Theflowersellingboy

Jumaat, 7 Oktober 2011

Bajet dan Belanjawan Negara 2012

Saya baru saja mendengar ucapan pembentangan Bajet 2012 oleh Perdana Menteri. Tapi malangnya atas sebab-sebab yang tidak boleh dielakkan saya hanya dapat mendengar pada pertengahan pembentangan sehingga ke akhir saja. 

Sebelum pembaca keliru akan tajuk diatas: 'Bajet dan Belanjawan Negara 2012', perlu diterangkan bahawa kita membincangkan satu perkara yang sama dari dua versi yang berbeza.

Bajet 2012 adalah cadangan perancangan kewangan Kerajaan BN yang baru saja tamat dibentangkan oleh Perdana Menteri yang mencadangkan penggunaan dari Kumpulanwang DiSatukan Persekutuan sebanyak RM232 bilion dengan anggaran defisit sebanyak 4.7%. Ini adalah versi perancangan kewangan BN.

Manakala Belanjawan 2012 adalah bayangan cadangan perancangan kewangan  PR sebanyak RM220 bilion dengan anggaran defisit sebanyak 4.4%. Ini adalah versi perancangan kewangan PR.


Walaupun tema pembentangan berbeza tetapi kedua-dua versi ini memberi fokus dan keutamaan kepada sasaran yang sama iaitu rakyat terbanyak golongan berpendapatan rendah dan sederhana termasuklah kakitangan perkhidmatan awam.


Berbagai kemudahan, bantuan, skim dan langkah dicadangkan oleh dua versi perancangan kewangan ini yang bertujuan merengankan beban rakyat terbanyak. Misalnya bajet BN masih lagi mengekalkan subsidi minyak, tidak memperkenalkan cukai baru yang membebankan rakyat dan memberi bantuan kewangan kepada golongan yang memerlukan. Versi Belanjawan PR pun serupa juga.


Jadi tidak ada banyak perbezaan. Kedua-duanya ingin membantu mengurangkan beban rakyat.


Maknanya apa yang saya kata dalam paparan awal hari ini adalah betul iaitu kedua-dua BN dan PR membentangkan Perancangan Kewangan 2012 adalah sebagai kaedah meraih undi rakyat.


Oleh itu rakayat kenalah berfikir dengan lebih matang sama ada menyokong bajet atau belanjawan.


Untuk tujuan itu saya cuma hendak mengingatkan bahawa sesuatu perancangan kewangan itu hanya memberi makna dan sampai ke sasarannya jika diurus dengan baik, telus ,tidak rasuah dan salah guna kuasa. Jumlah yang banyak tidak penting. 


Maka bermula dari sekarang renung dan ingat-ingatkanlah berbagai peristiwa sama ada yang menyenangkan atau yang membebankan kita semua sekurang-kurangnya 5 tahun yang lepas. Cerita-cerita rasuah dan salahguna kuasa adalah suatu petunjuk yang boleh membantu kita untuk membuat keputusan memilih BN atau PR.


Akhirnya ini adalah bajet pilihanraya. Walaupun ada wang rupanya senang belanja. Salah lah kata Dr. Mahathir yang mengatakan PR tiada wang sebab itu boleh berjanji macam-macam. BN mengikut pembentangan tadi mencadangkan berbagai perbelanjaan menolong orang yang memerlukan sebab ada wang.

Fikir-fikirkan . Tidak lama lagi pilihanraya. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan