Theflowersellingboy

Sabtu, 30 Disember 2017

CHINA KUI (kui bunyikan kuwi)




China Kui (CK -kui bunyikan kuwi). 

Apa itu CK? Saya terjemahkan sebagai China Hantu atau boleh juga dibaca sebagai Hantu China. Mana-mana pun membawa maksud yang sama dan dilabelkan menjalankan peranan yang sama. Peranan sebagai hantu, yang menakutkan dan jahat.

Ya, CK itu adalah hantu. Hantu dari keturunan China. Tapi tidak semua orang China itu dilabel dan dikatakan berperanan sebagai hantu. Ada China yang boleh dibuat kawan kerana China jenis itu dikatakan kumpulan yang baik dan boleh berkawan dengan mereka.

Dengan demikian CK ini adalah hantu dari sebahagian keturunan China. Hantu yang kita mesti  jauhi dan elakkan bertemu apatah lagi berkawan rapat dengannya. Hantu itu jahat dan  hodoh rupa dan bentuk fizikalnya.

Tentang hantu yang berwatak jahat ini, takkan kita lupa cerita yang dikarutkan oleh nenek kita dulu. Ketika kita masih anak kecil bersama dengan kakak, adik dan abang  cerita hantu yang dikarutkan oleh nenek dulu  menghantui kita setiap malam waktu mahu tidur .  Sudah tentu masih ingat bukan? Kerana ceritanya membawa satu tema sahaja iaitu menakutkan kita agar kita memeluk dengan rapat antara satu sama  lain dan berebut-rebut untuk dapat memeluk nenek. Kita pun tertidurlah. Dan nenek senyum kerana telah berjaya menidurkan cucunya disebabkan terlalu takut.

Hahahahaha....bijak juga nenek kita itu!

Setiap malam itu cerita yang dibawanya. Ada hantu dapurlah, hantu airlah , hantu teteklah dan macam-macam nama lagi. Walaupun ceritanya menakutkan tapi kita suka mendengarnya. Kalau nenek terlupa kita minta dia mengkarutkan cerita itu lagi. Apa lagi tukang karut dengan setia melakukannya.

Itu cerita hantu dari nenek. Cerita dulu dulu sewaktu tiada tv dan hiburan yang lain. Setiap malam kita boleh dengar kerana nenek suka menceritakannya kerana kita percaya.

Tapi sekarang anak-anak kecil sudah tidak percaya lagi cerita hantu itu. Bukan itu sahaja, ada yang mencabar jika sebenarnya ada hantu mereka mahu jumpa hantu itu. Mereka mahu bukti. Ada bukti boleh percaya. Tiada bukti, buang masa mereka saja.

Adakah cerita hantu tidak relevan ketika ini? 

Masih relevan dan penting. Sebab ada orang yang percaya. Orang berpelajaran tinggi percaya, yang duduk di bandar percaya, yang duduk luar bandar dan yang kurang pelajaran pun percaya. Mereka ini adalah sebahagian dari orang Melayu. 

Tema cerita tetap sama macam cerita cerita hantu nenek. Menimbulkan rasa takut dan tidak selamat. 

Seperti anak-anak kecil dulu dulu itu, mereka ini (sebahagian dari orang Melayu) itu, mencari tempat berlindung yang mereka percaya boleh menyelamatkan mereka dari hantu yang bernama China Kui itu. Mereka percaya China Kui itu jahat, teramat jahat. Bangsa, agama dan raja mereka akan dikacau ganggu oleh China Kui ini. "Akan terhapus", kata mereka , sampai menyampai ke seluruh pelusuk negara. 

Cuma cerita hantu itu ada di Malaysia sahaja dan bermusim.  Dan hanya di percayai sebahagian dari Melayu atau di harap akan dipercayai oleh semua Melayu.

China Kui ini muncul biasanya  4 tahun sekali. Kadang-kadang-kadang lima tahun. Dan ada juga pada tempoh masa kurang dari itu jika ada orang politik yang mati.

Sekarang ini China Kui ini muncul dimana mana. Tiap-tiap hari dan saat boleh kita baca dan dengar kisah China Kui ini yang digambarkan dan dikatakan sedang menyerang bangsa Melayu, Agama Islam dan institusi raja-raja Melayu. 

"Oh bahaya tu" , kata tukang karut yang bawa cerita China Kui ini. Maka menyerulah tukang karut itu agar orang melayu bersatu dan mencari tempat berlindung yang selamat. 

"China Kui tidak boleh dipercayai. Dia telah memperkudakan pemimpin Melayu. Pemimpin Melayu yang dulu takut pada China Kui dan ketika ini berkawan rapat dengan China Kui adalah pengkhianat bangsa"Kempen tukang karut dalam berbagai media.

Ada yang percaya. 

Dan banyak yang tidak percaya lagi. Apa bukti, tanya orang Melayu yang tidak percaya. 

"Ya, buktinya kes 1 MDB. Kekayaan negara sudah dilarikan orang", sindir orang Melayu yang tidak percaya itu.

"Betul tak?", Tanya Melayu yang tak percaya tentang China Kui itu.

Ternganga melopong orang Melayu yang percaya tentang China Kui itu. Tidak mampu mengkarutkan cerita China Kui itu lagi. Mereka susah hati kerana  plilihanraya tak lama lagi.

Hahahahahahahahaha.....hanya cerita sebelum PRU 14 saja. Jangan marah.















Sabtu, 23 Disember 2017

FELDA: TIPAH TERTIPU LAGI




Felda kena tipu lagi. Macam lagu Tipah Tertipu Lagi nampak gayanya Felda ni. Tak habis-habis felda rugi dalam berniaga. Saham FGV merudum. Berniaga hotel rugi. Buka Farmasi rugi. 

Tak kisahlah itu semua. Adat berniaga kan. Tak untung rugi. Kalau  takut ambil risiko rugi , usahlah berniaga. Tapi bukankah peneroka itu perlu didedahkan dalam dunia perniagaan dan perdagangan. Tak begitu, dasar kerajaan kita? 

Hehehehehe.....felda oh felda nasib kaulah felda.

Kau rugi dalam berniaga, rasanya bolehlah  diterima walaupun amat mendukacitakan. Sebab macam aku kata tadi, dalam berniaga ada untung ada rugi. Itu hukum berniaga. Ada juga dikatakan pulang modal atau orang putih kata 'break even'.

Tapi kau berniaga rugi sebab kau kena tipu. Itu yang aku tak boleh terima. Tambah-tambah lagi kau kena tipu kaw kaw. Terang-terang kau kena tipu.

Kau pindahmilik tanah kau yang amat berharga tu kepada pihak lain tapi kau tak terima bayaran. Eh hebat ker cara tu? Kau seronok ker?

Aku dengar cerita, mula-mula kau beri atau wakilkan kuasa undang-undang atau Power of Attorney (PA) kepada pihak yang mahu rancang dan majukan tanah kau tu. Lepas tu , cerita yang aku dengar mengatakan pihak yang diberi kuasa undang-undang itu menukarmilik tanah itu kepada syarikat tertentu.

Eh macam mana boleh buat begitu yek? Aku tanya, sebab tanah itu masih atas nama kau sebagai pemilik yang berdaftar. Hanya dengan persetujuan pemilik berdaftar, pindah milik boleh dilakukan. Itu pun mesti ada balasan atau consideration, misalnya berapa harga yang perlu dibayar. 

Atau tiada apa-apa balasan ker? Atas nama kasih sayang ker, diantara seorang ayah kepada anaknya? Eh biar betul kau ni felda. 

Adakah dalam wakil kuasa undang-undang yang kau berikan itu terdapat terma atau klausa yang memberikan hak kepada pemaju itu melakukan pindah milik tanpa persetujuan dari pemilik berdaftar? 

Aku tak percaya terma atau klausa itu ada dalam kau punya PA tu. Kalau ada ianya amat gila sekali. Kalau pun ada , pindah milik tidak akan boleh dilakukan tanpa kau bersetuju dengan menurunkan tanda tangan dalam Borang 14A. 

Maknanya kau wahai sang felda memang tahu dan bersetuju tanah itu dipindah milik. Tanpa kau tanda tangan borang itu dan menyatakan balasan yang kau setuju kerana melepaskan hak milik kau tu, pindahmilik tidak akan boleh berlaku.

Takkanlah pendaftar hakmilik tanah tak tanya berapa  balasan yang kau dapat. Kau mesti tulis dalam borang 14A tu. Mesti ada nilainya sekurang-kurangnya untuk duti stem. Tak begitu.? Lagipun mustahil atas nama kasih sayang sebagai balasan. Eh sudah tentu bukan anak kau yang dapat tanah tu.

Kau kena tipu felda. Eh kau tak mengaku kena tipu? 

Kalau begitu kau sama-sama menipu kot? Jangan marah aku tanyer jer.

Kau berniaga rugi, aku tak marah sangat. Itu adat berniaga. Kau berniaga rugi , kerana kena tipu, aku mula marah kerana kau tidak berhati hati dalam urusniaga dan mungkin kau tiada ilmu berniaga yang baik tapi sanggup menerima tanggungjawab. 

Dan aku teramat MARAH kalau kau menipu sama. Kau nak tahu siapa aku?  Aku adalah TIPAH. Dah banyak kali aku kena tipu.

Selasa, 19 Disember 2017

PARTI-PARTI POLITIK: Berkempenlah Secara Waras.




Perang antara parti dalam alam maya sengit sekali. Buka saja FB, terpampang kempen maya. Tandanya PRU 14 sudah terlalu dekat.

Mereka berkempen untuk mempengaruhi rakyat khususnya pengundi memberi undi kepada parti mereka pada PRU 14 nanti. Mereka mahu rakyat MENYERAHKAN  KUASA untuk menjadi kerajaan selepas pilihanraya bagi menguruskan kekayaan negara.

Ya, mereka mahu kuasa untuk mengurustadbir kekayaan negara demi rakyat dan negara. Satu matlamat yang murni.

Tapi sayang sekali semua parti-parti yang  terlibat, sama ada parti yang dikatakan bersifat sekular , liberal mahupun yang mendakwa sebagai parti berjuang atas nama agama, dari peringkat pimpinan dan penyokong, mereka berkempen secara akal yang tidak waras. Ada parti (pimpinan dan penyokong) pada tahap melebihi dari gila.

Malang sekali, kita terpaksa memilih diantara parti-parti bertahap gila untuk kita serahkan kuasa. Sudah tentu rakyat dan negara akan menjadi mangsa.

Saya bukan cakap kosong. Bacalah paparan dalam FB. Dengar juga video kempen mereka. Apa yang mereka hidangkan. Apa ayat atau kata-kata yang pimpinan dan penyokong setiap parti guna dan hamburkan.

Tidak lain dan tidak bukan maki hamun. Bahasa dan kata kata yang kasar. Melaknat dan mengkafir. Menghina antara agama dan kaum. Menaikkan rasa benci dan dendam. Banyak bohong dari benar.

Tapi undang-undang tidak mengambil tempat secara berkesan untuk mendakwa perbuatan yang gila itu. Ya, kadang-kadang ada juga tindakan diambil, tapi sifatnya memilih.

Ya, itu yang sedang berlaku sekarang ini. Dan kita terpaksa pilih diantara  mereka itu untuk kita serahkan kuasa. Jadi apa yang mampu kita harapkan dari mereka yang bersifat buruk itu apabila menang nanti untuk mentadbir negara kita. Ah amat malang sekali.

Namun begitu marilah sama sama kita berdoa agar kempen-kempen yang tidak waras ini berhenti segera.