Saya terbaca kenyataan seperti diatas yang saya turunkan dibawah ini,
"Saya memang kedekut", kata Menteri Besar Selangor, Khalid Ibrahim.
Kenyataan Khalid itu saya istilahkan sebagai kenyataan 'cacat politik'. Ianya tidak banyak membantu bagi mendapat sokongan bagi menambahkan pengaruh politik menteri besar itu. Ini adalah amat merugikan dari segi survival politik beliau, terutamanya di negeri Selangor.
Kata-kata itu datangnya dari seorang yang yakin dan percaya bahawa kuasa yang diberikan adalah satu amanah. Kuasa bukan sebagai satu hak untuk digunakan bagi kepentingan diri. Sebagai Menteri Besar beliau mempunyai kuasa penuh dalam cara gaya mengguna dan menguruskan wang negeri Selangor. Ya sudah tentu beliau berpandukan kepada undang-undang dan peraturan yang sedia ada seperti Akta Acara Kewangan.
Tapi beliau berkuasa untuk menentukan prioriti. Yang mana lebih utama dilakukan dan yang mana perlu diketepikan atau ditangguhkan. Maka sudah tentu ada sebahagian yang ditangguh atau yang diketepikan itu melibatkan kepentingan politik yang Menteri Besar itu anggap sebagai tidak perlu diberi keutamaan. Ada perkara lain yang perlu didahulukan.
Maka keputusan berbuat demikian itu adalah tidak popular dikalangan setengah ahli politik yang menyangkutkan kepentingannya dengan perkara/projek yang diketepikan oleh Khalid. Jadi kalau ianya (mengenepikan projek yang tidak jadi keutamaan) sudah menjadi satu cara kerja Menteri Besar itu, dan jika kerap dilakukan maka tidak menghairankan Khalid dicap sebagai 'menteri besar yang kedekut'.
Saya ingat penggunaan kata kedekut itu masih lagi manis didengar. Saya tidak hairan jika ada yang menggunakan kata-kata, "macam duit bapak dia, semua nak control". Saya yakin ada yang menuturkan begitu. Mungkin tidak di hadapan Khalid tapi merungut dan merengus di tempat lain dengan nada penuh marah dan benci.
Dengan demikian tidak hairanlah mengapa Khalid mendapat tentangan dari beberapa pihak yang tidak berkenan dia terus diberi peluang menjadi menteri besar Selangor berikutan kemenangan PR di Selangor.
Bagi saya adalah satau perkara biasa dan tidak salah jika ada mana-mana pihak yang mahu menjadi menteri besar Selangor bagi menggantikan Khalid. Itulah matlamat masuk gelanggang politik.
Masuk gelanggang politik tujuannya hanya satu saja iaitu untuk mendapat kuasa. Jika ada yang ingin menafikan, saya cadangkan keluarlah dari gelanggang politik kerana ianya menjadi sia-sia saja. Kerana dia tidak akan ada sifat mahu berlawan dan bersaing untuk dapatkan kuasa. Buat apa jadi pak cagak seperti dalam cerita bangsawan Melayu, berdiri tegak seperti orang mati!
Tanpa matlamat untuk mendapat kuasa ianya bukan perjuangan politik. Ada yang dapat kuasa dengan naik bertingkat. Ada yang melompat terlalu jauh melintasi banyak orang. Dan macam-macam cara lagi untuk mendapat kuasa. Itulah politik.
Apa gunanya di laung-laungkan 'demi bangsa, agama dan negara' kalau kita tiada kuasa. Dengan adanya kuasa, kita dapat melakukan apa yang kita mahu lakukan. Jika baik caranya maka baiklah hasilnya begitulah sebaliknya.
Adalah tidak bijak dan tidak kena bagi kita memandang serong dan membuat tuduhan mengatakan bahawa orang atau pihak yang mahu menjadi menteri besar Selangor bagi mengambil tempat Khalid itu sebagai orang gila kuasa. Orang itu dan Khalid adalah manusia politik yang hendakkan kuasa. Sama saja. Mereka dalam gelanggang yang sama, menari mengikut rentak, irama dan pukulan gendang silat yang sama.
Yang berbezanya ialah apabila melaksanakan kuasa itu. Cara Khalid ialah untuk berlaku kedekut dalam menguruskan kewangan negeri Selangor.
Istilah kedekut ini juga subjektif. Lain orang mengatakan bahawa memasang lampu 24 jam yang melibatkan belanja lebih dalam bil letrik adalah lebih baik dari segi keselamatan pejabat. Orang yang lain pula mengatakan ianya membazir.
Jadi soal kedekut atau tidak kedekut ini kadang-kadang digunakan untuk sesuatu tujuan tertentu.
Tapi saya mahu bersangka baik terhadap Khalid yang dikatakan kedekut itu. Kedekut Khalid adalah kedekut dalam menentukan wang negeri Selangor diuruskan dengan secara terbaik dengan pendekatan bahawa kepentingan negeri dan rakyat selangor mengatasi kepentingan politik tertentu selaras dengan amanah yang diterimanya dari rakyat. Dalam perkataan lain ciri-ciri pengurusan kewangan yang membazir tidak terrmasuk dalam cara gaya kerja Khalid. Atau populariti politik bukan pertimbangan yang mempengaruhi pengurusan kewangan Khalid.
Jika beliau mahu popular dari segi politik, beliau mempunyai ruang yang luas untuk melakukannya.
Ada orang yang kenal Khalid secara rapat. Ada yang kenal begitu-begitu saja seperti kenalnya seorang kampong dengan Perdana Menteri Malaysia.
Saya juga kenal Khalid. Tidak rapat dan tidak juga kenal begitu-begitu saja. Kami tinggal dikawasan taman yang sama, di Tan Yew Lai Garden, Puchong semasa kami sebagai pelajar di UM.
Beliau mempunyai sebuah motorsikal tua terlalu buruk yang boleh dibuang saja ke dalam tempat buangan sampah. Motorsikal berkuasa 90cc. Saya tidak pernah jadi pemboncengnya untuk menghadiri kuliah kerana tidak yakin boleh sampai pada waktu yang dikehendaki. Tapi dengan motorsikal itu beliau ke UM sehingga berjaya memperolehi ijazah.
Kami selalu berbincang tentang kertas perlembagaan. Dia seorang yang rajin dan bekerja keras. Dia seorang mahasitua sedangkan saya dan kawan serumah yang lain adalah pelajar fresh dari sekolah yang kecenderungan 'enjoy' melebihi dari pelajar mahasitua. Kami lihat secara amnya pelajar dari jenis mahasitua ini memang rajin dan mempunyai ketahanan belajar yang tinggi, tidak mudah 'give up'.
Perkataan demi perkataan dalam sesuatu artikel dalam perlembagaan itu mampu dikeluarkan oleh siKhalid ini. Bukan seperti burung kakak tua. Tapi dia faham dan boleh mentafsirkannya dengan baik.
Dengan sedikit cerita diatas maka saya tidak merasakan sesuatu yang luar biasa kepada apa yang dilakukan oleh Tan Sri Khalid itu. Beliau telah menunjukkan ciri-ciri seorang yang tidak suka membazir. Motorsikal buruk lagi tua yang digunakan semasa mendapatkan ilmu di UM telah menjiwainya sehingga kehari ini sebagai Menteri Besar. Dan ketekunan dan kesungguhan semasa belajar dulu telah dibawa bersama semasa menjalankan tugas sebagai menteri besar.
Oleh itu kedekut Khalid adalah kedekut yang baik. Dengan motorsikal yang buruk itu beliau boleh berjaya. Maka dengan sokongan dan kerjasama semua pihak kepada beliau dalam menguruskan Selangor khususnya kewangan negeri Selangor maka Selangor akan terus maju.
Jika begitulah perangai Khalid, seorang Menteri Besar yang kedekut, saya merasakan Pegawai Kewangan Negeri Selangor berada dalam kedudukan yang mantap kerana mempunyai seorang Menteri Besar yang benar-benar mahu menguruskan kewangan negeri secara terbaik. Bertuahlah kamu.
Dulu saya dipanggil oleh orang politik sebagai kedekut juga dengan kata-kata , "Macam duit bapak dia. Nak control semua". Cuma saya kurang bertuah sedikit kerana ketua saya mempunyai berbagai muka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan