Theflowersellingboy

Rabu, 1 Mei 2013

Panduan Untuk Memberi Undi. Siapa dan Parti apa? BN atau PR.

Datang 5 Mei 2013, kita akan mewakilkan kuasa kita kepada seseorang, kepada sesuatu parti melalui hak undi kita untuk orang itu, parti itu berkuasa. Jika orang itu, dan parti itu mendapat bilangan undi yang diberikan oleh pengundi melebihi lawannya maka sahlah orang itu, parti itu untuk berkuasa dan membentuk sebuah kerajaan bagi menguruskan negara kita dalam tempoh tidak lebih dari 5 tahun

Lihat betapa penting dan berharganya undi kita. Tanpa mendapat undi melebihi lawannya, orang itu, parti itu, tidak akan boleh berkuasa dan membentuk kerajaan. 

Ertinya kita semualah yang menentukan orang dan parti mana yang boleh dan layak memerintah Malaysia pada 6 Mei 2013 ini bagi tempoh tidak melebihi 5 tahun lagi

Oleh itu hendaklah kita sentiasa bertenang, dengan tekad yang tetap dan fikiran yang jelas semasa memberi undi nanti dan sentiasa ingat bahawa undi kita terlalu tinggi nilainya. 

Apabila kita sudah memangkah maka terlepaslah kuasa kita kepada orang dan parti yang kita pangkah. Sudah tentu kita mahu melepaskan atau memberikan hak kita kepada orang dan parti yang kita percaya yang dapat memberi kebaikan dan menfaat kepada kita semua dan kepada negara.

Jangan terburu-buru mengikut emosi dan nafsu kerana ianya tidak dapat membantu kita membuat keputusan yang baik dan menguntungkan.

Apakah sebabnya kita terburu-buru dan tunduk kepada nafsu sehingga membuatkan kita melepaskan kuasa dan hak undi kita kepada orang dan parti yang tidak sepatutnya mendapat kepercayaan kita?

Sebabnya antara lain:

i) Kita tidak faham atau kurang faham bahawa undi itu sebenarnya hak kita yang paling bernilai sekali. 

Sama ada kita kaya, kita miskin, anggota badan kita sempurna atau kurang upaya, selagi kita layak mengundi, nilai undi yang ada pada kita adalah sama saja. Maka mengapa perlu terburu-buru melepaskan satu hak yang paling berharga. Bertenang, jangan sia-siakan undi kita.

ii) Kita juga tidak faham dan keliru  tentang tanggungjawab sebuah kerajaan yang kita pilih. 

Keadaan seperti ini jelas dalam sikap dan tanggapan kita terhadap kerajaan. Kita tidak dapat membezakan diantara parti politik dan kerajaan yang memerintah. Tambah-tambah lagi parti politik yang menjadi kerajaan itu mengambil sikap yang sama bahawa hak dan tanggungjawab  kerajaan itu adalah juga hak dan tanggungjawab parti politik itu. Maka tidak dibezakan diantara urusan berkaitan kerajaan dengan urusan berkaitan politik. Keadaan ini menyebabkan perkara berikut:
     
a) Harta dan urusan kerajaan digunakan bagi maksud politik. 
Contoh

-hanya parti yang menjadi kerajaan saja yang boleh menggunakan bangunan-bangunan yang dibena menggunakan wang negara seperti dewan orang ramai dan balai raya.  

Sedangkan bangunan-bangunan itu sebenarnya dibena hasil dari sumber pembiayaan yang diperolehi dari semua rakyat dalam bentuk berbagai cukai seperti cukai pendapatan, cukai jualan, cukai taksiran, cukai perniagaan, dan berbagai lagi sumber pendapatan yang lain tanpa kira parti. Semua rakyat berhak menggunakannya.

-projek pembiayaan kerajaan diistiharkan sebagai projek parti politik seperti tertera dalam papan kenyataan projek yang dipasang ditepi-tepi jalan, 

"Satu Lagi Projek Kerajaan Barisan Nasional". 

Ini tidak betul kerana projek itu tidak dibiayai dari wang parti BN tetapi dari wang rakyat.

-penggunaan aset dan peralatan kerajaan oleh bekas-bekas ahli pentadbiran (ahli parlimen/dewan undangan negeri) setelah parlimen dan dewan undangan negeri dibubarkan

Ini tidak betul kerana tempoh sah laku sebagai ahli pentadbiran (menteri/exco) secara otomatik gugur apabila parlimen dan dewan undangan negeri dibubarkan. Mereka juga tidak boleh membuat tuntutan sebarang perbelanjaan, misalnya hotel dan perjalanan, dalam urusan berkempen bagi diri dan parti politiknya dari sumber Kumpulan Wang Disatukan Kerajaan (Persekutuan/Negeri).  

iii) Kita terburu-buru dan mengikut nafsu kerana kita telah mendapat  faedah dan bantuan justeru kita diminta berterima kasih dan bersyukur dan sentiasa mengenang budi.  

Bukankah itu tanggungjawab sebagai kerajaan yang kita telah beri kepercayaan? Mereka membantu kita bukan dengan menggunakan wang sendiri atau wang parti. Mereka gunakan wang rakyat. Dan kita sebagai rakyat berhak menerimanya. Merekalah yang sepatutnya mengucapkan terima kasih kepada rakyat dan bukan rakyat berterima kasih kepada mereka. Tanpa rakyat terlibat dalam pilihanraya, parti tidak boleh membentuk kerajaan.

Maka tidak timbul soal terhutang budi dan dengan sebab itu memilih mereka sekali lagi. Maka dengan tenang fikirkan apa yang telah mereka lakukan selama tempoh diberi kuasa sama ada lebih banyak membawa faedah kepada rakyat dan negara atau sebaliknya iaitu lebih mementingkan kepentingan  diri dan keuntungan partinya saja sehingga menyusahkan kita dan merosakkan negara. 

Jangan lupa dengan tenang tanpa emosi tanya perkara-perkara seperti dibawah ini:

i) Mengapa harga barang selalu naik?

ii)Tanya juga mengapa kos projek sentiasa naik berlipat ganda?

iii) Mengapa rakyat mesti membayar/berhutang untuk mendapat pelajaran sedangkan itu adalah satu keperluan asas yang mesti ditangung oleh negara.

iv) Mengapa perlu membebankan rakyat dengan saman otomatik AES?

v) Mengapa pula berjanji dan bertekad untuk membebankan rakyat dengan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) jika BN menang?
   
vii) Mengapa hutang bekas pengerusi MAS melebihi 580 juta itu boleh dihapuskira sedangkan pelajar yang tidak mampu membayar hutang PTPTN dikejar dan didakwa?

viii) Mengapa tindakan kesalahan/dakwaan rasuah dan berbagai salahlaku yang lain dibuat secara terpilih?  Ingat komisen 500 juta berkaitan dengan pembelian kapal selam scorpene. Ingat juga cerita wang ditahan di Hongkong sebanyak 50 juta yang dikaitkan dengan bekas Ketua menteri Sabah. Ingat tentang projek lembu yang melibatkan pinjaman mudah sebanyak 250 juta ringgit kepada keluarga bekas seorang menteri. Kenapa tidak diambil tindakan/dakwaan?

Bagaimana jika pula anda yang terlibat? 

Ambil hal yang kecil saja. Bagaiamana layanan diberikan kepada anda berbanding yang diatas. Misalnya untuk mendapatkan bantuan memiliki/membeli gerai atau menyewa tapak berniaga pasar ramadhan Anda akan  ditanya dengan berbagai soalan, diantara soalan tetap yang ditanya ialah "Ada kah anda ahli/penyokong BN atau parti-parti gabungan BN?" 

Kalau anda mengatakan ya, dengan tujuan untuk segera diluluskan permohonan itu maka soalan seterusnya ialah " Mana surat sokongan YB? (maksudnya wakil rakyat BN). Mana surat sokongan pengerusi JKKK?" 

Kalau benar anda ahli/penyokong BN, sesungguhnya anda bertuah sekali kerana bantuan/permohonan akan diluluskan.   

Tapi ada juga kawan-kawan anda atau orang lain yang bukan ahli/penyokong BN. Mereka rakyat Malaysia yang sangat memerlukan bantuan. Kenapa mereka dinafikan? Atau kenapa anda ditanyakan dengan berbagai soalan termasuk soalan keahlian parti bagi bantuan yang terlalu kecil sedangkan keluarga menteri dengan senang dapat pinjaman mudah 250 juta ringgit?

xi) Mengapa tindakan tidak diambil kepada pembuat, penyiar, penyebar dan mereka yang menonton filem/video lucah sedangkan itu adalah yang bersalahan dengan undang-undang negara, menyalahi hukum Islam dan menyalahi etika dan moral mana-mana agama? Adakah kerana ianya video/filem yang kononnya mempamirkan perlakuan individu dari parti lawan dengan tujuan mempengaruhi rakyat untuk menolak individu itu, maka tindakan tidak perlu diambil.

x) Mengapakah sekarang ini, ketika waktu pilihanraya  sudah dekat, kita diberikan dengan berbagai bantuan termasuk bantuan tunai seperti BR1M sedangkan kita telah lama terbeban dengan kos sara hidup yang tinggi. Kita juga selalu diingatkan supaya berterima kasih. Ikhlaskah bantuan mereka itu kalau itu yang diminta. 

Cuba bandingkan bantuan BR1M 500 ringgit sekali itu dengan bayaran satu saman AES sebanyak 300 ringgit yang mempunyai kemungkinan besar kita akan disaman lebih dari sekali. Katakan lah dalam sebulan 3 kali. Berapa jumlah BR1M dalam tempoh 4/5 tahun BN berkuasa dan berapa pula saman AES yang kita kena bayar dalam sebulan saja. Mudah bukan kira-kiranya. 

Kita jadi pokai dan terpaksa mencari duit sebanyak 400 ringgit lagi. BR1M pun habis, kena pula keluar wang tambahan 400 ringgit.

xi) Mengapa negara berhutang terlalu tinggi melebihi 549 bilion ringgit yang akan memberi kesan yang tidak baik kepada generasi masa depan, hidup terbeban untuk membayar hutang dan kekurangan wang untuk digunakan bagi faedah rakyat.

xii) Mengapa kerajaan tidak mengambil tindakan yang serious keatas pengaliran wang haram yang telah mencecah 888 bilion ringgit? Merugikan rakyat dan negara.  

Banyak lagi yang anda boleh tanya dan pesoalkan sebelum anda menetapkan pendirian siapa dan parti apakah yang patut dan adil diberi undi dan kepercayaan pada 5 Mei 2013 ini. 

Fikirkan, sepanjang BN menjadi kerajaan (persekutuan) termasuk pada tempoh 5 tahun yang lepas apa yang telah BN lakukan. Jika ada yang baik, kita boleh juga ucapkan terima kasih, sekadar kita sebagai insan berbudi bahasa dan bukan kerana untuk mengundi mereka semula. Undi kita amat tinggi nilainya.

Jangan lupa juga untuk fikirkan apa yang dilakukan kerajaan diperingkat negeri termasuk kerajaan PR. Jika ada yang baik, terima kasih juga kita ucapkan tapi bukan untuk memilih mereka semula.

Tekadkan fikiran kita untuk memilih sesuatu parti dengan mengambil kira pertanyaan dan persoalan serta apa yang sebenarnya yang telah berlaku yang telah dibangkitkan diatas. 

Fikir dengan tenang tanpa dibebankan dengan rasa terhutang budi dan terima kasih. Melangkahlah ke tempat mengundi dengan tekad hanya memberi undi anda yang berharga itu kepada parti yang banyak melakukan kebaikan dan menolak perbuatan yang keji. Sekali lagi semasa dalam perjalanan ingatlah persoalan-persoalan diatas tadi. Anda sudah tentu telah bersedia dengan jawapannya.  

Terjemahkan jawapan anda itu dengan cara memangkah parti yang telah dan mempunyai keazaman yang tinggi dan boleh dipercayai yang akan memberi dan membawa faedah yang lebih baik mengatasi apa yang telah dan akan dilakukan oleh lawannya.

Sudah tentu anda tidak suka kepada perbuatan yang keji dan hina seperti tayangan filem/video lucah bukan? 

Baik. Undilah parti yang tidak berperangai seperti itu. Sungguh rendah moral orang-orang parti itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan