SJ kepada anda semua yang dikasihi
Setiap saat, jam , hari, minggu, bulan , tahun, dekad dan abad dan apa saja ukuran masa yang kita gunakan akan sentiasa mencatatkan berbagai cerita dan peristiwa. SJ pada hari ini akan menyentuh tentang hal-hal yang berkaitan dengan nasihat-nasihat yang selalu kita dengar dan kita ucapkan. Samada nasihat itu kita ucap atau dengar yang pentingnya ialah sikap dan reaksi serta tindakan yang kita ambil untuk menjadikan nasihat itu benar-benar memberi kesan dan menjiwai diri kita dalam bentuk amalan dan perbuatan.
Apabila kita kata nasihat ianya suatu ajakan atau seruan kearah melakukan amalan yang kita harapkan akan memberi kebaikan kepada kita sendiri, keluarga, masyarakat , bangsa, negara dan agama.
SJ sengaja mengingatkan perkara diatas untuk SJ sendiri dan untuk anda semua kerana terdapat juga yang mengucapkan nasihat itu, atau yang memberi nasihat tidak semestinya akan mengamalkan apa yang diajak atau diseru walaupun dia percaya apa yang diajak atau diseru itu adalah sesuatu yang baik. Penasihat yang macam ini selalu kita panggil sebagai "cakap tak serupa bikin".
Dalam kehidupan kita hari-hari, misalnya perbuatan fitnah memfitnah adalah sesuatu yang amat dibenci oleh semua orang. Dalam khutbah Jumaat, misalnya soal fitnah memfitnah ini amat dikutuk sekali kerana ianya boleh merosakkan masyarakat. Khatib yang membaca dan para jemaah yang mendengar,sebahagian mungkin lena tidur, amat percaya bahawa fitnah itu merosakkan. Mereka yang pernah melakukannya atau berniat untuk melakukannya masing-masing merasa terkesan dan berjanji pada diri sendiri akan berhenti atau bertaubat atau tidak meneruskan niat jahatnya. Ini suatu sikap dan azam yang terpuji.
Cuma selepas menunaikan solat Jumaat itu, semasa berada diluar kawasan masjid, kita didedahkan antara lain dengan perkara yang sama iaitu ucapan, berita atau pun pesanan yang mengwarwarkan berbagai fitnah dan tuduhan sesama kita. Yang malangnya pihak yang dituduh dan difitnah itu tidak mempunyai atau diberi peluang untuk menyatakan hal yang menjadi pertuduhan atau fitnah keatas dirinya. Yang amat malang sekali, pendengar ambil sikap tidak mahu memeriksa akan pertuduhan atau fitnah yang diterima, sebaliknya percaya kesemuanya. Yang terlalu amat malang sekali adalah pertuduhan itu atau fitnah itu disebarluaskan dan menjadi satu bahan cerita setiap waktu dan ketika sambil menjadikan bahan lawak jenaka untuk menghina pihak yang dipertuduhkan. Sedangkan, SJ menekankan, sedangkan mereka baharu saja mendengar khutbah Jumaat sebentar tadi.
Hari ini, saat ini setelah melihat apa yang berlaku, SJ berpendapat bahawa perbuatan fitnah memfitnah, tuduh menuduh adalah suatu perbuatan yang telah diketahui membawa kerosakan dan semua orang benci dan marah jika diri difitnahkan tetapi amat diraikan apabila fitnah itu atau tuduhan itu tidak mengena diri sendiri. Amat malang sekali apabila kekuatan, pengaruh dan kekuasaan yang diperolehi yang sebenarnya bersifat amanah telah menjadi keris yang sentiasa diperhunuskan menikam sesiapa saja yang ada dihadapan.
SJ percaya khatib yang membaca khutbah tidak akan berbuat demikian.
Jumpa lagi, InshaAllah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan