Pagi ini saya terpanggil untuk mengajak anda merenung dan memikirkan gelagat kita sebagai makhluk yang terbaik berbanding dengan makhluk-makhluk Allah yang lain dalam pengisian kita sepanjang mengharungi kehidupan didunia.
Renung dan Fikirkan:
1. Semasa bayi kita menyerahkan sepenuhnya kehidupan kita kepada orang yang menjaga. Kita akan menangis jika kita lapar,sakit atau ada sesuatu yang tidak selesa yang kita alami. Menangis adalah senjata yang ada pada kita untuk menarik perhatian , merayu simpati dan ikhsan kasih sayang orang untuk membelai kita.Itulah yang termampu kita buat. Itulah media perhubungan kita, lingua franca bagi manusia seluruh dunia yang tidak perlukan terjemahan mahu pun tafsiran walaupun kita berbagai warna kulit, kepercayaan, budaya, bahasa, negara dan sistem bernegara. Hebatnya tangisan seorang bayi. Namun didunia ini kelainan bukanlah satu pengecualian, terutama ketika ini, tangisan bayi darah daging sendiri, tidak sekali-kali akan mendetik hati untuk memutik rasa belas, ikhsan kasih sayang dan simpati. Sebaliknya tangisan akan menggamit rasa kebencian, menyemarakkan nafsu marah dan menjadi pemangkin kepada suatu alasan yang amat keji dan terkutuk sekali bahawa inilah lesen atau paspot yang sah untuk menyingkirkan kita, seorang bayi yang tidak berdaya atas dosa yang mereka lakukan. Maka kita, bayi, yang menangis yang mengeluarkan berbagai irama akan didamparkan dimana saja mereka suka. Kita, bagi mereka adalah satu liabiliti yang menyusah dan memalukan mereka , justeru nyahlah kita dari hati sanubari mereka. Ditakdirkan kita panjang usia, sehingga mencapai usia muda dan dewasa seperti mereka, adakah cerita yang sama pilihan kita sedang dahulunya kita menangis merayu ikhsan, simpati, belas dan kasih sayang? Jangan begitu!
2.Apabila usia meningkat memasuki alam muda remaja, kita mempunyai berbagai impian dan berbagai harapan yang mendorong kita untuk meneruskan kehidupan. Tanpa impian dan harapan ianya pasti menunjuk kita kepada jalan penyingkiran. Penyingkiran dalam proses sebuah kehidupan adalah paling malang sekali. Kita akan menjadi sebahagian dari insan yang melengkapi dari segi bilangan tetapi tidak mempunyai apa-apa makna dari segi peranan dan tanggungjawab untuk mencorak kehidupan kearah pencapaian impian dan harapan. Kita adalah mati dalam sebuah kehidupan. Adakah itu yang menjadi pilihan ?
Justeru sebagai orang muda yang remaja kita adalah pejuang dibarisan hadapan mengharungi apa saja rintangan dan halangan dengan penuh yakin sabar dan kesungguhan. Sudah tentu ada ketikanya kita akan tergelincir, tersasar atau tersekat laluan yang boleh melambat atau melengahkan kita kearah matalamat yang hendak dituju namun semuanya itu adalah terlalu berharga untuk kita membina kekuatan ketika dewasa sebelum tua. Sekurang-kurangnya ia menjadi kenangan manis, bahan senyuman semasa berbicara ketika dewasa mahu pun lanjut usia.
3. Melepasi zaman remaja dan memasuki alam dewasa adalah ketika mana kita mula rasa atau mengecapi hasil usaha atas segala tenaga dan daya fikiran yang telah dimenfaatkan. Kita telah cukup bersedia untuk mencari pasangan hidup, berkongsi harapan dan impian untuk meninggalkan warisan. Cuma kita perlu ingat, tinggalkan warisan yang sewaktu bayi, kita berikan ikhsan dan kasih sayang . Ketika bayi itu menangis, jadikan itu sebagai suara hati si bayi bahawa sibayi itu sebenarnya mengasihani kita, menawar diri menjadi pewaris yang terbaik. Bukan kah itu yang hendak kita tinggalkan?
4. Usia telah mula mendekati garis penamat. Mahu tidak mahu perjalanan dalam sebuah kehidupan akan diteruskan. Berbagai isyarat telah mula kelihatan, yang fizikal dan non-fizikal. Tubuh badan mula mengecil dan mengecut, tenaga semakin berkurangan dan menjadi lemah. Semuanya itu bukan masalah besar. Itu adalah satu proses yang kita lalui dalam sebuah kehidupan sebelum kematian. Cuma , seperti pada ketika zaman bayi dulu, yang menangis meraih belas ikhsan , simpati dan kasih sayang, yang satu ini akan menjelma kembali mengambil tempat. Ketika inilah tangisan, lelehan air mata adalah media suara hati. Ketika usia sebegini, hati terlalu kecil untuk menyerap suara kata yang tinggi walaupun katanya berniat suci. Merajuk ialah pilihan yang amat popular. Bisikan hati selalu menghasut untuk menyingkirkan diri, mengasingkan diri adalah pilihan yang diwarwarkan. Tetapi kenapa kita jadi begini disaat-saat mendekati garis penamat?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan