Assalamualaikum wbth dan Salam Jumaat kepada anda budiman semoga sentiasa sihat walafiat. Mudah-mudahan begitulah hendaknya dengan izin Allah.
Selain dari kontroversi yang timbul sama ada Tanah Melayu pernah dijajah atau sebaliknya , yang bagi setengah pihak masih lagi belum mendapat satu ketetapan yang pasti, satu perkara lagi yang penting, yang juga mengenai maruah sebuah negara ialah bahasa. Isu Bahasa Negara nampaknya masih lagi belum selesai.
Saya sengaja menggunakan istilah Bahasa Negara walaupun ianya tidak terdapat dalam mana-mana peruntukan Perlembagaan Persekutuan atau undang-undang yang lain, semata-mata bertujuan untuk menjadikan kedudukan bahasa itu sebagai terlalu penting.
Maruah sebuah negara hanya wujud dan bermakna jika negara itu tidak dijajah. Dan jika dijajah maka bangsa negara itu akan membebaskan negara dengan apa cara untuk menjadi sebuah negara yang merdeka. Dan sebuah negara dan bangsa yang merdeka pula ada Bahasa Negara yang menjadi roh/semangat menghidupkan bangsa dan negara itu untuk bersama dengan bangsa dan negara yang lain di pentas dunia.
Apalah ertinya sebuah negara dan bangsa yang merdeka jika tidak mempunyai Bahasa Negaranya kerana tiada semangat/roh yang menghidupkan bangsa dan negara itu. Longlai layu tidak bermaruah.
Sepatutnya tidak ada isu tentang Bahasa Negara ini. Maksud saya isu penggunaan bahasa dalam pembelajaran dan pengajaran mata pelajaran sains dan matematik tidak perlu timbul sekiranya kita faham dan menerima Bahasa Negara.
Maksudnya kita faham bahawa telah diperuntukkan dalam Perlembagaan bahawa Bahasa Melayu adalah Bahasa Rasmi Negara. Atau kita juga gunakan istilah sebagai Bahasa Kebangsaan.
Kita juga mesti menerima bahawa Bahasa Melayu adalah bahasa yang digunakan bagi tujuan pembelajaran dan pengajaran dalam sistem pendidikan kita.
Tidak ada sebab kita bertanya mengapa?
Kalau mahu tanya juga, saya hanya akan beri satu jawapan iaitu Bahasa Melayu itu ialah Bahasa Negara. Ianya maruah negara.
Ini tidak bermakna kita mengenepikan kepentingan bahasa-bahasa yang lain seperti Mandarin, Tamil , Inggeris ,Arab dan yang lain-lain. Lebih banyak menguasai bahasa lebih tinggi nilai seseorang itu. Saya percaya itu yang semua orang mahu.
Berbagai alasan diketengahkan bagi menyingkirkan penggunaan Bahasa Melayu dalam dua mata pelajaran ini. Tapi dua alasan yang nyata ialah i) banyak bahan rujukan ditulis dalam Bahasa Inggeris terutamanya dalam dua mata pelajaran itu ; ii) bagi mengatasi kelemahan pelajar dalam Bahasa Inggeris.
Apa kena mengena rujukan yang begitu banyak dalam Bahasa Inggeris dengan pengajaran dan pembelajaran dalam Bahasa
Melayu. Sewajarnya pelajar kita tidak jadi masaalah dalam hal ini kerana pelajar-pelajar juga diajar Bahasa Inggeris dari mula bersekolah sehingga ke peringkat universiti. Sudah tentu dalam jangka waktu yang begitu lama diajar Bahasa Inggeris, pelajar-pelajar itu tidak ada masalah untuk membaca dan memahami tulisan dalam bahasa berkenaan. Malah dalam tempoh pembelajaran yang begitu lama pelajar-pelajar itu sepatutnya sudah mahir menulis dan bertutur dalam Bahasa Inggeris.
Maka pihak yang ghairah untuk menyingkirkan Bahasa Melayu itu dengan cepat dan bongkak menyatakan "Masaalahnya sekarang, pelajar kita tu tidak boleh bertutur bahasa Inggeris".
Saya bertanya "Apa kena mengena pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam Bahasa Melayu yang menyebabkan pelajar tidak boleh bertutur dalam Bahasa Inggeris?"
Mereka yang masih 'sombong' Inggeris itu yang masih tidak faham soalan saya atau buat-buat tidak faham, masih mengatakan "sebab itulah sains dan matematik mesti diajar dalam Bahasa Inggeris. Barulah mereka boleh bertutur dalam Bahasa Inggeris dengan lancar".
Saya bertanya lagi "Dengan itu kita tidak perlulah ada mata pelajaran dalam Bahasa Inggeris. Sebab hanya dengan belajar sains dan matematik dalam Bahasa Inggeris pelajar boleh lancar dalam bahasa itu".
Mereka pejuang Bahasa Inggeris itu masih berhujah "Yang itu masih perlu, mustahak. Malah perlu diperbaikki".
Saya menyatakan " Jadi cara pengajaran dan pembelajaran bahasa itulah sebenarnya yang menentukan kemahiran pelajar. Bukannya disebabkan sains dan matematik diajar dalam Bahasa Melayu".
Oleh itu isu mata pelajaran sains dan matematik diminta diajar dalam Bahasa Inggeris sebenarnya tidak ada kena mengena dengan buku rujukan yang banyak ditulis dalam Bahasa Inggeris , dan kelemahan pelajar dalam Bahasa Inggeris.
Memang benar kemahiran dan kelancaran pelajar/graduan sekarang dalam Bahasa Inggeris tidak setaraf dengan pelajar-pelajar pada waktu Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Pembelajaran dan Pengajaran dalam semua mata pelajaran . Pelajar-pelajar waktu itu memang fasih dan lancar.
Hal seperti itu mudah difahami. Tetapi menyalahkan penggunaan Bahasa Melayu dalam pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik membuatkan pelajar lemah dalam Bahasa Inggeris dan tidak berupaya merujuk bahan yang ditulis dalam Bahasa Inggeris adalah sesuatu yang tersasar amat jauh sekali.
Kelemahan dalam Bahasa Inggeris itu adalah disebabkan sistem pengajaran dan pembelajarannya. Itulah puncanya dan perbaikkilah punca itu.
Tetapi jika ada pihak mengatakan bahawa kelemahan pelajar dalam Bahasa Inggeris disebabkan perubahan pembelajaran dan pengajaran ke dalam Bahasa Melayu , saya mudah faham dan boleh bersetuju juga.
Maka itu adalah ubat sebenarnya. Bukan sains dan matematik saja yang perlu diajar dalam Bahasa Inggeris bahkan semua mata pelajaran.
Saya cenderung beranggapan bahawa mungkin itulah sebenarnya yang dikehendaki atau yang tersirat dihati dengan mendahulukan dua mata pelajaran ini. Dan jika semuanya beres, tiada tentangan maka yang lain akan mengekori kemudian. Kata peribahasa Melayu 'Lulus jarum luluslah kelindan'.
Cuma bagi saya , ubat itu tidak sesuai bagi sebuah negara yang merdeka dan bermaruah.
Jadi kalau ada yang bersetuju dengan ubat itu maka apa guna dan maknanya kita ada Bahasa Negara iaitu Bahasa Melayu.
Tapi saya terlalu bersetuju bahawa kita mesti mahir dan lancar dalam Bahasa Inggeris. Menguasai Bahasa Inggeris, tidak keterlaluan jika saya katakan kita juga menguasai sebahagian besar dunia kerana majoriti manusia memahami bahasa itu. Maka belajar dan ajarlah bahasa itu bersungguh-sungguh sehingga kita tidak akan jadi gusar jika bahasa itu dijadikan syarat lulus untuk mendapat sijil.
Tidak malukah kita yang telah diajar bahasa itu sejak dari darjah satu sehingga ke universiti tapi masih tidak mampu bertutur dan menulis dengan baik dalam bahasa itu.
Yang amat malang, terlalu amat malang sekali ialah yang memulakan kesangsian terhadap kemampuan Bahasa Negara untuk menyampaikan ilmu sains dan matematik ialah bekas Perdana Menteri Tun Mahathir. Maka jika ketua yang menjadi harapan kita untuk mempertahankan Bahasa Negara telah bersikap begitu maka apalah yang dapat diharapkan dengan yang lain terutama yang memang dari sejak semula tidak mahukan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Negara.
Mereka, golongan ini tidak pula menyokong Bahasa Inggeris digunakan di peringkat sekolah rendah China dan Tamil kerana kata mereka penggunaan Bahasa Ibunda lebih memberi kesan dan mudah difahami.
Apakah maksud yang tersirat yang kita boleh baca?
Adakah isu Bahasa Negara masih lagi belum selesai? Sama dengan persoalan sama ada Tanah Melayu pernah dijajah atau dilindungi saja?
Salam. Jumpa lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan