Salam Jumaat untuk semua. Jumaat lepas kita berbicara tentang mencari TITIK TUMPUAN. Hari ini, Jumaat ini kita hendak memperkatakan tentang Senaman Pagi. Senaman Pagi ialah Titik Tumpuan kita .
Selepas Subuh, bagi yang telah bersara , kita punya banyak pilihan untuk melakukan sesuatu. Mereka yang masih bekerja atau bekerja mengikut waktu pagi yang ditetapklan sudah tentu selepas Subuh dan selepas sarapan pagi, bagi yang berkesempatan berbuat demikian akan menghala arah ketempat kerja mereka masing-masing. Ada yang bergegas dan tidak kurang yang selamba relax saja. Bagi mereka yang masih bekerja juga, tetapi pengurusan masa ditangan sendiri, ianya tidak jadi hal.Cepat boleh lambat pun tiada siapa yang hendak kawal.
Bagi mereka yang tidak menjadikan Subuh sebagai titik bertolak untuk menghadapi siang yang akan menjelang, juga mempunyai pilihan mereka masing-masing dalam menjalani kehidupan.
Pilihan yang terbaik bagi pesara ialah Senaman Pagi. Pilihan yang amat merugikan ialah meneruskan tidur selepas Subuh.
Di Malaysia secara amnya, kita mempunyai tempat berekreasi dan berihat yang disediakan oleh pihak berkuasa tempatan. Berbagai kemudahan ada disediakan sebagai balasan kepada orang ramai yang telah membayar cukai taksiran. Di Bandar Maharani Muar misalnya telah disediakan kawasan sdemikian dantaraya di Tanjung Emas.
Tanjung Emas adalah satu kawasan atau lokasi yang sungguh indah pemandanagannya. Sesuai dengan namanya sebuah tanjung, terletak di muara Sungai Muar yang bersambung dengan Selat Melaka. Masih lagi terdapat pokok-pokok Bakau yang menjadi tebatan air,disebelah utara tebing sungai terdapat sebuah nasjid tersergam indah atapnya berwarna biru dan ditebing bertentangan pula dimana disediakan kemudahan trek untuk bersenam, ada juga sebuah masjid yang berdekatan,kediaman rasmi Pegawai Daerah Muar dan padang golf.
Bagi para senaman mereka mempunyai dua pilihan untuk menyegarkan badan samada di Dataran Emas atau di kawasan bersebelahan dengan padang golf. Saya telah menikmati kedua-duanya.
Ada iklan yang bolih meransangkan kita untuk bersenam berbunyi 10,000 langkah sehari. Dalam sehari kita mesti membuat langkahan sebanyak sepuluh ribu kali untuk menjadi sihat. Itulah agaknya mesej yang hendak disampaikan. Saya cuba menyambut cabaran itu dan mula melangkah.
Terdapat dua trek. Satu yang bertar dan satu lagi jenis interlocking tiles berwarna kemerahan. Saya memilih trek yang bertar. Untuk memulakan senaman berjalan kaki saya memilih balai rihat yang terletak dihujung trek sebagai titik mula langkahan. Bahu kanan saya bersebelahan gigi air dan bahu kiri menyepadani padang golf.
Mula melangkah tepat 8 pagi dengan iringan Bismillah memohon restu dan izin Allah semoga langkahan itu menghasilkan kesegaran dan kesihatan tubuh badan dan akal fikiran untuk dapat meneruskan kehidupan pada hari-hari muka. Disebelah ialah isteri yang telah berjanji bolih ditinggalkan dibelakang jika kayuhan tidak selaju kayuhan saya. Langkahan kaki tidak lah sebesar mana tapi sekadar bolih menjarakkan saya dan isteri yang terhempah hempoh tinggal dibelakang. Setiap langkah dikira. Apabila genap seratus bilangan, ibu jari tangan kiri akan mencecah bahagian atau ruas atas anak jari ditangan yang sama. Begitulah seteusnya bagi bilangan yang sama seperti orang berzikir tanpa menggunakan buah tasbih.
Dalam perjalanan bolih kita temui monyet-monyet yang berkeliaran di trek dan juga diatas pokok. Terdapat pokok kelapa, pokok bunga kemboja yang sedang berbunga mewangi baunya, pokok bakau sebagai tebatan air dan berbagai peralatan senaman disebelah kiri trek. Perjalanan sehingga kehujung, menurut jarak lebar langkahan saya memakan masa 9 minit. Dengan jarak langkahan yang sama pergi dan balik ianya memakan masa 18 minit. Jumlah langkahan yang telah dibuat dari hujung ke hujung ialah 1500. Ini bermakna saya terpaksa membuat lebih dari enam kali perjalanan atau lebih dua kali pergi dan balik dari hujung kehujung untuk mendapat 10,000 langkahan.
Dalam masa 50 minit saya hanya dapat membuat 6,000 langkahan kurang 4,000. Stamina pun mula menurun dan terus berhenti setakat itu saja. Gagallah saya menyahut cabaran untuk 10,000 langkahan seperti yang diiklankan. Anda bagaimana?Saya percaya ianya sesuatu yang mudah bagi anda. Macam kacang kata orang.
Terdapat berbagai peringkat umur yang melakukan senaman pagi itu. Berbagai pilihan dibuat. Ada yang berjalan cepat macam saya, ada yang berlari-lari anak, ada yang berjalan senang lenang sambil berbual dan ada yang menggunakan peralatan senaman yang disediakan. Sebahagian besar terdiri dari orang Cina, tua dan muda. Orang Melayu tidak berapa ramai terutama yang berumur macam saya. Orang India, satu dua.
Sambil berjalan kadang-kadang kita terpaksa mengelak dari terpijak najis monyet atau mengelak dari terpijak botol minuman. Selain bau bunga kemboja putih yang wangi, terhidu juga bau yang tidak menyenangkan dari longkang. Terdengar juga para senaman yang mengomel mengatakan longkang tidak dibersihkan penuh dengan sampah sarap dan lain-lain buangan. Ternampak juga kertas-kertas tisu dan kertas bungkusan makanan bersepah tidak dimasukkan kedalam tempat sampah yang disediakan.
Itulah sedikit gambaran yang mencacatkan pandangan dan mencemarkan udara bersih sepanjang perjalanan di trek senaman Tg Emas. Sayang sekali tempat yang begitu indah lokasi dan pemandangannya , disediakan pula peralatan senaman, tetapi keindahannya dan udaranya telah tercemar oleh manusia itu sendiri. Tidak perlu para senaman menuding jari hanya kepada pekerja pihak berkuasa tempatan, kita juga bersama mengambil tanggungjawab apa yang terjadi. Sampah sarap dan botol air minuman tidak datang kesitu dengan sendirinya.
Saya terasa juga sedih dihati apabila budaya senaman pagi ini belum terbina dikalangan masyarakat Melayu . Bukankah kita sentiasa bangun pagi untuk solat Subuh. Mengapa tidak kita gunakan selepas Subuh untuk senaman pagi. Bukankah senaman pagi itu satu perubatan yang paling murah. Kalau tidak berkesempatan ke Tg. Emas bolih saja didalam rumah.
Salam Jumaat untuk semua. Jumpa pada minggu depan. InshaAllah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan