Cerita PRU 13 ini masih berterusan.
Beberapa hari yang lepas saya telah balik ke kampong berjumpa emak yang tinggal bersama adik perempuan. Saya secara bergurau bertanya emak, "Emak undi apa? Emak yang telah masuk usia ingat-ingat lupa agak terpinga-pinga dengan soalan saya itu. Tapi dia bersuara juga, "Emak undi apa, ye. Entahlah mak tak tau".
"Undi BN", jawab adik perempuan saya yang menjaga emak.
"Pasal apa undi BN?" Tanya saya secara bergurau.
"Orang tu suruh", jawab adik saya selamba, tidak serious sambil ketawa.
Bagi emak dan adik saya, mengundi bukan perkara yang penting. Mereka tidak kaitkan mengundi itu dengan masa depan. Mereka tidak kaitkan dengan kehidupan. Mereka pun tidak ambil peduli parti mana yang akan membentuk kerajaan.
Rasuah dan salahguna kuasa bukan hal yang penting bagi mereka. Berbuihpun mulut orang menceritakan fasal rasuah dan salah gunakuasa, ianya tidak membawa apa-apa makna kepada mereka.
Jadi untuk dapat undi mereka senang saja. Jemput saja mereka dari rumah dan dalam perjalanan minta mereka undi kita (BN atau PR) mereka akan melakukannya. BN yang datang menjemput dan minta memberi undi maka BNlah yang diundi. Mudah saja bagi orang kampong seperti emak dan adik saya itu.
Kalau tidak datang menjemput pun mereka tidak kisah, mereka tidak marah. Mengundi tidak ada apa-apa makna kepada dua beranak itu.
Bagaimana pula agaknya dengan orang-orang lain dikampong saya itu.
Saya kira ianya tidak ada bezanya melainkan anak-anak muda yang menggunakan internet sebagai sumber maklumat. Tapi bilangan yang ada internet belum lagi meluas. Jadi sebelum peti undi dikira, ada orang berani bertaruh bahawa BN akan tetap menang.
Untuk mengetahui siapa dan parti mana yang diberi undi oleh orang-orang kampong saya ini, mudah saja semudah adik saya memberi jawapan kepada pertanyaan saya diatas tadi.
Mereka akan menjawab, paling kurang yang 'lamalah' atau yang 'biasalah'. Kedua-duanya merujuk kepada BN. Dan sebahagian besar menjawab seperti itu. Ada juga yang menjawab secara terus terang dan bangga bahawa mereka mengundi BN.
Tapi ada juga yang menjawab 'undi itu rahsia'. Orang yang menjawab seperti ini tidak banyak.
Dalam konteks kampong saya jika jawapan seperti itu ia boleh dikira sebagai orang yang tidak mengundi BN. Mereka berlindung disebalik kerahsiaan mengundi untuk menjaga hubung baik dengan orang-orang kampong yang sebahagian besarnya dianggap sebagai orang UMNO walaupun bukan ahli UMNO. Mereka takut dipulaukan atau dipandang serong oleh masyarakat.
Tapi tidak kepada anak-anak muda terutama yang mempunyai pendidikan yang lebih baik yang mempunyai capaian internet. Mereka menyatakan pendirian mereka dengan jelas bahawa mereka mengundi PAS atau PKR walaupun ibubapa mereka penyokong totok UMNO. Cuma di kampong saya golongan ini tidak dominan.
Dari cerita diatas saya dapat simpulkan, di kampong saya bahawa:
i) mengundi bukan satu perkara yang perlu diberi perhatian berat
ii) memilih apa yang ada dari melakukan perubahan
iii) generasi tua dan yang tidak mempunyai capaian internet dan yang banyak bergantung kepada sumber kerajaan akan memilih BN.
iv) anak-anak muda yang ada capaian internet memilih PR.
Saya percaya pada pilihanraya akan datang ianya akan berbeza.
Golongan berusia akan berkurangan. Golongan ini yang hauskan kepada pembangunan infrastruktur seperti jalan raya, klinik, sekolah, masjid surau dan apa saja projek pembangunan ini sesungguhnya begitu taat dan setia kepada UMNO walaupun bukan ahli UMNO.
'Ada ubi ada batas, ada budi kita balas', itulah pegangan mereka.
Pada mereka projek-projek kerajaan itu adalah budi bukannya satu tanggungjawab mana-mana kerajaan. Mereka juga tidak tahu dan tidak ambil kisah dari mana datangnya sumber pembiayaan projek itu. Malah ada yang menganggap dibiayai oleh UMNO. Paling teruk dari poket wakil rakyat UMNO jika mereka menerima bayaran tunai seperti BR1M.
Perlakuan kerajaan yang rasuah, salah guna kuasa dan urustadbir yang menyeleweng tidak langsung boleh mempengaruhi mereka untuk berubah kerajaan.
Mereka juga tidak tahu dan tidak ambil kisah cara mana sesuatu projek itu dilaksanakan- alibaba kah, projek 10 peratus kah, projek kroni kah, projek kos yang tidak munasabah atau apa saja warna hitam yang mencemari projek itu tidak penting.
Yang penting ada projek. Kualiti projek bukan satu masalah. Sebab itu banyak projek yang tidak bermutu seperti yang berlaku di Terengganu. Tapi orang kampong saya tidak bertanya soal semacam itu.
Tapi golongan berusia dan rendah pendidikan ini akan semakin berkurangan.
Golongan muda yang berpendidikan lebih baik dan mempunyai berbagai capaian sumber maklumat akan bertambah. Mereka ini tidak percaya bahawa projek kerajaan itu adalah satu budi. Itu adalah satu tanggungjawab yang wajib dilakukan oleh kerajaan yang dipilih. Ianya satu amanah. Oleh itu mereka mempersoalkan cara mana projek itu dilaksanakan. Antara lain mereka mahu tahu : tender terbuka? siapa dapat? kosnya bagaimana? ikut speks? berapa lama?
Mereka mencari dari berbagai sumber untuk mengetahui sama ada berlakunya penyelewangan, rasuah, kos projek yang tidak munasabah dan berbagai amalan lain yang boleh merugikan wang rakyat.
Mereka tahu wang itu bukan parti BN atau UMNO yang punya. Bukan wakil rakyat yang punya.
Wang itu adalah wang negara dari berbagai sumber pendapatan termasuk bayaran berbagai cukai dan bayaran-bayaran lain yang mereka bayar kepada kerajaan.
Mereka tahu wang itu hanya boleh dikeluarkan dari Kumpulan Wang Disatukan untuk dibelanjakan dengan kelulusan parlimen.
Mereka juga tahu ada peraturan dan undang-undang yang perlu dipatuhi bagi menguruskan wang itu.
Jadi kalau wang itu disalah urus, sudah tentu mereka akan bertanya mengapa? Dan jika terbukti memang berlaku penyelewengan sudah tentu parti yang diberi amanah itu iaitu BN akan ditolak.
Pada masa akan datang BN tidak lagi boleh menghebuh-hebuhkan bahawa betapa banyaknya pembangunan yang menyenangkan rakyat telah dilakukan. Tidak cukup.
Dan jangan pula nak mengada-ngada meminta rakyat berterima kasih.
Apa yang BN perlu lakukan ialah melaksanakan urus tadbir yang bersih. Tidak rasuah dan tidak menyeleweng.
Memang benar pembangunan fizikal dan rohani untuk kemudahan dan kesejahteraan rakyat dibandar dan didesa adalah penting. Sama juga penting dengan melakukan urustadbir yang bersih.
Boleh BN lakukan? Saya kurang yakin jika pemimpin BN yang ada ini masih lagi terus memimpin kerajaan. Mereka sudah terlalu tercemar.
Dan jika begitu halnya, dan jika emak saya dipanjangkan umur, dan jika adik perempuan saya dipanjang umur sehingga dapat mengundi pada pilihanraya akan datang, dan saya pula masih ada waktu itu maka saya mahu ulang dialog saya seperti diatas:
"Emak undi apa?" Emak saya tidak akan menjawab. Dia pun tidak tahu kemana orang membawanya. Hanya adik perempuan saya menjawab. "Tak mengundi BN".
"Pasal apa tak undi BN?" Tanya saya.
"Orang kampong pun tak undi BN". Jawab adik saya selamba. Dia pun ketawa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan