Assalamualaikum wbth dan salam jumaat untuk pembaca budiman. Harap sentiasa sihat. Amin.
Pagi tadi jam 9.30 ,28 Oktober 2011 saya agak bernasib baik kerana tidak diapa-apakan oleh seseorang di sebuah pasar raya. Sewaktu sedang duduk di sebuah kerusi panjang sambil memegang cucu dan membaca The Sun , saya terpandang seseorang berjalan beriringan dengan isteri yang sedang menolak troli barang untuk ke kereta. Saya semacam pernah berjumpa dengan orang itu. Dia juga nampaknya begitu.
Tapi kami tidaklah tegur menegur cuma sedikit senyuman saja dibibir masing-masing. Dia meneruskan perjalanan dan saya meneruskan bacaan berita di akhbar itu.
Tiba-tiba saya didatangi oleh orang itu dan cuba mengesahkan identiti saya yang sebenar sambil menyatakan betulkah saya bekerja dengan Jabatan tertentu. Setelah mengangguk mengatakan benar maka soalan seterusnya ialah pengesahan sama ada saya telah bersara atau masih bekerja.
Saya mengatakan telah lama bersara tetapi tidak menyatakan tahun persaraan. Maka orang itu menyatakan bahawa beberapa bulan lepas beliau bersama dengan seorang YB telah berjumpa saya di pejabat mengenai rayuan lanjutan masa yang di pohon. Tapi katanya, saya masih lagi dengan keputusan menolak rayuan itu sebagai muktamad. Suara orang itu semacam kecewa bunyinya.
Apabila dinyatakan baru jumpa saya beberapa bulan yang lepas maka sah bahawa bukan saya orangnya. Saya telah bersara pada 2004. Benar jawatan itu pernah saya sandang, lama juga. Setelah saya beri tahu bahawa saya bukan orangnya kerana telah lama bersara orang itu masih tidak percaya. Beliau lantas menyebut nama saya untuk meminta pengesahan. Maka saya angguk kerana memang benar itulah nama saya. Tapi saya telah lama bersara.
Orang itu semakin yakin bahawa saya ialh orang yang dia baru jumpa beberapa bulan itu walaupun saya ulang beberapa kali saya telah lama bersara.
Dia amat marah sekali kerana permohonan lanjutan masanya ditolak. Ini satu penganiayaan kepada kontraktor Bumiputera yang kekurangan wang dan modal. Kerajaan atau saya tidak ada sebab untuk menolaknya. Ini arahan daripada pihak lebih atas , katanya. Orang lebih atas itu tidak sukakannya kerana dia dari kumpulan yang 'bermusuh' (bukan kroni) walaupun dari parti yang sama. 'Hal politik dicampur adukkan dengan kerja kontraktor'. Dan orang itu menyebutkan nama personaliti tertentu yang saya kenal, yang juga saya maklum merupakan persaingan politik dengan 'orang atas' itu.
Beliau seterusnya menyatakan perkara ini telah dibawa ke perhatian Perdana Menteri yang mana katanya telah mendapat sokongan. Tapi apabila tiba di peringkat bawah keputusan menolak masih lagi dikekalkan.
Saya hanya mendengar saja walaupun saya mampu untuk memberi pandangan tentang lanjutan masa ini kerana sedikit sebanyak masih lagi ingat kerja yang telah lama saya tinggalkan itu. Lagipun orang ini dalam keadaan 'mood' kecewa. Mungkin mencetuskan kemarahannya.
Saya hanya berulang kali mengatakan bahawa saya bukan orangnya kerana telah lama bersara. Dia tidak percaya lantas menuju ke kereta untuk mengambil surat yang katanya saya yang tanda tangani.
Sekembalinya dia maka saya nampak wajahnya ceria sedikit, tersenyum kecil. Beliau menyatakan bahawa saya bukan orangnya kerana nama yang tertera yang menandatangani surat itu adalah nama yang lain, bukan nama saya. Tapi beliau tidak pula rasa menyesal atas kesilapan itu.Saya tidak pasti sama ada beliau mohon maaf atau tidak kerana gangguan dari suara tangisan cucu saya.
Ada dua hal yang hendak saya nyatakan dalam peristiwa ini. Pertama, saya berkemungkinan menghadapi risiko untuk diapa-apakan atau dicederakan. Sebab beliau menghadapi tekanan kewangan berikutan penolakan rayuan beliau itu. Nasib baik surat yang dimaksudkan itu ada dibawa bersama yang mengesahkan orang /pegawai itu bukan saya.
Kedua, politik dan kontraktor ada kaitan rapat. Dalam kes ini kontraktor mendakwa bahawa orang politik yang berkuasa ketika ini (berjawatan Kerajaan) masuk campur tangan agar rayuan itu ditolak disebabkan tidak satu kem (bukan kroni). Kontraktor pula menggunakan jaringan politik mohon bantuan Perdana Menteri. Mengikut kontraktor PM menyokong tapi peringkat bawah tidak juga setuju.
Saya juga telah ditunjukkan dengan surat-surat kepada pihak-pihak tertentu dengan berbagai catatandiats surat-surat itu. Saya sempat membaca tajuk surat itu yang menyatakan sokongan dengan rayuan kontraktor itu. Tapi tidak dapat dipastikan dari siapa kerana cucu saya masih menangis.
Akhirnya saya yakin bahawa pegawai yang menjalankan tugas sekarang ini tidak serupa susuk badan dan rupanya dengan saya. Pertama saya sudah lama bersara atau mudah kata sudah tua. Kedua orang tua sudah tentu wajahnya sepadan dengan umurnya misalnya telah banyak kerut-kerut didahi, rambut semakin memutih dan nipis dan kepala hampir botak dan sebagainya yang bersifat sudah tua. Saya sebenarnya tidak pernah mengenali pegawai itu dan tidak pernah bertemu muka.
Tapi mengapa kontarktor itu tidak percaya? Saya rasa beliau ini tertekan dari segi kewangan. Nasib baik saya tidak diapa-apakan.
Saya bukan pelanduk dua serupa. Saya ialah pelanduk yang tidak serupa, yang berbeza.
Itu saja. Salam Jumaat dan jumpa lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan