Theflowersellingboy

Ahad, 2 Oktober 2011

Yang Berkahwin dan Yang Bercerai

"Ajal maut, jodoh pertemuan adalah ditangan Tuhan" atau Tuhan yang menentukan. Itulah yang kita semua percaya.


Dan itulah juga yang telah diulang kata oleh seorang sahabat semasa kami berjumpa di sebuah pasar raya apabila beliau menyampaikan satu berita yang tidak disangka tapi bukan sesuatu yang luar biasa. Beritanya ialah seorang sahabat yang hampir sebaya, telah lama juga bersara, telah berpisah dengan isterinya.


Pasal apa? Soalan pertama saya.

"Sekarang isteri boleh juga menceraikan suami. Macam saya dulu".


Saya telah mendapat dua berita tentang perkara yang sama, perceraian. Satu ialah sahabat yang sebaya dan satu lagi sahabat yang membawa cerita, kedua-duanya telah bercerai dan mendirikan rumah tangga yang baru.


Pasal apa isteri menceraikannya? Soalan kedua saya.


"Dia (sahabat sebaya itu) kahwin lagi". 


Padan muka adalah kata hati saya terhadap sahabat itu.


Saya percaya perceraian itu bukanlah berpuncakan dari soal kewangan atau kerumitan kewangan kerana kedua-duanya adalah pegawai kanan kerajaan di peringkat Utama yang dikenali sebagai JUSA.


Jadi benarlah kata-kata bahawa 'ajal maut dan jodoh pertemuan itu Allah yang menentukan'. "Tidak ada jodoh lagi". Itulah yang ditekankan oleh sahabat yang menyampaikan berita yang tidak disangka itu.


Hanya diharapkan agar ianya tidak dijadikan alasan untuk berkahwin lagi semasa masih mempunyai isteri.


Saya tidak sangka kerana sahabat itu tidak ada langsong ciri-ciri untuk berbuat begitu. Hubungan suami isteri pada pandangan saya adalah mesra dan baik sekali. Kalau tidak silap pendengaran saya,  panggilan mesra diantara mereka ialah 'Ling", saya kira seingkatan dari kata 'darling'. Bercerai juga akhirnya. Mungkin itu jalan keluar yang terbaik yang telah ditakdirkan. Allah saja yang mengetahui. Cuma sebagai seorang sahabat ada juga rasa sedih mengenangkan saya mengenali anak-anaknya. 


Tidak mengapa. Perkara telah berlaku dan saya doakan kehidupan sahabat saya yang baru ini akan berkekalan sebagai suami isteri selama hayat dikandung badan. Dan kepada bekas isterinya supaya sentiasa diberi kekuatan dalam mengharungi kehidupan yang baru.


Secara kebetulan dua orang anak saudara baru saja selamat diijabkabulkan. Semoga mereka akan dapat membina sebuah rumah tangga yang berkekalan dan dikurniakan zuriat yang terbaik. Perbelanjaan mengadakan majlis perkahwinan sama ada kecil apatah lagi yang besar, sama ada dikeluarkan sendiri atau oleh kedua ibu bapa atau pun dikongsi bersama maka janganlah disia-siakan. Ianya tidak lah bermakna kos perbelanjaan menjadi syarat kepada keharmonian dan kemantapan sebuah rumah tangga, sama ada belanja kecil mahu pun besar.

Ia lebih dari itu. Ianya melibatkan perasaan dan kasih sayang yang sentiasa dipupuk dalam suasana kehidupan yang berbagai-bagai. Ada masa suasananya ceria, suka dan gembira, manis-manis belaka; dan tidak kurang yang duka pahit, menyakitkan hati, marah dan benci.  Semuanya perlu dihadapi. Dan tidak semudah seperti lidah mengeluarkan kata-kata. Tapi sebuah rumah tangga yang berkekalan dengan suasana yang seimbang dapat dibina. Kita mesti yakin dan percaya, serta sentiasa berdoa minta pertolongan Allah. 

Cuma kita tidak boleh melawan takdir. Kalau ditakdirkan berkekalan dan hidup dalam sebuah rumah tangga yang berbahagia, bersyukur kita kepada Allah. Jika sebaliknya, bersabar menerima ketentuan Allah.


Anak-anak saudara saya baru saja berkahwin, sah sebagai pasangan suami isteri dan memulakan kehidupan baru. Sahabat saya telah bercerai dan berkahwin lagi membina satu lagi kehidupan rumah tangga. Saya mendoakan kesemua mereka diberkati dan dirahmati Allah.


Yang berkahwin dan Yang bercerai itu adalah fitrah kehidupan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan