Theflowersellingboy

Sabtu, 15 Oktober 2011

Langkah Marah Langit Tidak Cerah

Saya telah berulang kali membaca ulasan dan pandangan secara hitam putih yang ditujukan kepada Pengurus Besar syarikat. Pandangan supaya tawaran syarikat XYZ menjual saham pada harga RM4.50 sesaham ditolak kerana akan menimbulkan risiko kewangan yang tinggi. 

Ada juga tergerak dihati supaya ulasan seperti ini tidak wajar diberikan kerana risiko tinggi kepada diri, masa depan kerjaya. Kena singkir, masuk peti sejuk. Mendiamkan diri rasanya lebih baik. 

Tapi akhirnya saya juga yang dipersalahkan kerana gagal memberi nasihat yang sewajarnya. Lebih baik teruskan. Selamat.

"Itu tugas you untuk memberi nasihat kepada saya". Itulah kata-kata yang memang biasa ditujukan kepada orang yang menjawat tugas seperti saya jika berlaku kegagalan dan kerugian dalam urusniaga yang diceburi.

Mesyuarat tergempar Lembaga Pengarah telah membuat keputusan agar tawaran dari syarikat XYZ , sebuah syarikat awam yang tersenarai dalam bursa saham sebanyak  20% diterima pada harga $4.50 satu unit saham. Pemilikan itu dibuat atas dasar unjuran yang telah dibuat oleh syarikat XYZ bahawa harga sesaham akan berpotensi meningkat sehingga RM10.00 sebaik saja pengumuman pemilikan saham ini dibuat. 


Lembaga Pengarah juga telah bersetuju pemilikan itu dibuat dalam dua bentuk pembiayaan iaitu dari aliran tunai yang sedia ada hasil dari keuntungan operasi syarikat dan melalui pinjaman dari bank dengan nisbah 40:60. Pinjaman 60% itu akan menggunakan saham yang akan dimiliki itu sebagai sandaran jaminan (koleteral) pada harga yang akan dirunding dengan pihak bank. 


Kertas cadangan pemilikan saham itu yang telah dibentang dalam mesyuarat tergempar malam tadi telah beberapa kali diulang baca. 

Sungguh menghairankan bagaimana Pengerusi Lembaga Pengarah yang mempengerusikan mesyuarat tergempar itu menyatakan bahawa tawaran itu amat menarik dan boleh menguntungkan. Bukan itu saja bahkan meminta semua ahli lembaga pengarah memberikan ulasan dan pandangan masing-masing. Dan mengharapkan semuanya bersetuju.


"Ini adalah satu peluang keemasan. Rugi jika dilepaskan. Saya juga difahamkan syarikat XYZ telah pun dirisik oleh pihak lain untuk memiliki saham syarikat itu pada harga yang lebih dari yang ditawarkan kepada kita. Cuma syarikat menawarkan kepada kita terlebih dulu atas dasar rekod perhubungan kita dengan syarikat yang baik. Saya harap semua setuju". 

Itulah antara kata-kata Pengerusi yang masih berlegar diotak kepala. Terbayang seorang ahli lembaga yang kanan yang duduk disebelah kanan Pengerusi menganggok-anggok kepala bersetuju akan pandangan Pengerusi.

"Dato Pengerusi, apa yang Dato kata itu adalah benar. Potensi saham syarikat ini akan meningkat adalah besar sekali kerana syarikat dijangka akan membuat keuntungan yang besar. Saya tiada ragu-ragu bersetuju". Pandangan ahli lembaga kanan ini telah mendapat perhatian setia usaha mesyuarat yang kelihatan menganggok-anggokkan kepala sambil mencatat diatas kertas ingatan mesyuarat.


"Saya percaya yang lain juga mempunyai pandangan yang sama. Bersetuju", kata Pengerusi untuk mempercepatkan mesyuarat ditamatkan.

"Minta maaf Dato' Pengerusi. Kertas cadangan ini baru saja diedarkan. Saya minta tempoh untuk meneliti dan memberi pandangan saya", suara saya terketar-ketar keluar kerana tidak sejalan dengan permintaan dan hajat Pengerusi. Saya merasakan semua mata-mata ahli-ahli yang lain menerjah ke muka saya. 

Pengerusi menegakkan badan membetulkan duduknya yang santai kepada tegak meluruskan lehernya yang pada mulanya agak lentok. Matanya  lurus menerpa wajah saya dengan tiada kecerahan pada air mukanya. Terdengar bisikan dari beberapa ahli yang tidak gemar cara saya itu yang kata mereka 'bikin kacau dan merosakkan suasana'.


"Ok, you balik nanti you boleh lah baca dan teliti. Tapi saya dan yang lain-lainnya mendapati cadangan ini amat baik sekali". Pengerusi mengambil nafas. Mungkin menahan rasa kemarahan diatas permintaan tempoh untuk memberi pandangan. Beliau menyambung "Tapi secara dasar kita bersetuju untuk membeli saham yang ditawar pada harga RM4.50 sesaham. Kita gunakan sumber dalaman 40% dan pinjaman bank 60%. Pinjaman ini kita dapat dengan cara mencagarkan saham yang kita miliki itu. Ok, setuju?"


'Ok setuju'? 

Apa yang mampu saya katakan lagi. Pengerusi telah buat keputusan mengatakan 'kita' telah bersetuju dan disokong oleh semua melainkan saya yang meminta untuk membaca dulu. Tetapi saya tidak berani mengatakan ,'Saya minta dikecualikan. Pandangan saya tertakluk kepada penelitian kertas cadangan'.  Nak mampus.


Kertas cadangan setebal dua muka surat itu sekali lagi mendapat renungan mata saya. Tiada satu pun maklumat yang penting dan kritikal dalam membuat keputusan 'setuju beli' atau 'menolak'. Tidak juga disertakan Penyata Akaun yang Diaudit . Maklumat mengenai pasukan pengurusan, perniagaan teras syarikat, pendapatan satu saham dan 'market capitalisation' dan banyak lagi maklumat yang penting tidak dinyatakan.


Bagaimana boleh dikatakan harga saham itu akan naik kerana pasaran saham dunia ketika ini tidak menentu. 

Saya menggaru kepala yang rambut semakin menipis dan sebahagian besarnya memutih. "Macam ni tak boleh". Saya tegas dengan pendirian itu. 

Saya mesti terus dan kekalkan  pandangan ini secara hitam putih. Tidak mencadangkan tawaran ini diterima. Membeli saham dengan menggunakan wang pinjaman adalah tinggi risikonya terutama dalam keadaan pasaran saham dunia yang tidak menentu. Kalau harga saham yang dibeli itu merudum bagaimana hendak menampong perbezaan nilai saham semasa dicagar dengan nilai yang merudum itu atas pinjaman yang telah dibuat. Rosak, rosak'.


Entah kali yang ke berapa saya meneliti pandangan hitam putih itu saya tidak pasti. Ulasan dan pandangan empat muka surat itu disokong dengan perkiraan risiko kewangan yang akan ditanggong jika harga saham merudum dengan membuat unjuran harga berdasarkan beberapa andaian. Saya amat puas.

Jam dinding menunjukkan 10 pagi. Pembantu Khas yang telah dipanggil masuk  tercegat berdiri dihadapan meja.


"Hantar ni pada Pengurus Besar", saya memberi arahan dengan penuh yakin.


Pandangan hitam putih ini telah sampai ke meja Pengurus Besar yang juga Setia Usaha mesyuarat. Pengurus Besar telah membawa berita yang tidak menyenangkan hati ini kepada pengerusi. Pengerusi menalipon ahli lembaga yang kanan yang mula-mula menyokong cadangan pembelian saham yang ditawarkan.

Talipon diatas  meja disebelah kanan berbunyi. Saya mengangkat gagangnya. "Dato nak cakap. Saya sambungkan?" Pembantu Khas berbisik dalam talipon minta persetujuan. "Ok, sambung". Pelahan saja suara saya bersetuju.

"Apa dah jadi you ni. Kan ke kita dah setuju dalam mesyuarat. Pasal apa you komen yang bukan-bukan?" Terjah suara itu ketelinga saya macam kilat pantasnya sebaik saja disambongkan. Saya tergamam tapi cuba buat tenang. Bersabar.

"Apa masaalahnya Dato'?" Ringkas saya bersuara yang sememang telah tahu mengapa Dato' ahli lembaga pengarah yang kanan itu bersuara tinggi, marah-marah.


"Eii you yang komen buat-buat tak tahu. Pasal apa tak setuju?" Marah Dato' itu semakin naik had suhunya. 


"Pandangan dan kiraan saya jelas. Pembelian itu berisiko tinggi. Bengkrap nanti", Entah macam mana saya terkeluar perkataan bengkerap itu. Dato itu semakin naik marahnya.


"You tahu Dato' Pengerusi tak mahu meneruskan pembelian sebab komen you. Dia tak mahu tengok muka you lagi". 

"Tapi Dato', itu komen professional saya. Kalau Dato' Pengerusi tak setuju dia boleh over rule. Saya orang bawah". Saya cuba mempertahankan pendirian.

"Sudah. Dia dah buat keputusan. You mesti ingat saya yang buat laporan you". Terdengar hentakan talipon memutuskan hubungan.

"Tulislah apa yang hendak you tulis. Bukan kau jaga rezeki aku".Saya meletakkan talipon keatas bekasnya dengan kuat juga. Saya berdiri dengan perasaan penuh geram dan marah. Kaki melangkah untuk keluar dari bilik yang sejuk tetapi tidak dapat mendinginkan hati. 

"Boleh jalanlah" terkeluar kata-kata saya sebaik keluar dari bilik. Pembantu Khas memandang tepat ke muka saya yang tidak ceria. Dia tidak bertanya. Dia faham agaknya kepada siapa  kata-kata 'boleh jalan' itu dimaksudkan.

Saya terus melangkah penuh marah. Langit diatas diselubungi awan gelap. Hari ini nampaknya tidak cerah. Harap hari ini saja. 









Tiada ulasan:

Catat Ulasan