Hari ini menerima tetamu dari Kuantan, Pahang, adik ipar dan anak perempuannya. Kami suami isteri membawa kedua-dua mereka melawat tempat bersejarah di Bandaraya Melaka. Sudah tentu sebahagian besarnya terdapat di Bandar Hilir.
Oleh kerana tempat-tempat yang hendak dilawati sudah biasa kepada saya jadi ianya tidak menimbulkan minat untuk saya bersama. Oleh itu isteri saya saja yang menjadi juruiring. Saya lebih seronok melayan bual dengan 2 orang penjual cenderamata di tepi tangga menaikki ke Bukit St.Paul.
Mereka ini , seorang Melayu dan seorang Baba (Cina Melaka yang bertutur dalam Bahasa Melayu) terlalu lantang bersuara menyatakan tidak puas hati dengan Majlis Bandaraya Melaka.
"Adakah patut bang, pihak bandaraya minta kami menjual lukisan saja. Barang lain tak boleh jual. Mana boleh cari makan dengan jual lukisan saja. Orang Malaysia bukan minat sangat tentang lukisan ni", penjual Melayu itu memulakan perbualan dengan saya.
Saya nampak mereka tidak menjual lukisan. Yang dijual ialah berbagai cenderamata. Dengan itu saya mengatakan mengapa perlu bising sebab yang mereka jual ialah cenderamata bukannya lukisan. Maknanya Majlis memberi keizinan bagi mereka menjual cendermata.
"Yang ini haram bang. Majlis suka buat benda yang haram. Kami dah pohon. Tak dapat. Dia suka orang buat cara haram".
"Dia datang sini bukan nak tolong kita tapi tanya mengapa berniaga disini", peniaga Cina itu menambah.
Peniaga Cina itu seterusnya menyatakan bahawa apa yang sepatutnya pegawai bandaraya itu cakap ialah bertanyakan macam mana keadaan mereka berniaga, apa masalah yang dihadapi yang majlis boleh tolong. Bukan suruh berniaga lukisan. Kalau tempat itu tidak sesuai, tawarkan satu tempat yang sesuai. Yang penting mereka dapat berniaga. Mereka bukan nak mencuri.
Kedua-dua peniaga ini sungguh marah kepada majlis. Bukan itu saja kemarahannya melarat sampai ke pihak pimpinan negeri yang lebih tinggi iaitu Ketua Menteri.
"Padan si Ali kalah hari itu. Masalah kami yang kecil ni pun takboleh tolong. Tapi kalau kawan-kawan dia semua boleh".
Saya hanya mendengar saja. Mereka berdua terus membantai kepimpinan negeri Melaka. Macam-macam cerita yang negatif yang keluar dari mulut mereka.
Saya provok mereka dengan berkata, "Encik marah-marah, tapi undi BN juga".
"No, no no kami nak ubah. Tak undi mereka. Orang macam abanglah yang undi BN. Anak-anak muda tak hingin dengan BN ni", kata peniaga Cina itu.
Apabila dia sebut orang muda, saya memandang mereka berdua. Dari air muka, usia mereka lebih kurang dengan saya, golongan sudah masuk enam puluhan. Tapi masih merasakan muda oleh kerana mahu berubah.
Jadi adakah orang muda saja nak berubah atau faham mengapa perlu berubah?
Dan jika telah berusia, untuk merasakan muda , kita mesti berubah. Adakah itu yang difahami oleh dua orang peniaga cenderamata itu?
Sebenarnya mereka mahu berubah bukan kerana nak merasakan diri itu muda tapi disebabkan merasa bosan dengan sikap pemerintah yang tidak ambil perhatian tentang permohonan mereka. Kata mereka , mereka mahu cari makan dengan cara yang dibenarkan undang-undang. Tapi kenapa tidak diluluskan.
"Majlis hendak kami jual dadah, agaknya", kata si Cina itu. Kami pun ketawa bersama.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan