Kita tidak tahu bila pilihanraya di Malaysia akan diadakan. Kita hanya boleh meneka saja dengan bersandarkan kepada fakta-fakta dan maklumat yang kita yakin dan percaya. Bila kita meneka maknanya ada unsur-unsur kebarangkalian yang memperuntukkan kemungkinan berlakunya kesilapan. Ertinya kita tidak tahu dengan tepat. Yang maha mengetahui ialah Allah SWT. Prerogatif Allah. Semua orang tahu.
Ianya juga adalah prerogatif Perdana Menteri, jika diizinkan Allah. Ini pun ramai orang sudah tahu.
Kita tidak akan berhajat untuk membincangkan bila pilihanraya di Malaysia akan diadakan , diperingkat Parlimen mahu pun Dewan Undangan Negeri walaupun fikiran kita tidak boleh lari dari persoalan itu.
Fokus kita ialah mereka yang menjadi pemain penting dalam gelanggang pilihanraya. Seperti dalam macam-macam jenis permainan, misalnya main bola sepak, kejayaan Kumpulan adalah ditentukan oleh pemain yang berada dipadang. Kita berani kata 90 peratus atau lebeh kejayaan ditentukan oleh pemain dalam gelanggang atau diatas padang. Selebehnya adalah sumbangan penyokong dan para pegawai pasukan termasuk pengurus dan jurulatih. Ertinya mereka yang bertarung samada dalam politik atau bola sepak adalah terlalu penting bagi mencipta kejayaan.
Kumpulan bola mahu mencipta kejayaan untuk lebeh terkenal. Kumpulan akan memilih pemain yang boleh membawa kemenangan. Macam-macam kriteria digunakan untuk memilih pemain misalnya tidak terlalu gemuk dan tidak juga terlalu kurus, berat badan tidak melebihi 65 kilogram, ketinggian tidak kurang dari lima kaki sembilan inci dan banyak lagi.
Bila tekenal dan selalu berjaya, penyokong dan penonton pun mula ramai. Kutipan wang tiket masuk bertambah. Nilai komersil pemain pun mula meningkat. Mereka boleh dijual atau dibuat pertukaran dengan kumpulan yang lain yang memerlukan khidmat untuk membantu mencipta kejayaan .Hasil pertukaran atau jualan memang menguntungkan kumpulan. Penyokong dan penonton menjadi bangga. Segala yang ada kaitan dengan kumpulan misalnya nama pemain, baju dan yang lainnya di ambil kesempatan dijadikan nilai pasaran.
Itu dalam permainan, khususnya bola sepak yang amat diminati sebahagian besar penduduk dunia. Bagaimana dalam gelanggang politik? Yang juga amat digemari sebilangan besar orang. Adakah kita juga perlu buat pemilihan untuk mencipta kejayaan? Kejayaan untuk siapa? Untuk yang masuk gelanggang? Untuk parti politik? Atau untuk negara?
Kita ingin menjawab bahawa mereka yang masuk gelanggang politik untuk bertanding perlu melalui tapisan atau 'screening' yang ketat. Hanya yang 'fit' saja layak masuk gelanggang. 'Fit' ini tidak saja merujuk kepada kesihatan tubuh badan dan akal fikiran. Lebeh dari itu. 'Fit' dari segi kriteria yang kita fikir wajar dijadikan asas tapisan bagi memilih mereka. Sebab mereka terlalu penting bagi mencipta kejayaan. Kalau salah pilih binasa lah kita.
Kejayaan untuk siapa? Sama juga dengan bola sepak bahawa yang masuk gelanggang mesti boleh membawa kemenangan. Kejayaan untuk yang bertanding, yang masuk gelanggang. Kejayaan juga untuk parti politik itu. Tapi mesti ingat, Parti politik bukan Pasukan. Ia hanya Kumpulan, salah satu kumpulan yang masuk gelanggang .
Itu pengertian yang kita beri. Kumpulan hanya untuk ahlinya saja. Pasukan merangkumi semua walau pun bukan ahli, bukan penyokong, bukan peminat dan bukan yang terlibat untuk memilih. Semua, tiada pengecualain atau dikecualikan. Pasukan ialah Negara dan Negara ialah semua Warganegara.
Jadi asas pemilihan kita ialah mereka yang boleh atau mahu berkhidmat kepada Pasukan apabila berjaya dipilih, di peringkat Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri. Mereka yang memperjuangkan konsep politik menguasai Kerajaan (Pasukan) wajar diketepikan. Mereka ini wakil rakyat politik bukan wakil rakyat sebenarnya.
Konsep politik menguasai Kerajaan amat bahaya kerana kepentingan politik ( Kumpulan) menguasai kepentingan Negara (Rakyat). Ia memberi kesan dan pengaruh kepada perkhidmatan yang bakal disampaikan dengan mendahulukan politik dari rakyat. Bertentangan dengan perjuangan Rakyat di dahulukan.
Ia juga boleh mengundang kepada salah tafsiran bahawa aset Kerajaan itu adalah juga aset politik. Salah tafsiran ini boleh membawa akibat kepada kepercayaan bahawa penggunaan aset Kerajaan untuk kepentingan politik adalah sesuatu yang sah dan tidak salah dilakukan. Sudah menjadi biasa. Akhirnya Negara dan Rakyat yang binasa.
Itu kriteria Asas dan Utama tidak kira siapa atau mana-mana parti politik. Cuma kita merasa amat bimbang jika konsep Politik menguasai Kerajaan menjadi pegangan sesuatu parti politik. Kalau orang itu atau parti itu berjaya ianya sungguh bahaya sekali. Negara dan Rakyat tidak akan berjaya. Anda percaya lah.
Kriteria yang lain kita boleh fikir bersama. Ada beberapa kriteria yang lain boleh kita ketengahkan.
Dari segi individu, antaranya ialah sihat tubuh badan dan akal fikiran sebaik-baiknya tidak cacat fizikal ( maaf; tidak ada niat memperkecilkan golongan sedemikian, cuma lebeh praktikal begitu, untuk dapat pantas bergerak dan menyampai perkhidmatan).
Menguasai Bahasa Melayu adalah kriteria yang amat penting bagi calun yang bertanding. Kita tidak mahu mendengar wakil rakyat yang masih tebal dan keras lidahnya untuk menyebut perkataan dalam Bahasa Melayu. Terkial-kial membuat ayat. Kadang-kadang orang Myanmar yang baru datang sebulan pun sudah fasih bertutur dalam Bahasa Melayu. Sungguh memalukan. Penguasaan Bahasa Inggeris juga penting sebab kita tidak hidup bersendirian, kita hidup dalam dunia tanpa sempadan. Bahasa-bahasa kaum juga satu bonus.
Mempunyai peribadi yang terpuji dan sentiasa bersifat suka membantu; pengalaman dalam berbagai sektor kehidupan; kelayakan akademik sekurang-kurang ada diploma, lebeh tinggi lebeh dialu-alukan; kematangan yang diukur dari segi umur. Tidak terlalu muda atau dibawah umur 30 tahun atau terlalu tua melebihi 65 tahun; tidak melebihi dua penggal perkhidmatan atau 10 tahun yang mana lebeh tinggi.
Itu adalah kriteria yang kita dapat kemukakan dari segi peribadi calun. Ianya memerlukan perincian-perincian tambahan lagi misalnya perlukah disyaratkan seseorang itu menjalani pemeriksaan perubatan bagi menentukan tahap kesihatan. Dari segi kita, ia terlalu amat perlu. Bagaimana orang yang tidak sihat boleh memberi perkhidmatan yang terbaik. Mereka yang tidak sihat juga risiko untuk pilihanraya kecil amat besar sekali. Belanja lagi!
Begitu juga dengan maksud peribadi yang terpuji. Walaupun subjektif sifatnya tetapi kita boleh mengambil norma-norma am apa yang dikatakan peribadi yang terpuji. Menghormati sesama insan, tidak berminat tuding menuding, fitnah memfitnah, suka menolong dan sebagainya.
Kita perlu banyak maklumat mengenai calun yang bertanding itu. Bagaimana asetnya, keluarganya, hobinya dan banyak lagi. Ertinya kita mesti ada profail yang lengkap. Masalahnya di Malaysia kita kurang keterbukaan dari segi maklumat. Kita faham ada maklumat bersifat peribadi. Itu tidak perlu diberitahu. Tapi kalau kita hendak menjadi calun, hendak menjadi diri kita dipilih sudah tentu pemilih berhak mengetahui apa saja maklumat yang boleh meyakinkan mereka untuk memilih kita.
Kriteria-kriteria yang kita kemukakan tadi, atau apa saja kriteria yang dipilih wajar diberikan wajarannya (weightage), diadakan sekala 1 hingga 10., yang kurang baik kepada yang terbaik. Kemudian di peti undi kita pangkahlah yang terbaik mengikut wajaran dan sekala yang kita buat. Barulah kita jadi pemilih yang professional. Bukan saja pemain bola sepak boleh jadi pro kita pun boleh juga jadi pro.
Tetapi kita juga ada mendengar bahawa sewaktu berkempen kita tidak boleh berkereta besar. Itu dikatakan menunjuk. Kalah nanti. Jadi calun itu terpaksalah berpura-pura. Bawa Moris Minor buruk pula. Lihat siapa yang dulu membuka ruang untuk wakil rakyat berpura. Kita kan? Jangan marah kalau sifat ini berterusan, sebab kita yang menyemainya.
Ini satu pertimbangan yang silap. Kalau kereta itu diperolehi secara halal, secara betul apa salahnya. Bukankah kita boleh berbangga kita mempunyai wakil rakyat yang perihatin walau pun berkereta besar. Begitu juga kita tidak wajar menolak jika calun itu tidak sekaya seperti misal diatas. Yang penting khidmatnya.
Dari segi parti politik, ia tidak banyak beza dengan kriteria peribadi. Cuma janganlah tolak parti politik semata-mata kerana miskin atau kaya. Lihatlah perkhidmatannya terutama jika parti itu telah diberi peluang untuk menubuh Kerajaan. Lihat juga falsafah perjuangannya. Saya ingatkan lagi sekali, jangan tolak parti itu kerana ahli-ahlinya kaya berharta atau miskin kedana. Lihat dan periksa dengan berlapang dada macam mana mereka jadi kaya berharta dan kenapa mereka miskin kedana.
Buatlah pemilihan yang terbaik demi masa depan Malaysia dan anak cucu kita nanti. Kita hendak mencipta kejayaan, kita hendak berjaya seperti permainan bola sepak tadi, malah lebih dari itu..
Tiada ulasan:
Catat Ulasan