Menyambut hari ibu pada tahun ini, seorang kawan menyatakan amat kecewa sekali. Dia telah mengecilkan hati ibunya. Hanya sedikit tersilap menyatakan perasaan kecewanya diatas kekalahan PR baru-baru ini.
Ibunya mengaku mengundi BN pada PRU ke13 ini.
Tapi dia tidak marah ibunya berbuat begitu. Dia terlalu maklum dan faham mengapa ibunya berbuat demikian itu.
Seperti ibu bapa yang tinggal di kampong, mengundi BN adalah satu hal yang biasa bahkan satu kemestian sebagai tanda berterima kasih dan bersyukur kepada kerajaan. Ibunya nampak dengan mata sendiri apa yang kerajaan telah buat. Ada jalan raya, jambatan, sekolah, klinik, padang bola dan kemudahan-kemudahan yang lain. Semuanya ini memudah dan menyenangkan kehidupan ibunya.
Wang BR1M yang diberikan oleh kerajaan baru-baru ini walaupun sudah habis dibelanjakan masih lagi diulangsebut oleh ibunya dalam perbualan dengan penuh pujian. Namun ibunya merungut juga disebabkan terpaksa berbaris panjang berjam-jam lamanya untuk mendapatkan BR1M itu.
Jadi kenapa tidak dibalas dengan rasa syukur dan berterima kasih kepada kerajaan. "Bukan susah, undi saja"(maksudnya undi BN). Begitulah cara membalas budi dan tanda terima kasih ibunya kepada kerajaan.
Seperti biasa setiap kali dia dan keluarga balik kampong ke rumah ibunya mereka akan makan bersama. Seronok makan bersama sementelah lagi memakan masakan ibunya. Berselera dia anak beranak menyuap makanan ke mulut.
Dia mahu bergurau dengan ibunya dengan menyatakan tidak dapat balik ke kampong setiap minggu seperti yang telah dijanjinya pada bulan lepas kerana nak jimat belanja. Sekarang harga barang pun tinggi, mana nak bayar wang belanja sekolah anak, duit tuisyen, seorang lagi besar kemungkinan masuk universiti, tambah lagi belanja, nak bayar pusat jagaan anak kecil, duit minyak kereta, duit tol, sewa rumah......
Sebelum dia dapat meneruskan gurauan itu , ibunya menyampuk dengan mencadangkan supaya dia menukar keretanya yang buruk yang telah berusia lebih 20 tahun itu. Dengan cara ini boleh mengurangkan belanja minyak dan belanja membaikki kereta yang selalu rosak.
Dia beri tahu ibunya bahawa memang dia merancang nak beli kereta baru selepas pilihanraya sebab harga kereta akan turun 20%. Tapi BN yang menang, tak dapatlah dia beli kereta baru sebab harga tak turun. Tol pun tak turun. Harga minyakpun tak turun. Belajarpun kena bayar.
"Itulah ibu undi BN. Kalau undi PR sudah tentu kami dapat selalu balik kampong macam yang kami janji. Janji ditepati. Duit belanja bulanan ibu terpaksa dikurangkan". Dia bergurau sambil ketawa.
Rupa-rupanya ibunya terlalu sensitif apabila bercerita fasal mengundi BN. Ibunya terlalu marah. Jangan ungkit-ungkitkan perkara itu. Kalau tak mahu selalu menjenguk dia di kampong, tak mengapa. Nak kurang duit belanja bulanan, kuranglah. Tapi jangan sebut fasal mengundi BN.
Kawan saya itu terlalu menyesal akan kata-katanya itu. Niatnya hanya mahu bergurau saja. Tapi akibat gurauan itu ibunya berkecil hati. Paling malang, ibunya berkecil hati pada hari ibu.
Begitulah kisah yang diceritakan. Jadi berhati-hati.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan