Alhamdulillah dengan izin Allah kami dapat terus hadir dalam pengajian tafsir al-Quran di sebuah masjid. Pengajian ini dilakukan pada setiap petang khamis (malam Jumaat) sebaik saja selesai solat maghrib dan membaca surah Yaasin yang dipimpin oleh seorang ustaz.
Ustaz memulakan majlis dengan menyeru para hadirin supaya membanyakkan amalan dalam bulan Rejab kerana balasan pahala dari Allah SWT terlalu banyak. Antara amalannya ialah melakukan puasa sunat dan solat malam (Tasbih dan Tahjud). Pada bulan Rejab berlakunya peristiwa Israk dan Mikraj.
Beliau juga menyentuh tentang mempercayai sesuatu berita yang diterima. Jangan terus percaya, mesti disiasat terlebih dahulu bagi menentukan kebenarannya.
Seterusnya ustaz menyatakan perasaan kurang senangnya tentang kedudukan ekonomi orang Melayu (Islam) dan penguasaan orang Cina dalam bidang ini. Oleh itu beliau mengajak para hadirin sekalian mendoakan agar orang Melayu diberikan kejayaan dalam bidang ini. Jika ekonomi orang Melayu meningkat maka kutipan zakat pun meningkat. Dan ini memberi faedah kepada orang Melayu.
Dua hal pertama yang dinyatakan ustaz itu sesungguhnya memberi pengajaran yang baik kepada para hadirin. Dan perkara yang ketiga itu amat mendukacitakan sekali.
Maka bacaan surah Yaasin dimulakan dengan harapan antara lain membawa bersama doa yang diserukan oleh ustaz itu iaitu untuk kejayaan orang Melayu dalam bidang ekonomi.
Tapi adakah semua hadirin bersetuju dengan cara ajakan ustaz itu? Allah saja yang tahu.
Mengapa saya bertanya soalan seperti itu?
Sebenarnya apa yang saya tulis tentang perasaan kurang senang ustaz terhadap kedudukan ekonomi orang Melayu diatas adalah dalam bahasa yang lembut. Apa yang dituturkan adalah sebaliknya yang mungkin menyalahi undang-undang negara. Namun maksudnya adalah seperti yang saya tulis diatas.
Nampaknya cara kita memperbaikki diri meningkatkan ekonomi bangsa sendiri masih lagi menggunakan kaedah menuding jari. Pihak lain atau bangsa lainlah yang menyebabkan kita jadi begini. Lantas kita meniupkan perasaan sakit hati dan benci serta memusuhi pihak lain yang berjaya itu. Kita tidak mahu melihat dalam diri kita sendiri, apakah kelemahan diri sendiri yang perlu diperbaikki.
Sesungguhnya kita mencari jalan mudah untuk mengatasi kegagalan sendiri, dengan menuding jari. Kemudian kita menadah tangan memohon doa kepada Allah supaya kita diberi pertolongan, dimurahkan rezeki, ditambah baik ekonomi.
Adakah menuding jari merupakan satu usaha yang diperkenan oleh Allah? Dan sampai bila kita terus mengamalkan cara ini?
Selesai saja membaca surah Yaasin , diikuti dengan tahlil memohon doa untuk mereka yang telah meninggal dunia, memohon kesejahteraan kepada yang masih hidup dan keamanan negara.
Doa pun dibaca. Dimulakan dalam bahasa Arab.
Kemudian terkeluarlah kata-kata yang amat menyedihkan sekali. Saya hanya mampu menulisnya dengan menggunakan bahasa yang lembut dan sopan.
Ustaz secara spesifik menyebut nama seorang pemimpin yang pada pendapatnya menjadi perosak bangsa dan agama dan yang menimbulkan huru hara di negara ini. 'Astaghfirrullah'. Kenapa sampai begitu rasa kebenciannya terhadap orang itu. Dan kenapa disebutkan dalam sebuah doa untuk diperkenan oleh Allah? Dan mengapa diajak orang lain bersama dalam doa itu?
Ya, Allah saja yang maha mengetahui.
Sedih, sesungguhnya amat sedih sekali dalam sebuah majlis yang murni telah dicemari dengan cetusan perasaan mengajak orang untuk membenci dan memusuhi pemimpin itu.
Inilah kesan sebuah fitnah yang telah disebarluas berulangkali dalam media perdana. Saya percaya itulah sumber maklumat yang digunapakai oleh ustaz itu. Dan beliau kerap menyatakan sumber rujukan itu apabila menceritakan sesuatu berita.
Amat malang sekali. Bukankah ustaz itu telah menyatakan bahawa jangan mudah percaya kepada sesuatu berita yang diterima tanpa terlebih dulu melakukan siasatan?
Mungkin ustaz telah membuat semakan. Tapi sumber mana beliau gunakan? Jika sumber itu juga adalah dari sumber yang sama atau dari pihak yang memang mahu menyebarkan berita seperti itu, sudah tentu jawapannya adalah juga sama sehingga menguatkan kepercayaan ustaz itu tentang berita yang diterima. Inilah kesannya permainan jahat menyebarkan fitnah sehingga seorang ustaz yang diharapkan untuk menyebarkan perkara-perkara yang baik terjebak dalam permainan fitnah. Malang sekali.
Dan apabila seorang ustaz yang mempunyai kedudukan tinggi dalam masyarakat yang kata-katanya susah untuk tidak dipercayai oleh masyarakat, menyambung kata-kata dan berita yang tidak benar maka bertambahlah orang yang terjebak dengan angkara fitnah ini. Maka rasa benci dan permusuhan telah berjaya disebarluaskan.
Dengan demikian percayalah bahawa jika kaedah ini berterusan, sampai bila pun ekonomi orang Melayu tidak akan dapat ditingkatkan kerana asas yang digunakan untuk berjaya ialah dengan menyalahkan orang lain, satu jari terlalu cepat menuding kepada orang lain yang mana jari-jari yang lain yang tidak bersetuju mengarah kepada diri sendiri.
Dan orang Melayu tidak akan dapat membina kekuatan dalam apa saja bidang kerana orang-orang yang mempunyai kuasa seperti mereka yang mengawal alat sebaran am dan mereka yang mempunyai kedudukan tinggi dan berpengaruh dalam masyarakat seperti ustaz ini, menggunakan kaedah fitnah bagi mengaibkan seseorang dengan berselindung disebalik jenama bangsa Melayu dan agama Islam.
Mungkin ustaz itu tiada maklumat bahawa orang Melayu yang berkuasa inilah juga yang mempunyai kawan kongsi niaga orang Cina atau kawan Cinanya itu adalah proksi orang Melayu itu dalam perniagaan. Atau ustaz itu tiada maklumat bahawa parti orang Melayu itu tidak sebenar-benarnya mempunyai hasrat untuk melaksanakan hukum Islam. Atau tidak mendengar akan kata-kata pemimpin melayu itu yang menolak perlaksanaan hukum hudud.
Mungkin ustaz ini tiada maklumat tentang perlakuan rasuah dan salah guna kuasa pemimpin-pemimpin Melayu yang berkuasa yang menjadi sanjungannya.
Mungkin ustaz itu ada maklumat. Tapi apakan daya, hidup ini perlu makan. Mungkin begitu agaknya.
Bagi saya tutur kata seperti yang dihamburkan itu tidak patut datangnya dari seorang ustaz yang mempunyai pengaruh besar dikalangan masyarakat Melayu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan