Saya ingin berkongsi dua buah cerita atau peristiwa yang benar-benar telah berlaku keatas dua orang balu adik beradik yang tinggal dirumah yang berasingan tetapi yang berdekatan yang dipisahkan oleh jalanraya.
Kedua-duanya adalah pada peringkat umur nenek, masing-masingnya berusia 78 dan 82 tahun.
Rumah kakak disebelah atas jalan. Kakak tinggal bersendirian semenjak suami meninggal dunia 20 tahun yang lepas. Kesemua anak-anak tinggal di Kuala Lumpur. Nenek ini lebih selesa tinggal dirumahnya sendiri walaupun anak-anak mengajak untuk tinggal bersama di Kuala Lumpur. Namun sekali sekala nenek ini pergi juga ke Kuala Lumpur seminggu dua tinggal dirumah anak-anak secara bergilir-gilir. Dan anak-anak pula sentiasa balik ke kampong sekurang-kurang nya sebulan sekali pada hujung minggu.
Manakala ruamah adiknya disebelah bawah jalan. Semenjak suaminya meninggal dunia 15 tahun yang lepas nenek ini tinggal bersama anak perempuan yang masih belum berumahtangga. Anak-anak yang lain sebahagian besarnya tinggal di Kuala Lumpur. Dua orang tinggal dinegeri yang sama tetapi ditempat yang berlainan. Agak jauh juga dari rumah nenek ini. Seperti kakaknya, nenek ini juga lebih selesa tinggal dirumah sendiri. Anak-anak juga selalu menjenguk nenek ini.
Mereka sentiasa kunjung mengunjung rumah bersarapan pagi dan minum petang sambil bersembang. Kadang-kadang mereka ditemani oleh seorang jiran sekampong. Begitulah yang selalu mereka lakukan disebuah pangkin buruk dibawah sebatang pokok durian.
Rupa-rupanya rutin mereka ini sentiasa diperhatikan seseorang yang mempunyai niat jahat.
Pada sebelah pagi kurang lebih pukul sepuluh sebuah motorsikal berhenti dihadapan pintu pagar rumah nenek (kakak) disebelah atas jalan itu. Kebetulan kakak dan adik serta jiran sekampong itu sedang bersembang ditempat biasa (pangkin) dan pintu pagar terbuka. Pembonceng motorsikal itu terus menuju kearah mereka meninggalkan pemandu diatas motorsikal yang tidak dimatikan enjin.
"Makcik kenal tak En. Husin. Saya ada bawa barang (sambil menunjukkan sebuah kotak kecil yang biasanya diisi dengan cincin atau gelang tangan). Kawan dia suruh berikan", kata pembonceng itu setelah memberi salam dan tunduk dengan penuh hormat bersalaman tangan dengan ketiga-tiga nenek itu.
Husin adalah jiran nenek rumah disebelah atas jalan itu. Tapi Husin isteri dan anak-anaknya jarang ada dirumah. "Kenal. Tu rumah Husin", nenek itu menunjukkan rumah Husin. "Saya dah ke rumahnya tapi tak ada orang. Beginilah makcik, boleh makcik beri barang ini pada Husin. Mustahak ni".
Nenek (kakak) itu bangun mendekati pembonceng itu untuk mengambil barang yang ada ditangan pembonceng itu. Sebaik saja nenek itu mendekatinya dengan pantas diragutnya rantai leher emas yang dipakai oleh nenek itu sehingga putus dan nenek itu jatuh. Pembonceng itu terus lari menuju ke motorsikal yang pemandunya telah siap sedia untuk memecut motorsikalnya. Nenek yang jatuh dan adiknya serta jiran sekampong itu kesemuanya menggigil tiada bersuara untuk menjerit meminta tolong.
Peristiwa kedua pula mengenai adiknya pula. Pada satu hari disebelah petang lebih kurang pukul tiga, seseorang yang tidak dikenali memberi salam dan berdiri dihadapan pintu pagar rumah yang berkunci. Anak perempuan nenek ini menghampiri pintu pagar untuk mengecam orang yang memberi salam itu. Dia tidak kenal orang itu.
"Ini rumah mak En.Amran ke?" Tanya orang itu. Ditangannya ada sebuah kotak kecil sama seperti cerita nenek yang pertama itu. "Ya" jawab rengkas anak perempuan itu. "En.Amran dari Johor ada kirimkan barang kemas untuk mak kakak" kata orang itu dengan penuh yakin. Oleh kerana nama yang disebut adalah nama adiknya Amran yang bekerja di Johor, anak perempuan nenek itu membuka kunci pintu pagar dan membenarkan orang itu masuk kedalam rumah berjumpa emaknya.
"En.Amran minta saya berikan benda ni pada makcik. Katanya rantai mas. Cuba nenek buka".
Apabila dibuka memang betul rantai leher yang berkilau seperti emas. "Tapi makcik, rantai ni macam bukan mas tulin. Takut En Amran kena tipu" Kata orang itu. "Saya ada alat untuk sahkan mas ke bukan. Kakak tolong beri rantai emas kakak dileher tu untuk saya test dan bandingkan dengan yang ini".
Anak perempuan itu macam dipukau ikut saja arahan. Setelah memegang rantai emas anak perempuan itu, orang itu meminta supaya diberikan semanggok kecil air untuk dibuat ujian keatas kedua-dua rantai itu. Anak perempuan itu masih lagi patuh dan menuju ke ruang dapur. Sebaik saja dia ke ruang dapur, orang itupun terus lari meninggalkan nenek yang tidak dapat berkata apa-apa pun. Apabila anaknya membawa semangkok air dan bertanya dimana orang itu nenek itu masih tergamam dan anggota badan menggigil sambil memberitahu 'dah lari sama dengan rantai'. Maka menangislah anak perempuannya itu. Yang ditinggalkan ialah rantai emas palsu yang dibawanya konon dari En. Amran.
Persoalan: Macam mana dalam kes pertama tadi orang jahat itu boleh mengenali nama jiran nenek itu. Adakah kemungkinan orang jahat itu adalah orang sekampong? Nenek-nenek itu tidak kenal mereka. Tidak juga tahu cara untuk menyiasat. Mungkin pihak Polis bioleh memberi jawapan.
Tetapi dalam kes kedua ada cerita sebelumnya yang menyebabkan boleh berlakunya peristiwa tersebut.
Pada suatu hari sebelum persitiwa yang menyedihkan itu, nenek ini pergi membeli sayur disebuah kedai yang tidak berjauhan. Kedai tersebut disamping menjual sayuran juga sebuah kedai menjual minuman dan kuih muih. Dikedai ini ada seorang yang tidak dikenali menghampiri nenek ini sambil menyatakan simpati kerana pada usia selanjut itu terpaksa berjalan kaki membeli sayur.
"Makcik tak ada anakke?" Tanya orang itu.
Oleh kerana cara bertanya dan suara yang lembut maka nenek tadi segera menjawab. "Semua anak makcik tak duduk sama. Ada yang Kuala Lumpur ada di Johor".
Orang itu tersenyum dan terus bertanya "Yang di Johor tu siapa namanya?". "Amran. Kenalke?" jawab nenek itu. "Dirumah makcik tinggal dengan pakcik ke?" tanya orang itu lagi. "Tak. Tinggal dengan anak perempuan", jawab nenek. Orang itu terus tersenyum.
Dari perbualan dikedai inilah maka maklumat telah berjaya dikumpulkan untuk satu operasi jahat merompak orang tua yang tidak ada daya upaya. Sungguh binatang perangai orang-orang itu.
Anak-anak kedua nenek itu dengan segera pada hari itu balik kerumah maknya dan membuat laporan Polis.
Di Balai Polis , pihak Polis menyatakan kes penipuan macam ini terlalu banyak. Pada hari yang sama telah berlaku lebih dari sepuluh kes. Malah kata Polis kes ini terlalu kecil. Banyak lagi kes yang besar-bersar yang belum disiasat.
Mendengarkan kata Polis itu anak nenek yang membuat laporan Polis itu telah dapat membaca mesej yang hendak disampaikan oleh Polis itu. Mesejnya kes ini kecil saja. Jadi jangan harap untuk Polis buat siasatan kerana masih banyak kes besar yang juga belum disiasat.
Demikianlah cerita yang benar yang menimpa kepada orang tua yang jujur lurus dan tidak ada upaya. Saya sengaja mengenengahkan cerita ini kerana ada kemungkinan ramai balu-balu pasukan keselamatan yang dijanjikan Perdana Menteri dalam bajet baru-baru ini akan mendapat RM3,000.00 seorang akan dikunjungi orang-orang jahat ini menyamar seperti orang baik dan menipu balu-balu ini. Yang terlalu berisiko ialah mereka yang tinggal bersendirian. Oleh itu anak-anak balu-balu itu hendaklah sentiasa mengingati emak-emak mereka supaya tidak tertipu.
Sekian semoga penipuan dapat dielakkan. Polis sewajarnya juga memberi perhatian kepada kes penipuan seperti ini. Tidak mencukupi dengan berkata "kes ini terlalu banyak dan banyak lagi kes-kes besar yang belum disiasat".
Tiada ulasan:
Catat Ulasan