Salam Jumaat {SJ) untuk semua. Kali ini kita hendak menyentuh tentang peminta bantuan/sedekah.
Rakyat Malaysia termasuk orang Melayu memang bermurah hati dan sering menghulur bantuan kepada yang memerlukan. Ini satu sifat yang terpuji dan wajar diteruskan. Kita sama-sama mendoakan mereka yang dermawan itu akan bertambah rezeki yang halal dan barakah pada masa depan.
Sifat baik dan murah hati anda itu rupanya ada pihak yang mengambil kesempatan. Kita semua telah mendapat maklum bahawa ada diantara mereka yang meminta bantuan/sedekah ini telah berjaya mengumpul pendapatan RM30,000.00 sebulan. Tidak ramai daripada kita yang dibayar gaji sebesar itu walaupun bekerja bertungkus lumus.
Mengapa perlu kita serahkan wang kita kepada anak-anak muda lelaki perempuan yang dihantar oleh pihak yang tidak bertanggungjawab untuk beroperasi di pintu masuk bank, di kawasan rihat dan rekreasi lebuhraya dan di restoran sedangkan ada pihak atau orang lain yang lebeh memerlukan. Anda cuba buat penelitian betul-betul dan bertanya kepada anak-anak itu. Kita pasti anda akan mula curiga keikhlasan mereka.
Lagi pun mengapa mereka yang masih dibangku sekolah perlu ada disitu dan bukan dalam bilik darjah. Anda tanya mereka datang dari mana, dan bagaimana mereka berada disitu.
Kita amat sedih dan malu sekali kerana kesemuanya anak Melayu dan meminta bantuan bagi tujuan kononnya untuk keagamaan seperti bina surau , sekolah agama dan rumah anak yatim.
Marilah kita bersama memberhentikan kegiatan mereka ini yang amat memalukan orang Melayu dan agama Islam. Caranya mudah iaitu jangan dihulurkan lagi bantuan kepada mereka. Anda bukan seorang yang kedekut atau bakhil sebaliknya anda telah menyelamatkan anak-anak muda kita dari disalahgunakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Kasihani dan bantulah mereka dengan cara ini. Bersama-sama kita gagalkan niat jahat orang yang mempergunakan mereka atas nama agama.
Kalau anda masih tidak percaya apa yang kita kata, cuba siasat baik-baik. Tidak ada niat SJ untuk membuat cadangan bagi meminta supaya kita jangan menderma atau memberi bantuan. Tapi berilah bantuan kepada orang yang berhak dan memerlukannya. Jangan nafikan orang seperti ini dan jangan tolong anak-anak yang dipergunakan ini.
Anda sebenarnya bukan orang yang kedekut atau bakhil tapi anda orang yang sama-sama membantu untuk membina satu bangsa yang bermaruah. Jangan bagi malu orang Melayu dan jangan merendahkan martabat Islam. Islam bukan peminta sedekah.
Jumpa lagi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan