Sebenarnya Dosmy ialah kawan baikku semasa kami bersekolah di Kuala Lumpur dulu. Empat tahun satu kelas. Dosmy tidak memasuki universiti yang sama selepas kedua-dua kami berjaya dalam peperiksaan STPM. Kami berpisah begitu lama.
Apabila aku diarah untuk ke Negeri Dibawah Bayu bagi mengetuai satu organisasi ,aku merasa pilu. Bertukar kesini bermakan ada yang tidak kena, itu pendapat banyak kawan. Masuk peti sejuk, setengahnya memberi pandangan yang merisaukan. Tidak mengapa kataku memujuk hati melepas nafas panjang memberi keyakinan.
Untuk kesana aku mesti cari maklumat yang penting dan berkaitan untuk memudahkan tugasan. Pertama adakah kawan disana. Ini penting dalam urusan mencari rumah untuk disewa. Rumah mesti tidak terlalu jauh dari tempat kerja. Agak selesa untuk sebuah famili lima beranak. Kedua, sedikit gambaran mengenai suasana
bekerja dan masyarakatnya. Ketiga, bagaimana pula kos hidupnya, mahal atau sederhana atau lebih murah.
Maklumat telah diperolehi dari sahabat yang pernah bertugas disana. "Kau pergilah. Ok, tak ada masalah", aku diberitahu oleh kawan itu. Beliau memberikan nama Dosmy untuk dihubungi. Wah bukan main seronok dan cerianya ku apabila mengetahui Dosmy bertugas dinegeri bawah bayu.
Disebelah malam jam 8 Dosmy dan keluarga mengunjungi rumahku untuk makan malam atas jemputan. Sewaktu aku menghubunginya disebelah petang lebih kurang jam 5, beliau mengajak aku makan malam di sebuah restoran dibandar. Bolihlah beliau memperkenalkan dengan beberapa kawan sepermainannya. Aku mengucapkan terima kasih pelawaannya itu. "Jemput makan malam dirumah. Isteri kita pun belum kenal mengenal", jemputan balasku bagi menolak pelawaannya itu. Jemputan ini pun aku rasa telah terlambat. Sepatutnya seminggu dua selepas aku menetap disini sebagai tanda terima kasih diatas pertolongan yang telah diberikan dulu.Nasib baik si Rimba timbulkan cerita main golf semalam yang membangkitkan keinginan mahu tahu. "Ok, malam ini aku datang bersama keluarga. Bolihlah cerita kisah-kisah lama", Dosmy bersetuju dengan jemputan itu.
"Jemput masuk", pelawaku sebaik saja Dosmy dan keluarganya berdiri dipintu. Kami bersalaman. Dosmy dan keluarga terus ke ruang tamu.
Aku dan isteri ke ruang makan menyiapkan hidangan. Ini tetamu istimewa, kawan lama mesti banyak cerita dalam kesempatan seperti ini. Dipertemuan majlis rasmi tidak seronok bercerita kisah-kisah lama kerana ini kisah kami berdua. Kawan yang lain sudah tentu bosan mendengarnya.
"Mi jemput makan" ,itulah panggilan mesra ku sejak dibangku sekolah dulu. Isteriku mempersilakan isteri dan anak-anaknya untuk turut serta. "Wah bukan main spesil hidangan malam ni. Ada apa-apa ke?" Dosmy bertanya sambil menarik kerusi untuk duduk dan matanya menjeling isterinya yang duduk sebelah. "Tak ada apa. Masak simple-simple je", isteriku merendah diri. Aku seperti biasa suka bergurau dengan Dosmy dan berkata "Mestilah. Nak sambut tetamu istimewa. Tengok macam-macam ada, ikan parang masak asam pedas, ikan masin goring, ayam, sambal tumis udang, sotong. Cukup dengan ulam, kacang botol, timun sambal belacan . Kuih pun ada". Aku mengusik isteriku yang senyum tersipu-sipu tetapi dalam hati siapa tahu. Seronok agaknya dengan gurauan ku itu.
Aku dan Dosmy meninggalkan isteri dimeja makan untuk mereka bercerita hal-hal perempuan, resepi makanan, kompleks perniagaan yang menawarkan jualan murah bermusim. Biarkan mereka. Tiga orang anakku bermain dengan anak-anak Dosmy yang jumlahnya sama.
Kami berdua di ruang tamu. Duduk bersandar. "Ehh Mas kau join kita orang main golf. Tengok perut kau tu dah terlondeh. Exercise sikit". Dosmy memulakan cerita dengan memanggil aku Mas, singkatan dari namaku Hamas. Mataku segera mengalih fokus ke perut Dosmy. Perutnya buncit dan melondeh lebih teruk dariku. "Tengok perut kau tu lagi teruk", jariku telunjuk kananku menunjuk tepat ke arah perut Dosmy yang buncit melondeh itu. Tambah pula selepas menikmati jamuan yang sungguh berselera sebentar tadi. Dosmy ketawa terbahak-bahak bersetuju dengan kata-kataku itu.
"Bukan apa main golf ni banyak kawan. Fikiran tenang. Masalah ofis semua hilang melayang", beliau cuba meyakinkan aku. Ketawanya telah diambil alih oleh suara yang cuba memujuk dan mempengaruh. "Kau tahu, mula-mula dulu aku bukannya suka nak main golf ni. Macam orang gila. Kejar lubang", cerita Dosmy mengingatkan kisah mula tercebur ke dunia golf. "Tapi bila dah main, panas terik, hujan petir dah tak kisah lagi?" Beliau mendekati pada ku dan mulutnya menghampiri telingaku berbisik, "Kalau wife aku suruh beli barang di kedai depan rumah, aku kata panas terik pening kepala, tak tahan. Tapi golf lain cerita", ketawanya bermula semula.Aku pun tumpang sama. "Woi apa cerita tu. Ketawa besar nampak?" Terdengar suara isteri Dosmy dari ruang makan yang jaraknya tak seberapa.
Dosmy terus mempengaruhi ku dengan cerita golf yang aku belum tahu. Untuk menjadi ahli klab bayarannya RM20,000. Mungkin akan naik katanya. Mesti ambil handicap dulu. Ketika ini aku tercengang bodoh. "Pasal apa pulak nak ambil handicap. Apa binatang tu?" Aku bertanya ingin tahu. Aku faham perkataan handicap itu tapi kenapa nak bermain golf kita mesti cacat dulu. Sekali lagi beliau ketawa seronok mendengar soalan ku yang dianggap tidak perlu kepada yang tahu. "Golf ni satu permainan yang adil. Gentleman. Sama dengan Dasar Ekonomi Baru", kesitu pula menyelewengnya penjelasan Dosmy. Aku makin keliru. "Kalau kau miskin kita mesti tolong. Samalah dengan golf. Kalau kau baru main tentulah tak pandai macam aku. Aku beri kau gula-gula dulu atau cokelat. Mata percuma". Akhirnya faham dan maklumlah aku akan keperluan mengambil handicap itu.
"Kau jangan takut. Aku bolih arrange dengan captain untuk dapat handicap. Mesti beres punya . Tambah-tambah post kau ni. Siapa tak mahu rapat. Bodohlah orang tu".Dosmy meredakan kerisauanku. Nafsuku telah mula menggoda. Bagus juga main golf. Banyak kawan. Tenang fikiran. Jaga kesihatan. Aku setuju dengan cadangan Dosmy untuk menjadi ahli klab golf itu.Tapi RM20,000 mana nak cari. Mungkin boleh bayar secara ansuran, pujuk hati kecilku mencari jalan keluar yang dipengaruhi nafsu. Namun dahiku berkerut juga.
"Berapa kali bayaran untuk jadi ahli", tanyaku lurus. "Ohh itu kau jangan pening kepala. Aku bolih uruskan. Ada kawan. No problem", Dosmy meyakinkan aku. Siapa pula kawan si Dosmy ni yang bolih membantu. Bank mana agaknya yang aku perlu kunjungi untuk mendapat pinjaman peribadi.
"Ok. Setuju? Esok aku kepejabat kau dengan seorang kawan. Bawa borang jadi ahli", beliau bangun dan melihat jam ditangannya.
"Nah, dah hampir pukul 12. Besok awak nak mengajar. Budak nak sekolah", Dosmy memanggil isterinya Aminah. Ada sedikit nada gesaan. "Budak-budak dah tidur, tolong kejutkan", jawab isteri Dosmy. Anak-anakku dan anak-anak Dosmy rupanya bergelimpangan tidur dihadapan tv yang tiada penuntun.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan