Dalam beberapa paparan sebelum keputusan PRU ke 13 diumumkan, saya cuba mengajak para pengundi untuk memberi kemenangan kepada PR.
Ajakan saya itu bukanlah kerana UMNO/BN telah begitulah lama memerintah. Ianya juga bukan kerana kehidupan saya yang begitu terhimpit dan terbeban dari segi menampong sara hidup, sebab , alhamdulillah, saya dapat juga menjalani kehidupan yang sederhana.
Jadi apakah sebabnya saya berbuat demikian?
Sebelum itu biarlah saya menyatakan bahawa saya amat kecewa dengan peristiharan keputusan pilihanraya ini. Bukan kecewa kerana PR kalah tapi saya kecewa kerana BN yang diistiharkan sebagai menang itu sebenarnya kalah dalam apa pun bentuk kayu pengukur yang digunakan.
Misalnya mengukur dari segi i) bilangan undi yang diperolehi. Jelas BN tewas. Jumlah undi yang diperolehi adalah sebanyak 5.22 juta (46.8%) berbanding dengan PR sebanyak 5.489 juta (50.3%) dan mengukur dari segi ii) tertib dan adab amalan demokrasi serta pematuhan kepada peraturan dan undang-undang pilihanraya , BN jauh tersasar sekali. Bertambah malang apabila pihak SPR yang sepatutnya menjadi pengurus pilihanraya yang tidak berpihak telah sama tersasar.
Orang yang berfikiran waras yang dapat membezakan diantara yang hak dan yang batil tidak akan dapat menerima pengistiharan kemenangan BN itu. Dan orang itu tidak akan membenarkan diri dan nama baiknya tercemar begitu rendah dan hina semata-mata untuk berkuasa.
Bertentangan dengan ukuran, pegangan dan amalan prinsip diatas, SPR tetap juga mengistiharkan bahawa BN telah memenangi PRU ke 13 ini dan layak membentuk kerajaan.
Itulah yang membuatkan saya kecewa tapi masih tidak berputus asa. Harapan untuk mewujudkan satu masa depan yang lebih baik masih kental lagi untuk diperjuangkan.
Mengapa saya mengajak pengundi untuk menolak UMNO/BN?
Soalan ini telah menjadi akademik kerana keputusan PRU telahpun diistiharkan.
Walaupun begitu saya masih memilih untuk memperkatakannya lagi.
Dalam beberapa paparan yang lepas saya telah menyatakan sebab-sebab UMNO/BN itu perlu ditolak. Selepas mendapat pengistiharan dari SPR itu saya merasakan ada sebab-sebab yang munasabah untuk mengulangi semula asas-asas yang saya gunakan dalam mengajak pengundi menolak UMNO/BN agar boleh difahami. Yang lebih penting ialah supaya UMNO/BN tidak terus mabuk dengan kemenangan yang diistiharkan itu sehingga terus berkhayal dan menjadi tidak siuman dengan mengekalkan sikap dan sifat sombong , bongkak dan angkuhnya.
Dalam beberapa paparan yang lepas saya telah menyatakan sebab-sebab UMNO/BN itu perlu ditolak. Selepas mendapat pengistiharan dari SPR itu saya merasakan ada sebab-sebab yang munasabah untuk mengulangi semula asas-asas yang saya gunakan dalam mengajak pengundi menolak UMNO/BN agar boleh difahami. Yang lebih penting ialah supaya UMNO/BN tidak terus mabuk dengan kemenangan yang diistiharkan itu sehingga terus berkhayal dan menjadi tidak siuman dengan mengekalkan sikap dan sifat sombong , bongkak dan angkuhnya.
Rakyat pula mesti mengkaji dan menilai semula kepercayaan yang telah diberikan selama ini kepada UMNO/BN sama ada ianya sebenar-benarnya memberi faedah atau mereka sudah menjadi alat perkakas bagi mengekalkan kuasa pimpinan UMNO/BN yang terus menerus menggunakan kedudukan dan kuasa untuk kepentingan mereka dan sebahagian kecil yang dekat dengan mereka.
Menolak UMNO/BN bukan kerana namanya seperti itu. Bukan juga kerana UMNO/BN telah lama ditampok kuasa. Saya mengajak pengundi menolak UMNO/BN adalah kerana parti itu telah menjadi sebuah kerajaan yang terlalu angkuh, sombong dan bongkak. Dan adalah menjadi tanggungjawab pengundi untuk menyedarkan parti itu agar sifat buruk itu dapat dibuang segera sebelum membarah dan menjarah dikalangan ahli-ahli yang lain khasnya dan dikalangan masyarakat umum amnya. Caranya hanya dengan menyisihkannya dari tampok kuasa.
UMNO/BN tidak ada perasaan segan dan silu, belas dan ikhsan, tidak dapat membezakan yang hak dengan yang batil, pemerintah yang zalim, tidak amanah dan khianat kepada pemberi amanah, pemerintah yang menggalak dan menyuburkan budaya fitnah , budaya biru filem/video seks, tidak menganjurkan sikap dan sifat saling hormat menghormati dan berbagai sifat yang keji lagi.
Adakah BN tidak sedar akan kesan dan implikasi yang buruk kepada rakyat dan negara akibat dari sifat sombong, bongkak dan angkuh itu?
Adakah juga UMNO/BN tidak diberi ingatan akan hal ini?
Sebenarnya UMNO/BN sedar dan tahu. Bahkan UMNO/BN sentiasa menyatakan dengan jelas dan tegas bahawa perjuangan mereka semata-mata demi "Bangsa, Negara dan Agama". Maka mereka menanam dan menyuburkan dalam hati dan fikiran rakyat bahawa itulah sebenarnya wadah perjuangan mereka. UMNO/BN juga menyatakan bahawa mereka adalah pejuang kesederhanaan dan menolak fahaman melampau. Mereka adalah benteng dan pelindung.
Kata-kata UMNO/BN itu diibaratkan seperti gayung yang ada sambut menyambut, yang amat dipercayai sebagai benar dikalangan sebahagian besar orang Melayu dan Bumiputera yang capaian maklumat mereka adalah amat terhad sekali.
Dan kepercayaan itu sentiasa dikukuhkan dengan berbagai pemberian, tunai dan bukan tunai, yang nilainya terlalu kecil, tidak sepadan dengan kemampuan sumber negara dan harapan sebenar rakyat untuk satu kehidupan dan masa depan yang lebih baik.
Dan dalam masa yang sama , pemimpin UMNO/BN yang diamanahkan dengan kuasa rakyat itu telah bertindak membolot dengan begitu tamak dan haloba yang begitu menggila tanpa ada sedikit pun rasa bersalah akan perbuatan itu.
Sesungguhnya amat malang sekali, kata-kata itu tidak sebenarnya diterjemahkan dalam bentuk amalan, perbuatan, tindakan, perlakuan dan perangai. Kata-kata itu hanya semata-mata sebagai alat bagi mendapat kepercayaan rakyat dan bagi melindungi salahlaku dan perbuatan pecah amanah yang dilakukan.
Perbuatan keji itu berlaku atau dilakukan bukan dalam satu tempoh masa yang pendek tapi berterusan.
Kecuali pada tempoh awal kemerdekaan, pada kurang lebih awal tahun 1980an, perbuatan yang berbentuk rompakan harta negara ini telah mengambil tempat dalam nafsu serakah pimpinan UMNO/BN sehinggalah ke masa ini. Ianya dilakukan dalam berbagai bentuk dan kaedah yang nampaknya secara permukaan dan luaran sebagai yang memberi faedah kepada sebahagian besar rakyat demi negara.
Yang paling disukai bagi mengelembungkan poket pimpinan UMNO/BN ialah kaedah penswastaan dan anugerah berbagai konsessi. Kaedah perolehan bagi perkhidmatan dan barangan serta kontrek kerja juga digunakan bagi tujuan yang sama.
Ini bukan satu pernyataan kosong. Senarainya sungguh panjang dan telah banyak dibentang dan diperkatakan oleh berbagai pihak.
Rujukan yang paling baik ialah dengan meneliti laporan tahunan dari Ketua Audit Negara. Rujuk juga laporan dari Firma-firma audit yang dilantik bagi syarikat milik penuh kerajaan dan yang ada kepentingan kerajaan. Buatlah penelitian dan analisa.
Kemudian saya mahu tanya:
i) Bukankah perbuatan-perbuatan itu ada kaitan dengan akhlak dan moral, moral yang rendah?
ii) Bukankah perbuatan-perbuatan itu bersifat jenayah?
iii) Salahkah kita mengatakan perbuatan itu satu penyelewengan, khianat dan pecah amanah?
iv) Bukankah ianya satu pembohongan dan penipuan?
v) Tidak termasukkah dalam tafsiran perbuatan yang zalim?
vi) Bukankah ianya satu pembaziran, bersifat boros yang merugikan negara dan rakyat?
vii) Tidakkah perbuatan itu termasuk dalam hal-hal yang diseru oleh Allah untuk meninggalkannya kerana ianya perbuatan mungkar?
Dan berbagai soalan boleh ditanya.
Saya percaya setiap orang akan memberi jawapan yang sama kepada persoalan-persoalan diatas.
Setelah semua orang mempunyai jawapan yang sama yang menyimpulkan bahawa perbuatan penipuan, pembohongan, penyelewengan dan khianat amanah itu adalah perbuatan yang tidak berakhlak dan rendah moral serta zalim yang termasuk dalam seruan Allah yang perlu dijauhkan, ada juga yang memberi alasan mengecualikan perbuatan yang bersifat buruk dan keji itu jika yang melakukan itu adalah dari orang yang sama kelompok, satu bangsa dan satu agama. Dan perbuatan-perbuatan itu hanya menjadi keji dan hina jika dilakukan oleh kelompok, bangsa dan agama yang lain.
Seorang Melayu beragama Islam pernah berkata,"Lebih baik kita mempunyai pemimpin Melayu walaupun pemimpin itu melakukan penindasan terhadap kita dari berketuakan pemimpin Cina".
Lihat logik pemikiran orang Melayu itu dalam menghalalkan perbuatan yang keji yang jelas bertentangan dengan moral dan ajaran Islam semata-mata yang melakukannya orang Melayu.
Dan ini juga hujah yang digunakan bagi mengekalkan UMNO/BN walaupun orang UMNO atau orang Melayu itu sedar dan tahu perbuatan khianat itu adalah salah dan dimurkai Allah.
Orang Melayu ini lebih takutkan orang Cina dari takut kepada kemurkaan Allah.
Orang Melayu atau orang Cina atau bangsa apa saja tidak semestinya baik atau jahat. Tetapi jika kita sendiri tahu orang itu sememangnya jahat mengapa kita perlu menyebelahi orang itu semata-mata orang itu seagama dan sebangsa dengan kita. Malah sebenarnya kita telah menganiaya dan menzalimi diri kita dan orang itu kerana kita telah bersubahat dengan orang jahat itu disebabkan kegagalan kita menasihat dan menegur orang itu agar tidak terus melakukan perbuatan keji itu.
Adakah jika orang yang membunuh anak kita itu berbangsa Melayu dan yang menyaksi dan menangkap pembunuh itu orang Cina maka kita boleh melepaskan saja pembunuh itu semata-mata ianya orang Melayu dan yang menangkap itu orang Cina?
Begitulah logik pemikiran yang saya dapat simpulkan dari kenyataan orang Melayu diatas.
Sebab itulah orang yang melakukan kejahatan itu akan terus melakukannya sehingga menjadi satu budaya yang tidak mudah ditinggalkan. Maka mengapa perlu dihairankan orang seperti ini akan menerapkan sifat-sifat keji itu sehingga menjadi seorang yang sombong, bongkak dan angkuh kerana kita ada bersama menyokong dibelakangnya.
Ini tidak bermakna saya mengatakan UMNO/BN itu melakukan perbuatan keji dan PR itu melakukan perbuatan yang baik. Saya hanya menyatakan berdasarkan fakta dan hal-hal yang kita sendiri tahu misalnya dari laporan-laporan tahunan Ketua Audit Negara melainkan kita tidak mahu menerima kenyataan dan apa yang dilaporkan.
PR pun jika melakukan perbuatan yang keji kita wajib tegur dan menasihatkannya agar berhenti dan jangan lakukan lagi. Jika berdegil adalah menjadi tanggungjawab kita untuk menolaknya.
UMNO/BN yang telah berulangkali ditegur, nampaknya masih lagi meneruskan perbuatan yang keji itu. Maka kita wajar menolaknya.
Jika ada orang Melayu khususnya ahli UMNO/BN yang masih lagi menganut fikiran dan logik seperti dinyatakan diatas, maka rakyat dan negara akan menerima kesan yang buruk.
Maka buanglah ajaran dan kepercayaan yang mengatakan bahawa "Lebih baik berkawan dengan syaitan yang dikenali dari malaikat yang kita belum kenal".
Jadi saya mengajak pengundi untuk menolak UMNO/BN adalah bagi mengelakkan kita semua menurut dan mempercayai ajaran seperti itu, dan bukan parti itu bernama UMNO/BN.
Saya faham ajakan saya itu sudah menjadi sesuatu yang akademik saja kerana SPR telah mengistiharkan BN menang. Tapi saya merasakan satu tanggungjawab untuk memperkatakannya sebagai ingatan lagi sekali kepada UMNO/BN bahawa rakyat tidak suka kerajaan yang sombong, bongkak dan angkuh.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan