Theflowersellingboy

Rabu, 30 Mac 2011

Mengapa Jadi Begini?

Kita ingin berkongsi rasa dukacita bersama anda yang budiman tidak kira anda itu bertaraf anak, adik, abang, kakak, ibu, bapa, datuk, nenek, moyang atau saudara dekat mahu pun saudara jauh, satu bangsa atau lain bangsa, orang sewarga atau lain warga akan perkembangan semasa yang merisau hati, menyakit jiwa, yang menjolok mata dan membingitkan telinga, yang memualkan tekak mengendurkan selera, yang melonglaikan kaki untuk melangkah atau menyakitkan badan semasa berihat. Dengan berkongsi rasa ini dapatlah kita sama-sama berfikir cara bagaimana gejala-gejala yang menusuk segala, hati dan jiwa,mata dan telinga, deria makan kita, kaki dan anggota badan dapat kita hapuskan atau sekurang-kurangnya  kita tidak sudi untuk sama-sama meraikan. Kita tanam rasa benci dan meluat jika ada diantara kita yang masih lagi mahu terlibat.

Mengapa jadi begini? Soalan ini adalah kita rujuk kepada keghairahan orang dikalangan kita, diantara kita, sesama kita mereka cipta atau merekayasa berbagai hal yang menyangkut kepada serang menyerang bersifat peribadi hanya semata-mata orang itu atau individu itu atau pihak itu mempunyai aliran dan arah tuju yang tidak sama dengan yang kita pegang dan percaya. Pada kita itu pun tidak menjadi kebimbangan yang sangat , walaupun kita tidak sudi untuk meraikan.

Yang MEMBIMBANGKAN kita ialah ramai indivividu dan  banyak pihak sama ada yang berkumpulan  tidak rasmi, yang katanya atas dasar sukarela untuk memberi khidmat demi bangsa, negara dan agama, mahu pun yang rasmi, untuk mencurahkan khidmat katanya untuk yang sama, yang menganggur atau yang berkerjaya, yang tidak ada pengaruh dan tiada kuasa, apa tah lagi yang berpengaruh dan berkuasa begitu ghairah dan teruja untuk sama-sama  menjadi pencipta dan menyambung lidah terus berbicara perkara yang sama untuk menyemarak suburkannya. Itu pu nafsunya belum puas lagi. Sehingga sudah melekat dan menjadi ketagihan untuk diulang cerita, ditambah perencah sesedap mungkin bukan hanya secukup rasa bahkan sebagai menambah nafsu selera yang menggila.

Tanpa usul dan periksa akan benar yang diberita atau dicerita atau diulang cerita, yang juga diulang tayang gunakan macam-macam cara dengan bantuan berbagai media yang ada ,semua diterima, ramai pula. Nafsunya makin menggila , mengajak kita turut bersama seperti mereka.

Kita masih lagi berkeadaan bimbang, AMAT BIMBANG jika yang  berbicara itu kononnya atas landasan demi bangsa, negara dan agama apabila disemak, diperiksa dan dikuti perkembangan ceritanya bukan yang tersembunyi atau yang tidak sahih, akan pembawaan diri, watak peribadinya menjadikan kita tertanya-tanya sebenarkah itu perjuangannya. Kalau atas dasar amal makruf nahi mungkar, ada sebab bagi kita untuk merenung sejenak berfikir untuk berlapang dada menyetujui perjuangannya. Namun caranya, kaedahnya bukankah telah sedia teratur dengan begitu cantik sekali dalam kanun  yang ada, yang bersifat awam mahu pun agama, (maksud kita agama Islam kerana ilmu tentang agama lain terlalu amat minimal pada kita), mengapa disia-siakan tidak diguna? Bukankah itu sejalan dengan perjuangan demi agama? Disinilah menimbulkan keraguan dihati kita akan maksud yang hendak dicapai.

Kita mula merasa PILU dan SEDIH apabila kita yang berkuasa dan punya pengaruh yang sifat sebenarnya adalah AMANAH yang telah diletakkan diatas batu jembala kita, beria-ia, bersungguh-sungguh atas perjuangan yang sama, kononya, mengajak semua orang memeriksa akan betul dan benarnya cerita yang dibawa dan yang diterima. Tidak pula terdetik dihati kecil dan perasaan halusnya untuk menggerakkan lidahnya untuk bertanya atau berkata-kata bahawa 'cuba kita dengar cerita pihak yang lagi satu', kerana ada kemungkinan berlaku kesilapan dimana-mana, maklumlah manusia yang tidak lepas suka membuat angkara. Tapi, entahlah, tak tahu perkataan sesuai yang kita hendak guna untuk mengukur rasa pilu dan sedih akan sikap dan gaya yang berkuasa itu. Cuma kita ada sedikit kekuatan untuk mendoakan supaya yang berkuasa itu ditunjuk Allah jalan yang terbaik untuk dipilih.

Akhir sekali kita BERDUKACITA. DUKA kita anggap satu perasaan sedih, kecewa, marah, benci, meluat dan apa saja yang melukakan. CITA pula pada kita ialah seolah-olah putus harapan. Kita faham Islam melarang kita berputus harapan, sebab itulah kita katakan SEOLAH-OLAH putus harapan . Kita masih lagi ada harapan untuk meneruskan kehidupan iaitu sentiasa berdoa. Berdoa agar semua pihak dapat berlapang dada dan kembalilah kepada kaedah yang telah diatur Allah untuk menguruskan kehidupan yang berbagai-bagai, sama ada yang bersifat angkara atau yang lainnya.

Anda tahu kah mengapa kita berdukacita? Kita berdukacita kerana yang amat mengetahui hal-hal agama membisu seribu bahasa. Itu pun tak apa kerana takkan mereka tahu banyak bahasa, lebih-lebih dua atau tiga yang boleh dikuasai. Kita amat berdukacita kerana lidah mereka kelu berkata-kata walaupun dalam satu bahasa kerana mereka ini dibawah penguasa.

Itulah saja ajakan kita untuk sama-sama kongsi rasa dukacita. Menagapa jadi begini?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan