Taufan dan ribut Tanusa telah melanda kampong Tana. Diberitakan beratus ribu penduduk kampong terpaksa melarikan diri keluar dari perkampongan itu menuju ke kampong jiran yang berdekatan. Ada yang keselatan, ke utara, ke timur, dan ke barat megikut arus yang difikirkan selamat. Kadang-kadang terpaksa berpatah balik menuju kearah yang bertentangan apabila Tanusa itu datang menggempur mengubah haluan. Mereka tidak fikirkan kelelahan, malah itu tidak penting. Nyawa mesti diselamatkan. Harta benda dan yang lain bukan jadi rebutan lagi. Tiada siapa pun peduli itu semua. Anggota badan mesti rengan, mesti dapat bergerak dengan pantas, mesti mendahului sampai tempat yang selamat. Ruang itu mesti dicari segera.
Waktu ini, ketika ini yang buta tidak lagi bertongkat. Laluan sibuta sama saja dengan yang sicelik. Jika sibuta langgar melanggar, sicelik pun sama saja. Sikurus tidak berhenti-henti mengucapkan syukur ketika ini kerana merekalah yang paling kehadapan, dapat mencelah kekiri kekanan asal ada ruang terbuka . Yang gemuk pula mula menyesal, kenapa dulu tidak masuk program 'the biggest looser'. Terensut-ensutlah mengemudikan diri sedang yang kurus tidak nampak dimata.
Waktu ini, ketika ini adik , abang , kakak, ipar, menantu, besan, cucu, cicit dan segala yang bertalian tidak penting lagi. Ibu dan bapa datuk dan nenek dibiarkan saja. Lagipun mereka sudah lama menghirup udara dunia. Kalau hendak diajak bersama, langkah mereka tidak sejauh mana. Setapak dua lelah dan semputlah mereka..Kalau nak tunggu, sampai bila lelah akan reda.
Begitulah dahsyatnya gempuran taufan tanusa yang mengamuk tidak memilih siapa. Manusia , pokok, binatang, bukit gunung dan segalanya adalah sama saja.. Ini bukan kali pertama tanusa menggila. Lima puluh tahun dulu dia pun telah mengganas. Datuk dan nenek ketika itu masih bertenaga. Larian mereka paling laju meninggalkan emak dan bapanya dulu. 'Mereka semput, langkah pun tidak seberapa', ngomel mereka lima puluhan tahun yang berlalu. Sekarang mereka pula mengambil giliran.Padan muka.
Akhirnya tanusa yang bernafsu ganas itu mula reda. Perlahan-lahan ia berlalu meninggalkan kampong Tana menuju kelain hala ke kampong seberang mencari mangsa. Mereka yang ke selatan, utara, barat dan timur telah mula mengira. Apa yang masih tinggal dan yang masih ada. Rumah dan tanaman bagaimana kesahnya. Masih ada atau telah menyembah bumi atau bagaimana. Binatang peliharaan ayam, itik, kerbau lembu harap-harap masih ada. Hanya akan diketahui jika mereka berpatah balik pergi kesana ke kampong Tana semula.
Rombongan selatan telah bersetuju untuk balik ke Tana memulakan hidup baru. Yang di utara pun berfikir begitu. Timur dan barat juga ingin tahu tahap kemusnahan yang telah dilalui. Semua mereka telah bersetuju untuk kesatu hala arah yang dituju, ke kampong Tana kampong sayangku.
Sampai di Tana mereka semua telah bersepakat untuk menjalani kehidupan baru. Kehidupan yang lebih bersatu padu. Sekarang ikatan pertalian menjadi asas dalam membina kasih sayang bantu membantu. Tidak kiralah apa pangkat dan kedudukan, yang cacat dan yang sempurna, yang tua, dewasa atau pun muda, mereka mesti hidup dan mati bersama. Datanglah apa jenis taufan sekalipun, mereka akan hadapi bersama. Kalau ada yang lelah dan lambat melangkah, mereka telah membuat bai'ah 'kita akan bernafas bersama, langkah dihayun serentak irama, tiada cepat lajunya sama'. Begitulah hebat dan kentalnya semangat mereka yang dibina dari kemusnahan yang dibawa oleh Tanusa. Tanusa yang ganas itu telah mengajar mereka betapa kasih sayang itu bukan diwaktu angin bertiup sepoi bahasa. Atau diwaktu hujan turun selepas kemarau. Kasih sayang tidak ada tarikh sahlaku, atau tarikh luput. Hayatnya tidak mengenal saat, jam, hari atau pun minggu. Tidak juga pupus tahun lepas, tahun ini dan yang akan datang. Tidak juga seabad dua atau hilangnya cakerawala.
Tanusa telah banyak mengajar mereka. Lupakan kisah lama bina yang baru. Kehidupan mesti diteruskan.
Untuk membina kehidupan yang baru ,cara, kaedah dan pendekatan lama samada yang telah dulunya diamalkan atau yang telah diwarisi perlu dilupakan. Malah kalau ada ura-ura untuk menghidupkanya mesti ditentang dan dihapuskan. Mereka sudah insaf dan sedar bahawa kemusnahan mereka bukanlah disebabkan Tanusa yang mengganas. Kemusnahan telah terbina dalam setiap hati dan jiwa mereka. Dulu setiap mereka merasakan 'survival' diri didahulukan . Sesiapa yang kuat dialah yang berhak meneruskan kehidupan. Yang kuat tidak perlu kepada yang lemah. Yang celik tidak perlu kisahkan yang buta . Maka sibuta pun tiada mengharapkan orang memberi tongkat kepadanya.
Mereka perlu membina satu sistem sosial yang baru. Mewujudkan norma dan nilai dalam sistem bermasyarakat. Struktur masyarakat dan cara menguruskannya perlu sama-sama disepakati. Mereka bergerak kearah itu. Mereka percaya walau apa jenis dan kekuatan taufan yang mendatang, kali ini mereka tidak akan tewas. Tidak akan musnah. Pada mereka ini bukan satu cabaran sebab mereka tidak menganggap ribut taufan sebagai cabaran. Ribut taufan itu adalah pesaing kepada mereka. Mereka mesti bersaing dalam jarak jauh yang tidak dapat diukur.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan