Theflowersellingboy

Ahad, 13 Mac 2011

Kayuhan Ke Bukit Hantu ....8

Sudah banyak kali aku menalipon Dosmy pada hari ini, Sabtu, tapi tidak juga taliponnya diangkat. Mungkin sedang sibuk menguruskan perpindahannya ke KL pada minggu depan. Atau beliau sedang menghayun kayu golf  melepaskan geram terakhir bermain golf di negeri bawah bayu. Maklumlah di KL nanti peluang tidak terbuka seperti disini. Hari-hari sesak barat menumpulkan semangat untuk ke padang. Tapi kata Dosmy gian golf lain macam. Hujan petir, panas terik bukan halangan. Jalan!

Tetapi kalau dia tiada rumah takkan isteri turut bersama. Mustahil. Anak-anak kemana pula. Hairan.

Aku melangkah keluar rumah menuju ke padang bola yang bertentangan dengan rumahku. Hari Sabtu memang ramai anak-anak muda belasan tahun bermain bola. Yang tua macam aku nampaknya disisi padang saja jadi penonton yang setia. Jam ditangan menunjukkan 3.30 petang sang suria masih lagi gagah memancar. Aku berlindung dibawah sebatang pohon rendang mengelak dari tembakan cahaya mentari. Seronok juga melihat orang muda berkejaran merebut sebiji bola. Sudah tentu tidak sama di padang golf Masing-masing ada bola sendiri. Pukul sendiri tiada rebut merebut. 'Tidak bolih bising semasa kawan nak putting', itu yang Dosmy beritau ku dulu. "Kalau bola tak masuk lubang, kau dipersalahkan. Ganggu tumpuan".

"Pa uncle Dosmy talipon", tiba-tiba rusuk sebelah kananku terasa disentuh orang. Anakku Wani memberitahu ku panggilan talipon dari Dosmy. Aku terus menuju ke rumah meninggalkan anakku yang mengambil tempat ku.

Aku terus memberi salam. Salamku berjawab. Dosmy menyatakan dia baru saja balik dari syarikat yang akan menguruskan perpindahannya nanti. Segala barang-barang terrmasuk perkakasan rumah, sofa dan sebagainya akan diuruskan oleh syarikat itu. Lama juga dia dan isterinya berbincang dengan pengurus syarikat. Isterinya lagi panjang cerita.

"Patutlah banyak kali aku talipon tak jawab",kataku lurus. "Ada hal ke talipon aku ni",sambung bualan ku. "Pinggan mangkuk ku semua dah bungkuslah. Kita orang makan dikedai saja" Dosmy bergurau menceritakan kedudukannya ketika ini. Aku faham akan maksudnya. Dan itu pun tujuan ku menalipon dia berkali-kali hari ini. "No problem. Apa guna ada kawan. Malam ni satu keluarga datang rumah ku. Ok", suara ku jelas dan ceria . "Aku nak datang jemaah Maghrib sama", Dosmy selamba saja membuat cadangan. Aku bersetuju.

Aku segera mendapatkan isteriku didapur yang memang telah sedia untuk menerima tetamu itu.  Tapi beliau tidak menjangka waktunya lebih awal. "Abang tolong le sama", rayu isteriku. Aku hanya tahu menumbuk cili untuk buat sambal belacan dan tolong cuci pinggan. Siang ikan jauh sekali. Tapi itu pun sudah membantu. Lagi pun isteri ku ini tidak suka orang lain mengganggu rencah perencah yang disediakannya. Lain rasanya.Itulah yang paling ku suka. Tidak perlu ke dapur selalu . Cuma sesekali tolong mencuci pinggan dan cawan.

"Siapa nak datang ma, pa", tanya Wani yang baru balik dari menonton permainan bola dipadang, ditangannya telah tersedia segelas jus oren yang diambil dari peti sejuk. Kami tidak menjawab. "Uncle Dosmy ke. Anak-anaknya datang?" Wani nampaknya gembira mengharapkan kawan-kawannya datang. Bolih tengok tv bersama. Main bersama." Aaha" , isteriku jawab pendek. Wani sungguh gembira lantas masuk kedalam biliknya. "Apa benda yang dicari siWani tu?" Tanya ku pada isteri. "Mainanlah apa lagi".

Persiapan hidangan semuanya beres. Tapi masih belum dihidang dimeja.

Sebuah kereta Toyata berwarna putih telah menghampiri pintu pagar rumah ku. Anak ku Wani segera berlari membuka pintu pagar. Seronok dan gembira lagaknya. Dosmy, isteri dan tiga anaknya menuju kearah kami yang sedia menunggu dipintu. "Dosmy ni buat malu saja", ayat pertama dari isteri Dosmy sebaik saja bersalaman dengan isteriku. Isteri ku agak kurang faham maksud yang hendak disampaikan itu. "Apa nak malukan. Pinggan mangkuk kan semua dah bungkus", Dosmy menjeling ku dan ketawa kecil. Isteriku mula faham. "Memang kami dah cadang nak jemput malam ni", isteriku mempersilakan isteri Dosmy masuk   dan mereka terus ke ruang dapur. Wani membawa  anak-anak Dosmy masuk kebiliknya. Aku dan Dosmy ke ruang tamu.

"Jempunan ada talipon?", Dosmy bertanya mengenai perkembangan golf ku.  "Ada " jawab ku ringkas yang tidak menunjukkan minat permainan golf itu lagi. "Macam mana?" Tanya Dosmy lagi. "Macam mana yang  macam mana?" Aku tanyanya balik. Dosmy semacam kecewa dengan soalan ku itu seolah-olah aku sengaja tidak mahu faham soalannya itu. Aku cuba memujuk supaya mood makannya nanti tidak terganggu, "Tapi Mi aku rasa tak seronok kalau kau tak ada", kataku tidak memandang terus ke mukannya."Terpulang pada kau lah", Dosmy tidak mahu mempengaruhi ku untuk  berkecimpong dalam golf. Suasana senyap seketika. Aku cuba memikirkan sesuatu tajuk yang lain yang bolih merancakkan perbualan.

Mataku menangkap kearah gambar yang tergantung didinding. Gambar hitam putih yang sentiasa aku gantung diruang tamu. Gambar aku , Dosmy dan kawan sekelas semasa kami ditingkatan enam dulu. Kelas 6A2 begitulah kelasku diberi nama. Aku mula tersenyum bila mengenang kisah lama. Kisah reaksi seorang kawan apabila guru ekonomi Mr. Vincent bertanya "Do you know what demand curve is?" Kawan ku itu tersengeh saja.  Tidak berkata 'no' atau pun 'yes'. Mr Vincent nampaknya naik angin. Dosmy menyelamatkan keadaan "Sir, may  I go to the board". Dosmy terus kepapan hijau dan melakarkan kelok (curve) permintaan (demand). "Good, thank you", puji Mr Vincent yang baru dua hari mengajar disekolah ku.

"Oiii apa yang tersenyum tu", Dosmy menegurku sambil memaling muka kearah gambar didinding. "Kau ada simpan lagi?.Aku mengangguk. Tapi Dosmy tidak lah pergi mendekati gambar nostalgia itu. Macam kurang penting baginya. "Minggu depan aku terbang. Pukul 1.30 petang", Dosmy memberitahu tarikh dan masa penerbangannya ke KL. Aku mendengar saja. Tarikh itu aku sudah tahu cuma waktunya baru aku maklum. Suasana sepi semula. Kelihatan ada sesuatu yang hendak diperkatakan oleh Dosmy tapi belum sempat bersuara, terdengar bunyi azan dari masjid yang berdekatan. "Dah masuk Maghrib. Mari ambil wuduk", aku bangun dan Dosmy mengekori dari belakang.

"Sedap bacaan kau tadi" Dosmy memuji aku sebaik saja kami di ruang makan sambil menarik kerusi dan duduk bersebelahan  dengan  isterinya. "Alah mualaf baru masuk Islam", kata isteriku bergurau. Kami makan begitu berselera sekali terutama aku dan Dosmy.Selepas makan aku dan Dosmy ke ruang  tamu semula meninggalkan isteri diruang makan.

"Sebelum aku lupa aku nak cakap sikit. Bukan nasihat tapi ingatan dari seorang kawan", bersungguh sangat nada suara Dosmy. "Kau baru tiga bulan disini. Mungkin telah tahu sedikit sebanyak...", belum sempat Dosmy menghabiskan kata-katanya aku cepat bersuara,"Banyak yang nak tahu dari kau tapi kau dah nak cabut" rasa kecewa ku hamburkan. Dosmy mengingatkan aku supaya sentiasa berwaspada kerana ramai yang hendak rapat dengan ku. Katanya ada udang di sebalik batu. Banyak yang hendak membantu, pelawaan makan tengah hari , makan malam dan macam-macam lagi. Ketika ini mereka tengah mengkaji peribadi ku. Apa hobi dan kegemaran ku, bila tarikh menyambut hari kelahiran termasuk isteri dan anak-anak. Dimana selalu aku pergi bercuti dan macam-macam lagi.

"Ini cerita benar. Bukan nak takut kan kau" Dosmy menegaskan. "Dia orang tau bila birthday anak kita". Aku beri perhatian penuh cerita Dosmy itu. "Tiba-tiba ada benda yang di hantar ke rumah. Kadang-kadang ditinggalkan saja", cerita Dosmy yang telah lima tahun disini. "Apa kau nak buat?" Tanya Dosmy jika barang yang dibawa ditinggalkan dirumah. "Laporlah ", jawab ku segera. Dosmy senyum seolah-olah jawapan ku itu seperti jawapan anak kecil. Dia tidak beri apa-apa ulasan tentang jawapan ku itu.

"Cuma aku nak ingatkan kau berhati-hati. Termasuk orang dalam", Dosmy bangun sambil memanggil isteri dan anak-anaknya untuk bersedia pulang. "Minta maaf, sebenarnya orang sebelah rumah nak jumpa aku" sambil melihat jam ditangan. Aku pun mengucapkan terima kasih akan apa yang telah diperingatkan.

"Ok. Terima kasih jumpa di KL nanti" ucap Dosmy menuju ke keretanya bersama isteri dan anak-anak.

Dosmy dan keluarga hilang dimata.Waktu itu sudah pukul 10. Aku melangkah masuk ke rumah dan teringat akan kata-katanya supaya berhati-hati termasuk orang dalam. Apa maksudnya? Ada kah kaitan dengan maklumat peribadi misalnya tarikh kelahiran termasuk isteri dan anak-anak? Ya aku kena pandang berat ingatan kawan baik ku Dosmy ini. Sebab itulah agaknya dia yang menaliponku untuk makan dirumahku. Bukan kerana tak tahu malu seperti kata isterinya. Terima kasih Mi. Aku terus baring melelapkan mata.

1 ulasan: