Theflowersellingboy

Jumaat, 30 September 2011

Salam Jumaat 28:Menahan Nafsu Selera

Assalamualaikum wbth dan Salam Jumaat kepada anda budiman. Semoga sihat sentiasa.

Selamat tinggal bulan Syawal. Kita telah puas beraya dengan berbagai acara dan program meraikan tetamu dan sesama kita sanak saudara, jauh dan dekat. 

Malah sehingga penghujung bulan Syawal masih lagi diadakan majlis rumah terbuka sebagai penutup merayakan Raya Idilfitri..

Kepercayaan sebahagian dari kita ialah bahawa merayakan Raya Idilfitri itu tempohnya sebulan  kerana kita berpuasa dalam bulan Ramadhan selama sebulan. Jadi sebulan berpuasa maka sebulanlah kita berpesta raya, gamaknya alasan disebalik jangka masa merayakan idilfitri itu.

Ada juga  pihak yang mengatakan bahawa merayakan idilfitri itu cuma pada 1 Syawal saja kerana pada 2 Syawal kita boleh memulakan puasa Sunat 6. Cuma pada 1 Syawal  saja kita diharamkan berpuasa dan bolehlah beraya.  Itulah gamaknya alasan yang diberikan.

Saya belum lagi ada kesempatan untuk bertanya pihak-pihak yang pakar dan berilmu tentang isu ini. Tapi buat ketika ini berpendapat bahawa tidak ada salahnya kita merayakan Idilfitri pada dan selepas  2 Syawal dan hari-hari seterusnya. Kalau kita mahu melakukan puasa Sunat selepas 1 Syawal kita boleh teruskan dan jika tidak berbuat demikian rasanya tidaklah salah kita menerima atau mengunjungi saudara mara dan sahabat handai untuk merayakan Idilfitri itu.  

Nampaknya perkara ini remeh dan tidak perlu menjadi isu. Cuma kadang-kadang yang remeh ini boleh mengeliru dan merosakkan keharmonian masyarakat. Saya tetap mencuba untuk mendapatkan kepastian.

Disebelah pagi tadi saya bersama isteri bersarapan di sebuah restoran. Kami memesan roti canai. Untuk minuman saya memesan milo dan isteri memilih nescafe. Kedua-dua kami saling berdiam diri, masing-masing tidak tegur menegur dan ingat mengingati akan makanan dan minuman yang dipesan. Makanan dan minuman itu sebenarnya adalah termasuk dalam senarai yang perlu dielakkan.

Roti canai telah lama saya tidak sentuh kerana doktor dan pakar makanan menasihatkan supaya mengelakkan makanan yang berminyak. Tidak baik dari segi kesihatan. Banyak kolesterol.

Manakala isteri pula tidak boleh mengambil nescafe kerana akan diserang sakit kepala yang tidak terhingga.

Tapi mengapa pula kami memesan makanan dan minuman yang boleh menjejaskan kesihatan?

Jawabnya mudah saja. Nafsu selera yang menggoda. Kami berdua kalah dengan godaan nafsu itu. Saya memang suka sangat makan roti canai. Sekeping tidak main. Mesti lebih dari itu. Baru rasa puas dan panjang sendawa. Isteri pula, nescafe adalah minuman kegemaran nombor satu. Cuma bila minum dan kemudian diserang sakit kepala, mula berikrar dan taubat tidak akan sentuh nescafe lagi.

Dalam bulan puasa yang lepas kami berdua nampaknya berjaya melawan nafsu termasuk nafsu selera. Hidangan berbuka dan bersahur sederhana saja. Bukan itu saja bahkan kami telah juga berjaya memperkuatkan semangat untuk melakukan amalan-amalan ibadat yang lain, melebihi dari bulan-bulan yang lain . Alhamdulillah.

Tapi sebaik saja meninggalkan Ramadhan, memasuki Syawal nampaknya kami berdua telah balik semula menjadi hamba kepada nafsu selera. Makanan dan minuman yang boleh menjejaskan kesihatan dengan secara sedar telah mula mendapat perhatian mata dan selera. 

Alasan saya untuk menjustifikasikan tabiat buruk itu ialah 'apa salahnya sekali-sekali saja, bukan selalu'. Betul juga kerana doktor hanya mengatakan jangan selalu mengambil makanan berminyak, bukan tidak boleh. Cuma nafsu ini sungguh jahat sekali. Sekali rasa tidak cukup, nak kali kedua. Kemudian berkata, "baru kali kedua" bagi alasan untuk makan kali ketiga. Lama kelamaan buat-buat lupa, makan saja. Bila sakit dan merana, mula menyesal. Tidak ada guna.

Saya kira isteri saya pun mempunyai alasan yang sama walaupun saya tidak mahu tanya. Perasaan dia pun begitu agaknya terhadap sikap saya. Sebab itu kedua-dua kami saling mendiamkan diri. Tidak tegur menegur  dan ingat mengingati. Kami makan begitu berselera sekali. TST (Tahu Sama Tahu bukan Tegur Sila Tegur).

Kesan yang baik hasil dari latihan dalam bulan Ramadhan nampaknya belum menerapi jiwa kami. Kami gagal dan kami kecewa. Tapi rasa kecewa tidak akan menyelesaikan masalah.

Oleh itu kami berikrar selepas ini akan lebih berdisiplin dalam hal menjaga pemakanan kami demi menjaga kesihatan. Anggota badan yang sihat memudahkan kami untuk melakukan amal ibadat. Bukan ke begitu.


Kami juga berharap bilangan orang yang tidak tahan mengawal nafsu selera makan ini tidak ramai. Tahniah jika begitu kerana latihan dalam bulan Ramadhan telah menjiwai anda semua.


Direstoran itu juga kedengaran seorang nenek semacam merungut mengatakan harga ayam yang mahal. Katanya $8.60 sekilo. Dia ada 6 orang cucu. Kesemunya menggemari makan ayam terutama jika digoring. Tiap-tiap hari nak makan ayam sedangkan harga ayam mahal. 


Saya sempat menyampuk dengan menasihatkan agar nenek itu membela ayam untuk mengatasi harga yang mahal itu. Jawabnya "Mana boleh. Duduk di taman perumahan tidak di benarkan bela ayam. Kena denda". 


Betul juga kata nenek itu. Tapi macam mana hendak membantu nenek itu. Cucu suka makan ayam terutama ayam goring yang menggunakan minyak itu. Yang kata doktor tidak baik dari segi kesihatan jika diamalkan selalu. Banyak kolesterol. Tidak baik untuk jantung.


Apa penyelesaian yang anda boleh berikan kepada nenek itu. Penyelesaian mengenai harga ayam yang mahal dan mengelakkan selalu memakan makanan yang berminyak.


Saya cadangkan mari kita semua mengamalkan puasa sunat. sekurang-kurangnya puasa sunat hari Isnin dan Khamis. Syaratnya jangan makan untuk menjamu nafsu selera serupa dengan hari tidak berpuasa.

Jumpa lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan