Pada pagi Sabtu 4 Mei 2013 suasana dipasar besar sungguh sibuk sekali sama sibuknya seperti mahu menyambut hari raya puasa. Ramai orang bersesak-sesak membeli berbagai keperluan terutamanya untuk hidangan dimeja makan. Keadaan yang sama juga mewarnai di pasar raya, sibuk sekali. Semua orang dari segala bangsa bersesakan melakukan berbagai pembelian.
Begitulah suasana yang dihasilkan oleh PRU 13. Ramai perantau yang balik ke kawasan masing-masing untuk melakukan tanggungjawab, mengundi calun yang berkenan dihati.
Seperti sebahagian orang lain, kami juga menyambut kepulangan anak , menantu dan cucu. Sesungguhnya kami begitu mengharapkan dan menantikan kepulangan mereka itu dengan perasaan yang amat terhuja sekali, semacam mahu menyambut hari raya.
Jadi isteri telah sedia dengan menu yang hendak dihidangkan kepada mereka yang akan balik nanti. Macam-macam yang dia beli sehingga bekas isi barang yang beroda itu menjadi penuh. Banyak barang yang terpaksa dijinjing.
Selepas ke pasar besar, isteri mengajak ke pasar raya. Ada saja barang yang hendak ditambahnya.
Anak lelaki yang bekerja di Pasir Gudang Johor telah sampai pada pukul 5 petang semasa kami membeli belah di pasar raya. Biasanya dia suka memilih untuk sampai disebelah malam. Mungkin dia terlalu teruja untuk mengundi kerana ini adalah kali pertama dia hendak mengundi.
Anak dan menantu serta cucu di Ampang dan Putra Jaya akan sampai pada hari mengundi 5 Mei 2013. Satu keluarga balik ke Rembau dan satu lagi balik ke Kuala Kangsar pada 4 Mei 2013.
Pada hari mengundi 5 Mei , saya, isteri dan anak lelaki pergi mengundi. Kami suami isteri di saluran lain dari saluran anak. Di saluran kami bilangan pengundi lebih ramai berbanding disaluran anak kami sebab itu dia lebih awal keluar dari kami berdua. Jenuh juga kami berbaris dalam keadaan cuaca yang panas dan terpaksa pula menaikki tangga untuk ke tingkat satu tempat mengundi. Sebahagian besar yang berbaris mengomel kerana berbaris terlalu lama dan menyatakan sakit dan lengoh kaki berdiri.
Semasa kami sedang berbaris itu, anak dari Rembau telah sampai. Dia terus ke salurannya. Dia keluar awal dari tempat pengundian sedangkan kami masih lagi berbaris.
Akhirnya kami berdua berjaya mengundi. Kami harapkan calun yang kami undi itu menang untuk berkhidmat demi rakyat dan negara.
Lebih kurang pukul 2 petang anak dari Kuala Kangsar pun tiba. Dia terus ke tempat pengundian dan mengundi.
Jadi pada pukul dua lebih kami semua makan semeja bersama. Bukan main seronoknya seperti menyambut hari raya.
Disebelah malam kami menunggu keputusan pilihanraya dengan penuh debaran. Masing-masing dengan laptop dan handphone melainkan isteri yang tidak mahir dengan alat komunikasi terbaru itu. Dia masih bergantung kepada tv.
Kita semua sudah mendapat maklumat terkini tentang kedudukan calun dan parti, isteri masih lagi terhegeh-hegeh tertinggal ke belakang dan selalu bertanya macam mana kedudukan terkini. Sungguh lembab tv kita ini, kata isteri. Saya kata pula, bukannya lembab tapi sengaja melembabkan.
Akhirnya tahulah kami siapa yang diistiharkan menang.
Sungguh mengecewakan. Bukan kecewa takut kalah tapi ada sebab yang munasabah untuk meragui peristiharan kemenangan itu.
Esoknya isteri terus menyediakan makanan untuk anak, menantu dan cucu. Peristiharan SPR itu tidak mengatasi dan menjejaskan kegembiraannya untuk menghidangkan makanan kepada mereka semua.
Tapi apabila seorang demi seorang melambaikan tangan mengucapkan selamat tinggal bermula pada pukul 2 petang, kami mula merasa sedih. Akhirnya tinggallah kami berdua.
Kalau selalu ada pilihanraya, bukankah seronok! Seronok berkumpul sekeluarga.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan