Pada pandangan saya BN boleh menang dengan mudah dalam PRU 13 ini.
BN tidak perlu menggunakan berbagai tektik dan kaedah yang boleh dipersoalkan orang seperti undi dari warga asing yang dapat kad pengenalan segera, dakwat kekal yang tidak kekal, undi pos dan undi awal, terputusnya bekalan letrik sewaktu kiraan undi dan ulang kira undi yang meragukan, daftar pemilih yang meragukan dan berbagai tindakan lain yang boleh ditafsirkan sebagai berat sebelah dipihak SPR dan media serta agensi kerajaan.
Malang sekali BN menang tetapi tercemar dengan dakwaan-dakwaan seperti diatas. Ianya amat malang dan mendukacitakan sekali. Sebuah kemenangan yang tidak dapat diterima oleh pihak lawan. Akibatnya kerajaan yang dibentuk oleh BN tidak ada kekuatan moral dan politik untuk mengambil amanah dalam menguruskan negara Malaysia ini.
Pihak lawan sebenarnya mempunyai alasan yang kuat untuk meragui perjalanan PRU 13. Ianya tidak adil dan bersih.
Walaupun PR sedang giat untuk mengumpulkan berbagai fakta dan maklumat tentang tidak teratur dan cacatnya perjalanan PRU ini, bagi saya dakwaan-dakwaan itu amat mudah untuk saya mempercayainya.
Sebenarnya BN tidak perlukan itu semua untuk memenangi PRU ini. Kemenangan yang lebih bergaya dan boleh percaya akan mudah diperolehi. Satu kemenangan yang akan mendapat rasa hormat dari majoriti rakyat termasuk pihak lawan (PR). Kemenangan yang tidak diberi komen yang sinis dari masyarakat antarabangsa.
Ertinya tektik dan kaedah yang digunakan oleh BN itulah yang telah mencemarkan kewibawaan BN dalam kemenangan ini. Maknanya BN boleh menang atas kekuatannya sendiri tanpa perlu mendapat bantuan dengan menggunakan tektik dan kaedah yang mencacatkan PRU itu.
BN tidak perlu bantuan warga asing berkad pengenalan segera. BN tidak perlu undi awal, undi pos dan penggunaan dakwat kekal. BN tidak perlu menggunakan tektik-tektik kotor semasa berkempen, seperti serangan mengaibkan peribadi lawan melalui tayangan video lucah. Dan macam-macam perbuatan dan tindakan yang boleh mencacatkan amalan demokrasi.
BN dan juga SPR hanya perlu menentukan PRU 13 berjalan dengan adil dan saksama. Itu saja. Dan BN sudah tentu akan menang. Satu kemenangan yang mempunyai kekuatan moral dan politik.
Apa kurangnya BN? Dari segi konsep dan falsafah perjuangannya? Bagi saya ianya yang terbaik dengan penyertaan semua kaum dalam satu gabungan pelbagai parti dalam keluarga yang besar untuk berkongsi kuasa dalam mengurus tadbir negara. Semua pihak diberi tempat sama ada kaum majoriti mahupun minoriti.
Kerangka BN adalah yang terbaik.
Tapi apa masalah BN sehingga terpaksa menggunakan tektik dan kaedah seperti yang didakwa untuk memperolehi kemenangan sehingga pihak lawan mengatakan tanpa kaedah dan tektik itu BN akan tewas.
Masalah BN antaranya adalah seperti berikut:
i) Pimpinan yang tidak amanah
ii) Melaku dan melindungi perasuah.
iii) Takut kehilangan sokongan menurut kaum. Lantas terpaksa berselindung disebalik bangsa dan agama untuk kepentingan diri dan parti, misalnya menimbulkan rasa takut dan tidak selamat kepada orang Melayu dan agama Islam. Majoriti rakyat luar bandar termakan akan dakyah BN ini.
iv) Pembaziran yang melampau
v) Salah guna kuasa
vi) Bongkak dan sombong
Itulah diantara masalah-masalah BN yang menyebabkan parti itu menjadi lemah yang memberi kesan yang negatif dari segi sokongan rakyat.
Dari segi membawa pembangunan fizikal ianya memihak kepada BN, nampak jelas dimata rakyat. Ianya adalah satu senjata yang paling laku dalam meyakinkan pengundi luar bandar. Tetapi ianya tidak terlalu penting kepada penduduk bandar yang mempunyai capaian berbagai sumber maklumat.
Orang kampong terutama dikalangan saluran 1, sentiasa bersyukur kerana mendapat jambatan, jalan raya, masjid, sekolah, klinik kesihatan dan lain-lain lagi. Mereka tidak bertanya misalnya berapakah kos yang terlibat? Siapakah yang mendapat projek?
Bagi mereka bila mata mereka sendiri boleh nampak projek itu ianya sudah cukup dan memadai sebagai ukuran ketelusan dan keikhlasan kerajaan membantu kehidupan mereka. Mereka tidak berminat untuk tahu bagaimana perlaksanaan projek itu.
Soalan-soalan tentang cara perlaksanan projek itu hanya menjadi minat orang yang mempunyai capaian maklumat dari berbagai sumber. Menjadi minat kepada orang yang mahu tahu bagaimana wang negara digunakan dengan sebaik mungkin kerana wang itu adalah wang rakyat, mereka juga penyumbang kepada tabung wang negara itu (Kumpulang Wang DiSatukan).
Mereka berminat dengan soalan-soalan misalnya mengapa kos projek itu berlipat ganda tingginya? Apa speks yang dipakai? Cara mana projek itu ditawarkan kepada seseorang/sesuatu syarikat? Mengapa projek tidak siap mengikut jadual? Apa kaitan syarikat itu dengan mereka yang ada kuasa memberikan projek itu?
Maka telah terbukti dalam banyak kes soalan-soalan itu tidak mampu dijawab dengan baik. Kalau mahu lebih sahih, telitilah Laporan Tahunan Ketua Audit Negara.
Tapi berapa ramai orang saluran1 atau anak-anak muda dari kampong yang tahu tentang Laporan Ketua Audit ini. Mereka pun tidak ada minat untuk mengambil tahu. Asalkan dapat jalan raya, terima kasih banyak-banyak. Dapat pula bayaran tunai BR1M. Apa perlu kesah kos projek dan siapa dapat projek! Buat pening kepala saja.
Sebab itulah BN banyak menang dikawasan luar bandar terutama dari Sabah dan Sarawak.
Sebab itu juga PR tidak mampu menerobos Sabah dan Sarawak seperti yang diharap-harapkan.
Diatas tadi saya katakan kerangka BN adalah yang terbaik. Dengan kerangka ini BN tidak ada masalah untuk menang. Tidak perlu tektik dan kaedah yang kotor untuk menang PRU.
Saya juga katakan bahawa BN ada banyak masalah. Antaranya seperti yang dinyatakan diatas dengan sedikit penjelasan mengenai perbezaan sikap diantara orang kampong yang kurang maklumat dengan orang yang mempunyai capaian berbagai maklumat dari segi projek yang dibawa oleh kerajaan BN.
Kerana masalah-masalah ini BN terpaksa mencari kaedah yang boleh memihak kepadanya dari segi mendapat bilangan undi. Apa saja, asalkan boleh menang.
Ertinya kerangka BN yang terbaik itu telah tersedia didalamnya isi yang sudah busuk berulat. Seperti buah mangga yang kulitnya kelihatan kuning dan licin tetapi apabila dimakan isinya sudah berulat. Begitulah BN. Kerangka yang berisi dengan ulat.
Jadi satu kerangka baru yang sama bentuk dengan yang ada sekarang ini perlu dibena semula. Buanglah buah mangga yang busuk berulat itu. Dan kerangka yang baru ini perlu disemai dan disuburkan tanpa gangguan dan kacau ganggu dari makhluk perosak yang suka mengamalkan perkara i) sehingga vi) diatas.
Jika itu dilakukan BN akan menang dengan mudah dalam PRU nanti. Tidak perlu buat benda-benda yang boleh menjatuhkan harga dan maruah diri. BN menang dengan kekuatan moral dan politik.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan