Berbaring di luar pintu pagar rumah saya ialah seekor ibu anjing dengan tiga ekor anaknya. Anjing ini saya percaya tiada tuannya. Umpama anjing yang merempat, berkeliaran menurut kemampuan tenaganya berjalan kemana saja yang terdaya, mencari makan. Tapi yang pasti anjing empat beranak itu sentiasa boleh dilihat berbaring dihadapan pintu pagar rumah saya waktu menjelang petang dan malam. Tempat mereka menumpang teduh.
Ibu anjing ini baru saja melahirkan tiga ekor anaknya. Dua dari anaknya mempunyai bulu warna putih dan seekor putih berbelang hitam. Sungguh cantik. Anak-anak itu berebut-rebut menghisap susu ibunya yang sekejap berbaring ke kiri dan sekejap ke kanan.
Rasanya teringin juga untuk membelanya. Tapi jika dibela susah juga untuk bergerak ke mana-mana dan juga untuk menguruskan masalah najisnya. Jadi lupakanlah saja niat itu. Cukuplah sekadar mempunyai rasa sayang terhadap anjing yang merempat itu.
Saya mengeluarkan bunyi suara seperti salakan anjing. Ibu anjing itu membalas lantas bangun mengajak tiga ekor anaknya berdiri seolah-olah menyatakan kepada anak-anaknya mereka dalam keadaan bahaya. Mereka perlu bergegas meninggalkan kawasan itu.
Begitulah caranya sekor ibu anjing yang mempunyai kasih sayang terhadap anak-anaknya, yang mementingkan keselamatan anak-anaknya, mengajak anak-anaknya keluar dari kawasan bahaya. Walaupun salakan saya itu tidak bertujuan untuk menghalau dan menakut-nakutkan anjing empat beranak itu, tapi ibu anjing itu yakin bahawa salakan saya itu mesti ditafsirkan sebagai bahaya. Dia tidak perlu tafsir salakan saya itu sekadar menyapa mereka yang sedang berbaring dihadapan pintu pagar itu. Dia tidak juga menganggap salakan itu sekadar cetusan rasa kasihan saya melihat mereka duduk merempat.
Kemana agaknya bapa kepada anak-anak anjing itu. Atau jika anjing itu sebagai manusia, dimana perginya suami anjing itu. Atau dimana perginya lelaki jahat yang telah menjalangi seorang betina sehingga melahirkan anak itu.
Tidak pernah sekalipun saya melihat seekor anjing yang sedewasa ibu anjing itu berada dan berbaring sama dengan empat beranak anjing itu di hadapan pagar rumah saya.
Mudah sungguh sibapa anjing itu menjalani kehidupan harian. Tahunya mengawan saja, melepaskan nafsu. Lepas itu hilang lesap entah kemana. Tinggallah si betina (ibu anjing) itu membawa kandungan yang ada dalam badannya kemana saja sehingga melahirkan tiga ekor anak. Saya tidak pasti di mana tempat anak-anak itu dilahirkan, dan bagaiamana susah dan sakitnya semasa anak-anak itu dilahirkan.
Tapi saya terlalu pasti ibu anjing itu tidak melahirkan anaknya dengan dibantu oleh bidan, bukan di klinik atau di hospital. Tidak juga disaksikan oleh teman yang dapat merengankan kesakitan dengan kata-kata ransangan. Jauh sekali untuk si anjing jantan itu hadir. Maka berhempas pulaslah dia melahirkan tiga ekor anak, mungkin dicelah-celah semak atau dimana saya yang dia tidak dikacau ganggu.
Maka manakan patut kasih sayang ke atas tiga anaknya hilang begitu saja. Biarlah si anjing jantan itu hilang lesap, namun untuk membiarkan anak-anaknya dalam bahaya tidak sama sekali walau apa pun yang akan terjadi kepadanya. Dia sedia menyerang siapa saja yang cuba untuk mengusik dirinya dan anak-anaknya.
Itulah sebenarnya reaksi yang diberikan oleh siibu anjing itu sebaik saja mendengar suara salakan dari saya. Dia menyalak balas seolah-olah memberi ingatan kepada saya agar jangan cuba dekat apatah lagi untuk mengambil atau mengusik anak-anaknya.
Begitulah juga kasih sayang yang ditunjukkan seorang perempuan yang bernama ibu atau apa saja panggilan kasih sayang seperti emak atau mama dan lain-lain lagi. Sayang ibu melampaui apa saja pengorbanan termasuk nyawanya. Dan begitu juga seorang bapa kepada anak-anaknya, kasih dan sayang mengatasi kepentingan diri.
Seorang bapa dan ibu tidak akan mengatakan 'tidak ada' jika anak-anaknya menyampaikan sesuatu kehendak dan kemahuan bagi masa depan anak-anaknya yang lebih baik, walaupun selalunya kehendak anak-anak itu diluar kemampuan atau keberadaan ibubapa itu sendiri. Paling teruk ibubapa itu akan mendiamkan diri saja apabila mendengar hasrat hati anak-anaknya. Untuk mengatakan 'tidak' , ianya satu pantang yang jika dilanggar boleh merendahkan harga diri sebagai ibu apa tah lagi sebagai seorang bapa. Panggilan ibu dan bapa itu membawa sama martabat, harga diri dan tanggungjawab.
Namun seperti bapa kepada tiga ekor anak anjing yang diperkatakan diatas, yang hilang lesap meninggalkan anak-anaknya merempat di hadapan pintu pagar rumah saya, ada bapa atau pun suami yang melakukan perkara yang sama bahkan teruk dan hina sekali. Anak yang dilahirkan oleh isterinya yang selalunya menyabung nyawa itu, sedikitpun tidak memujuk perasaannya untuk bersama-sama meraikannya dengan penuh kasih sayang. Katanya, anak itu adalah tanggungjawab isterinya saja.
Maka jika anak menangis diwaktu malam, sang suami ini terus memejamkan mata, walaupun tidak lena. Dia tidak mahu kesah atau merasa risau adakah anak itu sakit perut, punggung anaknya gatal disebabkan kencing atau berak atau anak itu diganggu syaitan. Semuanya itu isteri yang perlu uruskan, sedang isteri masih belum sihat dan masih sakit kesan dari melahirkan anaknya, yang juga anak suaminya.
Mencuci berak dan kencing anak, jauh sekali. Bukan kerjanya kerana dia seorang lelaki, dia suami ketua sebuah rumah tangga. Nasib baik ketika ini pakai lampin jenis pakai buang. Kalau masa dulu-dulu yang menggunakan lampin kain yang perlu dibasuh dan cuci, terpaksalah isteri yang masih belum sihat melakukan kerja cucian. Bapa atau suami jenis apa manusia ini? Layak disamakan seperti anjing jantan tadi.
Paling malang sekali apabila ada manusia lelaki setelah menjalangi kaum wanita yang lemah, walaupun dengan kerelaan wanita itu, hilang lesap entah ke mana tidak mahu mengambil tanggungjawab diatas perbuatan durjananya. Paling tidak sebagai manusia, tersembur sedikit rasa belas dan kasih sayang terhadap wanita yang teranianya itu, wanita yang membawa warisnya sendiri.
Lelaki jahat itu menghilangkan diri.
Bertambah-tambah malang lagi apabila wanita yang tidak dapat menahan tekanan dari penghinaan masyarakat terpaksa membuat keputusan menggugurkan kandungan. Dan jika diteruskan juga maka tempat berakhirnya anak yang akan dilahirkan nanti ialah di dalam tong-tong sampah atau ditinggalkan dimana-mana saja yang boleh menarik perhatian orang untuk menyambungkan kasih sayang sesama insan.
Begitulah malangnya nasib anak seorang manusia. Lebih malang dari nasib tiga ekor anak anjing tadi. Walaupun ketiadaan bapa, anak-anak anjing itu masih mempunyai ibu yang menjaganya dengan penuh kasih sayang, pantang ada sesiapa saja yang difikirkan cuba mendatang bahaya kepada mereka , ibunya sedia berhadapan melindungi mereka dari bahaya. Jika tidak mampu melawan, diajaknya anak-anaknya meninggalkan tempat yang dianggapnya sebagai tidak selamat.
Begitulah cerita ibu anjing dengan tiga ekor anaknya yang pada masa ini telah datang semula berbaring dihadapan pintu pagar rumah saya. Anjing itu lebih mulia dari setengah manusia.
Saya tidak mahu mengeluarkan suara salakan lagi. Biarlah mereka berihat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan