1. Peristiharan parti mana yang memenagi pilihanraya Malaysia 5 Mei 2013 telah diumumkan pada pukul 12 lebih, pada pagi, 6 Mei 2013 oleh Pengerusi SPR apabila mengistiharkan BN telah berjaya memenangi sebanyak 112 kerusi, keperluan minima (majoriti mudah) untuk menubuhkan kerajaan.
2. Akhirnya keputusan muktamad diistiharkan dengan BN mendapat 133 kerusi dan PR 89 kerusi. BN berkurangan sebanyak 7 kerusi parlimen berbanding dengan keputusan PRU 2008. Kedudukan BN masih lagi gagal untuk mendapat majoriti 2/3, malah merosot sebanyak 7 kerusi.
3. PR yang menjangkakan akan menang dalam pilihanraya ini, melalui Anwar Ibrahim telah menyatakan tidak dapat menerima keputusan ini atas dakwaan berlakunya hal-hal yang meragukan semasa proses pengundian yang dijalankan. Antaranya pengundi yang disyakki sebagai warga asing, terputusnya bekalan elektrik dipusat-pusat pengiraan undi dan dakwat kekal yang tidak kekal. Dakwaan itu disertakan dengan bukti melalui rakaman video.
4. Sebelum hari pengundian, PR , NGO dan aktivis masyarakat telah menyatakan kesangsian dan keraguan mereka keatas senarai pengundi yang berdaftar yang dikeluarkan oleh SPR termasuklah 2 daripada 3 perkara diatas tadi iaitu dakwat kekal dan pengundi warga asing, dan sisitem serta cara menguruskan pilihanraya oleh SPR yang didakwa besekongkol dengan BN.
5. Apa pun dakwaan PR dan apa pun alasan SPR dalam mempertahankan kredibilitinya, dan apa pun pernyataan BN yang selari dengan SPR, keputusan pilihanraya tetap juga diistiharkan bahawa BN menang dengan majoriti yang mudah.
6. Maka hanya masa akan menentukan sama ada dakwaan PR itu kah yang benar atau kenyataan SPR yang dipertahankan oleh BN itu yang benar. Sejarah telah berulang kali memperingatkan kita bahawa apa yang dicatat dan dikatakan sebagai benar pada sesuatu waktu itu, tidak sebenarnya hal yang benar, begitu juga sebaliknya. Hanya kita yang ada pada waktu itu terpaksa menerimanya atas pelbagai sebab. Yang BENAR akan tetap BENAR walaupun terlambat.
7. Sesungguhnya keputusan itu menzahirkan berbagai perasaan. Ada yang suka dan gembira, ada yang suka tetapi tidak berpuas hati, ada yang dukacita, ada yang dukacita dan tidak mahu menerima, dan ada yang marah dan benci sehingga hilang kepercayaan kepada pihak yang bertangungjawab untuk menjadi pengadil iaitu SPR. Dan setiap dari kumpulan ini ada alasan untuk mempunyai perasaan seperti itu.
8. Bagi saya, perjalanan pilihanraya (PRU 13) ini, boleh meransangkan fikiran saya untuk menzahirkan perasaan keraguan dari segi menyediakan satu ruang yang adil dan saksama dalam persaingan untuk mendapatkan amanah rakyat untuk mengurustadbir negara. Ruang yang disediakan atas nama amalan demokrasi sebenarnya telah tercemar dan dicemari dengan berbagai perbuatan dan tindakan yang bertentangan dengan amalan itu sendiri. Maka dengan itu yang menang dan yang kalah sebenarnya bukanlah matlamat penghasilan dari perlaksaan sistem demokrasi itu sendiri. Ertinya demokrasi telah gagal.
9. Maka atas perasaan yang ragu itu, saya berpendapat ianya amat merugikan rakyat dan negara Malaysia dan demokrasi yang mahu kita pertegakkan di negara kita. Dan paling malang sekali kita telah mewakilkan kuasa kepada pihak yang kita ragui dari segi kemampuan untuk memikul amanah kita.
10. Keputusan telah diistiharkan yang memberi mandat kepada BN untuk menguruskan negara. Maka apapun perasaan dan sikap kita terhadap cara dan gaya dalam urusan pilihanraya ini, satu perkara yang terlalu penting yang mesti kita, semua rakyat Malaysia pegang dan percaya ialah 'sayanglah negara kita dan jangan lakukan apa saja angkara' yang boleh merosakkan kita dan negara. Sikap dan kepercayaan kita hendaklah sentiasa dan mesti mengatasi apa saja perasaan yang ada pada kita yang dicetuskan oleh PRU ke 13 ini.
SELAMAT MENERUSKAN KEHIDUPAN DALAM SUASANA YANG HARMONI. SEMOGA RAKYAT DAN NEGARA MALAYSIA DIBERKATI DAN DIRAHMATI ALLAH SWT. AMIN.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan