Theflowersellingboy

Jumaat, 3 Mei 2013

Selamat Mengundi: Tidak akan ada huru hara jika kita sayangkan negara kita.

Hari ini  Jumaat 22 Jamadil Akhir 1434 H bersamaan 3 Mei 2013 masihi. Dua hari lagi kita akan mengundi menentukan parti mana yang akan membentuk kerajaan dan diberi amanah untuk mengurus tadbir negara dalam tempoh 5 tahun atau tempoh yang kurang daripada itu.

Masing-masing calun dan parti yang bertanding sedang hebat berkempen siang dan malam dengan menggunakan berbagai cara untuk mempengaruhi dan memenangi fikiran dan hati rakyat khususnya kepada rakyat yang layak mengundi untuk memberi undi kepada mereka. Sudah tentu masing-masing mengatakan merekalah yang lebih baik dan boleh dipercayai untuk diberi amanah.

Sepanjang pengalaman saya melalui beberapa kali pilihanraya di negara ini sebelum ini, inilah kali pertama dalam sejarah Malaysia setakat ini, persaingan untuk mendapat undi amat hebat sekali. 

Amat rumit untuk meramalkan calun dan parti mana yang akan menang. 

Sebab undi yang diberi tidak tertakluk hanya semata-mata kepada soal benar dan salah, soal hak dan batil, soal adil dan zalim, soal terbela dan teranianya, soal ilmu dan jahil, soal bermoral , berakhlak melawan gila kuasa, salahguna kuasa dan perlakuan jijik keji dan cela, soal tunai janji dan mungkir janji, soal amanah dan pecah amanah, soal ikrar untuk menawarkan sebuah kerajaan yang beriltizam untuk mengurangkan beban sara hidup rakyat melawan kerajaan yang tiba-tiba tergerak untuk memberi wang tunai sekali dalam tempoh pilihanraya, dan berbagai-bagai lagi persoalan tentang urustadbir sebuah negara.

Pendek kata rakyat memilih kerajaan dengan cara mengundi mengikut apa yang mereka mahu percaya. Pertimbangan tentang fakta, kenyataan dan bukti-bukti yang jelas terpampang dimata , bukan sesuatu yang boleh menjamin seseorang calun dan parti itu mendapat undi atau tidak diberi undi. Yang penting apa yang mereka mahu percaya.

Tidak ada hitam dan putihnya. Bahkan yang diketahui sebagai hitam, jika pengundi itu mahu percaya ianya berwarna putih, maka hitam itu jadilah putih. Soal positif dan negatif boleh saja ditukar-tukarkan sifatnya.

Dan pengundi yang semacam ini, secara amnya adalah terdiri dari orang-orang Melayu khususnya mereka yang terdedah dan didedahkan kepada satu sumber maklumat saja. Dan kebanyakannya dari golongan pengundi saluran 1.   

Di petrol stesyen, saya cuba mengusik petugas pam stesyen itu dengan menyarankan supaya mengundi PR.

"Saya dari dulu mengundi BN. Emak bapa saya pun undi BN".

Petugas ini umurnya macam saya, pengundi saluran 1. Saya juga telah menguji hati beberapa orang pemandu teksi dan pemandu bas ketika saya menggunakan perkhidmatan-perkhidmatan itu. Semua kata undi BN. "Buat apalah negara jadi huru hara", antara alasan yang diberi apabila beliau terperangkap dengan pertanyaan saya seperti dibawah.

"Teksi ni siapa punya?"

"Syarikat" ,jawabnya.

"Banyaklah untung?", Kata saya.

"Untung?", Suara beliau agak tinggi.

Saya pergi tajuk lain pula.

"Encik ada berapa orang anak" , Tanya saya.

"Enam", jawabnya rengkas.

"Semua dah kerja, agaknya", Tanya saya.

"Pelajaran rendah encik. Tak mampu bayar tambang bas. Ada yang kerja kuli. Ada yang belum kerja", pemandu itu semacam menyesal kerana tidak mampu hantar anaknya belajar lebih tinggi.

"Kalau kerajaan beri belajar percuma?" Saya usiknya lagi

"Percuma? Mana ada pelajaran percuma encik".

Kemudian saya pergi fasal hapuskan tol. Pemandu itu bersetuju. Tapi tidak percaya ianya boleh dilakukan sebab katanya kerajaan akan bengkerap.

Dia juga tidak bersetuju tentang penayangan video lucah di tv. Katanya dosa besar. Malu nak tengok tv dengan anak dan cucu. Dengan cepat saya beri tahu mengapa kita perlu sokong kerajaan macam tu. Dia jawab, "Entahlah cik. Saya dah lama dengan UMNO. Lagipun buat apalah negeri jadi huru hara".

Maka sahlah siapa yang akan diundi oleh pemandu ini. Saya tidak mahu cakap lebih-lebih, takut dimarahinya saya.

Sebab itu walaupun pemandu itu tahu dan tidak suka yang keji tetapi kerana telah terlalu lama dengan UMNO/BN hatinya telah terlekat dan tidak akan undi selain dari UMNO/BN. Beliau khuatir akan berlaku huru hara jika selain dari UMNO/BN yang jadi kerajaan. Walaupun beliau sendiri suka tol dihapuskan tapi beliau tidak percaya ianya boleh dilakukan. Dia juga tidak percaya tentang dasar pelajaran percuma yang menguntungkan anak/generasi seterusnya.

Maknanya apa yang dipropagandakan oleh UMNO/BN telah melekat dan terlekat dihati dan fikirannya untuk diterjemahkan dalam bentuk undi. Tidak menghairankan kerana jentera UMNO/BN bukan kepalang hebatnya dari segi kemampuan kos dan kekuatan manusia dan peralatannya.

Itulah yang saya katakan bahawa undi bukan semata-mata ditentukan oleh faktor atau hal yang baik lawan hal yang jahat. Kalau   pengundi hanya mahu percaya yang satu itu saja, walaupun yang satu itu tidak memberi menfaat kepada dirinya, dan tahu bahawa yang lagi satu itu memberi faedah yang lebih, pemandu itu tetap memilih yang lama. Noktah. Tidak perlu berhujah. Dapat penampar pulak.

Namun ada juga pengundi terutama anak-anak muda mempunyai fikiran yang terbuka. Sebahagian besar cenderung untuk membuat perubahan. Mereka hanya mahu percaya kepada perubahan. Mereka ini banyak berkomuniksai menggunakan internet.  

Melihat dari bilangan orang yang hadir dalam sesuatu perhimpunan/kempen, PR nampaknya membuatkan kita percaya akan beroleh kemenangan. Yang hadir terlalu ramai, jauh ramainya berbanding dengan kempen UMNO/BN walaupun tidak dibayar malah kena pula beri sumbangan. Dengan diberi  makan minum dan diangkut percuma oleh UMNO/BN, yang hadir dalam kempen UMNO/BNamat mengecewakan calun dan parti. 

Jadi PR akan menang?

Tunggu dulu brother. Dulu semasa tahun enam dan tujuh puluhan, bilangan yang menghadiri kempen PAS, melaut ramainya. Tapi bila dimaklumkan keputusan undi, PAS kalah.

"Tapi sekarang lain. Ini kebangkitan rakyat", kata penyokong PR yang mahu percaya PR akan menang.

Bagi saya, PR mempunyai keberangkalian yang besar akan menang..Tapi menang kecil. Cuma di negeri saya, yang perasaan UMNO/BN dikalangan pengundi terutama pengundi saluran 1 macam saya, yang telah melekat dan sebati dengan UMNO, peluang PR  dibawah sedikit boleh menang. PR kena kerja lebih kuat.

Beberapa minggu yang lepas, dalam setiap sessi malam Jumaat di masjid, penceramah tidak pernah gagal meminta hadirin sama-sama mendoakan agar tidak akan berlaku huru hara semasa pilihanraya atau selepas pilihanraya. Dan meminta supaya memilih calun dan parti yang terbaik untuk rakyat.

Saya mengaminkan kerana doa itu baik sebagai ikhtiar kita mohon pertolongan dari Allah.

Tapi disertakan juga dengan kata-kata agar apa yang ada dikekalkan demi mengekalkan keadilan dan keamanan dan mudah untuk melakukan ibadah.

Saya pun tidak mengaminkan tentang mengekalkan yang ada tapi dalam hati meniatkan agar aman tenteram serta kerajaan yang adil.

Hari ini juga beberapa risalah diletakkan di pintu masuk masjid dan  dicermin kereta. Risalah itu termasuk surat khabar NST yang diberi percuma, pamplet yang bertajuk 'Ini Kalilah' yang dikeluarkan oleh UMNO/BN dan pamplet/dokumen  memburuk-burukkan kepimpinan PR.

Sayangnya saya tidak dapat surat khabar NST itu kerana keluar lambat. Sepatutnya saya ambil ketika mula masuk masjid. Jadi saya tidak tahu apa isi kandungannya.

Dan paling mengecewakan ialah khutbah Jumaat hari ini mengajak supaya hadirin menyokong kerajaan yang ada bagi mengekalkan keamanan (tidak berlaku huru hara) dan sebuah kerajaan yang adil.  
Kemudian ditambahkan lagi solat hajat memohon kepada Allah supaya tidak berlaku huru hara semasa dan selepas pilihanraya. Saya amat bersetuju dan bersama-sama solat. Cuma saya kurang dengar apakah yang diperkatakan oleh Imam semasa berdoa dalam bahasa Melayu. Jadi saya hanya mengaminkan setakat menghindarkan huru hara.

Tapi kenapakah hal huru hara ini menjadi satu hal yang penting yang selalu diketengahkan ketika ini?        
  
 Fikir-fikirlah sendiri.

Inilah kali pertama pada ingatan saya UMNO/BN merujuk kepada Allah untuk mohon pertolongan agar menang dalam pilihanraya. Maknanya satu budaya UMNO/BN yang baru. Satu perubahan yang baik. Satu transformasi seperti yang diwarwarkan oleh Najib.

Bagi PAS ianya satu budaya yang sudah menjadi darah daging sama ada mohon pertolongan dalam menghadapi pilihanraya mahupun hal-hal yang lain.

Saya akan tulis tentang dokumen yang saya terima itu. Mesti baca baik-baik, fahamkannya baru saya beri pandangan.               

Selamat mengundi. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan