Theflowersellingboy

Selasa, 8 Mac 2011

Kayuhan Ke Bukit Hantu ....5

Kini aku telah diperuntukkan sebuah kereta Mercedez 200 berwarna hitam kebiruan dengan seorang pemandu.

"Nama saya Rimba", pemandu memperkenalkan diri sewaktu kali pertama bertemu. Telingaku semacam tidak percaya dengan apa yang ku dengar. "Rimba? Nama apa ni?', Berkerut juga dahiku. Beliau tidak menunjukkan apa-apa reaksi malah mempersilakan aku masuk ke dalam kereta setelah pintu belakang disebelah kiri pemandu di buka. "Terima kasih. Saya suka duduk didepan. Duduk belakang pening kepala", aku memberi alasan untuk duduk dihadapan. Aku mahu lebih mesra dengan pemandu kerana disitu banyak rahsia dan maklumat. Beliau akur dengan kehendakku.

"Minta maaf. Tadi saya dengar nama awak Rimba. Betul ke?" Beliau menoleh sedikit dan tersenyum kecil. "Ya tuan. Bapa saya beri nama macam tu". Rasa bersalah mula menguasai diriku dengan jawapannya itu. Kenapa aku perlu tanya begitu. Bukankah itu hak masing-masing. Apa ada pada nama. Kadang-kadang nama yang baik pun kelakuan macam syaitan dan hantu. Sungguh biadap aku ini. Mentang-mentang dia seorang pemandu , aku menjadi ragu dengan apa yang diberitahu. "Minta maaf. Saya minta maaf",berulang kali tuturku sambil menepuk bahu kirinya sebagai  tanda persahabatan yang tidak  kenal bulu. "Biasa. Tuan orang baru. Orang semenanjung". Aku bertambah malu.

Masa berlalu, telah banyak kawan dan rakan ditemu.Majlis rasmi dan tidak rasmi telah banyak ku hadiri. Perut sudah berkembang menonjol kedepan dan londeh kebawah. Senaman berjalan kaki diwaktu pagi selepas solat Subuh telah lama ku tinggalkan. Hanya seminggu bertahan aku bersama kawanku Dosmy bermain badminton. Lelah dibuatnya. Bertukar kepada tenis, pun sama juga. Reket tenis yang baru dibeli tergantung cantik didinding ruang bacaku. Semuanya tidak menjadi .Bermain bola jauh sekali..

"Tuan aji tak main golf ke?" Rimba bertanya sebaik saja aku duduk bersebelah dengannya untuk balik kerumah. Sekarang dia lebih mesra memanggilku tuan aji ..Aku menoleh padanya. Tidak berkata sesuatu. Rimba terus memandu. Suasana senyap membisu.

Beliau terpaksa memberhentikan kereta disatu simpang apabila lampu isyarat bertukar merah. "Maaf tuan aji, tanya saya tadi", semacam menyesal saja si Rimba dengan soalannya tadi .  Aku tidak berkata apa-apa. Si Rimba semakin gelisah. Kedengaran bunyi hon dari kereta dibelakang kami.  Lampu  isyarat telah beberapa saat bertukar menjadi hijau. "Lampu dah hijau", aku memberitahu pendek.

Sampai di rumah aku mempersilakan Rimba masuk ke ruang tamu. Dia nampak pucat ketakutan. "Maaf saya tuan aji. Saya..." "Sila masuk dulu ", aku seperti merayu cepat memotong dengan suara lembut sambil tangan mengunjuk ke sofa yang ada. Langkah beliau tertib teratur memasuki ruang tamu dan perlahan-lahan duduk diatas sofa. "Duduk dulu. Sekejap lagi saya datang", aku terus kebilikku untuk menukar pakaian.

Hari itu adalah hari Sabtu. Kebetulan hari ulang tahun kelahiran ku. Sudah bertambah umurku. Aku tidak pernah menyambutnya secara besar-besaran cuma isteriku rajin sangat membuat sedikit kuih muih untuk  dimakan bersama satu keluarga. Tidak ada tetamu jemputan.

"Oh Rimba " terdengar suara isteriku, "Dah lama sampai?" Rimba bangun tanda hormat sambil menyatakan baru saja beberapa minit sampai. Isteriku  mempersilakan rimba masuk ke ruang makan dimana telah terhidang makanan tengah hari dan beberapa jenis kuih muih. "Jemput Rimba. Jangan malu-malu". Aku memperlawa rimba untuk bersama makan tengahari.

Rimba makan sedikit saja. Mungkin tidak berselera agaknya. Makanan orang semenanjung. Ikan parang masak asam pedas, ayam goreng, kacang botol dan sambal belacan bukan daya tarikan selera baginya.. Rimba panggil ikan parang itu ikan banyak jarum. Ketawa kami dibuatnya apabila tulang ikan dipanggil jarum. Berbeza dengan aku. Makan sungguh berselera. Dua kali tambah diikuti beberapa kali sendawa dan ucapan syukur kepada Allah. Isteriku bukan main seronok apabila sesekali aku memuji masakannya dihadapan tetamu. "Alah biasa saja", dia merendah diri.

 "Eh Rimba dah berhenti. Tambah lah lagi", pelawa isteriku apabila  Rimba meminta diri keruang tamu.

Aku menurutinya dari belakang . Isteriku membawa beberapa piring kecil berisi kuih dan diletakkan diatas meja kecil diruang tamu. "Silakan Rimba" ibu jari tangan kananku mengunjukkan kearah hidangan yang telah tersedia.

"Air apa ni?" Tanyaku sebaik saja isteriku meletakkan teko diatas meja kecil. "Biasa, milo. Nescafe nanti pening kepala", isteriku terus melangkah ke ruang dapur.

"Awak main golf ke?" Soalan bodoh membuka bicara memecah kesunyian. Tangan Rimba terhenti sebentar semasa mula hendak mengambil kuih diatas meja. Mata beliau sedikit membesar, mulut sedikit terbuka. Air muka kehairanan macam tidak percaya. Aku bersahaja. Jawapan tidak perlu sebab aku sudah tahu. Mana mungkin seorang pemandu kereta bergaji RM600.00 sebulan berupaya berbuat begitu.Apa faedahnya pukul bola kedalam lubang berbanding dengan membeli susu. Membazir.

"Sebab tadi awak tanya saya. Sudah tentu awak pernah ke padang golf", aku memberhentikan lamunanku. Rimba mula tersenyum sedikit. Keceriaan diwajah mula menyerlah. Kuih dimeja mula dicapai . "Main golf ni tak ada faedah. Pukul bola masuk lubang. Kerja orang gila",aku memberi pandangan tanpa menunggu Rimba bersuara. Rimba mengunyah kuih. Berselera nampaknya tidak seperti sewaktu dimeja makan tadi.

"Dulu masa Tuan Mat, selalu juga kepadang golf. Tapi saya tak main", Rimba mula bersuara. Yakin nampaknya kali ini menceritakan kisah semasa bekerja dengan bosnya sebelum ku. Katanya lagi petang Sabtu lepas kerja, kepadang golflah arah dituju. Kalau beliau tiada aral melintang atau menguruskan hal keluarga, hari Ahad juga diajak bersama. Adalah sedikit imbuhan katanya. Tuan Mat juga bermain golf diwaktu pagi sebelum kepejabat sebab disini jam enam pagi sudah terang. Padang golf pun berdekatan, tidak sampai 4 kilo jaraknya dari kediaman tuan Mat.

"Main sembilan lubang saja. Satu jam habislah", Rimba menjawab pertanyaanku samada Tuan Mat selalu terlewat kepejabat. Aku mengangguk kepala seolah-olah faham dengan penjelasannya itu. 'Sembilan lubang, satu jam', itu perkara baru bagiku. Rasa malu mula berputik dihati. Aku mesti ambil tahu permainan ini. Malu kalau kawan-kawan bercerita dan mulutku ternganga. Aku mesti ambil tahu. Mesti. Tapi bagaimana. Otakku ligat memikirkan caranya. Teringat aku kawanku Dosmy seorang pengarah disebuah organisasi, kawan bermain badminton yang bertahan seminggu. Dosmy telah tercebur dalam golf selepas badminton tidak menjadi. Ya, Dosmy. Aku mesti berjumpa dengannya.Tapi aku ada satu masalah lagi. Kata-kata yang terlanjur yang pernah kutututur dulu. "Orang gila saja yang buat begitu. Pukul bola nak masuk dalam lubang. Tak kira waktu, panas terik main juga'. Mereka itu 'Golongan Orang Lemah Fikiran' , teringat aku akan kata seorang menteri dengan bangga mencipta rangkaikata dari ejaan 'golf'' memperlekehkan para pemain golf. "Ahh peduli apa. Itu cerita lama. Tak kisah lah apa yang dia  orang nak kata", tegas sungguh aku menjawab keraguan sendiri. Sungguh bernafsu memberi alasan yang terbaru. 

Rimba minta diri. Jam sudah hampir 2.45 petang. Aku bergegas ke bilik air. Solat Zohor sudah hampir dipenghujung. Esok hari Ahad aku mesti kerumah Dosmy. Ada rumah ke? Di padang golf? Allah hu Akbar .Aku tidak khusuk.  

Tiada ulasan:

Catat Ulasan