Theflowersellingboy

Ahad, 12 Mei 2013

Malaysia Yang Panas

Malaysia  sebuah negara yang panas. Duduk dalam rumahpun kita akan berpeluh walaupun kipas berpusing ligat diatas kepala. Pasang pendingin udara, barulah terasa nyaman. Tapi kos letrik bulanan boleh menyebabkan dada menjadi sakit. Ianya tidak sihat bagi orang seperti saya yang telah menjalani pembedahan pintasan jantung. Tapi, tanpa memasang pendingin udara, badan sentiasa rimasdan berpeluh. Siang susah lena untuk tidur. Malampun serupa.

Walaupun kawasan rumah di pagari oleh pokok-pokok yang besar yang daunnya merimbun, ianya tidak banyak membantu.  Masih lagi panas

Rumput dan tumbuhan liar dikiri, kanan dan belakang rumah semakin galak tumbuh, semakin tinggi. Sudah hampir dua bulan rumput tidak dipotong. Dulu, setahun lebih dulu, kerja-kerja memotong rumput diupah orang lain untuk melakukannya, termasuk kerja-kerja trimming pokok-pokok bunga dan membajainya. Tapi orang itu telah mengaku kalah. Katanya pinggangnya sakit.

Maka selepas itu terpaksalah kami suami isteri melakukannya sendiri. Isteri memberi tumpuan kepada pokok-pokok bunganya dengan melakukan bajaan, siraman dan trimming. Saya melakukan kerja memotong rumput dan membantu mengangkut pasu-pasu bunga, menyapu daun-daun kering yang begitu banyak terutama dalam musim 'gugur'dan berangin.

Kami tidak pula mahu mencari pekerja ganti untuk melakukan kerja-kerja tersebut. Sebabnya kami percaya ianya tidak akan dapat seperti pekerja yang berhenti dulu. Orangnya 'banyak' cakap, apa saja hal dia boleh berbicara. Pasal kewangan, pasal ekonomi, pasal masyarakat, hubungan antarabangsa, semua tidak ada hal baginya. Boleh saja dia berlawan cerita. 

Apatah lagi pasal politik, dia tahu macam-macam cerita. Misalnya siapa yang akan naik jadi menteri atau ketua menteri. Menteri mana yang rasuah dan menteri makna yang ada masalah. Hebat sungguh orang ini.

Yang menarik kepada kami berdua sehingga susah kami mencari ganti ialah orangnya boleh dipercayai. Sekiranya kami meninggalkan rumah pergi bercuti misalnya kami akan berikan kepadanya kunci kawalan pagar untuk dia masuk ke kawasan rumah dan melakukan kerja-kerja membersih kawasan. Kunci kereta juga kami serahkan untuk dia menghidupkan enjin.

Balik dari bercuti keadaan rumah seperti biasa. Barang-barang yang tinggal tiada yang kurang dan tiada yang lebih. Orang ini sungguh-sungguh boleh dipercayai selain seorang yang rajin.

Kami tidak yakin akan dapat orang seperti itu, boleh dipercayai.

Oleh kerana itu, semenjak dia berhenti, kami ambil tugasnya pula sehingga sekarang.

Pada mulanya kelihatan kerja membersih kawasan ini mudah saja. Ianya menjadikan kita berpeluh. Tak perlu lakukan senaman. Baik untuk kesihatan.

Ya, kerja ini tidak memerlukan perahan otak seperti kerja dipejabat berhawa dingin. Dulu semasa belum bersara, hari-hari mesyuarat. Berbagai perkara yang dibincangkan untuk membolehkan orang ramai mendapat faedah dan kebaikan. Sistem dan cara penyampaian perkhidmatan hendaklah yang mampu memberikan kebaikan kepada orang ramai.  

Dalam banyak keadaan berlaku pertentangan dengan orang politik yang hendak melakukan mengikut cara mereka yang lebih berminat untuk memberi faedah kepada rakyat yang digolongkan sebagai penyokong. Berbeza dengan pendekatan penjawat awam yang melihat faedah mesti diberikan tanpa condong kepada sesuatu golongan. 

Biasanya yang menang orang politik. Kalau mahu juga berdegil maka pada esok harinya bersedialah untuk menerima berita pertukaran. Ini sudah lumrah kepada saya dan penjawat awam yang lain.

Selalunya orang politik yang berkuasa ini tidak mahu membezakan diantara politik dan kerajaan. Mereka sebenarnya tahu tapi tidak mahu menerima hakikat itu semata-mata untuk kepentingan survival mereka. Kalau tidak semasa jadi calun nanti, sokongan kepadanya akan terjejas.

Ya, sebagai penjawat awam saya sedar perkara itu dan tidak juga menyalahkan sepenuhnya kepada orang politik itu. Tapi melakukan secara keterlaluan ianya tidak adil. Malah saya katakan tidak amanah. Semua orang yang memerlukan bantuan dan perkhidmatan mesti diusahakan tanpa ambil kira latarbelakang orang itu. Misalnya dalam mendapatkan rumah kos rendah atau rumah golongan  termiskin atau bantuan dari baitul mal. Apa yang berlaku amat menyedihkan sekali.     

Sekiranya semua yang memerlukan diberi layanan yang sama, dari segi jangka panjang ianya menguntungkan kepada orang politik itu kerana orang yang dibantu itu akan lama kelamaan akan memberi sokongan kepadanya. 

Saya sudah terlalu melencong dari cerita bekerja dalam cuaca Malaysia yang terlalu panas kepada cerita perangai orang politik. Maaf, otak dan perasaan saya masih lagi belum dapat dipisahkan dengan perangai orang politik yang berkuasa walaupun PRU 13 telah tamat. 

Ya, untuk membersih kawasan rumah, keadaan fizikal kita mestilah kuat dan bertenaga. Tidak mungkin orang yang bersara seperti saya akan terus mempunyai kekuatan fizikal seperti orang muda. Semakin hari semakin menurun. Tapi kawasan rumah mesti juga dibersihkan untuk sejuk mata memandang dalam kepanasan panahan matahari.

Apa boleh buat. Ini negara yang kita cintai. Panaspun, panaslah. Nak upah orang , susah nak cari seperti yang dulu, yang boleh dipercayai. Buatlah sendiri. Berpeluh lencunlah anggota badan. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan