Theflowersellingboy

Ahad, 19 Mei 2013

Kesian Anak-anak Muda Berpendapatan Rendah: Nak Kawin Pun Susah




Kos sara hidup sentiasa meningkat. Macam-macam sebab yang menjadikan kos sara hidup sentiasa meningkat. Tiori ekonomi mengaitkan faktor permintaan (demand) dan bekalan (supply) yang menentukan tahap harga atau kos. Kurang bekalan dan banyak pula yang memerlukan barang/bekalan maka kos barang akan meningkat dan sebaliknya. Begitulah logiknya. 

Itulah fenomina 'market force', interaksi  diantara 'demand' dan 'supply' yang akhirnya akan mewujudkan titik keseimbangan (equilibrium point) dengan andaian yang lain-lain tidak berubah, ceteris paribus.

Itu adalah tiori ekonomi saja dengan andaian ceteris paribus. Tapi dunia ini terlalu 'complicated' untuk satu keadaan pasaran yang sempurna (perfect market).Tidak mungkin dan tidak akan berlaku di dunia yang fana ini. Tidak akan wujudnya satu titik keseimbangan dalam tindak balas diantara 'demand' dan 'supply' yang diaturkan oleh kuasa pasaran (market force).

Maka realiti yang dihadapi ialah pasaran yang tidak sempurna atau pasaran cacat. Satu dari kesannya ialah tentang penentuan harga barangan dan perkhidmatan. Mereka yang menguasai sumber saja yang akan menguasai pasaran. Lagi kecil bilangan yang menguasai pasaran lebih berkuasalah mereka dalam menentukan kos/harga perkhidmatan dan barangan. Itulah monopoli.

Saya tidak bertujuan mahu berbicara tentang 'demand' dan 'supply', 'market force' atau pun monopoli. Saya hanya mahu becerita tentang nasib orang-orang yang berpendapatan rendah dalam menghadapi dan menjalani kehidupan pada masa ini, misalnya peluang mereka untuk mendirikan sebuah rumah tangga. Peluang mereka sungguh perit dan sempit sekali, ruang legarnya kecil, terlalu amat kecil. Ada yang  tidak mampu langsung untuk berlegar.
 
Mereka ini adalah anak-anak muda yang berpendapatan kecil yang mempunyai cita-cita yang murni. Tapi apakan daya keadaan yang ada menjadi penghalang kepada niat dihati mereka itu. Kesian sungguh anak-anak muda seperti ini.

Apakah satu dari penghalang kepada cita-cita mereka itu?

Sehubungan dengan itu saya tidak hanya merujuk kepada tauke-tauke besar saja. Ianya meliputi orang-orang yang berpendapatan tinggi yang bebas berbelanja mengikut apa yang mereka suka. Sebab mereka mampu. Sebab mereka percaya mereka tidak menyusahkan orang lain. Mereka gunakan wang sendiri, wang dari usaha mereka yang halal.

Tapi benarkah mereka (tauke-tauke dan yang berpendapatan tinggi) tidak mempengaruhi kedudukan kos/harga di pasaran?

Saya jawab dengan memberikan contoh berdasarkan hal/keadaan yang berpijak di bumi nyata.

i) Pelajar Malaysia di England misalnya di Birmingham akan mencari rumah kediaman untuk di sewa di kawasan-kawasan yang ramai orang-orang Pakistan dan/atau Bangladesh. Berbeza pelajar dari Singapura dan Brunai yang lebih berminat di kawasan-kawasan kediaman orang putih. Mengapa? 

Ada yang memberi alasan kerana mudah untuk mendapat makanan yang halal dan dari jenis yang sama seperti beras dan sayuran. Alasan itu ada benarnya. Tapi faktor yang utama ialah sewa di kawasan tersebut adalah murah. Sebab itu berkumpullah mereka di kawasan-kawasan   seperti di Ashton dan Shaultley.

Bagaimanapun pelajar-pelajar Brunai telah mula memilih kawasan-kawasan tersebut (Ashton). Mereka mampu membayar sewa mengatasi sewa yang biasanya dibayar oleh pelajar Malaysia. Maka keadaan ini membuatkan si Pakistan dan si Bangla tarik harga. Harga rumah meningkat dan memberi kesan kepada pelajar Malaysia itu. Sebabnya ialah pelajar Brunai atau pelajar Singapura tiada masalah untuk membayar pada harga sewa yang tinggi kerana mereka mampu.

Kesian pelajar-pelajar Malaysia yang terpaksa berpindah randah mencari rumah yang mampu dibayar.

Pelajar Singapura dan Brunai serta si Pakistan dan si Bangla tidak juga boleh dipersalahkan. Tidak ada penipuan dan tidak juga berniat zalim.

ii) Orang-orang Singapura memang terlalu ghairah untuk membeli belah dan makan-makan di Johor Baru pada hujung minggu dan hari cuti mereka. Bagi mereka barang/makanan di Johor Baru terlalu murah. Mereka juga membeli rumah untuk dijadikan tempat berihat/persinggahan atau untuk disewa. Kata mereka harganya terlalu murah.

Maka harga barangan dan perkhidmatan di Johor Baru adalah terlalu tinggi berbanding tempat-tempat lain di Malaysia. Harga rumah mahal. Sewa bilik/rumah pun mahal. Jadi kos saraan hidup membebankan terutama kepada yang berpendapatan rendah. Tidak juga boleh dipersalahkan kepada orang Singapura yang bebas membeli itu. Tidak juga kepada penjual makanan dan pemaju hartanah (rumah). Semuanya adalah dilakukan secara yang sah.

iii) Majlis yang diadakan oleh orang-orang yang berpendapatan tinggi biasanya dibuat secara besar-besaran tanpa terlalu memikirkan kos yang terlibat. Wang mereka sendiri. Wang yang halal dari hasil usaha mereka. Tidak ada sebab mengapa perlu dirisaukan.

Sebagai contoh majlis pertunangan, nikah kahwin dan aqiqah bagi orang-orang Melayu (Islam). Hantaran tunai perkahwinan tidak kurang sepuluh ribu ringgit. Tidak terperanjat kalau ada yang menjangkau ratusan ribu ringgit. Tidak termasuk barangan serba satu yang mengiringi wang tunai itu yang nilai tunainya besar juga. Tidak termasuk juga kos penyedia makanan dan perhiasan, kelamin dan khemah. Tidak termasuk sewa dewan/hotel jika tidak diadakan di rumah.

Jika berlaku langkah bendul, segala adat langkah bendul terpaksa juga ditunaikan. Maka barang iringan sudah menjadi serba dua. Bertambah lagi kos.

Dulu, majlis pertunangan diadakan secara kecil-kecilan dan sederhana saja yang melibatkan kaum keluarga yang terdekat dan rapat. Tidak banyak wang yang dikeluarkan.

Sekarang, sudah menjadi biasa majlis pertunangan itu dibuat secara besar-besaran seperti majlis nikah kahwin yang melibatkan kos puluh ribu. Ratus ribu? Saya tiada maklumat, mungkin ada agaknya.

Majlis nikah kahwin? Ada yang melibatkan kos jutaan ringgit. Lima puluh ribu sehingga seratus ribu adalah perkara biasa.

Majlis aqiqah, dulunya tidaklah besar sangat berbanding majlis nikah kahwin. Tapi tidak sekarang. Maklumat yang saya ketahui melibatkan kos RM100 satu kepala. Kalau jemputan 100 orang, kos yang terlibat sebanyak RM10000. Tak masuk berbagai belanja yang lain seperti sewa khemah dan kemasan/hiasan dan kumpulan yang memimpin majlis aqiqah itu.

Persoalannya : Ada kaitan dengan tiori demand dan supply diatas? Ada kaitan dengan yang menguasai sumber (pendapatan tinggi) yang menguasai pasaran sehingga boleh mempengaruhi kos/harga dan kesannya keatas orang yang berpendapatan kecil? Ada kaitan dengan anak-anak muda yang mahu mendirikan rumah tangga tapi menjadi terhalang disebabkan pendapatannya yang kecil berbanding kemampuan sebilangan yang terlalu kecil yang begitu bebas berbelanja apa yang mereka mahu kerana wang itu wang mereka sendiri?

Soalannya mudah saja. Adakah orang kaya sebagai satu dari penyebab yang menghalang anak-anak muda untuk mampu berumah tangga?  

Apakah pula kesan sosial yang negatif yang terhasil dari fenomina seperti ini?

Saya hanya ingin menyatakan bahawa adalah hak mereka (orang kaya/pendapatan tinggi) untuk berbelanja dengan wang halal mereka itu. Tapi dalam masa yang sama cara mereka itu telah memberi kesan kepada kemampuan orang-orang yang berpendapatan rendah dalam menjalani kehidupan walaupun nampaknya mereka (orang kaya/pendapatan tinggi) tidak bermaksud untuk menyusahkan orang berpendapatan rendah itu.         

Kalau mereka mampu dengan kos ratusan dan jutaan ringgit dalam mengadakan majlis nikah kahwin, apa pula salahnya atau tidak kenanya ibubapa yang berpendapatan rendah meminta kos belanja kahwin anak perempuannya tidak kurang dari RM10,000.00 misalnya. Sudah tentu tiada salahnya kerana kos sara hidup yang meningkat.

Yang salahnya ialah kita telah mewujudkan satu keadaan yang membebankan anak-anak muda yang berpendapatan rendah untuk mendirikan rumah tangga kerana tidak mampu. Sebab orang yang berpendapatan tinggi itu  bebas dan bersedia mengeluarkan apa saja kos yang dikenakan. "Awak beri tahu harganya, saya sedia membayarnya", begitulah agaknya ayat-ayat orang kaya ini.

Mereka tidak buat salah. Tapi mereka adalah juga penyumbang kepada keperitan anak-anak muda untuk mendirikan rumah tangga. Kesian anak-anak ini, yang hanya mampu mengeluh saja. Usia semakin bertambah. Kos semakin meningkat. Bila masa mereka mampu untuk beristeri/bersuami dan mempunyai anak-anak. 

Sebenarnya orang-orang kaya itu telah menyekat kepada kesuburan pertumbuhan generasi baru  yang lebih banyak.

Jadi walaupun wang itu milik halal kita yang kita boleh gunakan bagi tujuan yang halal juga, kita juga perlu lihat dan pandang dengan penuh kasih sayang kepada orang-orang yang tidak ada kemampuan. Benar kita tidak berniat untuk menyakiti sesiapa, tetapi tindakan kita yang bebas berbelanja itu memberi kesan kepada kehidupan orang-orang yang kurang bernasib baik dari kita. 

Oleh itu lebih bersifat membantu jika kita berbelanja secara sederhana supaya kita tidak mewujudkan jurang kemampuan yang terlalu besar diantara si kaya/mampu dan si miskin/tidak mampu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan