Awan memutih melindungi kebiruan langit. Pukul 3..44 petang. Cuaca panas diluar. Bacaan suhu dalam rumah dengan bantuan alat hawa dingin dan putaran kipas pada tahap maksima hanya mampu menghasilkan suhu ke paras 30 darjah celcius. Masih panas lagi.
Duduk diatas sofa yang telah lusuh. Tv dihadapan dibuka dan ditutup selang beberapa saat. Saluran tv sentiasa bertukar ganti. Tidak ada satu yang menarik. Bosan.
Pagi tadi , selepas Subuh buat senaman semula. Ini adalah kali pertama semenjak diberi cuti sempena kempen pilihanraya. Penat berkempen? Jauh sekali mahu berkempen, buang tenaga saja. Lagi pun kempen untuk siapa, parti mana. Tak ada siapa pun yang mahu terima. Kacau daun saja. Banyak rosak dari yang membina.
Cuaca yang panas ini membuatkan rasa bosan semakin memanjang. Tv pun tidak ada rancangan yang menarik. Banyak siar ulang. Sebulan bayar hampir sembilan puluh ringgit. Tak berbaloi. Dulu, masa tidak ada khidmat tv swasta, hanya perlu bayar lesen, dua puluh empat ringgit saja setahun. Tengok bezanya antara swasta dengan awam. Otak swasta hanya nak dapat untung saja.
Buat untung tak mengapa. Tapi jangan pada paras menyiksakan pengguna. Mentang-mentang hanya astro saja yang diberi lesen siaran maka bebas mengenakan bayaran sesuka hati. Kenakan syarat dan terma yang menyiksakan pengguna. Lambat sedikit bayar cepat putuskan perkhidmatan. Nak sambung semula dikenakan caj sebagai denda.
Monopoli haprak astro ni. Siapa tuan punya syarikat ini. Katanya orang India. Katanya orang India ini ada kawan kongsi niaga orang Melayu. Tapi yang siMelayu ini menyorok. Jadi tidak dapat dikenal. Cuma ada orang yang pakar dengan bau-bauan , dapat juga mengenalpasti bau Melayu yang melekat pada astro itu.
Apa salahnya berniaga secara berkongsi. Tiada mana-mana peraturan yang melarang kongsi niaga diantara berlainan bangsa dan agama. Bahkan digalakkan dinegara Malaysia ini sebagai satu cara perpaduan bangsa. Jadi jangan cuba cari hal mempersoalkan kaedah kongsi niaga ini.
Walaupun si Melayu itu menyorok, kata yang empunya cerita, si Melayu ini buat untung juga. Dia untung walaupun tak buat kerja. Bagus juga berniaga seperti itu. Tapi mesti ingat kalau tak ada pengaruh dan kuasa jangan harap dapat bersama dengan si India itu, sambung yang empunya cerita menyusun kata. Wang ada, kuasa pun mesti ada, begitulah yang disimpulkannya.
Tapi benarkah cerita itu. Itu cerita orang yang mudah sakit hati dan kecewa kerana tidak dapat bersama dalam syarikat astro itu. Itu dasar orang yang tidak suka lihat orang lain senang, ada saja yang dia dengki. Kalau astro beri sedikit ekuiti percuma, bukan main dipujinya astro itu. Rancangan haprak pun dikatakan bermutu tinggi. Monopoli yang haprak pun dipujinya, satu bentuk niaga yang terbaik. Mengapa perlu persaingan?
Betul. Dalam berniaga persaingan tidak baik. Ianya tidak menjamin mutu sebab siapa saja boleh berniaga walaupun tidak ada kepakaran. Misalnya berniaga dalam bidang siaran seperti astro ini. Kalau ramai yang berniaga dalam bidang ini maka mutu akan terjejas kerana ada yang berniaga semata-mata hendak berniaga walaupun tidak pakar dan tiada modal yang cukup. Sudah tentu kita tidak mahu benda yang tidak ada kualiti.
Betul ke? Ada orang yang gatal-gatal bertanya, tidak bersetuju dengan kenyataan itu.
Orang ini menyambung hujah, katanya lebih ramai yang berniaga kita mempunyai banyak pilihan. Jadi tidaklah kita hanya dikongkong oleh syarat dan terma dari satu syarikat saja, termasuk harga yang boleh sesuka hati dikenakan kepada pengguna. Material siaran pun kita ada banyak pilihan. Tidaklah sesuatu yang diulang bayak kali siaran. Maka, hujahnya lagi, syarikat-syarikat itu tidak boleh berniaga main-main, asalkan ada siaran caj pengguna. Pengguna tak boleh buat apa-apa kerana syarikat itu saja yang ada.
Tapi kalau ramai yang berniaga dalam bidang yang sama ia mengecilkan keuntungan. Misalnya kalau A jual nasi lemak dan B, C, D ,E sehingga Z juga jual nasi lemak, ianya merugikan peniaga itu. Untung kecil, dan besar kemungkinan kedai itu cepat ditutup kerana untung tidak sepadan dengan modal yang dikeluarkan. Bahkan peniaga-peniaga itu wajib bersatu untuk mewujudkan urusniaga yang cekap dan modal yang besar. Economy of scale kata orang ekonomi.
Entah lah saya pun tidak tahu. Saya bukan ahli elonomi. Jauh sekali ahli perniagaan. Cuma duduk atas sofa yang telah lusuh menghadapi tv yang dibuka dan ditutup selang beberapa saat. Semua rancangan astro tidak menarik.
Sudah pukul 5 petang. Ada siaran langsong Tenis Terbuka Perancis yang lebih dikenali sebagai Roland Gaross.
Berhenti menekan huruf-huruf di laptop.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan