Theflowersellingboy

Jumaat, 24 Mei 2013

"Lima Puluh Ringgit, Boleh Juga Membantu", semacam terkilan juga.

Pukul 10 pagi pergi ke mesin ATM. Isteri mahu keluarkan wang. 
 
Di bahagian luar pintu masuk ke mesin ATM telah sedia ada seorang hamba Allah yang berketayap putih duduk diatas satu bangku plastik bawaan sendiri. Di depannya ialah sebuah bekas yang telus (boleh nampak isi didalamnya) seperti bekas tempat memasukkan undi semasa PRU 13 yang lepas.
 
Bekas itu ialah untuk memasukkan wang derma atau sumbangan bagi tujuan membantu perbelanjaan sekolah tahfiz dan pelajar-pelajar sekolah itu. 
 
Dua orang warga tua, suami isteri gamaknya, mendekati orang berketayap itu sambil bertanya maksud kutipan dermanya itu walaupun telah tertulis disebahagian bekas itu akan maksud kutipan yang dibuat itu. 
 
Setelah diberitahu maka siisteri telah mengeluarkan wang kertas RM50.00 yang agak tebal juga, mungkin membawa jumlah tidak kurang RM2,000.00. Diberikan wang itu kepada orang berketayap putih itu yang nampaknya berbesar hati akan derma dari orang itu. Mungkin beliau tidak sangka menerima jumlah sebanyak itu ditepi pintu sebuah bank. 
 
"Rezeki murah pada pagi Jumaat ini", mungkin itu yang berbisik didalam hatinya yang terjelma dari air muka cerianya.
 
Saya mendekati orang itu (yang berketayap putih). Saya bertanya datang dari mana. Beliau kata dari Bacuk Kelantan. Beliau mengutip derma untuk pembinaan tambahan asrama anak-anak yatim yang belajar hafiz serta membantu perbelanjaan anak-anak itu.
 
Oleh kerana isteri fasih dan lancar dengan loghat Kelantan maka perbualan semakin mesra. Banyak hal tentang sekolah itu yang diberitahu. Saya nampak orang ini sungguh gigih dalam tugasnya untuk menegak, menyubur dan menyibarkan syiar Islam. Tidak nampak wajah yang rasa malu mahupun kecewa jika tiada orang yang sudi mendekatinya untuk menghulur derma.
 
Habis berbicara kami ke kereta. Dalam perjalanan menuju ke destinasi seterusnya, terdetik dihati saya, bilakah pula saya dapat melakukan seperti yang dilakukan oleh pasangan suami isteri warga tua tadi. Kami pun tua juga tapi tak serupa macam situa tadi.

"Jangan tunggu banyak sangat. Lima puluh ringgit boleh juga membantu", semacam terkilan juga. Lain kali saya akan buat begitu. Harap-harap begitulah.
 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan