Theflowersellingboy

Selasa, 29 Mac 2011

Program Transformasi Kerajaan....Satu pandangan.

Pada 27 Mac 2011 Perdana Menteri telah mengemukakan Laporan tentang pencapaian pelaksanaan Program Transformasi Kerajaan (PTK) yang telah diperkenal mulai tahun 2010. Sebanyak 6 Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) telah disasarkan iaitu:

1. Mengurangkan jenayah
2. Membanteras rasuah
3. Mempertingkatkan pencapaian pelajaran
4. Meningkatkan taraf kehidupan Isu Rumah berpendapatan rendah
5. Mempertingkatkan infrastruktur asa luar bandar
6. Mempertingkatkan pengangkutan awam di bandar.

Matlamat akhir pelaksanaan Bidang keberhasilan Utama ini ialah untuk meningkatkan kehidupan rakyat tanpa mengira kaum, agama dan taraf sosial.

Fakta dan statistik telah dipaparkan bagi setiap NKRA itu sebagai bukti kejayaan yang telah dicapai. Namun kerajaan juga mengakui bahawa masih lagi terdapat kekurangan yang masih bolih ditambahbaik dan mengalu-alukan pandangan dari semua pihak.

Pertama kita wajar mengucapkan tahniah kepada Kerajaan diatas keberanian memaparkan satu laporan mengenai pencapaian pelaksanaan satu program yang dinamakan sebagai Program Transformasi Kerajaan yang bertujuan untuk meningkatkan kehidupan rakyat tanpa mengira kaum, agama dan taraf sosial. Sama ada pelaksanaan 6 NKRA itu telah sebenarnya berjaya atau sebaliknya bergantung kepada pandangan dan persepsi masing-masing individu atau pihak. Tetapi kita wajar akui bahawa terdapat perubahan kearah yang lebih baik iaitu hari ini lebih baik dari semalam.

Namun apa pun fakta dan statistik yang dipaparkan sebagai menyokong kepada pencapaian pelaksanaan ianya hanya bermakna sekiranya rakyat terbanyak benar-benar merasai dan menikmati hasilnya dengan merujuk kepada perbezaan diantara mereka. Dalam perkataan lain jurang perbezaan inilah yang menjadi ukuran utama dalam menentukan kejayaan sesuatu Program

Sebagai contoh, Laporan menyatakan dibawah NKRA Mempertingkatkan Taraf Kehidupan Isi Rumah Berpendapatan Rendah  bahawa sebanyak 44,643 Isi Rumah Miskin Tegar berjaya dikurangkan kepada peratus sifar dan 2,000 usahawan wanita yang diberi  latihan berjaya meningkatkan pendapatan sebanyak 78.6% iaitu dari $750 kepada $3,500 setiap bulan bagi tiga bulan berturut-turut.

Sekali imbas ia satu petanda yang baik. Tetapi kita mesti juga kaitkan pendapatan itu dengan kuasa beli semasa.

Adakah penambahan pendapatan itu memberi tambahan kepada kuasa beli mereka. Kedua, bagaimana pula jika kita bandingkan dengan pendapatan setengah pihak yang bertambah begitu besar sehingga jurang itu makin melebar besar. Mahu tidak mahu kita kena terima bahawa jurang yang membesar inilah yang menimbulkan rasa kebencian rakyat kepada kerajaan. Tambahan lagi jika perbezaan yang besar itu boleh dikaitkan dengan kaum, agama, lokasi dan status sosial.

Rakyat semakin tidak menyukai kalau kekayaan itu diperolehi dengan jalan yang tidak sah iaitu rasuah. Benar, bilangan yang terlibat mungkin masih lagi terkawal tetapi jangan dibiarkan barah itu merebak dan membesar. Ya, dibawah NKRA Membanteras Rasuah kita memperkenalkan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat, Pewujudan Pengkalan Data Pesalah Rasuah, Laman Sesawang Myprocurement dan tinjauan yang dibuat yang menunjukkan peningkatan bilangan  rakyat  yang berpendapat bahawa tindakan rasuah yang diambil adalah berkesan meningkat dari 28% pada tahun 2009 kepada 48% pada 2010. Kita ucap tahniah kemajuan itu.
 
Namun kita masih melihat , mendengar dan menerima makluamat dari berbagai sumber pembacaan bahawa masih lagi terdapat kaedah tindakan yang memilih. Kita tabik kepada SPRM kerana telah banyak mengambil tindakan keatas penjawat awam. Bukan saja bilanganya bahkan juga kecepatannya bertindak. Tetapi, kuasa tertinggi dan muktamad sebenarnya bukan ditangan penjawat awam. Yang berkuasa ialah orang politik sama ada yang berjawatan kerajaan atau pelobi-pelobi naungan politik. Tidak dinafikan ada tindakan tetapi bilangannya, kecepatannya dan kesungguhannya masih lagi bolih dipertingkatkan, jika NKRA Membanteras Rasuah hendak diyakini sebagai  tindakan yang berkesan .

Adalah dirasakan berfaedah untuk kita renungi, walau pun kita tidak bolih samakan dengan situasi kita, tetapi sebagai mengambil iktibar, akan peristiwa-peristiwa yang telah dan sedang berlaku di negara-negara Arab. Asas kebangkitan mereka dapat kita simpulkan sebagai rasa tidak puas hati rakyat. Tidak puas hati rakyat kerana MISKIN, harga barang dan perkhidmatan yang MAHAL dan  RASUAH.

Begitu juga dengan lapang dada kita renungi kedudukan Malaysia dari segi amalan Rasuah. International Transparency Index meletakkan Malaysia pada ranking 56 dengan indeks menurun (keadaan yang kurang baik) dari 4.5pada 2009  kepada 4.4 pada tahun 2010). Walaupun perbezaannya kecil tetapi ianya tidak menunjukkan kearah yang lebih baik. Ini memberi cabaran kepada kita semua untuk membantu SPRM dalam menangani RASUAH yang menjijikkan. Sekarang kita telah ada Akta Perlindungan Pemberi Maklumat dan manfaatkan sebaik mungkin.

Apa pun Tahniah kepada kerajaan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan