Theflowersellingboy

Sabtu, 12 Mac 2011

Begitulah Aku............Martabatku

Aku tidak tahu berapa umur Ku sebab tiada siapa sudi mencatatkan tarikh kelahiran Ku. Takkan Aku sendiri nak  mencatatkannya. Mustahil bukan! Tak mengapa. Apa ada pada usia kalau martabat diri tidak terbina.

Betul ke Aku tiada martabat? Mustahil. Mari ramai-ramai kita periksa. Kalau seorang dua tidak bolih percaya. Bolih main kong kalikong. Itulah yang selalu orang kata, kalau dua orang senang berpakat buat dusta.Itu pun kalau anda percaya.  Ramai-ramai pun boleh berpakat berkongsi rasa buat dosa. Anda percaya juga? Entahlah, saya percaya kedua-duanya asalkan dia tu manusia. Anjing tidak buat begitu. Apatah pula kucing yang kita sayang yang kita bela. Yang ini anda kena percaya

Mula-mula kita mesti faham dulu apa itu martabat sebelum  kita cuba memilikinya. Kalau tidak macam kera dapat bunga. Barang yang cantik, tidak ada makna. Dikoyak  dibuang selamba saja  macam tiada berharga.

Apa itu martabat. Bunyi macam air serbat atau adakah sama dengan penjual ubat dikaki lima yang mahir bersilat. Atau makanan basi yang telah berkulat. Kita jangan susah diri, banyak fikir nanti cepat mati. Bukalah Kamus Dewan, kata martabat perlu dicari, barulah tahu makna dan erti. Ya martabat ertinya kedudukan pada mata masyarakat, darjat, pangkat dan tingkat. Jelas bukan.

Kita mesti terima makna yang diberi. Ini pihak yang ada otoriti khususnya mengenai diri Ku. Jangan cari yang lain nanti jadi haru biru. Terima kasih daun keladi, kamus dewan layak dipuji.

Sekarang barulah Aku , anda pun sama, kita semua, ramai-ramai telah diberi tahu makna dan erti martabat itu. Kalau Aku milikinya  bermakna Aku ada kedudukan, Aku ada darjat, pangkat dan tingkat pada mata masyarakat. Jika Aku pula  tidak memilikinya atau kalau Aku tiada martabat, maknanya Aku tidak ada kedudukan, tidak ada darjat, tidak ada pangkat dan tidak ada tingkat, pada mata masyarakat.

Tapi siapa Aku?. Anda belum tahu. Aku pun belum sempat nak memperkenalkan diri.

Aku diletakkan dalam sebuah kotak berangka 152. Dihias cantik, dipandang lawa. Bolih dilihat, ditinjau terus mata kerana kotak Ku jernih seperti air dalam telaga. Aku dijaga dibela disemai agar sentiasa bercambah untuk diguna, dimana-mana. Di belantara, di hutan, di desa , di bandar atau di mana saja Aku sentiasa dibawa bersama untuk diguna. Yang paling istimewa, pertama dan utama apabila Aku berada di Dewan Yang Mulia. Semua yang ada mesti minta laluan minta izin kalau Aku nak dikesampingkannya. Aku selamba saja bila itu yang dipinta sebab tidak pernah permohonan mereka tidak berjaya. Perkara itu sudah menjadi biasa. Tapi jangan  nak cuba mempermainkan Aku, hubaya-hubaya nahas jadinya, kena buang padang jawabnya.

Apa macam anda semua, sudah kenal diri Ku ini? Ap dia? Masih lagi samar-samar. Itu Aku tidak hairan. Biasalah , Aku ni kan ada kedudukan tinggi, ada darjat ada pangkat. Manalah anda semua berpeluang untuk duduk bersama, dalam kotak berangka 152 pula. Oh ya mungkin angka 152 membuat anda pening kepala untuk menggarap, meneka dan menjangka siapa gerangan Aku ini. Baiklah Aku cuba beri sedikit ubat agar anda tak pening kepala.

Sebenarnya Aku dan anda tidak jauh beza dari segi ilmu yang ada. Aku hanya dapat meneka, sekadar lebih kurang dapat menyatakan kira-kira. Yang anda nak tahu angka 152, jawab Ku kira-kira beginilah bahawa ini ada kena mengena dengan otak fikiran yang sudah menjadi kepercayaan. Sebahagian besar anda sudah percaya, jadi mudahlah Aku untuk menerangkannya. Aku mesti berfikiran positif tak bolih negatif nanti semua tak bolih jadi. Aku gunakan formula tambah untuk membantu anda. Mari bersama kita lakukan kalau tidak anda ketinggalan.

Angka 1, angka 5 dan angka 2 kita campurkan atau tambahkan jawabnya 8. Seronok tak dapat jawapan angka 8. Bukankan sebahagian besar anda percaya angka 8 bawa tuah, ada 'ong'. Berebut-rebut masuk tender untuk dapat angka 8 untuk ditayang dihadapan dan belakang kenderaan. Kalau dapat empat angka lapan lagi banyak bawa tuah, itu yang orang percayalah dan bukan firman Allah. Kalau nak ada kenduri kawin pun kita akan berasa seronok dan bangga jika dapat diadakan pada 8 hb 8 tahun 88 jam 8 .

Bagaimana sekarang, sudah mula kenal Aku. Atau lagi bertambah keliru? Haru biru? Jangan cepat putus asa. Cuba fikir kisah yang Ku bawa itu baik-baik dengan hati yang tenang. Berlapang dadalah kita semua agar yang kusut dapat disorot.  Aku cuma nak beritau bahawa aku ada martabat. Itu saja. Cuma yang ada kedudukan, yang ada pangkat, yang ada darjat yang bolih memiliki 'tuah' atau 'ong'. Anda semua bolih tengok dan lihat saja. Eh betul ke cakap Ku ini. Tentu anda kata Aku merajuk. Siapa  pula nak pujuk.

Kalau anda masih lagi belum kenal siapa Aku , jangan risau. Aku akan beritau nanti. Tapi bukan sekarang, tidak juga esok , lusa atau tulat mahu pun langkat. InsyaAllah jika tuan Ku sihat masih dipanjangkan usia semuanya akan dicerita.  

Tiada ulasan:

Catat Ulasan