Sebaik saja habis mengundi, kami iaitu anak-anak dan menantu , isteri dan saya duduk semeja, makan tengah hari. Melainkan saya, yang lain mengatakan bahawa dakwat dijari telunjuk kiri mereka (dakwat 'kekal' SPR) mula menunjukkan kelunturan kesan daripada mereka membasuh tangan.
Memang dakwat itu masih kekal, tapi mudah luntur. Mereka yakin bahawa jika disental dengan kuat dan dengan menggunakan sabun atau alat bahan peluntur yang kuat, dakwat itu mudah saja hilang dari jari. Atau dalam beberapa hari nanti dakwat itu akan hilang tidak kelihatan dijari walaupun dengan cara basuhan biasa.
Saya tidak mahu berkata begitu walaupun ada tanda-tanda keraguan 'kekal'nya dakwat dijari dalam tempoh 7 hari seperti yang dinyatakan SPR itu. Saya lebih suka melihat dan menunggu. Dan saya tidak menggunakan sebarang bahan kimia yang kuat bagi menghilangkan dakwat dijari.
Pada hari ini, 10 Mei 2013, lima hari setelah mengundi, saya dapati jari telunjuk kiri yang didakwatkan oleh petugas SPR semasa mengundi pada 5 Mei lepas langsung tidak kelihatan.
Maka sah dan benarlah apa yang diragui oleh sebahagian besar rakyat bahawa dakwat itu boleh saja dilunturkan bila-bila masa.
Maka SPR atau pihak-pihak yang mempertikaikan tentang kenyataan banyak pihak bahawa dakwat itu tidak kekal, nampaknya tidak dapat mempertahankan 'kebersihan'nya dalam mengurus PRU 13. Jadi tidak salah jika mereka ( yang mengatakan dakwat itu tidak kekal) ini mengesyakki bahawa pengundi awal yang berjumlah lebih 200,000 orang itu, yang telah mengundi 5 hari lebih awal , masih lagi boleh mengundi buat kali kedua.
Sama ada mereka (pengundi awal) itu mengundi kali kedua atau tidak, ianya tidak penting. Yang pentingnya ialah satu dakwaan telah dibuktikan benar dan sahih bahawa dakwat itu tidak kekal. Bermakna kaedah yang telah digunakan (dakwat kekal) bagi mempastikan seorang pengundi hanya berhak mengundi sekali saja telah dibuktikan sebagai cacat.
Maka kaedah yang cacat itu (dakwat kekal) telah merosakkan PRU 13. Jadi kaedah yang cacat atau rosak hanya akan menghasilkan keputusan yang cacat atau rosak. Sesungguhnya keputusan PRU 13 ini adalah hasil dari kaedah yang cacat dan rosak itu.
Sudah cukup kuat bagi rakyat meminta agar PRU diadakan semula berdasarkan alasan 'kaedah cacat' ini.
Tambah-tambah lagi banyak bukti-bukti dalam bentuk rakaman video dan pengakuan orang ramai yang mendakwa bahawa perjalanan PRU 13 ini tidak diurus dengan bersih , adil dan saksama kepada semua parti/calun yang bertanding..
Maka rakyat Malaysia berhak meminta SPR mengadakan pilihanraya lagi sekali. Tapi ianya hendaklah diuruskan oleh pihak/badan yang bebas dengan penglibatan dari wakil luar negeri yang dipersetujui oleh PBB. Kerana SPR yang ada yang telah menguruskan PRU 13 telah dipersoalkan integritinya.
Jadilah pengadil yang adil.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan