Theflowersellingboy

Jumaat, 22 November 2019

Kita Perlu Pahlawan Yang Ada Liabiliti....Cukuplah Anakanda Sebagai Aset




Pada suatu hari seorang raja yang baru saja ditahtakan buat kali kedua memanggil rakyat jelatanya mengadap di balairong seri  untuk memberitahu rakyat sekalian bahawa dia perlu mencari tiga orang untuk dijadikan pahlawan negara yang taat setia yang tidak berbelah bagi. Raja itu ditemani oleh putera kesayangannya.

Maka dititahkan kepada rakyatnya bahawa sesiapa yang dapat mencari 3 orang yang taat setia yang tidak berbelah bagi itu akan dianugerahkan dengan gelaran Diraja Datuk Unggul Nan Gagah  Utama (DUNGU) dengan diiringi sepersalinan pakaian Diraja.

Maka bergembiralah seluruh yang hadir, bersorak tepuk tangan dengan laungan Daulat Tuanku, Junjung Kasih Tuanku dan Hidup Selama-lama Tuanku Yang Dikasihi.

Setelah suasana riuh rendah reda, Raja itu  bertitah lagi bahawa setiap orang yang mencari tiga pahlawan itu wajib menyediakan laporan tentang latarbelakang setiap pahlawan itu untuk dibentangkan dalam perjumpaan yang akan ditentukan dua minggu dari tarikh perjumpaan untuk mendapat perkenan raja.

"Kamu semua mesti menyediakan resume setiap orang yang dicadangkan untuk menjadi pahlawan untuk pertimbangan beta", Titah Raja itu. "Sekarang semua orang boleh bersurai dan buat kerja kamu segera", Sambung titahnya sebelum berangkat masuk kamar istana bersama puteranya.

Direngkaskan cerita, pada hari yang tetah ditetapkan mengadaplah rakyat di balairong seri , masing-masing hadir bersama dengan pahlawan yang dicadangkan beserta resume mereka untuk dibentangkan dihadapan raja.

Maka seorang demi seorang rakyat membentangkan cadangan masing-masing. 

Semua cadangan melaporkan sifat-sifat terpuji orang yang dicadangkan : seorang ikhlas, jujur, amanah, berbudi bahasa, dari keturunan yang baik-baik, taat pada Allah, gagah , pandai ilmu mempertahan diri dan tidak gentar menghadapi lawan dan taat kepada raja.

Raja mendengar kesemua pembentangan itu tanpa memberi reaksi yang menunjukkan minatnya terhadap orang yang dicadangkan untuk jadi pahlawan. 

"Ada sesiapa lagi yang mahu memberi cadangan?" Titah Raja.

Maka tampillah ke hadapan seorang yang wajahnya kelihatan pucat , berjalan membongkok diri mengadap raja untuk mempersembahkan cadangan.

" Ampun tuanku, beribu-ribu ampun. Sembah patik harap diampun. Adapun orang yang patik hendak cadang untuk menjadi pahlawan tuanku tidaklah semulia sifatnya seperti yang tuanku dengar  dari pacal-pacal tuanku tadi. Gementar juga patik hendak menyatakan takut-takut menjadi kemurkaan kebawah duli tuanku".

" Beritahu, beta sedia mendengarnya", Raja meredakan ketakutan sipencadang itu.

"Ampun tuanku. Adapun orang itu telah melakukan berbagai jenayah. Sebut sahaja apa jenayah, dia telah melakukannya dan.....".

"Hahahahaha....itulah yang beta nak cari untuk menjadi pahlawan beta.", Raja ketawa besar sebelum sempat pembentang cadangan itu menyambung pembentangan.

Rakyat senyap, saling pandang memandang , kehairanan. Hendak bersuara takut dimurka oleh raja. Pembentang cadangan pun sama terkedu, mulut ternganga dan lidah kelu untuk berkata.

"Beta ucapkan terima kasih cadangan kamu. Beta terima cadangan kamu kerana tiada cacatnya. Seperti yang beta telah janjikan bahawa bermula hari ini kamu diberi gelaran DiRaja dengan Panggilan Datuk Unggul Nan Gagah Utama (D.U.N.G.U). Kamu boleh gunakan dalam apa sahaja dokumen dan surat menyurat.

Rakyatpun bersurailah, tiada kata-kata mengiringi langkah mereka, hanya terpinga-pinga melainkan yang telah bergelar Datuk Diraja : Datuk Unggul Nan Gagah Utama (D.U.N.G.U) yang berjalan tanpa membongkok lagi, tersenyum bangga.

Setelah semua rakyat meninggalkan istana, putera raja bertanya ayahandanya,

"Fasal apa ayahanda ambil orang jahat jadi pahlawan sedangkan ada orang baik yang dicadangakan?"

Raja ketawa terbahak-bahak sampai menepuk bahu puteranya dan berkata, "Banyak benda yang anakanda kena belajar jika mahu terus jadi raja. Orang jahatlah yang kita boleh gunakan untuk kepentingan kita untuk terus berkuasa. Kita boleh tarik hidungnya kemana sahaja kita suka dan bila-bila masa. Sebab dia ada masaalah".

"Tapi ayahanda, orang jahat menjadi beban kepada kita. Dia adalah liabiliti, bukan aset".

"Benar anakandaku. Untuk berkuasa dan terus berkuasa kita mesti pandai jadikan liabiliti sebagai aset kita. Kita 'turnaround' jadikan aset".

"Anakanda tak faham. Tapi anakanda patuh pada ayahanda".

"Bagus. Sikap patuh itu adalah aset bagi ayahanda". Mereka melangkah ke bilik santapan.

Rabu, 20 November 2019

BERMUHASABAHLAH SEKELIAN ORANG




PM Mahathir terus bertahan untuk terus jadi PM walaupun mengakui keputusan PRK Tg Piai yang mana PH (Bersatu ) kalah teruk, dan kekalahan itu ada kaitan langsung dengan kepimpinannya. 

Mahathir terus dengan retorik politiknya bahawa dia akan menunaikan janji untuk serah kuasa kepada Anwar seperti yang dipersetujui sebelum PRU 14 dan dengan lidah yang sama mengatakan bahawa belum sampai masanya untuk menyerahkan jawatan PM itu kepada Anwar.

Beliau konsistem menggunakan naratif yang membawa maksud yang sama bahawa beliau masih mahu terus memimpin, bahawa kekalahan di Tg Piai bukan sebab baginya untuk berundur.

Walaupun tanda atau alamat untuk beliau berundur telah terlalu jelas, pertama kekalahan teruk di TG Piai, diikuti dengan suara-suara menggesa beliau meletakkan jawatan dan serah kuasa kepada Anwar dari kalangan ahli dan pimpinan PH, beliau tetap meyatakan belum tiba masanya untuk berundur. 

Faktor lelah dan kurang tenaga fizikal atas sebab usia yang lanjut tidak langsung mematahkan keinginannya untuk bertahan. Apakah hidungnya yang berdarah sewaktu sidang akhbar dalam satu persidangan tidak dapat memberi sedikit masa baginya untuk memikirkan bahawa itu adalah satu petanda bahawa khidmat beliau telah sampai ke penghujung?


Muhasabahlah wahai Perdana Menteri ku yang telah banyak jasa kepada bangsa dan negara. Apakah peluang kedua yang telah diberikan ini masih tidak mencukupi? Apakah  yang hendak dibuktikan lagi? 

Tidak dinafikan bahawa ada gerakan, usaha dan suara-suara  yang menyatakan sokongan untuk Mahathir terus berkhidmat sehingga habis ke PRU 15. Tetapi apakah Mahathir yang mempunyai pengalaman berpolitik yang tidak ada tolok banding itu tidak mampu untuk menilai akan keikhlasan gerakan dan suara sokongan itu?

Siapakah mereka itu?

Mahathir tahu siapa mereka dan terlalu rapat dengan sebahagian dari mereka dan tahu apa tujuan mereka. Dan Mahathir juga tahu ada diantara mereka datangnya dari musuh politik ketat yang tak pernah sebulu dengannya, tetapi boleh sahaja menukar naratif politik dengan mempersembahkan dalil agama yang melunak serta meransang keinginan untuk kekal berkuasa dengan hujah antaranya  demi kepentingan bangsa dan negara serta institusi raja, bahawa DAP  satu dari komponen PH adalah komunis dan amat bahaya. 

Hahahahaha...orang ini macam nak memperbodohkan Mahathir.

Mereka adalah pihak yang tidak ikhlas dan jujur. Merekalah yang tidak bersetuju Mahathir menjadi Perdana Menteri jika PH menang kerana alasannya Mahathir sudah tua. Apakah Mahathir tidak tahu tentang ini? Atau sudah lupa?

Siapakah yang mencadangkan agar Mahathir usah lagi bergiat dalam politik kerana usia yang telah tua hanya layak berada di masjid dan duduk di atas tikar sejadah serta bermain dengan cucu. Sebab itu ada yang memberi gelaran PM ini sebagai 'Atuk' yang menjaga cucu. Mahathir hanya layak jaga klinik, satu lagi kata penghinaan. Sudah lupakah ini?

Mungkin semasa bersetuju bekerjasama dengan Anwar Ibrahim, Mahathir sanggup melupakan kebenciannya terhadap Anwar atas sebab yang beliau sendiri tahu kerana semata-mata untuk menjatuhkan Najib. Begitu juga Anwar mempunyai tujuan yang sama, untuk menjatuhkan Najib, Ngam kesatuan niat mereka. 

Tanpa kerjasama diantara dua orang yang bermusuh ini, Najib dan BN tidak mungkin boleh dikalahkan.

Dan Anwar Ibrahim pula mensyaratkan bahawa kerjasama dengan Mahathir bukan setakat menjatuhkan Najib tapi lebih dari itu iaitu untuk meneruskan agenda Reformasi yang diperjuangkan. Mahathir tiada pilihan terpaksa bersetuju kerana untuk menjatuhkan Najib mereka mesti bekerjasama.

Akhirnya mereka bersetuju dikuti dengan perjanjian seperti yang dimaklumkan iaitu jika PH menang:

1. Mahathir jadi PM sementara, bukan sehingga PRU 15. Dua tahun lebih kurang.
2. Wan Azizah jadi TPM
3. Usaha mendapat pengampunan Anwar dari Agong dilakukan untuk membolehkan Anwar bertanding dan seterusnya jadi PM selepas Mahathir. 

Oleh itu apakah ada alasan lain atau sebab-sebab lain mengapa persetujuan yang telah dicapai itu menjadi satu isu yang makin panas dalam PH sehingga ada gerakan untuk menyekat Anwar jadi PM ke 8?

Ini soal janji. Pihak Anwar telah tunai janji apabila Wan Azizah menolak untuk jadi PM semasa bertemu dengan Agong setelah kemenangan PH diumumkan. Sekarang giliran Mahathir pula tunai janji.

Oleh itu jangan ada mana mana pihak kawan atau musuh yang berpura-pura dan menjadi dalang untuk menghalang Anwar jadi PM. Apatah lagi parti yang tidak ada kena mengena dengan persetujuan yang telah diikat dikalangan pimpinan PH. 

Duduk tepilah kamu!

Jadi bermuhasabhalah wahai perdana menteriku. Bermuhasabahlah wahai mereka yang mahu menghalang Anwar jadi PM. Tunggulah PRU 15 untuk berbuat demikian . i

Sesungguhnya bermuhasabah adalah satu formula yang terbaik untuk Mahathir lakukan kerana disana ada keberanian politik yang terpuji untuk mengundur diri dan bagi Anwar membuktikan bahawa beliau boleh melakukan kearah lebih baik bagi mengangkat Harapan..... Harapan Rakyat dan Harapan Negara. Sudah tentu untuk Parti Harapan juga untuk menjadi parti Harapan Rakyat.
   

Isnin, 18 November 2019

MUHASABAH POLITIK




Tahniah Dr Wee Jeck Seng calun MCA dari Muafakat Nasional UMNOMCAMICPAS yang menang majoriti besar PRK Kecil Tg Piai pada 17 November 2019. Kemenangan yang luarbiasa dari Muafakat Nasional (MN). Rakyat sudah memilih.

Ya, rakyat sudah memilih, PH walaupun amat sedih kena terima hakikat ini.

Berbagai komen tentang kekalahan PH ini. Ada yang mengatakan disebabkan tidak tunai janji, kos sara hidup yang semakin meningkat dan berbagai lagi sebab termasuk mainan isu perkauman dan agama. Tidak kurang juga yang menuding jari.

Disamping MN bergembira dengan kemenangan besar dan PH berdukacita dengan kekalahan yang memalukan, kedua-dua pihak wajar tidak terlalu hanyut dengan apa yang telah berlaku sebaliknya terus bekerja memenuhi harapan rakyat di Tg Piai khasnya dan negara amnya. Jangan hanyut dengan kegembiraan wahai MN dan jangan pula terus berduka diatas kekalahan, aduhai PH.  

BERMUHASABAHLAH !

Bermuhasabah, bukan sahaja bagi yang kalah. MN pun perlu bermuhasabah, agar tidak hanyut dan khayal dengan kemenangan kerana ada sebab-sebab yang membantu kemenangan MN, dan ianya perlu bukan sahaja dikekalkan bahkan ditambahbaik. Ingat, kemenangan tidak akan kekal selama-lamanya jika kemenangan itu menjadi sebab kepada kelalaian dan sombong diri.

PH, jangan terus berduka, tuding jari mencari kesalahan. Setiap ahli PH dari kepimpinan tertinggi  ke akar umbi, dari ahli dan penyokong dan yang bersimpati, perlu bermuhasabah. Tuding jari pada diri anda sendiri. Cermin diri kerana disana ada jawapan, jika anda jujur untuk mencari jawapan bagi sekali lagi mencipta kejayaan.

MN, diatas kemenangan terimalah pantun ini. PH kerana sebak kekalahan terima juga pantun yang sama:

Tanjung Piai  selat Melaka
Negeri Johor Darul Takzim
Ketawa berderai, ada yang duka
Menang dan kalah tidak bermusim

BERMUHASABAHLAH KAMU KERANA KEPERIBADIAN KAMU ADALAH FAKTOR UTAMA MENENTUKAN KALAH DAN MENANG KAMU
DEKATI DAN SAYANGI RAKYAT BERKONGSI  KESENANGAN DAN KESENGSARAAN RAKYAT.

Sekali lagi tahniah kepada MN.

Kepada PH, yang dikhabarkan akan bermesyuarat untuk bedah siasat kekalahan pada minggu depan, saya mendoakan mesyuarat itu berjalan dengan semangat dan sikap yang hanya untuk mencari jalan bagi menghasilkan kemenangan pada masa depan. Jujur, Ikhlas dan Sanggup menerima teguran walau apapun kedudukan dalam parti.

Sekali lagi PH mesti BERMUHASABAH kerana disana boleh dijadikan asas dalam membina semula kekuatan untuk mencapai kemenangan melalui tindakan-tindakan berikut:

Mahathir sebagai pemimpin tertinggi yang telah banyak berjasa dan bekerja kuat untuk memenangkan PH, mengambil KEPUTUSAN POLITIK yang berani untuk BERUNDUR DIRI.

Mahathir 
          Undur 
                    Harap 
                              Anwar 
                                       Segera 
                                                  Ambilalih 
                                                             Bersama-sama 
                                                                                   Angkat 
                                                                                         Harapan.
  
Semoga PAKATAN HARAPAN ADA MASA DEPAN.