Theflowersellingboy

Ahad, 16 Oktober 2011

Membelibelah: Beli, Bayar dan Belah? Jangan Lupa Singgah (xper ler, jap jer)

Membelibelah? Apa itu membelibelah? 


Kita beli dan kita bayar selepas itu belah (jalan). 


Itu definasi anak-anak siber, terlalu ringkas dan mudah. Sama saja apabila menghantar mesej menggunakan khidmat pesanan ringkas. Mesti ringkas ejaannya tapi bunyinya mestilah seboleh-boleh sama dengan bunyi yang dituturkan, "xpe ler". Semua faham maksudnya.


Tapi bukan lagak-laku-gaya dan cita rasa anak-anak siber yang hendak diperkatakan disini. Itu hanya penyedap rasa saja. Appetiser untuk meneruskan bacaan.

Saya mengertikan membelibelah itu sebagai membeli barang  bagi keperluan seseorang atau kumpulan orang. Biasanya ada dua bentuk keperluan i) keperluan harian dan ii) keperluan khas. 

Keperluan harian ialah barang-barang yang kita perlukan setiap hari misal bahan makanan. Maka kita akan ke pasar basah, pasar malam, kedai runcit atau pasar raya atau kompleks perniagaan.

Keperluan khas boleh kita bagikan kepada dua iaitu keperluan bermusim dan keperluan menganjurkan sesuatu acara atau perjumpaan. Keperluan bermusim ialah keperluan bagi merayakan sesuatu perayaan seperti hari raya. Manakala keperluan berkaitan dengan acara atau perjumpaan boleh kita ambil contoh misalnya majlis kenduri kendara- pertunangan dan perkahwinan; dan majlis perjumpaan saudara mara, bekas pelajar dan sebagainya.

Yang hendak dibicarakan ialah membelibelah yang dilakukan oleh sebuah rumah tangga untuk keperluan ahli rumah tangga itu iaitu suami, isteri dan anak-anak lelaki dan perempuan.

Dalam masyarakat Malaysia juara membelibelah adalah dari kaum perempuan tidak kira yang muda, dewasa mahu pun yang tua. Juara adalah bermaksud yang aktif melakukan kerja membelibelah ini. Yang sanggup melakukan dalam tempoh yang lama, yang tidak kenal penat dan jemu. Setengahnya menggunakan wang sendiri kerana mempunyai pendapatan sendiri. Dan tidak kurang juga menggunakan wang hasil pemberian suami sebagai ketua rumah tangga.

Dalam membeli belah keperluan harian misalnya membeli barang keperluan dapur seperti barang-barang kering, sayur dan bahan untuk lauk pauk- ikan, ayam ,udang, daging dari berbagai jenis dan sebagainya, dalam kebanyakan hal sebahagian besarnya dilakukan oleh kaum hawa. 

Yang lelaki hanya menjadi pemandu kereta, memberikan wang belanja dan menolak troli barang dan memasukkan barang kedalam kereta. Malah ada setengah lelaki itu duduk saja di satu tempat atau di kereta atau berboraksembang atau mendengar dan memerhatikan saja lagak laku orang-orang ditempat jualbeli itu, misalnya dipasar basah atau pasar raya.

Nampaknya antara lelaki dan perempuan ada pengkhususan kerja. Ini tanda hidup bermuafakat. Tapi jangan pula dibiarkan bahu isteri menjadi senget membimbit barang-barang yang tidak cukup tangan itu. 

Kenapa tidak guna troli? Tertinggal dirumah atau telupa hendak dibawa, gamaknya. Tapi kenapa yang ini pun suami tidak boleh ingatkan atau tolong sediakan troli sebelum kepasar? Lelaki, lelaki hendak releks saja. Tapi tidak semua begitu.


Pernah juga diberitahu bahawa perempuan (isteri) ini lebih suka melakukan kerja membeli ini tanpa ditemani suami terutamanya dipasar basah. Antara sebabnya ialah untuk bebas buat pilihan dan tidak jadi gopoh dan boleh ambil masa tawar menawar, sebab tiada tekanan dari suami yang selalunya tidak tahan duduk lama dalam pasar yang busuk hanyir (tapi bila ikan dah masak, selera makan bukan main dahsyat , habis tulang-tulang ikan diratahnya).

Jangan pula hairan jika barang yang dibeli itu melebihi senarai yang disediakan atau barang yang tidak sama yang dihajatkan dalam senarai. Itupun kalau ada disediakan senarai. Kalau tiada senarai ia akan belanja sakan sampai terlupa wang yang ada tidak mencukupi tambahan pula harga barang sekarang semuanya mahal-mahal. Kalau suami ada disebelah, susah juga, serba salah dibuatnya terutama kalau suami yang membayar. 

Di pasaraya atau kompleks perniagaan yang boleh pakai kad kredit tidaklah jadi masalah sangat kerana 'swipe' saja, bayar bulan depan Tidak kisahlah suami sentiasa menggaru kepala yang tidak gatal dan rambut yang menipis yang mula memutih itu  apabila bil datang menjelma. Di pasar basah, pasar malam dan ditempat jualan yang tidak menerima cara bayaran kad kredit kenalah tentukan dulu wang yang ada mencukupi.


Tidak semua lelaki/suami yang bersikap pasif dalam hal membelibelah ini. Cuma ada perbezaan sedikit. Misalnya membelibelah dipasar raya. Yang menolak troli dan membuat pilihan dan belian barang-barang ialah sang suami . Dan isteri sentiasa mengekor dimana suaminya pergi. Tapi kalau isteri yang aktif, si suami tidak mesti mengekor sama. Nun duduk diatas kerusi/bangku disuatu sudut. Mencari ketenangan sementara, agaknya. Manakan tidak isteri sedang sakan ber'shopping'. 'Swipe' lagi!


Suami yang membelibelah yang sentiasa berteman ini nampaknya melakukan dalam masa yang lebih pendek bagi barang dan kuantiti barang yang sama. Tidak banyak pilih memilih asalkan nampak barang dihajati terus ambil dan masuk dalam troli. Tapi ada juga suami tidak seperti itu,  malah lebih dahsyat perlakuan pilih memilihnya berbanding isteri. Tetapi yang ini adalah kelompok , meminjam kata P.Ramli 'jarang-jarang' berlaku.


Bercakap pasal pilih memilih ini majoriti sifat yang suka dan  terlalu memilih ini adalah terdiri dari perempuan- anak, isteri, emak dan nenek. 


Katakan lah dalam hal membelibelah yang bermusim misalnya untuk menyambut hari raya idilfitri. Kompleks-kompleks perniagaan akan sentiasa menerima pelanggan melebihi dari hari/luar musim perayaan walaupun dalam keletihan berpuasa.


Pakaian, perhiasan diri, kasut, beg tangan dan banyak lagi adalah antara senarai-senarai barangan yang diperlukan. Di bahagian menjual kasut misalnya berlaku acu mengacu kasut. Bukan satu, bukan dua, bukan juga tiga malah tidak juga berhenti setakat sampai empat atau lima pasang kasut dicuba dan diacunya. Berulang aliklah pelayan kedai itu membawa kasut-kasut yang di cuba acu disarung ke kaki itu lepas satu, satu, sambil melihat cermin didepan yang disediakan. Kalau ada suami atau anak-anak-anak terutama anak perempuan akan ditanya 'ok' ke tak 'ok' kasut yang diacu itu. Biasanya jarang ditanya pada suami kerana jawapannya mudah dan sekali saja, 'ok'lah. 

Tapi jawapan ini tidak menarik bagi isteri yang bertanya. Air mukanya tidak menunjukkan isteri itu bersetuju dengan komen seperti itu. Itu komen orang nak balik cepat. 

Maka lebih seronok dan puas jika ditanya kepada anak perempuan kerana antara jawapan yang diberi: "o.k juga tapi colournya tak 'matching'/tak sesuai dengan beg mama tu". Atau "Teruknya cutting kasut itu. Tak sesuailah mama". Siisteri/emak itu tersenyum suka. Diambil lagi kasut yang lain, diacu. Ini berlaku banyak kali. Tanpa disedari, suaminya meninggalkan pergi duduk nun dihujung kerana terlalu lama memilih belum tentu bersetuju.


Akhirnya bagaimana? Beli? Ya, mungkin berlaku pembelian setelah mendapat anggokan dari anak-anak perempuan. Jangan pula terperanjat jika dia terus ke kedai kasut yang lain membuat hal yang sama. Dan tidak juga menjadi keluarbiasaan kalau tidak ada satu yang berkenan dimata. Akhirnya, begitulah.


Ianya berlaku dalam semua jenis pembelian khususnya yang berkaitan dengan kemasan diri misalnya beg tangan dan pakaian.

Hal seperti ini juga dituruti oleh anak-anak perempuan bahkan lebih teruk lagi. Manakala yang lelaki sama saja perangai dengan bapanya. Asalkan nampak barang yang hendak dibeli, mencuba sekali dua akan buat keputusan: beli atau tidak beli. Mudah dan cepat.


Dalam hal membelibelah ini ada appetisernya sama seperti menjamu selera untuk  makan. Lebih menaikkan selera jika ada penyedap/appetiser sebelum menjamah menu utama. Apa appetiser membelibelah? Window shopping lah.


Window shopping adalah satu appetiser membelibelah . Menaikkan selera untuk berbelanja. 'Tengok-lihat-jenguk-tinjau-cam' dan ketika ini ada talipon bimbit berkamera, ambil gambarnya, sebelum menu utama -membelibelah dan acu mengacu. Window shopping menjadi gemaran banyak orang lelaki dan perempuan kerana tengok-tengok saja, menjamu mata. Tidak keluar belanja. Seronok juga.


Satu lagi perkara yang ada kaitan dengan membelibelah yang rasanya perlu juga disentuh. Seperti appetiser saya pada awal tadi bahawa membelibelah itu ialah: beli, bayar dan belah. Sebenarnya pengertian itu tidak menyeluruh dan mencakupi.


Memang benar setelah dibeli dan dibayar kita baliklah ke rumah. Tapi ada lagi satu perangai yang memang biasa dilakukan. Perangai itu ialah 'singgah' dimana dalam perjalanan ke kereta mata tertarik dan berkenan akan sesuatu. Maka diajak singgah sebentar. Telek punya telek, pilih punya pilih entah macam mana berkenan. Lalu dibelinya barang itu. Dan barang itu tidak semestinya yang pernah dihajati. Kalau memang barang yang dihajati maka lagi kuat alasan untuk singgah sebentar.


Membelibelah: Kita akan beli, bayar dan dalam perjalanan untuk 'belah' jangan lupa singgah. Singgah sekejap saja atau anak-anak siber dalam SMS akan tulis 'xpe ler, jap jer'.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan