Theflowersellingboy

Sabtu, 5 Mac 2011

YB Wakil Rakyat

Mereka yang telah berjaya dalam pilihanraya, di Malaysia, akan bergelar wakil rakyat. Mereka mewakili rakyat bagi sesuatu kawasan pilihanraya, peringkat negeri  atau persekutuan. Justeru sesudah dipilih, panggilan keatas mereka secara otomatik akan berubah. Bukan saja dari segi lisan bahkan dari segi tulisan. Sekarang mereka akan dipanggil YB. Dalam surat menyurat akan dialamatkan kepada YB. Tidak lagi dipanggil Encik atau secara tulisan disingkatkan ejaan menjadi En.  Atau panggilan-panggilan lain sebelumnya.

Mereka wajar dipanggil YB kerana mereka dipilih untuk berkhidmat.  Jadi YB itu bermaksud Yang Berkhidmat lah.

Sememang itulah yang patut dilakukan. Itupun yang diharapkan oleh rakyat termasuk anda dan saya. Cuba kita tanyakan soalan kepada wakil rakyat apakah yang dimaksudkan dengan YB? Mereka lebih tahu sebab yang menjadi wakil rakyat ialah yang empunya diri. Mereka saja yang tahu atau yang mahu.

Oleh kerana saya tidak berkesempatan untuk bertanya soalan seperti itu kepada mereka maka saya cuba menjawab sebaik mungkin. Saya sandarkan tekaan jawapan ini kepada tugas, peranan dan tanggungjawab seorang wakil rakyat. Secara am dan yang mudah difahami bahawa wakil rakyat itu adalah mereka yang dipilih melalui proses pilihanraya untuk  memberi khidmat sebaik  mungkin khususnya kepada rakyat kawasannya. Ini bermakna YB itu sesuailah untuk mereka samada secara lisan mahu pun tulisan. YB itu singkatan kepada Yang Berkhidmat.

Kalau jawapan saya itu dipersetujui oleh semua atau sebahagian besar wakil rakyat . Apakah pendapat anda?.

Jika benar jawapannya begitu, ianya membawa makna bahawa hanya minoriti wakil rakyat mengatakan YB itu tidak bermaksud demikian. Bagi wakil rakyat yang minoriti ini, maksud YB itu  ialah Yang Berhormat seperti yang biasa kita dengar. Apakah pula pendapat anda?.

Wakil  rakyat kategori yang pertama itu lebih mementingkan perkhidmatan dan bukan pangkat gelaran. Yang penting ialah 'berkhidmat kepada rakyat'. Menyumbang bakti kepada negara. "Siapa mereka kalau tiada rakyat", mungkin kata-kata yang sentiasa menjadi ingatan kepada mereka.

Manakala wakil rakyat kategori kedua pula, bilangannya minoriti, sangat mementingkan gelaran dan pangkat. Untuk menjaga kedudukan. Mereka ini bertanding dan setelah dipilih inginkan pangkat dan gelaran.Kita bernasib baik jumlah mereka sedikit.

Anda mempunyai pandangan yang mungkin berbeza dengan yang telah saya nyatakan. Jawapan saya mungkin betul dan mungkin meleset. Tetapi saya pasti yang ada jawapan sebenar ialah yang empunya diri itu sendiri. Mereka tahu apa yang mereka mahu.

Anda telah ada jawapan. Saya juga telah ada jawapan. Katakanlah anda tidak bersetuju dengan jawapan saya. Maka saya cadangkan kita uji jawapan kita itu dalam dunia nyata, yang kita bolih lihat, bolih dengar malah bolih rasa. Kita tidak lagi bersandarkan kepada tekaan atau jangkaan.

Makmal uji kita ialah dalam majlis-majlis yang melibatkan wakil rakyat. Anda telah ditugaskan untuk menjadi juruacara majlis. Sebagai seorang juruacara anda akan membuat pengumuman atau hebahan mengenai majlis itu. Tujuan majlis diadakan, siapa yang merasmikan, siapa tetamu kehormat dan siapa yang hadir. Katakan yang akan datang merasmikan ialah ketua kerajaan, negeri atau persekutuan. Yang hadir ialah wakil-wakil rakyat dan sebahagian rakyat setempat.

Sekarang anda cuba berbicara dengan memulakan salam. Itu satu yang biasa. Ada juga yang sudah menjadi biasa dan telah diterima apabila anda menyebut akan Yang Amat Berhormat.......; Yang Berhormat.....; Tuan-tuan dan puan sekalian. Adakah anda punya pilihan untuk menyebut selain dari itu yang bermula dengan huruf Y pada perkataan pertama dan B pada perkataan kedua/ketiga? Kalau anda punya pilihan ianya luar biasa.
 
Saya percaya anda telah mempunyai jawapan hasil ujikaji dalam makmal tersebut. Sekiranya ujikaji itu memihak kepada jawapan anda yang tidak sama dengan jawapan saya tadi maka kita berhadapan dengan masalah besar kerana majoriti rupanya tidak berkata benar. Kita wajar memberi tabik kepada yang minoriti yang berkata benar bahawa YB itu ialah ringkasan dari kata-kata Yang Berhormat.

Kalau dalam mahkamah sebelum seseorang itu memberi keterangan sebagai saksi, orang itu akan diminta untuk  berkata "Saya akan berkata benar melainkan semuanya yang  benar".

Selamat bertanding calun-calun Merlimau dan Kerdau. Siapa yang menang, secara otomatik akan dipanggil YB. Saya tambah menjadi YBB : Yang Berkata Benar.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan