Lupakan niat untuk menjadi pemegang amanah jika kita tidak ada kekuatan dan kemampuan untuk melakukannya. Kita akan kecewa dan orang lain juga akan lebih kecewa. Disamping sumpah seranah dan kemarahan yang dihamburkan oleh yang mengharapkan keikhlasan kita dalam mengambil amanah itu, kita tidak akan terlepas dari diadili oleh yang maha berkuasa, diakhirat nanti.
 
    


Ahad, 26 Januari 2014

Kecewanya Seorang Peminat Kepada Pemain Tenis No1.Dunia:Rafael Nadal.



Lebih seminggu blog ini tidak dikemaskini. Ini adalah gara-gara menonton Tenis Australian Open. Hari ini sudah tahu siapa jadi juara. Tapi amat mengecewakan kerana yang diharap menjadi juara kecundang. 

Nadal kecundang dalam empat set dengan wawrinka, pemain Swirzerland. Yang menyedihkan ialah apabila Nadal kalah dalam keadaan tidak bermaya, tidak bergerak selincah permainan-permainan sebelumnya khususnya di peringkat separuh akhir mengalahkan Federer.. Kelihatan beliau cedera, tapi rasanya tapak tangannya yang berdarah (blisters) bukan penyebab beliau tidak secergas sebegitu rupa. Mungkin ada kecederaan yang lain, yang lebih serious yang menyebabkan beliau tidak boleh bergerak begitu pantas.

Saya sudah yakin Nadal akan kalah. Lalu sebelum mata terakhir, saya matikan tv. Saya berdukacita. Nadal lebih dari itu. Tapi dia dapat wang. Saya hanya peminat yang mahu beliau saja yang menang. Kalau kalah saya yang kecewa. Makan pun kurang selera.

Nampaknya permulaan 2014 ini dari segi sukan tenis, ianya tidak membawa berita yang gembira bagi saya.

Come on, lupakan saja. Ya , lupakan saja. Esok, saya akan terus berbicara dalam blog ini.


Khamis, 16 Januari 2014

Jangan Mengejek PM dan Jangan Juga Menyakitkan Hati Rakyat Marhaen




Lagi isu harga kangkung turun: Jangan mengejek PM.

Saya setuju dengan pandangan seorang ahli parlimen bahawa mengejek-ejek PM bermakna kita mengejek diri kita sendiri. PM adalah ketua kita, ketua no satu seumpama bapa kita. Jika bapa kita melakukan sedikit kesilapan, kesilapan yang tidak sengaja, saya percaya tidak wajar kita sama tumpang mentertawakannya atau membuat berbagai cerita dalam berbagai bentuk untuk memperlekehkan bapa kita.

Cuma saya tidak pasti sama ada kritikan atau berbagai bentuk respons dari rakyat terhadap kenyataan PM tentang harga kangkung yang turun itu sebagai satu ejekan atau merupakan lontaran perasaan rakyat yang marah yang merasakan tidak sesuai bagi PM mengambil contoh harga kangkung dalam mempertahankan kenaikan harga barang.

Namun setelah melihat beberapa  video, saya dapati ada kebenaran juga unsur-unsur ejekan itu dilakukan oleh pihak-pihak tertentu. Saya tidak pula mahu menyalahkan pihak-pihak yang melakukannya itu kerana sebagai 'public figure', apatah lagi orang no1, sebagai PM yang jawatannya ramai yang merinduinya, perkara meremehtemeh atau memperlekeh termasuklah dalam ejek-mengejek ini adalah seseuatu yang menjadi basahan hidup.

Maknanya, usahlah ahli parlimen itu merasa sedih sangat apa yang telah dilakukan oleh setengah pihak dalam respons mereka terhadap kenyataan PM tentang 'kangkung turun harga itu'. Jangan juga dibawa bersama perasaan gundah gulana dan dan marah itu (jika marah) untuk dihidangkan kepada PM sebagai menyatakan sokongan dan simpati kepadanya.

Apa yang penting ialah tidak mengulangi kata-kata seperti itu.

Maksudnya kepimpinan mestilah memahami dan tahu bahawa ada perkara-perkara yang jika disentuh walaupun ianya perkara yang benar, boleh menimbulkan rasa kecil hati dan marah rakyat.

Lebih jelas lagi ialah tentang sayur kangkung itu. Bagi orang biasa, khususnya orang kampong, sayur kangkung mudah saja didapati. Mudah saja ditanam. Tanpa niat untuk menanam kangkung itu, kadang-kadang mereka campakkan saja lebihan batang kangkung ke dalam longkang di rumah. Dijamin tumbuh dan membiak. Ianya menjadi sayur percuma, tidak perlu dibeli.

Maknanya, rakyat tidak langsung risau dengan harga kangkung sama ada naik atau turun. Kalau PM kata hendak naikkan harga kangkung pun, ianya bukan satu masalah yang besar berbanding dengan harga gula dan minyak. Sebab itulah ramai rakyat yang memberi respons yang negatif seolah-olah mahu mengejek-ejek PM.

Malahan meminta rakyat berterima kasih kerana harga kangkung turun menambahkan lagi sakit hati rakyat yang telah tersedia tertekan dengan kenaikan harga barang. Rakyat berpendapat PM tidak langsung ada perasaan belas kesian terhadap kesusahan mereka yang merayu supaya harga minyak, gula dan tarif letrik diturunkan.

Saya fikir suara hati rakyat sebagai respons kepada kenyataan PM, kurang lebih begini:

"Kangkung boleh dapat tepi longkang. Harga tak turun pun tak apa. Kami nak gula , minyak , letrik dan makanan lain turun harga".

Dengan demikian respons rakyat yang berbagai-bagai bentuk itu, sama ada mengejek PM dan sebagainya, tidak perlu diberi perhatian. Yang perlu diberi perhatian ialah bagaimana untuk meringankan kos sara hidup yang meningkat. Kesianlah kehidupan orang yang berpendapatan rendah dan orang susah. Mereka tiada sumber pendapatan tambahan tidak seperti ahli parlimen , timbalan menteri, menteri dan PM. 

Bergerak saja tuan-tuan semua, ada wang yang sedia menunggu, ada makanan yang dihidangkan (tuan hanya makan tapi tidak bayar), sekatan tol lebuhraya, ada pihak yang membayar,  minyak dan membaikki kereta ada yang tukang bayar; tuan ada berbagai ealun -elaun pengerusi dan pengarah syarikat dan elaun itu dan ini; ada elaun pakaian, tidak termasuk pakaian yang diberi percuma (dibayar oleh wang rakyat) bagi sesuatu majlis rasmi. Pendek kata tuan-tuan tiada batasan untuk mendapat pendapatan tambahan. Tidak termasuk kemampuan tuan bermain saham, biasanya selalu 'strike', kerana tuan-tuan terlalu tahu banyak maklumat; diskaun harga juga selalu menyebelahi tuan-tuan, tidak termasuk hantaran hampers dan hadiah.

Jadi mana mungkin mahu dibandingkan dengan orang kampong dan orang berpendapatan rendah. Sebab itu PM tidak terbayang akan rasa susah orang berpendapatan rendah sehingga yang beliau boleh nampak dan mahu sebut ialah harga kangkung yang turun.

Kalau ahli parlimen itu merasakan respons orang terhadap kenyataan PM tentang harga kangkung turun itu sebagai mengejek PM, apakah kenyataan PM itu tidak menyakitakan hati rakyat marhaen.

Rabu, 15 Januari 2014

KANGKUNG dan KEHEBATAN PM



Kangkung sudah menjadi popular. Semua ini adalah gara-gara sebutan yang keluar dari mulut PM, orang no satu berkuasa di Malaysia. Kalau saya yang menyebutnya atau selain dari PM yang menyebutnya, ianya tidak akan jadi popular. Ianya tidak akan mendapat berbagai perspektif dari pelbagai pihak. Itulah hebatnya PM. 

Betulkah begitu? Maksudnya betulkah sebab PM yang menyebutnya maka kangkung jadi popular. 

PM sebut juga perkataan lain atau sayur lain seperti sawi. Kenapa perkataan lain atau sayur sawi yang juga disebut oleh PM tidak menjadi popular.  

Ertinya bukan disebabkan oleh sentuhan PM.

Betulkah PM itu hebat?

Benar, tidak boleh dinafikan bahawa PM itu memang hebat.

Tapi mengapa kangkung saja yang diperbesar dan menjadi sentuhan oleh berbagai pihak semenjak sayur itu disebut oleh PM. Anak muda sebut kangkung, yang dewasa. yang tua, orang politik bahkan yang bergelar professor pun tidak mahu ketinggalan menyatakan sesuatu tentang kangkung.

Ada yang mengingatkan kita tentang lagu lenggang kangkung. Ada yang memberitahu kangkung itu sejenis sayur yang mudah ditanam. Campak saja batang kangkung itu di longkang atau tepi longkang atau di parit, dijamin kangkung itu akan tumbuh dan membiak. Tak perlu disiram dan dibajai, ianya tumbuh menjalar.

Ada juga yang mencipta pantun dengan penuh kias ibarat.

Saya cuba mencari apakah sebabnya perkataan kangkung yang disebutkan oleh PM itu sudah menjadi kegilaan ramai orang ketika ini, termasuk saya. Kata orang, waktu berihat, ingatkan kangkung, waktu kerja , kangkung juga yang disebut. Waktu jaga, kangkung juga yang kelihatan. Waktu tidur kangkung menjadi impian. Setiap ruang dan waktu, kangkung saja yang jadi monopoli. Sambil kangkung yang bermain dalam fikiran dan perasaan, wajah PM sentiasa terbayang sama, seolah-olah tidak akan terbayangnya kangkung tanpa diiringi wajah PM.

Apalah ada pada kangkung, sejenis sayur yang hidup ditepi longkang., longkang yang bau busuk. 

Di kampong-kampong ianya bersepah tumbuh dalam longkang atau parit yang dalam banyak keadaan bukan sengaja ditanam tapi tumbuh hasil batangnya dibuang atau dicampak ke dalam longkang. Mudah saja membiak. Tidak ada modal yang perlu dikeluarkan. Sebab itu jika ada pihak yang menjual kangkung, terutama di kampong, penjual itu amat berpuas hati jika sayur itu laku dijual.

Maknanya kangkung ini tidak layak untuk diletakkan tanda harga, apatah lagi tanda harga yang tinggi. 

Dalam hubungan kejiranan di kampong, jiran sebelah akan secara selamba  memohon untuk mengambil kangkung yang tumbuh di dalam atau di tepi longkang jiran. Dan jirannya sentiasa mengukir senyum, membenarkan kangkungnya itu diambil, percuma.

Ertinya apa?

Kangkung ini mudah didapati, senang tumbuh tanpa perlu ditanam. Diparit di longkang rumah boleh saja kangkung tumbuh menjalar. Kalau ada jiran yang mahu mengambilnya, dipersilakan, percuma. Di kampong kalau laku dijual, ianya satu kejayaan kepada sipenjual, tersangat suka hati dan gembira kerana kangkung yang dijualnya sudi dibeli orang.

Jadi apabila PM cakap harga kangkung sudah turun dan meminta rakyat berterima kasih maka ramai rakyat, terutama orang kampong dan yang berasal dari kampong merasa luar biasa. Luar biasa kerana inilah kali pertama kangkung mendapat tempat dihati, sudah mendapat kepedulian dari seorang PM.

Rakyat tidak menjangka seorang PM begitu memberikan tempat kepada sayur yang bernama kangkung, yang pada mata dan hati orang biasa, rakyat biasa, kangkung tidak mendapat kedudukan seperti yang diberikan oleh PM itu. Bagi rakyat biasa , orang kampong, kangkung hanya dikaitkan dengan sejenis sayur yang tumbuh dan mudah membiak ditepi longkang. Ianya boleh diperolehi secara percuma saja.

Apa yang ada dalam otak kepala serta menjadi kerinduan , yang menjadi harapan dan yang ditunggu-tunggu oleh orang  kampong untuk mendengar dari suara dan kata-kata PM ialah selain dari benda atau barang yang boleh diperolehi secara percuma seperti kangkung. 

Mereka nak buat kuih muih untuk dijual sebagai cara menambah pendapatan kerja harian mereka sebagai nelayan, penorih getah dan pnanam padi. Bukankah itu yang selalu dipesan dan dinasihatkan oleh PM dan orang kaya-kaya meminta orang kampong, orang susah untuk lebih bekerja kuat bagi menambah pendapatan dalam keadaan kos sara hidup yang naik melambung.

Oleh itu turunkanlah harga gula. Bahan penting kuih muih mereka seperti buah melaka, adalah gula. Kalau harga gula tinggi, macam mana mereka mampu membeli. Pendapatan mereka tidak pun cukup untuk memberi makan minum  isi keluarga (ingat keluarga mereka besar) walaupun mereka makan apa yang ada. Kadang-kadang berlaku rebutan makanan dikalangan anak-anak.

PM mungkin tidak percaya atau tidak dapat membayangkan keadaan seperti ini. Tapi kalau nak tahu, dipersilakan duduk sehari semalam dirumah orang susah di kampong. Sebab itu BR1M itu laku dan boleh menawan hati mereka. Tapi jangan menyiksa dan menyusahkan kehidupan mereka yang telah sedia susah itu.

Harga minyak juga perlu diturunkan. Harga minyak yang tinggi memberi kesan kepada harga barangan yang lain misalnya tepung. Tepung adalah satu dari bahan penting dalam membuat kuih muih. Jadi kalau harganya naik, manakan mampu tepung itu dibeli.

Turunkan juga tarif letrik, tambang bas dan macam-macam lagi. Harga kangkung mahal pun tidak mengapa, kerana ianya boleh didapatkan secara percuma.

Dengan demikian apabila PM yang berhadapan dengan orang kampong menyatakan harga kangkung turun, dan marah pula kerana rakyat tidak memuji kerajaan, maka hancur luluhlah hati rakyat kerana mereka tidak terfikir yang kangkung itu menjadi satu beban dalam kehidupan mereka. 

Dan sebagai mengingati sebutan kangkung yang sungguh pantas disebut oleh PM sebagai bukti harga barang turun maka kena pada tempat dan masanya kangkung itu menjadi sebutan dan sentuhan popular semua rakyat, sebagai melahirkan rasa tidak percaya rakyat kata-kata itu keluar dari PM yang sepatutnya hebat.

Tanpa rayuan rakyat, PM kata"Harga kangkung turun", Hebat tak PM kita ni?

Rakyat merayu, "Harga minyak , gula dan letrik turun".

PM jawab dalam hati atau bersuara, "Mana boleh. Negara perlukan wang untuk membangunkan negara. Negara membangun rakyat juga yang senang. Satu lagi, untuk bayar hutang negara'.

Hebat kah PM dengan jawapan itu?

Saya percaya jawapan itu tidak sesuai bagi seorang PM. Ianya boleh mencemarkan kehebatannya. Yang boleh mencemarkan kedudukan orang yang paling berkuasa di Malaysia kerana hanya mampu menurunkan harga kangkung yang boleh dengan mudah didapatkan secara percuma.



 

Selasa, 14 Januari 2014

LOGIK dan JAWAPAN PM = BN Tentang Harga Naik



Harga naik jangan salahkan kerajaan. Harga naik salahkan pasaran dunia. 
 
Harga petrol naik bukan kerana kerajaan kurangkan subsidi. Harga petrol naik kerana harga pasaran dunia juga..Mengapa mahu buat bising, sebab harga petrol di Singapura lebih mahal.

Harga gula naik bukan kerana kerajaan kurangkan subsidi. Harga gula naik demi kesihatan rakyat dan meningkatkan kedayaan upayaan sejati..

Harga tarif letrik naik bukan kehendak kerajaan. Harga tarif naik kerana TNB nak tingkatkan pelaburan.

Harga tol naik  tidak dapat dielakkan kerana itulah yang telah dimatri dalam perjanjian. Kalau tidak kerajaan kena bayar jutaan pampasan.

Tambang bas sekolah naik jangan salahkan kerajaan, sebab kerajaan tidak ada kawalan. Jangan pula nak tunjuk perasaan gulingkan kerajaan nanti hukumnya 'bughah' , darah jadi halal kata seorang mufti.

Cukai taksiran KL naik jangan salahkan bandaraya, salahkan pembangkang yang banyak buat cerita. Bukankah Datuk Bandar keluar belanja 15 juta ringgit pada malam menyambut tahun baru, terima kasih dan bersyukur sajalah.

Harga sayur dan makanan naik, jangan salahkan kerajaan sebab rakyat tidak pandai buat pilihan. Kalau harga ayam naik , makanlah daging atau ikan. Kalau harga sawi naik, makanlah kangkung. Bukankah harga kangkung sudah turun. Mengapa harga kangkung turun tidak mahu puji kerajaan?

Harga rumah naik belilah rumah PR1MA walaupun tidak cukup dan tidak juga murah.

Apa lagi nak komplen?

Hutang negara naik, macam mana PM?

Soalan itulah yang ditunggu-tunggu. Jangan terlalu taksub dengan harga naik. Ianya tidak membantu negara dan tidak menyelesaikan masalah saya. 

Jawapannya semua sudah diberitahu agar rakyat tidak keliru atau dikelirukan oleh pembangkang. Kita sudah iklankan, ditepi jalan dan lebuh raya. Terbentang besar agar semua dapat lihat dan meresap dalam hati nurani. Di skrin tv, kami ulang-ulangkan. 

Menjelangnya fajar April 2015, demi bersikap adil, kami hidangkan GST untuk semua rakyat tanpa kecuali.

"Jangan kamu tanya apa yang negara perlu berikan kepada kamu, tanyalah apa yang kamu boleh berikan kepada negara". 

Selesai masalah saya.
 




Isnin, 13 Januari 2014

KANGKUNG oooh KANGKUNG



   


KANGKUNG ohhhhh KANGKUNG
PASAL APA HARGA KAU TURUN
MACAM MANA AKU TAK TURUN
AKU DITEPI LONGKANG

LONGKANG ohhhhh LONGKANG
KANGKUNG ohhhhh KANGKUNG
NASIB KAMU LAH
LONGKANG BAU BUSUK
KANGKUNG HARGA MURAH

Oiiiii MARI RAMAI-RAMAI
KITA MAKAN KANGKUNG
HARGANYA MURAH
MAKAN SAMBIL MENYANGKUNG
DITEPI LONGKANG BUSUK MELANTUNG
ITULAH MAKANAN ORANG KAMPONG




Ahad, 12 Januari 2014

Menghadiri Majlis Kahwin di Singapura: Membuat Pilihan Memandu Sendiri atau Menaikki Bas Ekspress.



Ke Singapura? 
 
Ya, untuk menghadiri majlis perkahwinan anak lelaki sepupu di Jurung, Singapura pada 11.1.14 (Sabtu).
 
 Macam mana nak pergi? Pandu kereta  sendiri atau naik bas. 
 
Kami berbincang suami isteri, pilihan mana yang terbaik.
 
Paling mudah ialah dengan pandu sendiri. Boleh balik pada hari yang sama walaupun anggota badan terasa penat. 
 
Tapi ada perkara lain yang juga perlu dipertimbangkan.
 
Pertama tentang laluan/jalan yang perlu diikuti di pulau itu untuk menuju ke destinasai. Tiada pula GPS untuk memandu arah. 
 
Kedua, besar kemungkinan berlaku banyak perubahan dari segi jalan/laluan yang perlu diikuti berbanding sepuluh tahun  yang lepas. Kenderaan di jalan raya sudah tentu semakin bertambah. Undang-undang jalan raya semakin ketat. Jika salah pilih laluan, ianya mengambil masa yang lama untuk berpatah balik atau mungkin tidak terjumpa jalan keluar (exit) untuk berpatah balik.

Ketiga, dari segi kos perjalanan. Anggaran perbelanjaan melibatkan kos minyak tidak kurang RM300.00, pergi balik. Itupun jika perjalanan lancar, tidak berlaku kesesakan jalan raya. Tol pergi balik RM88.00 dan tol tetap Singapura SG10.00 (kadar lama) bersamaan RM26.00. Jumlah kos  perjalanan RM414.

Pilihan kedua ialah dengan menaikki bas. Ada remeh-temehnya yang perlu dipertimbangkan.

Pertama, kena pergi sehari lebih awal dan bermalam di hotel Johor Baru. 

Kedua, menempah tiket bas dan menempah teksi untuk perjalanan dari rumah ke styesen bas.

Ketiga, dari segi kos, melibatkan tambang teksi, dua tiket bas ekspress ke Johor Baru, tambang teksi ke hotel dan stesyen bas, tambang bas ke Singapura dan tambang teksi di Singapura ke destinasi majlis.

Jadi cara perjalanan yang mana satu perlu dibuat pilihan?

Setelah berfikir panjang maka kami (saya dan isteri) buat keputusan untuk menaikki bas ekpress. Sebab, badan tidak keletihan, kos mungkin lebih kurang berbanding menggunakan kenderaan dan yang paling penting tidak berlaku kesilapan mencari laluan untuk ke destinasi.

Jadi apa yang sebenarnya berlaku?

Perjalanan dengan bas tidak lancar. Bas yang sepatutnya bertolak pada pukul 12 tengah hari tidak muncul pada waktunya.. Pekerja kaunter bas berkenaan tidak pula memberitahu sebab terjadinya sedemikan. Kami menunggu sehingga jam 12.10 minit. Bas tidak juga muncul dan tiada mana-mana pihak dari syarikat bas ekspress (Syarikat Maju Bhd) memberitahu apa-apa permakluman seoalah-olah tiada apa-apa masalah. 

Saya lantas ke kaunter syarikat berkenaan bertanya tentang bas yang masih belum sampai. Pekerja kaunter menunjukkan muka yang semacam rasa hairan mengapa bas tidak muncul. Beliau menekan butang talipon tangannya untuk bercakap dengan seseorang. Sambil menunggu respon dari pihak yang dipanggil, pekerja itu sempat mengeluarkan kata-kata seperti orang marah mempersoalkan kenapa pemandu tidak memaklumkan apa yang terjadi.

Namun beliau mencadangkan supaya saya menaikki bas perjalanan pukul dua petang. Saya tidak bersetuju. 

Walaupun tiada sesiapa yang memberi respon terhadap panggilannya, pekerja itu memberitahu bas bagi perjalanan pukul 12 tengah hari itu rosak. Sekali lagi meminta saya melakukan perjalanan pukul dua petang. Kali ini pun saya kata tidak setuju.

Akhirnya beliau bersetuju membeli tiket bas dari syarikat lain bagi perjalanan pukul 12.30 tengah hari sebagai menggantikan bayaran bagi tiket 12 tengah hari itu. Saya terpaksa bersetuju kerana itulah perjalanan terawal selepas jadual perjalanan 12 tengah hari.  

Semasa menunggu perjalanan 12.30 tengah hari, beberapa soalan menyelinap dalam kepal saya: i) mengapa saya saja yang bertanya tentang tidak munculnya bas itu? ii) Mengapa petugas kaunter itu beritahu bas rosak sedangkan panggilan yang dibuat tiada respon dan beliau juga marah kepada pemandu kerana tidak beritahu apa yang terjadi?

Saya cuba meneka jawapan kepada persoalan saya itu. 

i) Hanya saya dan isteri saja penumpang bas itu untuk ke Johor Baru. Ertinya ianya akan merugikan syarikat itu jika perjalanan pada waktu yang dijadualkan itu diteruskan.

ii) Bas itu tidak rosak. Petugas kaunter itu masih menunggu dengan harapan ada pembeli yang lain. Tapi tiada sesiapa datang membeli sehinggalah melebihi pukul 12. Tapi dia masih lagi menaruh harapan agar ada pembeli yang lain. Maknanya selagi saya tidak datang bertanya, dia masih mengharapkan pembeli yang lain. Dan jika saya tidak juga datang bertanya, dia akan masukkan kami dalam jadual perjalanan pukul dua.

Ertinya juga panggilan yang dibuat itu ada panggilan lakunan saja. Ini jelas apabila beliau sendiri beritahu bas itu rosak sedangkan panggilan beliau untuk mendapat maklumat dari pemandu tiada jawapan. Maknanya beliau sendiri sudah tahu duduk perkara. Hebat sungguh dia berlakun. Mungkin itulah arahan dari majikannya.

Soalnya kenapa tidak diberitahu dari awal bahawa oleh kerana penumpang tidak mencukupi maka perjalanan boleh merugikan syarikat. Dan syarikat bersedia membantu untuk membeli tiket dari syarikat yang lain untuk tidak mengecewakan sangat penumpang yang telah membeli tiket dari syarikatnya. 

Dengan berbuat demikian, penumpang tidak tertunggu-tunggu dan tidaklah marah sangat kepada syarikat itu. 

Mungkin strategi perniagaan syarikat itu ialah untuk tidak mahu mengaku bahawa syarikatnya itu tidak medapat sambutan dari penumpang. 

Bagi saya itu adalah strategi perniagaan yang silap.

Bagaimana pun kami ucap terima kasih diatas usaha petugas kaunter itu membeli tiket ganti untuk kami berdua.

Perjalanan di dalam pulau Singapura pun tidak lancar seperti yang kami harapkan. Kesesakan lalulintas membuatkan kami lambat sampai. Terlalu banyak kerja melebar dan menyelenggara jalan raya.

Jadi pilihan kami dengan memilih untuk menaikki bas dan bermalam di Johor adalah lebih baik dari membawa kebderaan sendiri. Jika memandu sendiri dalam keadaan jalan raya yang sesak, ianya sudah tentu meletihkan badan dan menyesakkan fikiran. Dari segi kos tidak banyak beza, kurang sedikit dari memandu sendiri.

Ertinya walaupun sesuatu keputusan yang dibuat telah difikir dan dipertimbangkan dengan sebaik-baiknya, apa yang sebenar berlaku adalah diluar kawalan kita. 

Hanya Allah saja yang menjadi kata pemutus. Kita hanya perlu memohon doa agar apa yang telah kita pilih itu adalah yang terbaik. Dan terimalah dengan penuh redha keputusan Allah itu walaupun ianya tidak semudah seperti yang diucapkan. Misalnya macam saya yang marah diatas sikap petugas kaunter syarikat bas itu yang tidak memberitahu apa yang sebenarnya berlaku.

Khamis, 9 Januari 2014

Benteng Terbaik Untuk Tidak Dikelirukan




Saya bukan ilmuan Islam atau dalam lain perkataan saya tidak mempunyai pengetahuan dan ilmu Islam yang tinggi. Dan tidak juga terbaik dalam amalan Islam.

Saya juga tidak punya pengetahuan tentang kristian dan kitab Bible.

Oleh yang demikian saya lebih banyak bertanya dari memberikan pandangan. 

Saya mengikuti dengan penuh minat tentang isu penggunaan kalimah Allah yang menjadi perbalahan diantara sebahagian umat Melayu/Islam dengan penganut kristian, khususnya katholik. 

Nampak gaya perbalahan itu belum ada penyelesaiannya walaupun telah ada ketetapan yang telah dibuat, sama ada diperingkat kerajaan dan mahkamah.  

Dan jika isu ini tidak  ditangani dengan baik, ianya boleh menimbulkan isu lain yang boleh menjejaskan keharmornian hidup kita semua.

Bagi orang Islam diseluruh dunia dari berbagai bangsa dan budaya, kalimah Allah adalah kalimah yang sentiasa  dilafazkan sebagai pengakuan dan penyaksian bahawa 'Tiada tuhan yang disembah melainkan Allah, dan bahawa nabi Muhammad itu adalah pesuruh Allah'.  Tanpa lafaz itu orang itu bukanlah Islam.

Ertinya, apa saja sebutan/perkataan yang membawa maksud bahawa hanya Dialah yang disembah dan tiada lain melainkan Dia, maka Dia itu ialah Allah. 

Jadi tuhan dalam bahasa Melayu itu ialah Allah yang tiada sekutu. Selain dari sifat itu bukanlah Allah.

Adakah itu yang diertikan oleh pihak kristian apabila mahu menggunakan kalimah Allah dalam terjemahan al-kitab (kitab orang kristian dalam  bahasa Melayu)? 

Jika begitu Allah tidak disekutukan. Sama yang diimani oleh orang Islam.

Tapi kenapa pula ada bapa tuhan , anak tuhan dan sebagainya walaupun mengatakan tuhan itu satu? Kenapa pula Jesus (nabi Isa 'Alaihissalam) itu tuhan?

Jadi kalau itulah sifat yang diimani oleh orang kristian maka sifat-sifat itu tidak layak  bagi Allah kerana Allah tiada sekutu.

Alasan pihak kristian dalam penggunaan kalimah Allah ialah ianya telah digunakan begitu lama di Sabah dan Sarawak . Tiada siapa dapat nafikan.

Dalam masa yang sama di Semenanjung tidak pernah terdengar pihak orang Kristian menyebut atau menggunakan kalimah Allah melainkan baru-baru ini.

Soalnya mengapa?

Jawapan yang pernah saya terbaca ialah bahawa telah ada penganut kristian yang menggunakan bahasa Melayu yang berasal dari Sabah dan Sarawak yang tinggal di Semenanjung..

Jika itu jawapannya maka kaedah yang sama juga perlu digunapakai bahawa di Sabah dan Sarawak juga telah ada orang Islam yang berasal dari Semenanjung yang tahu bahawa kalimah Allah tidak pernah digunakan oleh orang kristian di Semenanjung melainkan baru-baru ini.

Bermakna jika perasaan orang kristian dari Sabah dan Sarawak  yang tinggal di Semenanjung perlu di hormati maka sama juga dengan perasaan orang Islam dari Semenanjug yang berada di Sabah dan Sarawak. 

Saya percaya orang kristian khususnya di Sabah dan Sarawak akan terus menggunakan perkataan Allah seperti yang telah dilakukan lama dulu. Dan orang Islam sama ada penduduk tempatan Sabah dan Sarawak dan khususnya dari Semenanjung tidak harus mempersoalkannya.

Oleh itu di Semenanjung hendaklah juga dilakukan perkara yang sama dimana kalimah Allah itu tidak digunakan oleh orang kristian jika Allah itu tidak sama seperti yang diimani oleh orang Islam.

Maknanya status quo. 

Mengapa paderi kristian beria-ia sangat mahu menggunakan kalimah Allah dalam pengertian yang berbeza dari yang diimani oleh orang Islam?

Adakah bagi memudahkan penyampaian kepada penganut kristian berbahasa Melayu?

Tidak mungkin disebabkan itu kerana paderi itu sendiripun tidak tahu/pandai berbahasa Melayu. Semenjak bila paderi itu berminat dan sayangkan bahasa Melayu?  

Adakah disebabkan boleh melebarluaskan ajaran kristian dikalangan mereka yang memahami bahasa Melayu dan orang Melayu?

Persoalan-persoalan itulah agaknya yang membuatkan penentangan dari sebilangan orang Melayu/Islam terhadap pengggunaan kalimah Allah oleh orang kristian.

Saya memahami akan penentangan itu. Orang Islam itu khuatir penggunaan kalimah itu dalam agama kristian boleh mengelirukan penganut Islam , terutamanya yang  tidak memahami dan mengamal Islam dengan baik. Dan yang juga tidak tahu tentang kepercayaan orang kristian tentang tuhan.

Dengan sebab itu mereka menentang.

Tapi bagi saya, benteng kepada dakyah kristian atau apa saja kepercayaan ialah dengan umat Melayu/Islam itu meningkatkan ilmu dan pengetahuan Islam serta mengamalkannya dengan baik. Dan kita juga wajar mengetahui apa yang diajar oleh agama lain termasuk kristian. Iman orang Islam tidak akan tergugat jika kita punya ilmu dan amalan Islam yang baik . Ingat dan sentiasa berpegang kepada syahdah kita "Bahawa Tiada Tuhan Yang Disembah Melainkan Allah dan Bahawa Nabi Muhammad Itu Adalah Pesuruh Allah".

Ertinya jika ada pihak lain misalnya kristian hendak mengelirukan kita melalui penggunaan kalimah Allah, ianya boleh saja ditewaskan kerana ianya tidak bersaksikan nabi Muhammad sebagai pesuruh Allah. Sebab mereka tidak percaya syiar yang dibawa oleh nabi Muhammad saw.

Kita harap isu ini segera diselesaikan. Dan umat Melayu/Islam wajar menumpukan kepada usaha bagi meningkat ilmu dan amalan Islam.

Mungkin di Malaysia atau sekurang-kurangnya di Semenanjung kalimah itu tidak dibenar digunakan. Tapi Islam bukan saja di Semenanjung atau di Malaysia. Jika kalimah Allah itu digunakan  di negara lain seperti alkitab yang ditulis dalam bahasa Melayu, ianya juga boleh bersifat mempengaruhi dan mengelirukan orang Mealayu diluar negara seperti pelajar-pelajar kita. Oleh itu benteng kita ialah meningkatkan ilmu dan amalan Islam kita.

Tidak mungkin kita melarang kitab tersebut disebarkan dikalangan orang Melayu diluar negara.


 


Rabu, 8 Januari 2014

Pada Pagi Ini Saya Amat Marah.







Adakah anda seorang yang penyabar? Adakah anda boleh sentiasa berada dalam tenang jika datang sesuatu yang yang boleh menyusahkan anda?

Jika anda seorang yang penyabar, syukur ahamdulillah, anda ada kekuatan diri. Sesungguhnya Allah menyukai ornag yang penyabar. Dan sudah tentu anda boleh boleh hidup dengan tenang walau macam mana tertekannya anda.

Tapi, saya tidak mempunyai kekuatan seperti itu. Bukan saya tidak diajar supaya bersabar, bukan saya tidak tahu bahawa sifat sabar itu adalah sifat yang terpuji. Saya tahu semua itu. 

Jadi kalau saya tahu kenapa pula saya tidak mengamalkan sifat itu?

Saya tidak mempunyai jawapan yang baik. Dan saya juga tidak mahu memberi jawapan dengan mengatakan bahawa saya ini hanya manusia biasa, manusia yang lemah. Jawapan seperti itu adalah jawapan mencari alasan diatas kegagalan saya untuk melakukan sesuatu yang benar dan wajar , sesuatu yang baik seperti bersifat sabar dan tenang.

Pagi ini saya cukup marah. Bukan bermakna hari lain saya tidak pernah marah. Tapi hari ini sangat marah.

Saya sangat marah kerana cucu saya yang belum masuk tiga tahun yang sedang dibawah jagaan bertaraf 'nursery' telah dimasukkan ke dalam kelas tadika, di bawah institusi yang sama. 

Ada banyak bezanya antara dua kategori penjagaan ini. Pertama, anak kecil itu (cucu saya) tidak perlu mandi dan makan pagi dirumah dirumah. Dia akan dimandikan dan bersarapan disekolah. Perkara ini amat membantu ibu yang bekerja kerana menjimatkan masa. Dan anak kecil itu tidak perlu bersejukan pada awal pagi. Itulah sebenarnya tugas sebuah nursery.

Tapi apabila masuk kategori tadika, anak itu (cucu saya), mesti dimandikan dirumah terlebih dahulu kerana pihak institusi tidak lagi menguruskan soal memandikan anak kecil itu. Pihak berkenaan juga (guru-guru) tidak lagi memberikan makan dari makanan yang dibekalkan oleh ibubapa kepada anak-anak kecil itu.

Kedua, tambahan bayaran yang melibatkan antara lain membeli uniform. Kategori 'nursery' tidak memerlukan uniform khas, boleh pakai apa saja pakaian.

Yang menjadi marah dan tidak sabar ialah pertukaran kategori ini tidak pula diberi tahu kepada ibubapa.

Ibubapa hanya diberitahu sewaktu hendak membuat bayaran bulanan. Antara yang diminta ialah bayaran pendaftaran memasuki kategori tadika dan bayaran tadika yang lain termasuk bayaran uniform.

Soalnya mengapa pihak berkenaan memasukkan dahulu cucu saya itu dalam kategori tadika sebelum berdaftar sebagai pelajar tadika? Kenapa ibubapa tidak diberitahu lebih awal akan keperluan untuk mendaftar memasuki peringkat tadika?

Soalan ini terlalu relevan kerana cucu saya itu belum berusia 3 tahun maka dia belum layak untuk diklasifikasikan sebagai pelajar tadika. Apa yang saya tahu anak-anak yang berumur 4 tahun keatas saja, sebelum memasuki sekolah rendah, dikategorikan sebagai pelajar tadika. Mungkin telah berlaku perubahan bagi merendahkan umur kepada tiga tahun.

Tapi saya masih boleh menerima cucu saya diklasifikasi sebagai pelajar tadika walaupun belum berusia tiga tahun. Tetapi memasukkan anak itu ke tadika tanpa memberitahu kedua ibubapa adalah satu tindakan yang tidak bertanggungjawab.

Maka sebelum mendaftar kelas tadika cucu saya dimasukkan ke dalam kelas tadika. Maka dia dilayan seperti pelajar tadika. Makan pagi dari makanan yang dibekalkan oleh ibu bapa tidak lagi diuruskan oleh guru/pengasuh. Perkara ini diketahui apabila makanan yang dibekalkan tidak dimakan oleh cucu saya kerana apabila ditanya cucu saya memberitahu, 'teacher' tidak beri makan.  Berlaparlah cucu saya itu pada pagi hari itu.

Itulah yang membuat saya marah, terlalu marah. Pihak sekolah memohon maaf diatas keterlupaan memberitahu perkara tersebut. Tapi adalah tidak wajar memasukkan cucu saja itu ke dalam kelas tadika sebelum dianya didaftarkan untuk kelas itu dan wang pendaftaran dan bulanan masih lagi belum dibayar.

Saya nampak bahawa pihak berkenaan mahu mengelakkan tanggungjawab untuk menguruskan cucu saya seperti anak asuhan nursery dimana anak itu perlu dimandikan dan diberikan makan dari makanan yang dibekalkan oleh ibubapa. Pihak berkenaan mungkin berpendapat cucu saya yang akan berusia tiga tahun pada Mac ini , sudah boleh dimasukkan ke dalam kelas tadika, dan lantas segera dimasukkan ke dalam kelas berkenaan bagi mengurangkan kerja yang dibuat oleh guru/pengasuh.

Kalau begitulah alasannya, saya rasa layak untuk marah. Cuma saya percaya orang lain dan pihak sekolah akan meminta saya untuk bersabar. Ya, saya faham, saya wajar bersabar. Tapi pada pagi ini saya sangat marah.  

Isnin, 6 Januari 2014

Hantu: Ancaman Kepada Orang Melayu




Saya nampak sebahagian besar orang Malaysia , Melayu dan bukan Melayu merasakan diri terancam. Bagi orang Melayu banyak hal yang tidak selamat. Ekonomi tidak selamat. Politik tidak selamat. Bahasa tidak selamat. Agama Islam tidak selamat. Dan ada juga yang merasakan institusi raja tidak selamat.

Sama juga dipihak bukan Melayu. Bahasa ibunda mereka tidak selamat. Agama dan budaya pun tidak selamat. 

Apakah benar begitu? Atau dalam kata lain adakah secara realitinya ada unsur-unsur atau gerakan yang boleh memberi ancaman kepada kepentingan masing-masing pihak, Melayu dan bukan Melayu. Atau adakah ianya satu persepsi saja atau prasangka yang lahir akibat dari berbagai sebab misalnya dipengaruhi oleh pihak-pihak yang ada kepentingan sehingga minda dan emosi rakyat Malaysia mudah saja diheret.

Persoalan ini tidak mudah dijawab. Ianya terlalu sensitif. Ianya juga melibatkan emosi. Dan peruntukan undang-undang juga menghadkan kemampuan kita untuk memberi jawapan yang adil dan saksama.

Namun bagi saya ancaman yang dihadapi adalah real.  Dan ianya juga satu persepsi yang ada dalam fikiran rakyat Malaysia yang berprasangka berdasarkan perkembangan-perkembangan yang dilihat sebagai yang boleh mengancam.

Dari segi orang Melayu, sebahagian besarnya cenderung melihat ancaman dari luar. Hanya unsur luar saja yang menyebabkan kehidupan orang Melayu dari segi ekonomi, politik, bahasa, agama dan institusi raja menjadi terancam atau sedang menghadapi ancaman.

Saya tidak menafikan bahawa ada kebenaran kekhuatiran orang Melayu itu. Tapi malangnya orang Melayu gagal untuk melihat ancaman yang datang dan berasal dari dalam diri sendiri, yang ada pada diri orang Melayu dan masyarakat Melayu itu sendiri. Saya kira ancaman dari dalam adalah lebih kritikal.

Ancaman,  sama ada dari luar atau dalam  adalah sesuatu yang natural. Selagi manusia itu mahu hidup, ancaman tetap ada.

Cuma kita kena mentafsir dan menguruskan ancaman atau apa yang disangka sebagai ancaman itu secara yang terbaik. Ancaman boleh dijadikan cabaran dan motivasi kepada kita untuk bergerak ke depan, untuk hidup lebih berjaya.

Apakah ancaman dalaman orang Melayu? Saya lebih menumpukan kepada persoalan ini, iaitu ancaman dalaman orang Melayu.

Lima perkara yang terlalu dekat dan menyentuh perasaan orang Melayu iaitu:

i) Hak keistimewaan
ii) Ekonomi
iii) Bahasa dan pendidikan
iv) Agama Islam
v) Institusi raja

Kelima-lima hal diatas saling berkaitan dan pengaruh mempengaruhi.

Perlembagaan menjamin kedudukan istimewa orang Melayu , dan menjadikan Islam sebagai agama Persekutuan.

Namun perkembangan semenjak merdeka sehingga kini belum lagi berjaya untuk menjadikan Melayu sebagai satu bangsa yang bermaruah, mempunyai kedudukan ekonomi yang baik, tahap pendidkan yang baik, mempunyai jati diri, integriti, yang beramanah, dan mampu bersaing dengan warga bukan Melayu. 

Kenapa jadi begini?

Kita banyak mencari sebab dari luar dan bukan dari dalam diri kita sendiri atau dalam masyarakat kita sendiri tentang mengapa terjadinya kedudukan kita sebegini.

Minda orang Melayu sentiasa terkurung dan dikurungkan sehingga membentuk satu pemikiran yang terlalu taksub kepada satu pihak. Satu antara sebabnya ialah sebahagian besar orang Melayu tidak mempunyai pengetahuan dan pendidikan pada tahap yang baik. Begitu juga dengan tahap capaian maklumat  dari sumber yang berbagai. 

Orang Melayu lebih cenderung untuk berada pada kedudukan status quo walaupun satus quo itu tidak menguntungkan mereka. Susah bagi mereka untuk berubah walaupun perubahan itu memberi kebaikan kepada mereka.

Emosi orang Melayu mudah saja disemarakkan, tapi malang sekali ke arah yang tidak menjadikan  orang Melayu  satu bangsa yang mampu bertindak dan berfikiran rasional dalam saingan dengan warga bukan Melayu/bukan Islam. Berhujah dan berfakta bukan budaya orang Melayu, jauh sekali. Malah kita gunakan kedudukan istimewa sebagai pendinding apabila kita tidak ada kekuatan untuk berhujah bagi menyaingi hujah pihak lain. 

Begitu juga dengan syiar Islam.  Islamnya Melayu bukan kerana ilmu dan amalnya. Islamnya Melayu kerana telah ditentukan dalam Perlembagaan bahawa orang Melayu itu adalah juga orang yang beragama Islam. Maka dengan itu ianya tidak membantu orang Melayu bagi meningkat ilmu dan amalan Islam kerana apa pun  tahap penguasaan ilmu dan amalan Islamnya, jika pun ada, tidak akan mengurangkan emosi orang Melayu untuk mengaku sebagai orang Islam, dan bertindak kononnya mempertahankan nama baik Islam. 

Pencapaian ekonomi semenjak merdeka sehingga kini tidak juga ditahap yang boleh dibanggakan. Terjadinya sedemikian adalah disebabkan sifat ketaksuban yang menyebelahi kepentingan satu pihak/kelompok kecil dan bukan kepentingan ekonomi orang Melayu secara keseluruhan. Maka lahirlah beberapa kerat jutawan segera yang kebangkitan/kejayaan  ekonominya adalah dari sajian dulang emas tanpa mempunyai kekuatan dan teruji dalam bidang yang diceburi.  Maka orang ini tidak mampu untuk tahan bersaing dalam keadaan dunia yang mencabar, terbuka  dan tidak menentu. 

Ianya bertambah buruk apabila kelompok yang diberi tumpuan itu adalah sebahagian kecil mereka yang mempunyai kaitan politik dan mempunyai capaian mudah dengan kepimpinan kerajaan.

Pendekatan yang sama juga digunapakai bagi  Melayu selain dari kelompok kecil itu. Mereka yang dalam kelompok  politik yang sama dengan politik kepimpinan kerajaan mendapat tumpuan yang lebih berbanding Melayu yang lain, disaji dalam dulang perak. Kesannya serupa, mereka tidak mampu bersaing. Rebah akhirnya.

Dari segi bahasa dan pendidikan, tidak juga melahirkan Melayu yang cemerlang. Mengapa? 

Jawabnya ialah kita tidak ada keyakinan pada diri sendiri, pada bahasa sendiri. Ianya amat malang kerana kepimpinan yang beria-ia melaungkan bagi memertabatkan bahasa Melayu, bertindak tidak seperti yang dilaungkan. Lihatlah keutamaan mereka dalam memilih sekolah dan tempat bagi anak-anak mereka untuk belajar. Mereka memilih luar negara dan sudah tentu atas keyakinan bahawa anak-anak mereka akan dapat menguasai bahasa Inggeris dengan baik.

Tidak menjadi satu kesalahan untuk mereka memberikan pendidikan yang mereka rasa terbaik untuk anak-anak. Ianya menjadi salah dan tidak amanah apabila mereka berpura-pura menyatakan bahawa pendidikan dalam negeri adalah juga yang terbaik. Kalau yang terbaik mengapa perlu hantar anak keluar negeri. Sebab itu saya katakan mereka berpura-pura.

Jadi ancaman kepada orang Melayu perlu dilihat dalam bentuk ancaman dari dalam. Saya tidak menafikan adanya ancaman dari luar. Tetapi lihat sendiri dengan berlapang dada dan berfikiran tenang tanpa taksub kepada mana-mana kepentingan kelompok bahawa adalah tidak masuk akal setelah merdeka lebih 56 tahun sebahagian besar orang Melayu masih pada kedudukan lebih rendah dalam segala aspek kehidupan berbanding dengan orang bukan Melayu, sedangkan kita menguasai  segala-galanya.

Pemimpin, penjawat awam dan peruntukan undang-undang semuanya lebih menyebelahi orang Melayu berbanding dengan bukan Melayu. Tapi kita masih lagi pada tahap dibawah bukan Melayu. Dan kita gagal melihat apa yang tidak kena pada diri kita, bermula dari pimpinan yang mempunyai kuasa membawa kepada orang Melayu keseluruhannya. Kita suka dan cenderung melihat kegagalan kita disebabkan kejayaan orang bukan sebangsa dengan kita. Maka mengeluhlah kita dengan kata-kata yang penuh emosi bahawa 'kita hidup merempat dinegara sendiri'. Dan seterusnya kita didendangkan dengan lagu 'Anak Kecil Bermain Api' , dengan penuh khayalan, cuba meletakkan kesalahan keatas bahu pihak lain.

Sebenarnya kita dan dikalangan kita terlalu takut kepada hantu luar. Kita sentiasa takut dan ditakut-takutkan dengan hantu-hantu luar ini sedangkan hantu sebenarnya adalah diri kita dan dikalangan orang Melayu sendiri. Hantu yang paling kejam ialah dikalangan pimpinan yang kita beri amanah. Itulah ancaman yang paling besar kepada orang Melayu.







Ahad, 5 Januari 2014

Kisah saya hari in : "Kuat dengkur", kata isteri




Hari ini rasanya agak letih. Kesan dari senaman pagi dengan berjalan kaki membuat 100 pusingan di halaman rumah yang mengambil masa hampir satu jam. Bermula jam lapan pagi sehinggalah ke pukul sembilan.

Hari ini semangat saya untuk menghabiskan 100 pusingan seperti yang dilakukan pada senaman yang lepas, tercabar sekali. Mahu rasanya berhenti apabila memasuki pusingan ke enam puluh apabila saya merasa kurang selesa untuk bernafas. Asma menyerang, tapi tidaklah serious sangat. 

Hati saya berbelah bagi. Jika berhenti bermakna saya gagal mencapai matlamat yang telah ditetapkan iaitu 100 pusingan. Saya merasa malu pada diri sendiri kerana gagal mencapai matlamat yang mudah itu. Macam mana untuk berhadapan dengan cabaran yang lebih hebat dan rumit?  Lagipun 60 pusingan belum lagi menghasilkan peluh yang keluar berjijiran. Berpeluh juga, tapi tidak sampai membuatkan pakaian menjadi basah kuyup dan lencun.
 
Jika diteruskan, dikhuatiri, saya akan susah untuk bernafas. Bahaya juga. Tapi dalam poket seluar sukan saya telah sedia ada 'ventolin' iaitu ubat sedutan atau 'inhaler' yang boleh digunakan bagi melebarkan ruang pernafasan. Namun , saya tidak suka menggunakannya melainkan dalam keadaan terlalu serious , dimana terlalu susah untuk bernafas. 
 
Ventolin itu jika selalu digunakan, ianya boleh membuatkan tekak rasa sakit, kering, perit dan gigi akan menjadi ngilu (kesan penggunaan ubat itu, panas).
 
Jadi saya membuat keputusan untuk meneruskan senaman sehingga 100 pusingan. Saya tidak mahu tekak jadi kering dan sakit serta gigi jadi ngilu.
 
Habis saja 100 pusingan saya senyum puas. 'Kuat juga semangat aku', bisikan  hati saya merasa puas.
 
Berihat sekejap. Kemudian meneruskan kerja membuang rumput-rumput liar yang tumbuh dalam pasu bunga. Pukul 10 pagi naik ke rumah untuk sarapan pagi dan rutin makan ubat mengawal tekanan darah tinggi dan  ubat mencairkan darah.
 
Setelah sarapan, menyambung kerja membersihkan bahagian bawah rumah dari dapur ke ruang tamu dan sebuah bilik kecil. Kerja siap melampaui pukul 2 petang sehingga melewati waktu zohor. Terlalu penat terutama dibahagian pinggang.Jadi bahagian atas termasuk tangga dilupakan saja. Mungkin pada esok hari.

Makan tengah hari pada 2.30 petang, selepas solat zohor.
 
Badan terlalu letih. Penat sangat. Pinggang sakit. Berihat, duduk atas kerusi. Tutup mata........
 
''Kuat dengkur", isteri mengejutkan saya untuk solat Isaya'.
 
Begitulah kisah saya hari ini. Penat sangat.    
 




Sabtu, 4 Januari 2014

Antara Hospital dan nasihat doktor dengan apa yang mereka percaya.




Dua orang perempuan dalam usia 50an duduk berhadapan, sementara menunggu giliran untuk berjumpa doktor di sebuah hospital besar. Mereka bercerita tentang penyakit yang ada pada mereka. 
 
Dua-dua ada sakit kencing manis dan darah tinggi.Yang seorang itu memberitahu, dia makan air rebus pucuk papaya, beberapa gelas satu hari walaupun ianya terlalu pahit, demi menurunkan tekanan darah tinggi dan kencing manis. Kawannya pula memakan buah tunjuk langit untuk mengatasi tekanan darah tinggi. Mereka berdua mengaku kesannya amat baik bagi penyakit mereka.
 
Dalam masa yang sama mereka juga dapatkan ubat yang ditentukan oleh doktor. Tapi kedua-dua mereka tidak makan ubat hospital itu menurut yang ditentukan oleh doktor. Jarang sekali ubat itu dimakan. Tapi pada hari jumpa doktor, ubat hospital terpaksa ditelannya juga, khuatir doktor akan marah jika bacaan tekanan darah dan kencing manis meningkat.

Mereka juga bercerita tentang amalan pemakanan. Seorang darinya mengawal makanan dengan tidak mengambil makanan berlemak dan berminyak, kurang mengambil gula, makan roti sebagai ganti nasi; dan hanya makan makanan secara rebus. Ertinya tidak pakai minyak dan berbagai rencah. Katanya cara yang dilakukannya ini amat berkesan sekali. Tapi dia pernah pengsan kerana terlalu mengawal makanan. Katanya bila dia tanya doktor, dia diminta supaya jangan terlalu mengawal sehingga merendahkan tahap gula. Dan doktor menasihatkan supaya mengambil gula-gula dalam keadaan gula yang terlalu rendah.

Kawan yang seorang itu pula menyatakan dia tidak mampu berpantang. Dia pernah cuba, tapi kurang berjaya kerana rasa makanan itu tidak sedap.

Dari segi ukuran tinggi dan berat badan, kedua-dua mereka nampaknya tidak seimbang. Kedua-duanya gemuk.
 
Lama juga mereka berbual. Tetapi tidak sekalipun mereka menyentuh tentang senaman untuk menyihatkan badan. Saya percaya, mereka tidak pernah bersenam, apatah lagi menjadikan senaman sebagai satu gaya hidup bagi menyihatkan tubuh badan, termasuk dalam mengurangkan garam dalam badan, gula dan lemak.
 
Cara mereka menjaga kesihatan ialah mendapat rawatan apabila sakit, mengawal makanan yang kadang-kadang dikawal secara ekstrim sehingga tahap gula terlalu rendah , dan memakan herbs atau makanan/sayuran yang pahit-pahit seperti yang diamalkan secara turun temurun. Malah ubat yang dibekal oleh hospital tidak dimakan seperti yang ditentukan doktor. Hanya apabila mahu berjumpa doktor saja mereka tidak gagal untuk makan ubat hospital, takut doktor marah, jika tekanan darah atau kencing manis menjadi tinggi. 
 
Saya ingat sebahagian besar orang lain juga melakukan perkara yang sama, terutamanya dikalangan orang Melayu. Mereka tidak mengamalkan senaman sebagai satu cara dalam menjaga kesihatan tubuh badan. Mereka memilih untuk mendapat rawatan daripada mengelak dari dihidapi penyakit.
 
Tapi dalam mendapat rawatan pun mereka ada pilihan sendiri. Mereka mengenepikan atau tidak memberi keutamaan apa yang dinasihatkan oleh doktor dalam hal memakan ubat. Mereka makan ubat hospital apabila mahu jumpa doktor, takut doktor marah dan bukan bertujuan untuk merawat penyakit. 

Yang anihnya hospital juga tempat yang dituju untuk mengetahui apa sakit mereka. Doktor juga yang dijumpai setiap bulan.
 
 Dan mereka menunggu begitu lama.


 
 
 
 

Penggunaan Kalimah Allah Oleh Kristian: Tinggkatkan Ilmu dan Amalan Islam Kita



  



Kalimah Allah: Dengar video ini dengan tenang tanpa emosi.

Selalunya kita bertindak mengikut emosi  tanpa kita sendiri faham sesuatu isu itu berdasarkan ilmu dan maklumat yang baik. Misalnya dalam hal kalimah Allah yang menjadi isu yang menjadi pertikaian diantara sebahagian orang Melayu Islam dan orang Kristian. 

Orang kristian mahu menggunakan perkataan Allah dalam agama mereka termasuk dalam kitab suci mereka yang ditulis dalam bahasa Melayu. Ini mendapat tentangan dari sebahagian orang Melayu. Isu ini juga telah melibatkan pertimbangan mahkamah. Begitu juga sudah menjadisatuisu yang dipolitikkan.

Mungkin sebahagian besar orang Melayu di Semenanjung tidak mengetahui atau tidak ada maklumat tentang penggunaan Allah dikalangan orang kristian di Sabah dan Sarawak semenjak lama dulu. Sebab itu mereka merasakan sesuatu yang amat ganjil jika kalimah Allah itu digunakan oleh orang kristian. Tambahan lagi tidak pernah pihak gereja di semenanjung menggunakan kalimah Allah atau menyebut nama Allah dalam urusan keagamaan mereka. 

Saya masih ingat suatu masa dulu tentang protes orang bukan Islam terhadap perkataan Allah dan Muhammad yang terdapat pada topi anggota polis yang terpaksa dipakai oleh orang bukan Islam. Keadaan ketika itu terlalu hangat. Bagaimanapun akhirnya menjadi reda, dan perkataan Allah dan Muhammad itu masih kekal di bahaian hadapan topi polis.

Tapi kenapa sekarang pihak gereja di semenanjung mahu gunakan perkataan Allah?

Bagi saya ada tujuan untuk berdakwah dan untuk memperkembangkan agama kristian dikalangan mereka yang memahami bahasa Melayu.

Tapi bukankah kerja mendakwah adalah tugas utama bagi mana-mana agama bagi memperkembangkan agama masing-masing sama ada Islam, kristian dan yang lain?

Bolehkah kita menyekat?

Ya, dari segi undang-undang, agama lain tidak dibenarkan disebarkan dikalangan orang Melayu. Tapi adakah itu satu pertahanan yang mencukupi dan kukuh dalam menghalang orang Melayu dari menerima sebaran agama selain Islam? Saya tidak fikir begitu, terutama dalam dunia yang terbuka luas ini dimana capaian dalam berbagai hal termasuk agama mudah saja diperolehi.

Ertinya pendekatan menyekat penyebaran agama selain dari Islam dikalangan orang Melayu dalam bentuk undang-undang adalah tidak berkesan sama sekali. 

Oleh kerana kita selalu dan terlalu sangat begantung kepada undang-undang dan bukan kepada kekuatan dalam diri sendiri, membuatkan orang Melayu lemah dalam banyak hal. Misalnya lemah ekonomi dan lemah juga dalam keimanan kita kepada agama Islam. 

Berlindung dibawah peruntukan undang-undang telah membentuk  pemikiran orang Melayu bahawa mereka sentiasa selamat. Kehidupan ekonomi selamat dan agama pun selamat. Segala-galanya selamat. Paling malang sekali, kepercayaan tentang terjaminnya 'SELAMAT' itu telah membuatkan orang Melayu tidak mahu bekerja keras, dan tidak sanggup bersaing dengan bangsa. Dan tidak juga mahu memantapkan diri dalam keimanan kita kepada Islam dengan meningkatkan ilmu dan amalan kita sebagai seorang Islam,

Islam pada kita hanya memadai setakat  ada nama saja. Tanpa ilmu dan amal, kita adalah seorang Islam yang diiktiraf dari segi undang-undang.

Kita tidak ada ilmu Islam. Kita tidak juga mengamalkan ajaran Islam. Apatah lagi kita tidak tahu tentang agama dan amalan agama selain dari Islam. Ertinya untuk kita berhujah apabila berhadapan isu seperti kalimah Allah ini kita banyak dibimbing oleh emosi  bukan ilmu yang ada pada kita, dan tidak juga amalan kita.

Dengan sebab itu apabila ada pihak yang berkepentingan menaikkan emosi marah kita, menentang penggunaan kalimah Allah itu, kita tanpa menggunakan hujah ilmu, terus terpengaruh dan mengambil tindakan menurut yang dimahukan oleh pihak yang berkepentingan. Kalau mereka suruh bakar kitab suci agama kristian itu , kitapun bakarlah. Sebab kita takut dipengaruhi oleh agama kristian. Sebab kita tidak mahu ramai orang Melayu murtad.

Tapi itu bukan caranya,.

Sebenarnya apa yang perlu kita buat ialah mempertingkatkan ilmu dan amalan agama Islam kita. Itu lah senjata yang paling kukuh bagi kita menghadapi segala macam dakwah dan dakyah kristian dan agama lain. Tidak  cukup dengan perlindungan undang-undang atau dengan tunjuk perasaan membantah penggunaan kalimah itu atau membakar bible yang berkaitan. Membakar kitab suci agama lain adalah satu perbuatan yang mencemarkan agama kita.

Sesungguhnya agama Islam kita benar. Sesungguhnya kita boleh berhujah dengan kekuatan agama kita. Tidak perlu membakar bible. Tidak ada faedah kita melarang penggunaan kalimah Allah dikalangan penganut kristian kerana apa saja panggilan tuhan yang digunakan oleh mereka termasuklah Allah ianya tidak sama dengan Allah kita iaitu Allah yang tiada lain disembah melainkan Allah yang satu. Tuhan orang kristian lebih dari satu. 

Ianya tidak mencemarkan Allah yang kita percaya. Yang tercemar dan memangpun tercemar ialah kepercayaan mereka bahawa tuhan mereka, yang kalaupun disebut Allah adalah lebih dari satu. Jadi mengapa kita perlu risau. Yang kita perlu risau ialah ilmu dan amalan Islam kita yang masih lagi rendah dan perlu dipertingkatkan. Itulah dinding terbaik dan kukuh.

Kita jangan mempersoalkan niat orang kristian untuk memperkembangkan agama kristian melalui penggunaan kalimah Allah. Itu kerja mereka. Apa yang kita perlu buat ialah melakukan dakwah yang lebih baik dan tersusun dikalangan orang Melayu/islam dan orang bukan Islam. 

Video diatas boleh mencerahkan lagi pemikiran kita tentang penggunaan kalimah Allah. 
 





 

Khamis, 2 Januari 2014

PANAS: Nak Buat Macam Mana




Tahun 2014, baru masuk hari kedua. Masih lagi seperti biasa. Hujung bulan rasanya, akan ada yang luar biasa kesan dari kenaikan harga letrik. Cuba jimat letrik, tapi keadaan cuaca yang semakin panas tidak mampu pula untuk memberhentikan kipas dari berpusing. Kalau terlalu sangat panas terpaksa juga buka penghawa dingin, mahu berihat lebih selesa. Tapi hujung bulan Januari ini, nampak gaya akan ada suara keluhan, 'bil letrik tinggi sangat'.

Tapi nak buat macam mana. Malaysia ini terlalu panas. 

Ada hutan, paya, lurah, lembah, sungai, bukit dan gunung semua telah kena terokai. Bukit dan gunung, habis digondolinya. Hutan, ditebas tebang. Paya, lurah dan lembah telah dikambus. Sungai semakin menjadi kecil, kotor dan cetek disebabkan mendapan hasil dari bahan-bahan yang memasuki ke dalam arus sungai akibat dari  kerja-kerja tarahan bukit, bukau dan gunung dan penebangan pokok, pembersihan dan pembakaran hutan.

Tapi nak buat macam mana, kerana penduduk sentiasa bertambah. 
Pembanguan mesti diteruskan, kata setengah pihak yang mempertahankan kerja-kerja diatas. Inilah harga yang perlu dibayar bagi sebuah pembangunan dan kemajuan. 

Ada juga pihak yang tidak bersetuju dengan pendapat diatas. Pembangunan boleh diteruskan tapi dilakukan dengan mengambilkira kesan kepada berbagai kehidupan - kehidupan manusia, binatang-binatang, kayu kayan, flora dan fauna, sumber air seperti sungai, paya, lurah dan lembah, bukit dan gunung ganang.

Tapi nak buat macam mana, manusia ini terlalu rakus dan tamak serta tidak amanah, termasuk yang secara langsung diberikan tanggungjawab untuk menguruskan berbagai kehidupan itu sendiri.

Maka satu dari kesan yang kita semua hadapi sekarang ialah cuaca yang semakin panas. Ini adalah fonemina yang dihadapi oleh dunia.

Malaysia memang terlalu panas. Ini adalah satu kenyataan, bukan satu keluhan.

Jangan pula ada pihak meminta saya mencari negara lain yang tidak panas seperti Malaysia.

Malaysia adalah tanah tumpah darah saya. Saya sayangkan Malaysia. Sebab itu saya mahu bercakap tentang perkara-perkara yang mencemarkan keindahan dan kenyamanan negara saya. Ertinya saya ambil berat tentang negara Malaysia.

Cuaca yang panas ini akan menambah penggunaan arus letrik. Kipas dan penghawa dingin lebih banyak digunakan bagi menghasilkan suhu yang nyaman seperti yang pernah saya rasa lima puluh tahun dahulu. Dulu tidak ada kipas. Tapi kipas satay ada lah. Penghawa dingin, jauh sekali. Tidak ada dalam perbendaharaan kata ketika itu.

Saya tahu, kipas yang kurang berihat dan sentiasa berpusing, dan  sesekali diiringi dengan penghawa dingin akan memerlukan arus letrik yang banyak. Saya juga tahu, kadar tarif letrik yang telah dinaikkan akan berkuatkuasa pada 1 Januari 2014. Saya tahu kesannya. Bil letrik pada hujung Januari  akan meningkat. Saya juga tahu pendapatan tetap saraan pencen saya akan tertolak ke dinding, susah nak bernafas.

Tapi nak buat macam mana. Malaysia negara panas. Kipas dan penghawa dingin boleh membantu menghilangkan kepanasan.

Ini ada keluhan saya. Saya juga tahu lebih ramai lagi orang yang mengeluh kerana kehidupan mereka tidak seberuntung seperti saya. 

Ada yang tidak bekerja. Ada yang kerja remah-remah saja, sekejap bekerja, sekejap menganggur. Ada yang sepenuh masa bekerja. Ada yang buat berbagai kerja. Ada yang kerja dari subuh sampai maghrib. 

Saya juga tahu hasil kerja mereka adalah kurang kalau pun tidak terlalu kecil berbanding dengan saraan pencen saya. Dan saya tahu mereka mengeluh. Cuma saya tidak tahu tahap marah dan mendidihnya darah mereka dengan kenaikan harga sebab mereka itu tidak seperti saya, tidak seperti anak-anak muda yang TURUN menentang harga naik. Mereka tidak ada wang untuk ke dataran merdeka. Mereka tidak ada internet untuk meluahkan perasaan, menulis dalam blog, face book atau twitter. Lagipun mereka tidak ada maklumat dan ilmu sebaik anak-anak muda TURUN itu. Mereka hanya mampu memeram perasaan marah mereka dalam dada yang bergelombang.

Saya cukup marah dan darah mendidih. Sebab itu saya menulis di blog membantah kenaikan harga. Bukan saja untuk melepaskan perasaan. Tapi lebih penting dari itu ialah:

i) memohon pengertian dan fahaman dari semua pihak terutama kerajaan dan mereka yang berkedudukan senang akan betapa tersiksanya orang yang berpendapatan kecil dengan kenaikan harga, apatah lagi harga barang-barang yang amat perlu seperti beras, gula, minyak, letrik, tambang bas, lrt dan tol;  dan kenaikkannya pula berlaku satu lepas satu; 

ii) kerajaan tidak meneruskan kenaikan harga pada ketika ini. Pemotongan subsidi bagi barang perlu seperti gula dan minyak yang menyebabkan kenaikan harga barang/bahan itu ditarik balik. Ianya tidak sesuai pada ketika ini. Bantuan BR1M kerajaan kalau diteruskan adalah membantu juga. Tapi jika ianya membebankan kewangan kerajaan, berhentikan BR1M dan menarik semula pemotongan subsidi gula dan minyak.

iii) Tangguh dahulu GST sehingga rakyat mempunyai pendapatan yang tinggi paling kurang RM2,000 bagi seorang pekerja.

iv) rakyat faham bahawa dengan pemotongan subsidi, beban tanggungan wang negara akan berkurangan. Hasil yang bertambah boleh mengukuhkan kewangan negara. Ekonomi negara boleh tumbuh dan berkembang dengan baik dan pesat. Ini adalah baik untuk rakyat. 

Tapi, ada cara lain bagi mengurangkan tanggungan  beban kewangan negara iaitu melalui kaedah belanja berkhemah dan tidak boros: 

a) Susun semula keutamaan perbelanjaan. Perbelanjaan berbentuk menaikkan imej dan prestij , protokol, majlis keraian dan perasmian, dan rombongan/lawatan keluar negara (gunakan secara berkesan perwakilan kita diluar  negara  seperti   kedutaan/konsulat,  maltrade  dan  Jabatan penuntut)  misalnya dikurangkan, dan ditiadakan jika tidak menjejaskan produktiviti kerja.

b) Kurangkan atau hapuskan khidmat jururunding kerana kita telah sedia ada penjawat awam yang mempunyai banyak pengalaman kerja dan tahu hal setempat berbanding dengan juru runding luar; gunakan pakar-pakar dari institusi tempatan  untuk terlibat sama.

c) Jangan teruskan kaedah 'inflated cost' bagi sesuatu projek. Banyak sebab yang menjadikan kos sesuatu projek itu menjadi 'kembung', antaranya: 

-amalan rasuah dalam berbagai bentuk seperti komisyen, mutu/kualiti bahan yang rendah tetapi harga yang dibayar tinggi melebihi harga pasaran, spesifikasi tender yang terarah (tailored specification) untuk diberikan kepada sesuatu pihak atau spesifikasi tender yang disediakan oleh pihak yang mahu diberikan projek,  tender terhad/tertutup, projek reka dan bina (design and build) yang sudah ditentukan pihak yang akan dipilih, runding harga dan 'fast track'.

- projek lewat siap dan terbengkalai disebabkan antara lain menawarkan kepada kontarkator yang tidak ada kemampuan, kemahiran dan kepakaran tapi atas dasar kaitan politik, sahabat rapat , dan saudara mara; dan kegagalan penyeliaan projek oleh pegawai penyelia.

 -projek rendah mutu dan tidak ikut spesifikasi. Projek seperti ini membuatkan selalu belanja penyelenggaraan yang tinggi dan mudah rosak/runtuh

-perojek yang menggunakan khidmat juruperunding.

d) Kaji semula keistimewaan-keistimewaan yang diperolehi oleh  Ahli Pentadbiran dan pegawai-pegawai tinggi kerajaan dari Jusa C ke atas dengan tujuan untuk mengurang/menghapuskannya buat sementara sehingga ekonomi negara membenarkannya. Memang boleh dikurangkan. Ianya tidak sangat menjejaskan kualiti kehidupan mereka. Saya percaya ianya tidak akan membuatkan mereka hidup seperti pegawai rendah kerajaan yang begaji RM2,000.

e) Jangan terus berhutang. Hutang yang tinggi dan perbelanjaan yang tidak berkhemah dan boros inilah yang sebenarnya punca yang membuatkan beban tanggungan kerajaan sampai ketahap yang kritikal sehingga kerajaan terpaksa memotong subsidi, menaikkan harga barang dan memperkenalkan cukai untuk semua orang iaitu GST.

Saya faham saya akan bayar bil letrik yang tinggi pada hujung Januari nanti, sebab saya hendak sedikit selesa, walaupun ianya mengurangkan kuasa beli wang pencen saya. Setakat sekarang rasanya saya boleh menerima tekanan itu. Tapi mengeluh juga.

Tapi saya bukan hidup seorang. Kalau saya mahu hidup senang dan selesa, orang lain pun mahu hidup macam saya. Cuma saya tidak ada kemampuan menolong mereka secara berkesan kerana saya tidak seperti orang kaya, orang berpendapatan tinggi, pakar-pakar berbagai bidang, ketua beberapa NGO dan bekas Perdana Menteri. Apatah lagi saya tiada kuasa seperti Perdana Menteri,Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Menteri.

Saya hanya mampu menulis di blog. Untuk bersama TURUN pun saya tidak mampu walaupun saya sokong sepenuhnya kepedulian mereka itu atas kesenggsaraan rakyat dengan kenaikan harga.

Jadi, wahai orang kaya, berpendapatan tinggi dan puak-puak yang tersenarai diatas, jangan sekali-kali kamu semua menyakitkan hati rakyat yang susah itu dengan komen-komen yang tidak bertanggungjawab dan tidak membantu meringankan beban hidup rakyat itu, yang bersifat memandang rendah usaha mereka yang mahu memperjuangkan nasib rakyat itu.   

Bekas PM kata mereka yang berhimpun untuk mendesak kerajaan TURUN kan harga pada malam tahun baru sebagai tidak demokratik kerana tidak mewakili suara majoriti. 

Sesungguhnya kehidupan mewah bekas PM itu telah membuatkan dia lelan dan tidak sedar bahawa majoriti rakyat adalah susah dan berpendapatan kecil. Mereka ini akan menggunakan wang mereka dengan begitu cermat sekali, satu sen pun sungguh bermakna kepada mereka. Apakah bekas PM itu membuat kesimpulan bahawa bilangan yang hadir TURUN itu tidak menjadi suara majoriti kerana orang susah itu tidak hadir?

Itulah sifat dan sikap orang yang hidup mewah yang tahu hal orang susah, tapi tidak mahu ambil peduli selagi kehidupannya tidak terjejas. Malah menyampaikan 'nasihat' mengajak orang susah berjimat cermat, kerja kuat dan buat banyak kerja untuk tambah pendapatan, bertenang dan bersyukur atas ketentuan takdir, dan jangan ikut mereka yang menentang kenaikan harga barang. 

Saya cadangkan orang-orang itu termasuk bekas PM, agar duduk bersama dengan orang kampong yang susah, tak lama sebulan saja, dan tolonglah buat kerja dibendang. Cuma saya ingatkan, kipas dan aircond tidak ada. Mereka pakai yang asli saja selain dari berlenggeng, tak pakai baju.

Saya sendiri tidak sanggup berpanas dan berlenggeng. Sebab itu kena bayar bil letrik yang tinggi, datang hujung Januari nanti, terimalah saja.

Nak buat macam mana. Silap-silap protes kena tangkap pula.

Rabu, 1 Januari 2014

Dialog Harga Naik




Dialog harga naik di kedai Barang Naik. Pendialog terdiri dari Gula, Petrol, Letrik , Tol , dan tuan kedai Barang Naik..
Gula: Aku give up lah. Naik sikitpun orang dah marah, suruh turun. Apa dia ingat aku ni tak ada nilai ke?

Petrol: Menyampah aku dengan orang TURUN tu. Dia ingat dia saja nak naik. Gaji nak naik, yang kita ni dia suruh turun. Mana adil.

Letrik: Kau pergi ke malam tadi, kat dataran merdeka. Orang sibuk nak meraikan menyambut tahun baru 2014, dia orang sibuk buat kacau. Buat bising. Datuk bandar berucap pun dia orang booo. Apa punya manusia, tak tahu berterima kasih. Tak bersyukur. Datuk bandar keluar belanja lima belas juta untuk menyambut tahun baru 2014. Bunga api pun tak boleh main. Buat kacau jer.

Tol: Aku rasa dia orang tu dapat datang ramai-ramai sebab harga aku belum naik. Nantilah tak lama lagi bila harga aku naik, terpeleot dia orang tu.

Gula: Oii tol, macam mana harga kau nak naik. Kau baru saja diwar-warkan nak naik, belum naik lagi. Lainlah macam kami bertiga ni. Itupun dia orang suruh turun. Benci aku.

Petrol: Dia orang tu memang tak bersyukur. Pergilah Singapore. Tengok harga petrol macam mana. Mengada-ada.
Letrik: Humbankan saja dia orang tu ke tempat lain. Langsung tak patriotik. 

Secara serentak, gula, petrol, dan letrik  berkata: Kalau dia orang kena humban  ke tempat lain sapa pula nak pakai kita . Tak lakulah kita. Turunlah harga kita.

Tol: Abislah peluang aku nak rasa harga naik.

Tuan Kedai BN: Harga turun ke? Abislah aku.....aduh... duh... duh...duh . Apalah malangnya nasib diriku ni.....tutuplah kedai BN aku ni. 

Tinggallah 2013 dengan iringan cerita raja buta dengan penari tutup mata untuk menuju tahun 2014.



Apakah yang wajar saya bicara sebelum meninggalkan tahun 2013. Suatu bicara yang lain dari kisah-kisah yang berlambak diperkatakan berbagai pihak.  

Cerita fasal politik sudah berlambak. Tak habis-habis fasal politik. 

Fasal harga barang naik pun, semakin memanas. Banyak yang berminat membicarakannya sebagai tanda ingatan meninggalkan tahun 2013 sebelum memasuki tahun 2014. 

Antara yang dibicarakannya ialah bahawa yang duduk ditengah diantara dua tahun ini adalah rakyat yang terhimpit dengan kenaikan kos sara hidup. Mereka tidak jemu-jemu membicarakan fasal TURUN dan mendesak kerajaan untuk TURUN bersama,  sambil mengingatkan kerajaan agar lupakan saja mimpi ngeri jatuh terguling dari puncak gunung. 

Mahu bicara fasal agama, saya bukan ahlinya. Ilmu agama tidak setinggi gunung everest dan tidak sedalam lautan pasifik . 

Saya tidak juga menguasai perkara-perkara asas dalam ekonomi dan kewangan, apatah lagi hendak berlagak sebagai pakar untuk dijemput menjadi pakar runding ekonomi dan kewangan negara, menjadi penasihat. 

Tapi kalau ada yang gila, yang mahu juga menggunakan saya sebagai pakar runding untuk menjadi penasihat ekonomi dan kewangan kerajaan, satu hal yang saya berani jamin ialah saya akan jadi punahsihat kerajaan paling cekap. 

Tak sampai sebulan negara akan jadi bengkerap. Sebab, bagi saya, sementara kita ada kuasa, ada duit mesti belanja. Bila tak ada kuasa, ambil duit satu sen pun kita kena dakwa, lepas tu masuk penjara.

Jadi apa subjek yang saya mahu bicara. Kisah cinta? Alamak malunya, cucu sudah ada dua, mahu masuk tiga, insyaAllah bulan Februari, tigalah bilangan cucu saya. 

Fasal jenayah, fasal rasuah, penipuan, salah guna kuasa , mat rempet, pendidikan waemah apa saja yang datang dalam otak kepala saya, semuanya telah menjadi perkara biasa, sudah banyak kali dibincangkan. Cuma yang saya tahu, tidak ada  satu hal pun, yang dibicarakan menemui penyelesaian yang terbaik.  

Jenayah semakin meningkat; rasuah , seluruh dunia tahu kedudukan no. 2 Malaysia selepas China dalam amalan rasuah; sama juga dengan penipuan dalam menguruskan wang negara dan salah guna kuasa, satu ciri pengurusan yang sudah menjadi darah daging; merempet? ah lupakan saja kerana itu kesukaan anak muda Melayu, tidak boleh tegur dan dilarang, nanti dilanggarnya kita dengan kelajuan motor kapcainya; pendidikan pula, kita pada kedudukan menghampiri corot.

Oh ya, tiba-tiba saya dapat satu inspirasi. Saya ada satu cerita istimewa sempena mengucapkan selamat tinggal tahun 2013 dan menyambut tahun baru 2014. Saya percaya, cerita ini adalah cerita ekslusif saya.

Cerita seorang raja  buta dengan sekumpulan penari yang menutup mata. Begini bunyi ceritanya.

Alkisah maka di ceritakan oleh yang empunya cerita, ada sebuah kerajaan yang bernama Entah Apa-apa, yang Rajanya buta semenjak menaikki tahta. Walaupun  buta, siraja ini masih lagi diminta untuk terus  bertahta selagi nyawa dikandung badan.

Pada suatu hari, iaitu hari kebesaran menyambut ulang tahun raja naik tahta, raja buta itu dipimpin oleh permaisuri keluar dari bilik beradunya untuk bersemayam di balai rong seri. 

Setiba saja di balai rong seri  dalam perjalanan menuju kesinggahsana untuk melabuhkan punggungnya, kedengaranlah bunyi seperti orang bangun berdiri. Raja itu tersenyum bangga kerana dia tahu  bahawa semua para menteri dan juak-juak istana berdiri membongkok sambil merapatkan dua tapak tangan mencecah dahi, menyembah kasih.

Berbisiklah dalam hati raja itu,"terror aku, walaupun aku buta".

Sebaik saja raja itu duduk diatas kerusi yang bersalut emas permata, maka terdengar di gegendang telinga raja itu bunyi seperti orang mahu duduk. Maka secepat kilat otaknya memberitahu bahawa semua para hadirin mula boleh duduk setelah dia terlebih dulu melabuhkan punggungnya.

"Hebat aku. Aku duduk dulu baru rakyat boleh duduk". Tersengih raja itu menampakkan giginya yang rongak.

Permaisuri berbisik sesuatu ke telinga raja itu. Raja mengangguk kepalanya dua tiga kali anggukan yang disaksikan oleh para hadirin. Fahamlah mereka bahawa majlis sembah kasih akan bermula.

Permaisuri yang mewakili batang tubuh raja itu meminta para menteri mendatangkan diri, merafak sembah menjunjung kasih, dan  melaporkan apakah persembahan yang dibawa pada hari ulang tahun naik tahta raja itu.   

Seorang demi seorang menteri mendatangkan diri, memohon ampun akan persembahan yang dibawa sebagai tanda kasih sayang kepada raja itu. Semua persembahan di sambut dengan senyuman oleh raja, tanda perkenan baginda keatas apa yang  dipersembahkan. Tapi raja amat teruja dengan persembahan yang didatangkan oleh menteri hiburan. Persembahan dari penari menutup mata.  

"Beta mahu melihat bagaimana orang menari dengan menutup mata. Tidak berlanggar ke?"

"Tidak tuanku, mereka penari professional. Setiap langkah tarian akan dikira. Patik berjanji, tidak akan berlaku dihadapan mata tuanku, penari-penari itu akan berlanggar waktu menari. Mereka professional, tuanku". 

Senyuman raja semakin melebar. Senyumnya menjadi lebar sebab dia tidak percaya penari-penari itu tidak berlanggar sesama sendiri waktu menari. Jika berlaku perlanggaran , dia mahu menghukum menteri hiburan itu untuk melakukan ketuk ketampi. Dia mahu ketawa besar jika itu berlaku. 

Maka dititahnya menteri hiburan itu membawa  masuk penari-penari tutup mata itu untuk segera mengadap menyembah tari. Kata raja itu dia tidak sabar untuk melihat penari-penari itu menari.  

Maka masuklah penari-penari ke balai rong seri,  mata ditutup dengan ikatan kain hitam diiringi  gendang tarian. Maka menarilah mereka mengikut pukulan gong dan gendang.

Raja yang bersemayam disinggahsana kelihatan terlalu enjoy, mahu join menari lagak gayanya. 

Paluan gendang dan gong semakin hebat menembusi gegendang telinga raja. Tiba-tiba seorang dari penggendang itu, terlepas dari pegangannya akan pemukul gendangnya lalu mengenai kepala rakan disebelah, "Oduh, sakitnya".

Mendengarkan jeritan itu raja menitahkan tarian itu dihentikan segera. 

'Betullah sangkaan ku penari tutup mata itu akan berlanggar sesama sendiri. Mana mungkin orang tutup mata boleh nampak', bisik raja itu dengan mengukirkan senyuman menghukum.

"Benar apa yang beta saspek, berlaku perlanggaran. Betul tak?"

"Ampun tuanku, benar tuanku", kata menteri hiburan berdatang sembah.

"Oleh kerana kamu telah berjanji, dan janji tidak ditepati maka dengan kuasa yang ada pada beta, kamu dihukum melakukan ketuk ketampi 1,000 kali". Mamak-mamak menteri yang lain setuju? Adinda setuju?" titah raja itu.

Maka berdatang sembahlah permaisuri dan semua mamak-mamak menteri termasuk mamak menteri hiburan dengan serentak menyatakan taat setia. 

"Apa titah tuanku benarlah belaka. Hitam kata tuanku, hitamlah kata patik pacal-pacal yang hina ini".

Maka ketawa besarlah raja itu mendengarkan kata pacal-pacal yang hina itu.

Kemudian berdatang sembah menteri hiburan itu untuk mohon ampun dan izin melakukan ketuk ketampi itu. Tetapi belum sempat bersuara, raja itu berkata, " Bagus. Laju sedikit turun naik tu. Ya, macam tu lah. Beta raja".

"Ampun tuanku, ya , tuanku raja", kata menteri hiburan yang masih lagi belum melakukan ketuk ketampi.

Itulah cerita saya, inspirasi dari berbagai peristiwa yang berlaku disekeliling kita sepanjang tahun 2013. Apa kata PM, begitulah kata menteri dan juak-juaknya seperti dalam cerita raja buta menonton penari tutup  mata.