Theflowersellingboy

Jumaat, 4 Mac 2011

Salam Jumaat

Hari ini Jumaat 4 Mac 2011. Bermakna kita telah menjalani kehidupan sudah hampir mendekati suku tahun bagi tahun ini. Berbagai peristiwa dan pengalaman yang telah dihadapi dan ditempuhi . Ada yang secara langsung dan tidak kurang juga secara tidak langsung. Namun apa yang pasti ialah bahawa kesemua bentuk dan corak kehidupan itu mahu tidak mahu tetap kita hadapi. Persoalan susah, senang, pahit , manis, mencabar atau tidak kesemuanya telah kita lalui.

Tidak perlu kita mencari apa-apa kayu ukuran untuk mencari setakat mana berjaya atau gagalnya kita semasa melalui hari-hari yang telah berlalu itu. Mungkin ada yang menggunakan alasan bahawa yang telah berlalu itu boleh dijadikan iktibar atau pengajaran. Memang benar tetapi sudah berapa banyak peristiwa lalu yang telah dihadapi sehingga  adakalanya peristiwa itu sudah menjadi sesuatu yang terlalu biasa  yang tidak memberi apa-apa makna.

Sengaja hal ini diperingatkan agar pemikiran dan tenaga kita pada hari ini wajar ditumpukan dalam menghadapi perjalanan hari ini saja, iaitu Jumaat 4 Mac2011. Tidak juga kita panjangkan jangkauan otak mengelamun hal-hal yang kita jangka mungkin berlaku esok harinya pula. Setengah pihak akan berhujah bahawa pendekatan seperti ini akan menjadikan seseorang itu tidak sentiasa bersedia untuk menghadapi hari muka. Katanya lagi " sedia payung sebelum hujan". Pertanyaan kita kepada pemikiran seperti ini ialah bolehkah mereka menjangka apa yang akan berlaku dalam sesaat  akan datang dengan tepat? Kalau ini boleh dilakukan maka ada kewajaran untuk kita menggunakan tenaga dan pemikiran kearah itu.

Ertinya pada hari ini kita hadapi untuk hari ini saja. Pada saat ini kita hadapi untuk saat ini saja. Dalam kata lain hadapilah apa saja kerana kita tidak ada pilihan melainkan mengharunginya. Adakah cara ini bermaksud kita tidak cuba menggunakan tenaga dan fikiran untuk berusaha? Jawabnya ialah kita tetap menggunakan anugerah Allah itu tetapi untuk ketika itu. Ketika mana ianya bermula . Adakah ini bermakna kita tidak wajar bersedia? Benar, kita hanya bersedia ketika masanya. Gunakan sebaik mungkin apa yang ada pada waktunya. Jangan membazir bagi perkara yang sudah berlalu. Jangan juga membazir bagi perkara yang kita tidak akan tahu berlaku selepas itu.

Jika cara ini kita amalkan dan dijadikan satu disiplin yang memandu kehidupan kita maka itulah permulaan dalam mencari satu titik untuk satu pemusatan tenaga dan fikiran. Perkataan fokus  ialah yang biasa kita gunakan. Kita juga jangan lupa  perkataan khusuk yang pada ketika ini kita rujuk hanya dalam hubungan kita dengan Allah.

Jadi untuk mewujudkan satu pemusatan tenaga dan fikiran, untuk fokus dan untuk khusuk maka ianya akan dapat dilakukan hanya jika kita tidak tergelincir sedikit pun samada kekiri, kekanan, keatas atau kebawah. Kita mesti berada pada satu titik dan melekat padanya. Sebab itulah hal yang selepas atau yang sebelum tidak perlu ada dan menguasai kita. Kita hanya berfikir pada titik itu. Tenaga kita hanya untuk titik itu. Ketika itu.

Untuk mencari titik itu ianya satu proses bukan satu output, bukan juga satu outcome. Sama juga seperti proses mengeluarkan sesuatu produk maka ianya tidak boleh terganggu, tidak boleh terputus-putus. Waktu kita makan nasi misalnya tentu pernah sekali kita tergigit lidah. Mengapa jadi begitu. Sebab kita telah tergelincir dari proses makan kepada yang lain . Samalah sewaktu kita solat. Apabila kita solat kita mesti ada titik tumpuan.  Bagaimana kita boleh melekat kepada titik tumpuan solat kalau kita memikirkan yang telah berlalu atau yang belum berlaku. Apabila saja kita terkeluar dari titik itu maka tidak khusuklah jawab     nya.

Maksud titik itu ialah satu pemusatan yang diberikan untuk itu. Hanya itu saja. Kalau kita bersukan maka kita tumpukan kepada bersukan. Kalau belajar kita tumpukan kepada belajar. Kalau solat kita tumpukan kepada solat. Kita tidak boleh amalkan 'sambil menyelam minum air', kerana kita telah menggelincirkan tumpuan kita kepada yang lain. Berkemungkinan nanti kita akan lebih meminum air dari menyelam. Sama juga dengan yang lain. Oleh itu sentiasalah kita memikirkan waktu itu, ketika itu dan titik itu. Lupakan yang sebelum atau sesudah.

Maka ada orang akan berhujah bahawa pemikiran cara ini akan membawa kita manusia yang tidak suka merancang atau tidak mahu merancang. Bukan begitu. Merancang tetap merancang cuma ketika merancang, waktu merancang kita merancanglah. Jangan buat selain dari itu.


Hari  ini  hari Jumaat. Orang Islam, majoriti lelaki akan berduyun-duyun ke masjid untuk solat Jumaat. Sama-sama kita menunjuk jari kepada diri kita. Waktu Imam berkhutbah dimana titik tumpuan kita. Kita lentuk tidur atau bagaimana. Bagaimana pula semasa kita menjalankan solat. Adakah sebaik saja takbir maka kita mula teringat apa yang hendak dilakukan selepas solat atau teringat-ingat perangai dan kelakuan pemandu-pemandu memotong Q semasa dalam perjalanan ke masjid. Kalau begitu kita telah tergelincir pada ketika itu dari memusatkan pemikiran dan tenaga kepada satu titik iaitu Allah swt kepada dua perkara tadi.

Tapi awas jangan pula kita silap faham titik itu tidak dimaksudkan sebagai tuhan . Itu syirik namanya. Titik yang dimaksudkan ialah pada ketika itu pemikiran dan tenaga hanya untuk itu. Kalau solat titik kita ialah kepada ALlah SWT. Malah  untuk segala titik-titik  yang lain , tumpuan titik akhir ialah Allah SWT.

Ianya tidak mudah tetapi perlu. Ianya satu proses. Ia perlukan disiplin diri. Sebenarnya saya juga sedang membina proses itu. Saya percaya ianya mungkin boleh dicapai tapi tidak akan sempurna sehinggalah ajal datang menjemput. Cuba tetap cuba. InsyaAllah berkat Hari Jumaat ini marilah kita lakukannya.

Salam Jumaat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan