Theflowersellingboy

Selasa, 22 Mac 2011

Sejuta Harapan Satu Impian

Tarikh 21 haribulan ialah tarikh yang ditunggu-tunggu oleh Jamaliah dan suaminya yang sudah melangkaui usia separuh abad. Suaminya telah membuat jangkaan bahawa pada tarikh itu mereka akan menyambut orang baru, seorang cucu. Tetapi manusia hanya boleh buat ramalan dan jangkaan menggunakan berbagai maklumat dan fakta yang dikatakan saintifik tetapi selagi Allah tidak mengizinkan , kebarangkalian yang dibuat oleh manusia itu tidak mungkin terjadi. Allah hanya menyatakan  "kun faya kun" maka jadilah mengikut kehendakNya.

Kedua-dua suami isteri ini menerima ketentuan Allah itu. Mereka pasrah untuk menunggu walaupun 21 haribulan telah berlalu.

Pada bulan Julai 2010 si Jamaliah yang dipanggil Jam oleh suaminya telah tinggal bersama anaknya Ira di sebuah kondo di Ampang Kuala Lumpur. Anaknya itu sedang sarat mengandung anak pertama yang dijangka akan dilahirkan bila-bila masa saja pada minggu keempat bulan Julai. Jam merasakan adalah menjadi tanggungjawabnya untuk bersama dengan anaknya itu dalam menghadapi saat-saat yang paling genting dan istimewa dalam kehidupan seorang perempuan untuk menjadi seorang ibu. Dia telah menghadapinya sebanyak enam kali sudah tentu amat maklum akan pentingnya seorang ibu untuk berada disisi anak yang berada dalam situasi yang sama. Apatah lagi ini kali yang pertama.

Bermacam petua dan doa telah diajarkan kepada anaknya dengan harapan anaknya dapat melahirkan cucu pertamanya dengan mudah dan selamat, selamat ibu dan anaknya. Si suami pula tidak berhenti-henti meminta anaknya membaca ayat kursi dan surah assyirrah  dengan harapan yang sama juga. Malah si suami telah membacakan ayat-ayat tersebut sebagai doa dengan beberapa kali menghembus kedalam botol yang berisi dengan air zam zam. "Ira minum air ini dengan selawat tiga kali dan berdoa supaya Allah memudahkan dan selamat melahirkan anak", pesan si papa pada anaknya.

Walaupun telah dua hari dimasukkan ke hospital pantai, namun Ira masih lagi tiada tanda-tanda untuk melahirkan anaknya. Akhirnya pada 26 haribulan Julai, doktor telah buat keputusan bahawa Ira terpaksa melalui proses pembedahan untuk mengeluarkan anaknya. Ia terpaksa di buat kerana kandungan telah melampaui tempoh yang dijangkakan, telah 'over due'. Jika tidak, ia suatu risiko yang besar. Mendengarkan keputusan itu Jamaliah merasa sedih tetapi mendoakan supaya proses itu berjalan dengan baik dan selamat. "Tak apalah bang. Jam pun macam itu juga. Dah keturunan kita macam tu agaknya. Kita doakan semuanya selamat", si Jam menerima ketentuan itu. Sisuami diam tanda setuju.

Dengan izin Allah, pembedahan yang dibuat telah berjaya mengeluarkan seorang bayi lelaki pada 4.30 petang,  seberat 3.7 kilogram. Maka pada 26 haribulan Julai, Jam dan suaminya mulalah memakai gelaran baru iaitu Oma dan Tokpa. Maka juga pada hari itu Ira dan suaminya Yad telah diistiharkan sebagai seorang ummi dan ayah. Secara kebetulan 26 haribulan adalah tarikh lahir Ira tetapi bulan dan tahunnya berbeza. Pada tarikh itu Jamaliah dan suaminya masih lagi belum diberi tahu siapakah nama cucunya. Kedua-dua ummi dan ayah bayi itu terus membisu.

Hari semalam, tarikh semalam iaitu 21 haribulan ialah tarikh kelahiran Hazlin Azzamiza puteri kedua dari enam anak Jamaliah bersama suaminya. Tarikh itulah yang amat diharapkan oleh suami si Jamaliah untuk menyambut cucu yang kedua sama keadaannya semasa menyambut cucu yang pertama dimana tarikh lahir anak sama  dengan tarikh lahir ibu. Tapi Allah yang menentukan segalanya.

Ketika ini, hari ini 22 haribulan anak si Jam Hazlin Azzamiza yang di panggil Jaja masih lagi berada dirumah. Suami Jam yang menjangka dan mengharapkan anaknya itu melahirkan cucunya itu pada 21 haribulan, pagi-pagi lagi telah membersihkan kawasan rumah, mengumpul daun-daun kering dan sampah untuk dibakar, membuat 'trimming'  tumbuhan yang menjalar ditembuk hadapan rumah kerana esok hari 23 haribulan Mac mereka akan menyambut kedatangan orang baru. Begitulah yang telah dimaklumkan oleh anaknya Jaja setelah doktor hospital pantai meminta Jaja masuk ke hospital pada pukul tujuh 23 haribulan iaitu hari esok. 'Sudah tentu kawasan rumah mesti bersih dan nampak cantik', itulah agaknya yang menyebabkan pagi-pagi lagi si suami bertungkus lumus membersihkan kawasan walaupun hujan turun rintik-rintik.

Setelah selesai kerja-kerja diluar rumah, si suami masuk ke dalam rumah mengambil 'vacuum cleaner' untuk menyedut habuk dan kotoran yang lain dalam bilik dimana cucunya bakal tidur bersama. "Jaja perlu rehat. Biar mama yang jaga baby. Baby selalu bangun malam, nanti Jaja penat tak dapat tidur", sudah pasti itu yang akan diberi tahu oleh si Jamaliah kerana terlalu gembira untuk menjaga cucunya ini.Si suami pula beria-ia bersedia untuk membasuh baju dan seluar cucu yang baru. Masing-masing telah bersedia. Apa saja tugas, demi cucu 'no problem" walaupun mata kadang-kadang tersenggut-senggut tidak cukup tidur.Sudah tentu  Sani, suami Jaja telah banyak doa yang telah dibaca, dan terus dibaca memohon kepada Allah supaya Jaja isterinya dapat melahirkan anak secara normal, supaya Jaja dan anaknya selamat dan supaya dikurniakan anak yang sihat dan sempurna.

Esok pukul 7 pagi, 23 haribulan Mac  2011 Sani, Jamaliah dan suaminya akan menghantar Jaja ke Hospital Pantai Melaka  dengan iringan doa dan harapan agar Jaja akan selamat melahirkan anaknya yang pertama. InsyaAllah. Esok juga ialah hari ulangtahun  perkahwinan yang ke 36 diantara Jamaliah dan suaminya. Dan jika di takdirkan Jaja melahirkan anaknya pada tarikh 23 Mac, maka tarikh tersebut menjadi tarikh menyambut dua peristiwa yang penting dalam kehidupan Jamaliah dan suaminya.

Hari esok juga hari sejuta harapan bagi Jaja dan Sani. Harapan yang perlu kepada pengisian dengan  mengasuh ,mendidik dan membimbing anak kesayangan mereka  dalam menempoh kehidupan yang penuh cabaran dan dugaan, untuk suatu kehidupan yang memberi menfaat dan kebaikan kepada diri, keluarga, masyarakat, bangsa dan agama. Impian untuk menjadikan anak sebagai Anak Yang Soleh sudah tentu tertanam dalam jiwa raga kedua suami isteri itu. Ia bukan mudah untuk menjadi kenyataan tetapi ia tidak mustahil, jika ada keyakinan dan kesungguhan Impian Boleh Menjadi Kenyataan. InsyaAllah.

Jamaliah dan suaminya, apatah lagi Jaja dan Sani masing-masing telah bersedia untuk menghadapi hari esok dengan penuh doa dan harapan. Semoga Jaja selamat melahirkan anak, selamat ibu dan selamat anak. Semoga anak yang dilahirkan sihat sejahtera dan sempurna. Semoga Jaja juga sihat sejahtera. Amin.

Kali ini Jamaliah berharap agar nama cucunya dapat segera diberitahu. Malah Jamaliah telah sedia dengan nama-nama tertentu. Maklumlah soal jantina telah awal diberitahu. Harap-harap begitu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan