Boikot air asia kerana menghina orang Melayu?
Boikot perniagaan orang Cina kerana tidak undi Melayu?
Bersemangat Melayu nampak gayanya asas seruan diatas.
Saya mesti sokong sebab asasnya adalah kepentingan Melayu. Kalau tidak apa guna saya jadi orang Melayu yang telah mendapat berbagai faedah dengan menggunakan lesen Melayu.
Contoh faedah yang saya telah perolehi:
i) bantuan dari kebajikan masyarakat semasa sekolah rendah dulu walaupun sekali saja.
ii) jalan kampong yang berdebu merah diganti dengan jalan tar
iii) sekolah, surau , masjid, balairaya, padang bola dan macam-macam lagi
iv) belajar disekolah asrama penuh dan dapat biasiswa serta duit poket bulanan. Tambang bas pergi balik diberi oleh kerajaan dari rumah ke sekolah/sekolah ke rumah.
v) masuk universiti dan dibiayai oleh kerajaan.
vi) ditawarkan kerja dengan kerajaan
vii) diberi peluang melanjutkan pelajaran ke peringkat sarjana diluar negeri dengan kelulusan dan pembiayaan kerajaan
viii) dibayar pencen semasa bersara
ix) macam-macam lagi misalnya semasa bersara dan jika saya berniaga atau menjadi kontraktor, saya akan diberi berbagai kemudahan dan bantuan untuk berniaga atau mendapat kontrak atau konsessi sesuatu projek dengan mudah dan atas syarat dan terma pulangan keuntungan yang besar sekali.
Apa yang saya perolehi itu adalah disebabkan saya Melayu. Kalau saya bukan Melayu jangan bermimpi saya akan dapat dari i) hingga ix) diatas.
Jelas dan terang itulah asas kepada seruan untuk memboikot air asia itu, "Demi Melayu". Ertinya untuk menjaga maruah dan martabat Melayu. Dan jika ada sesiapa yang tidak bersetuju dengan seruan boikot itu mereka akan menerima ayat amaran/ungkitan, mungkin berbunyi, " Kamu ialah orang melayu yang tidak tahu mengenang budi".
Jika diperhalusi lagi akan seruan itu maka terserlahlah bahawa maksud Melayu itu adalah ekslusif sekali sifatnya yang menjaga dan mempertahankan kepentingan kelompok Melayu tertentu. Kelompok yang menagih diatas budi yang kononnya telah diberi.
"Siapa kamu kalau tidak kerana UMNO"?
"Bila kamu susah, surat khabar mana yang bersimpati dengan penderitaan kamu, kalau tidak Utusan yang membantu"?
Itulah sebenarnya yang dimaksudkan Melayu. Selain dari jenama UMNO , tidak diakui sebagai mempunyai semangat Melayu, yang mahu memperjuangkan Melayu dan yang sayangkan Melayu.
UMNO saja mempunyai monopoli keatas Melayu. Itu yang orang UMNO percaya. Itu yang orang UMNO heboh-hebohkan. Itu yang orang UMNO istiharkan.
Dan UMNO sesungguhnya telah berjaya. Ramai yang percaya.
Bagi saya tidak menjadi masalah jika UMNO benar-benar memperjuangkan kepentingan orang Melayu. Teruskan menurut peruntukan Perlembagaan Persekutuan. Dan saya percaya juga orang-orang Melayu yang lain yang tidak termasuk dalam kelompok UMNO ini juga tidak ada masalah.
Jadi mengapa ada orang melayu tidak menyokong seruan diatas?
Soalan ini UMNO dan mereka yang menyokong UMNO kena fikir baik-baik, bertenang dan jangan mudah menuding jari memarahi dan menghina pihak lain.
Dan kepada ahli dan penyokong UMNO , lihatlah pemimpin-pemimpin kamu, pemimpin yang ada kuasa termasuk yang telah melepaskan kuasa. Lihat mereka baik-baik , antaranya:
i) cara hidup mereka
ii) kehidupan berkeluarga
iii) hubungan dan kaitan mereka dengan orang bukan Melayu misalnya dari segi perniagaan
iv) aset-aset yang terkumpul dan cara aset itu diperolehi
v) dimanakah anak-anak mereka memperolehi pendidikan misalnya dalam negeri atau luar negeri
Banyak lagi yang anda perlu lihat sebelum anda menghina dan memarahi orang Melayu lain dan kaum lain.
Pemimpin anda juga adalah pemimpin saya. Saya juga ada hak untuk sama-sama melihat.
Tidaklah benar malah ianya satu pembohongan jika anda mengatakan atau anda hanya percaya bahawa UMNO saja sayangkan orang Melayu. Umno saja mahu menegakkan Islam. UMNO saja yang layak menerajui negara.
Dan anda masih berterusan mengatakan DAP itu parti Cina (ada setengah dari anda mengatakan sebagai kominis) yang anti Melayu dan Islam, lalu orang Melayu tidak boleh bekerjasama dengan parti 'kafir' itu, demi masa depan orang Melayu dan Islam.
Tapi siapa itu MCA. Siapa itu MIC. Siapa itu yang menganggotai berbagai parti di Sabah dan Sarawak. Bukankah semua mereka itu kawan baik UMNO? Adakah mereka itu orang Melayu? Adakah mereka itu orang Islam?
Dan anda sepatutnya lihat dalam parti anda. Adakah semua ahli UMNO orang Melayu? Adakah mereka itu beragama Islam?
Saya ada jawapan. Tidak semuanya berbangsa Melayu. Tidak semuanya beragama Islam.
Anda tidak marah?Tidak rasa terhina?
Mengapa pula anda berburuk sangka terhadap orang Melayu bukan UMNO dan orang Cina khususnya ahli DAP?
Sesungguhnya perjuangan anda bukan demi Melayu dan tidak juga demi Islam.
Ada kepentingan lain yang anda mahu mempertahankannya dengan berselindung di sebalik jenama UMNO berlesenkan Melayu.
Jadi seruan memboikot anda itu tiada langsung kaitannya dengan kepentingan orang Melayu.
Jika perkhidmatan air asia itu 'lauyah', dan menyusahkan pengguna, saya bersama anda untuk mengkritiknya, malah jika air asia masih berdegil tidak mahu memperbaikkinya mari kita ramai-ramai memboikotnya.
Tapi kalau hanya seorang pegawai air asia menegur sifat perkauman Utusan dijadikan asas untuk memboikot air asia, sesungguhnya anda telah merendahkan kewarasan pemikiran orang Melayu.
Apa salah dan tidak berbudinya orang tidak mengundi UMNO/BN. Apa salah dan tidak mengenang budinya orang Cina yang tidak mengundi UMNO/BN. Bukankah itu amalan demokrasi. Dan apa guna adanya pilihanraya yang melibatkan belanja besar. Bukankah wang itu lebih baik dijadikan BR1M.
Jika perbuatan tidak mengundi UMNO/BN itu dihukum sebagai salah dan tidak berbudi, saya ingin tanya tidak salah dan tidak berbudikah orang UMNO/BN kerana tidak mengundi PAS, PKR dan DAP?
Janganlah nak boikot perniagaan orang Cina, nanti ianya juga akan menjejaskan keuntungan yang boleh diagihkan kepada pemimpin-pemimpin kamu. Dan apabila pemimpin kamu mendapat pembahagian keuntungan yang mengecil, bahagian kamu juga akan terjejas.
Ingat nasihat diatas.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan