Theflowersellingboy

Ahad, 20 Mac 2011

Begitulah Aku............Martabatku 4

Salam Mesra untuk semua. Apa khabar. Harap sihat dan ceria selalu.

Beberapa hari yang lepas kita telah bersama dalam sinario pasar malam. Kali ini Aku mengajak anda di satu sinario yang lain pula. Di sebuah pasar raya yang terletak di bandaraya. Berubah angin.

Selesa sungguh didalam pasar raya ini. Hawanya dingin menyegarkan walaupun orang mundar mandir begitu ramai sekali.  Aku mencari sesuatu tapi masih lagi belum ketemu. Tapi anda jangan pula risau untuk meneka apakah sesuatu yang Aku nak cari. Jangan juga mula nak marah. Buat bersabar, bertenang. Aku nak beritau. Sekarang ini juga.

Ada pun Aku ini mempunyai wakil atau orang sekarang lebeh mesra gunakan kata proksi. Lebeh moden dan terkini agaknya. Kadang-kadang mereka anggap sebagai isyarat mereka orang yang terpelajar. Kalau guna kata wakil, tidak terkini, orang kampong. Untuk itu biarlah Aku gunakan proksi sesuai dengan kesukaan ramai. Ehh jauh pula Aku tergelincir.

Dulu, lama dulu dizaman datuk nenek Tuan Ku, Aku ada dua proksi untuk memperkenalkan diri Ku. Satu proksi katanya berketurunan Arab, mungkin ada sedikit darah Parsi. Dan yang lagi satu berketurunan Mat Salleh atau selalu juga disebut orang putih. Diantara dua proksi ini yang selalu muncul mewakili Ku ketika ini ialah yang Mat Salleh ini. Bukan main bergaya . Yang berketurunan Arab dan ada sedikit darah Parsi pula, makin lama semakin memencilkan diri. Aku dengar cerita, sudah ramai yang tidak berminat dengannya. Aku tidak tahu apa sebabnya. Mungkin, Aku kata mungkin saja, yang berketurunan  Arab ini banyak menyusahkan. Sikapnya susah nak baca, kadang-kadang keliru dibuatnya. Jadi tidaklah ramai yang menyukainya.Mungkin juga dia rasa rendah diri.

Akhirnya terjumpalah Aku proksi Ku itu. Proksi orang putih. Tidak kelihatan pula proksi yang lagi satu.Aku renung baik-baik proksi Ku itu tapi Aku lihat pakaiannya tidak serupa seperti yang Ku harapkan. Lain gaya dan lagaknya. Sudah jelas ini bukan proksi Ku. Ia nampaknya sama tapi tidak serupa.

Dengan sebab itu Aku terus mencari proksi Ku yang sebenar supaya dia boleh mewakili Ku di pasaraya ini. Kalau proksi sudah ada Aku tidak perlu bersama kerana proksi itu Aku lah juga. Tuan Ku singgah diruang menjual sayuran. Macam-macam sayuran ada. Ada sayuran tempatan dan ada sayuran dari negara luar. Sayuran tempatan memang Aku kenal misalnya bayam, kacang bende, bunga kobis, sawi, terung, tauge dan banyak lagi. Kelihatan juga tanda nama dipaparkan pada setiap sayuran itu. Rupanya disini ada proksi Ku yang duduknya sedikit bawah dari yang lain. Tidak mengapalah asalkan ada. Lega rasanya.

Suhu sejuk semakin terasa membuatkan Tuan Ku berjalan cepat untuk keluar. Beliau singgah sebentar untuk buat bayaran. Disini juga proksi Ku duduk di bawah sedikit dari yang lain sama seperti di ruang sayuran tadi. Sahlah bahawa Aku tidak boleh mendahului yang lain mesti di bawah atau dibelakang. 

Selepas buat bayaran Aku terdengar sesuatu dari penerima wang yang ditujukan kepada Tuan Ku. Aku memang biasa dengar kata-kata itu tapi lidah  Ku kelu untuk berkata. Ahh Begitulah Aku, nasib Ku.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan