Theflowersellingboy

Khamis, 17 Mac 2011

Begitulah Aku......Martabatku 3

Salam Bertemu kali yang ketiga. Harap semua ceria senyum gembira.

Pertemuan kali ini mungkin berbeza. Aku telah ambil keputusan  untuk tidak mengajak anda teka meneka kerana Aku telah mula percaya bahawa anda semua telah berjaya mengenal Aku, gerangan siapa kah dia.  Memang Aku suka berbaik sangka. Sekarang  Aku nak ajak anda mengembara supaya yang sudah terang kita suluh-suluhkan.

Arah tuju pertama kita ialah di Pasar Malam.  Anda jangan risau atau bimbang bagaimana Aku boleh kesitu. Kan Aku telah kata Aku boleh berada dimana-mana asalkan dibawa oleh tuan Ku yang setia. Ertinya dimana ada tuan Ku disitu Aku turut bersama.

Suasana di Pasar Malam semua orang tahu. Hiruk pikuk orang berjualan, macam-macam ada. Yang jual ikan, jual daging, bermacam sayur, buah-buahan, bermacam makanan, minuman, baju pakaian, mainan dan ada juga yang jual ubat, bermain silap mata dan yang minta belas ikhsan meminta bantuan. Disinilah Aku paling ceria dan berguna.

Aku nampak yang jual ikan berwajah putih kuning dan ada juga yang gelap tapi tidaklah malap.  Yang datang berkunjung pun sama saja. Yang seronoknya bila Aku dengar mereka berbicara. Seorang yang telah berusia empat puluhan gamaknya, berkata "Ini ikan balu latang la. Itu tanjung mali". "Haiyo manyak silap o. Sikit mahan apa ada hat". Tersenyum Aku dibuatnya. "Tak mau lah toke. Mahal sangat". Penjual sayur di hujung sana sebelah kiri sedang sibuk melayan pelanggan. "Sikalang a tatak ujan, ini sayo naik halaga, manyak susah mau juan".

Aku puji mereka ini, penjual dan pembeli. Lain nada lain irama, lain bunyi, tapi urusan berjalan juga. Tidak ada jurang kefahaman. Hebat.

Aku menjadi terkedu apabila datang pelanggan dari arah bertentangan bersuara jelas dan terang bila berhenti hendak membeli sayur. Entah apa benda yang mereka kata tapi akhirnya dia memandang pada Tuan Ku."Ini olang tatak guna o.Hali-hali bikin susa. Cilaka".Kali ini Aku tidak senyum sebab nadanya sangat tinggi, marah nampaknya.

"Adey tambi itu kacang kasi dua bungkus". "Siki jam kasi tungguu", kelihatan orang hitam legam cepat-cepat menghulurkan dua bungkus kacang ,"terima kase, ayaa" kepala sihitam legam itu sedikit digoyangkan.

Aku dibawa ke gerai jual daging kerana tuan Ku sudah lama tidak makan sate. Dia bercadang nak buat sate sendiri. Penjual daging nampaknya tidak cukup tangan melayan pelanggan.  Macam-macam pesanan dibuat. Ada yang nak beli daging batang pinang, hati , tulang untuk nak buat sup dan macam-macam lagi."Ni batang pinang ni kalau buat sate, mak datuk bukan main best", sekarang Aku tersenyum semula sama semasa mendengar dialog penjual ikan tadi.

Tiba-tiba Aku terdengar "Saudara-saudara, ramuan obat ini datangnya dari banyak negara. Dari Arab, Parsi, India, Cina dan juga dari negara Barat seperti Portugis, Belanda dan England", tersentak Aku akan kata-kata penjual ubat yang telah separuh umur itu.

Tuan Ku melangkah lagi. Kali ini bertemu muka dengan seorang yang comot berpakaian compang camping menadah dua tapak tangan sambil merayu, "Tolong tuan........terima kasih, semoga Allah memberkati rezeki tuan", berbahasa sungguh dianya.

Aku baru sedar rupa-rupanya Aku ini dah bau hanyir, harap-harap tak basi  "ah tak kisah lah asalkan masih bernafas dan bernyawa. Penjual ubat kan masih ada. Yang minta sedekah baik pula budi bahasanya, sejuk hati Ku.  Alhamdulillah". Balik rumah nanti Aku periksa diri sendiri.

Ketemu lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan