Theflowersellingboy

Jumaat, 3 Mei 2013

Tokpa , Cucu dan Cermin

Ahmad Naqib sedang memegang sesuatu dan duduk diatas katil

Yousef Imran menggayakan baju Mekah yang dihadiahkan oleh Wan dan Atoknya




Pagi-pagi lagi dua orang cucu tokpa mengetuk pintu bilik tokpa, "Syalaalaikum", terdengar suara cucu tokpa yang bernama Naqib yang berusia baru 2 tahun memasuki rongga telinga tokpa. Tokpa dengan segera menuju ke pintu dan membuka pintu dan belum sempat membalas salam, Yousef, cucu yang seorang lagi yang tua hampir setahun dari Naqib berkata, "Tokpa ni asyik tidoooo ye?"

Tokpa tersengeh senyum melihat dua orang cucunya yang berdiri dihadapannya. Kedua-dua cucunya didukung, seorang sebelah pinggang kiri dan seorang dipinggang kanan, dan dibawa masuk ke dalam bilik.

"Tokpa tengah kemaskan tempat tidur. Lepas tidur kita mesti kemaskan. Nampak cantik". Sambil meletakkan cucu-cucunya berdiri dihadapan katil, tokpa bertanya, "Asef dan Aqib buat macam tu tak?", 

"Tak. Ummi yang buat", kata Yousef. "Aqib?" Tokpa memandang Aqib yang telah duduk diatas katil. "Mama buat", kata Aqib selamba.

Dua orang cucu tokpa ini tiba semalam bersama kedua ibubapa mereka untuk balik mengundi, kebetulan hari mengundi jatuh pada hujung minggu, hari Ahad. 

Tokpa terus mengemas biliknya dan dua orang cucunya bermain diatas katil. Tokpa suka melihat cucu-cucunya melompat-lompat diatas katil, "Baik-baik, jangan jatuh", pesan tokpa. Tokpa tidak marah walaupun tempat tidur yang baru dikemasnya berselerak semula  kerana katanya 'perangai budak-budak, begitulah'. Lagipun cucu yang buat.

Di meja tulis, tokpa mengoyakkan satu sampul surat dan  mengeluarkan isi kandungannya. Tokpa mengambil cermin mata untuk membaca apa yang tertulis. Ohh penyata bank. Ada baki kredit 1 ribu lebih. Tokpa tersenyum sendirian. Dulu semasa masih bekerja , baki kredit tidak kurang dari 20 ribu. Tapi sekarang  1 ribu pun, okeylah.

Bantal tokpa terbaring diatas lantai. Mungkin Asef atau Aqib atau kedua-duanya menyebabkan bantal yang tersusun baik diatas katil itu melakukannya. Dia memandang kepada kedua orang cucunya itu.

"Bukan asef buat. Aqib", kata Yousef. "Abang yang buat", kata Aqib. Tokpa tersenyum suka mendengarkan dua sepupu itu saling mengelak untuk mengambil tanggungjawab. Tokpa  mencium kedua-dua cucunya sambil mengatakan okey.   

"Tokpa, ceritalah. Asef nak dengar cerita". "Aqib nak dengar juga". 

Tokpa mengubahkan kedudukan cermin matanya keatas kepala, melebihi sedikit dari dahinya. Tokpa mengajak dua orang  cucunya itu untuk duduk diatas lantai  tiles yang beralaskan tikar rotan berhadapan dengan tokpa yang duduk diatas sofa.

Tokpa memulakan cerita. Tokpa cerita fasal mata. Kata tokpa, mata digunakan untuk melihat. Kalau tak ada mata , kita tidak dapat melihat. Tapi kita tidak dapat melihat mata kita sendiri. Orang lain boleh lihat mata kita. Kalau nak lihat mata kita , kita kena pakai cermin. Kita berdiri depan cermin, barulah kita boleh melihat mata kita.

"Cermin? Apa tu cermin tokpa?", Tanya Yousef, memotong cerita Tokpa.

"Cermin tu tempat tokpa sikat rambut", sambil tokpa meraba-raba rambutnya yang sudah menipis itu.

"Ooooo mirror?", Kata si Aqib. Tokpa menganggukkan kepala. 

"Dengan adanya cermin barulah kita boleh melihat mata kita. Kita juga boleh melihat hidung , muka, kepala , rambut dan apa saja yang ada pada kita", tokpa meneruskan ceritanya.

"Sebab itu kita tak nampak kita buat salah. Kita kata orang lain buat salah. Kita kata orang lain baling bantal. Pada hal kita yang baling. Tapi kalau kita berdiri depan cermin dan kita baling bantal, kita nampak, kita yang baling bantal", kata tokpa.

"Alaaa boringlah tokpa cerita tu. Cerita lainlah", kata Yousef.

"Tokpa cerita Marry Had A Little Lamb. Aqib suka dengar", Naqib minta cerita yang telah beberapa kali dibacakan kepadanya, diulang cerita.

"Okey", kata tokpa sambil meminta Yousef mengambil buku itu.
   
Tokpa pun turut bangun menuju ke meja tulis mencari sesuatu. Sambil mencari, tokpa merungut-rungut kecil kerana barang yang hendak dicarinya masih tidak dijumpainya. 'Mungkin nenek punya kerja ni', terkeluar suara perlahan tokpa menyalahkan isterinya yang menyebabkan barang dicari tidak dijumpainya.

"Ni tokpa", yousef memberikan buku itu kepada tokpa dan mengheret tangan tokpa untuk kembalike sofa.

"Macam mana tokpa nak baca buku cerita. Cermin mata tak ada. Tokpa dah tua", kata tokpa yang bertahan tidak bergerak dari heretan tangan si Yousef.

Mendengar kata-kata tokpa itu, Yousef dan Naqib ketawa suka. Geli hati mereka melihatkan tokpa yang tercari-cari cermin mata yang tersangkut diatas sebahagian kepalanya.

"Pergi kat cermin tokpa", kata Yousef.

"Tokpa berdiri depan cermin", tambah Naqib.

Kedua-dua cucunya masih lagi ketawa suka. Kalaulah yang berkata-kata itu isterinya, sudah tentu tokpa naik berang kerana seolah-olah menyuruh tokpa 'cerminkan diri' dulu. Tapi apa boleh buat, yang besuara itu cucunya yang sangat dimanja dan disayang. 'Budak-budak kecil begitulah', tokpa memujuk perasaannya.

Sekonyong-konyong tokpa bertanya pada dirinya. Mengapa kedua-dua cucunya suruh tokpa pergi dan berdiri dihadapan cermin? Mungkin cucunya itu baru saja mendengar cerita tentang cermin. Hanya cermin yang boleh menunjukkan mata seseorang.

"Oooooo bertuah sungguh cucu-cucu tokpa ni", tokpa memeluk kedua orang cucunya itu. Cermin mata yang masih terlekat diatas kepalanya dialihkan ke matanya. Yousef dan Naqib terus ketawa suka.

"Okey , bacalah tokpa", kedua-duanya serentak bersuara.

"Bang, tak pergi masjid solat Jumaat", terdengar teriakan dari bawah

"Astaghfirrullah, dah nak masuk waktu", Aiman bergegas ke bilik air untuk mengambil wuduk. Nasib baik isterinya yang sedang menyediakan sarapan tengah hari mengingatkannya. Kalau tidak Aiman masih terus berblogging.      
       

  

Tiada ulasan:

Catat Ulasan