Theflowersellingboy

Khamis, 6 Oktober 2011

Musuh Yang Bersahabat dan Sahabat Yang Bermusuh: Ciri-ciri OrangPolitik?

Musuh adalah mereka yang bersikap membenci terhadap pihak lain yang juga mempunyai sikap yang sama. Sahabat pula adalah mereka yang bersikap setiakawan terhadap pihak lain yang juga memberi timbalbalik sikap yang sama.

Itulah pengertian yang akan digunakan dalam perbicaraan ini.


Pertama, Musuh Yang Bersahabat. Ertinya mereka yang membenci atau sangat membenci pihak yang lain tetapi menunjukkan sikap persahabatan. Bagaimana boleh jadi begitu?

Pada asalnya dua pihak ini memangnya bermusuhan saling benci membenci. Mereka sentiasa bertentangan dan tidak bersetuju diantara satu sama lain. Sifat benci membenci ini boleh membawa kepada perlakuan serta tindakan anianya menganianyai , sabotaj diantara satu sama lain dan ada yang sampai ketahap bunuh membunuh. Ini dilakukan semata-mata untuk mempertahankan kepentingan dan survival mereka. Apa saja peluang yang ada dan terbuka akan digunakan bagi mengatasi dan melemahkan diantara mereka yang bertentangan itu. Malah setiap mereka juga akan mencari dan mencipta peluang bagi maksud yang sama.

Sikap benci membenci dan permusuhan itu boleh menjadi reda dan 'neutralised' apabila mereka yang bertentangan itu menghadapi pihak yang lain yang juga musuh kepada mereka, musuh bersama mereka. Musuh bersama  ini boleh memberi ancaman kepada kepentingan  kedua-dua mereka. Maka atas dasar itu musuh itu akan bekerjasama untuk menghadapi musuh bersama itu. Walaupun mereka bermusuh tapi mereka perlu bersahabat untuk tujuan, keadaan dan masa tertentu. Mereka tetap bermusuhan tetapi 'menjalinkan' persahabatan untuk sesuatu tujuan, dalam keadaan dan masa yang diperlukan.

Kedua, Sahabat Yang Bermusuh. Ertinya mereka yang pada mulanya bersifat setiakawan berubah menjadi musuh. Bagaimana boleh jadi begitu?

Sahabat yang bermusuh ini lahir berikutan dari perbezaan dari segi kepentingan diantara mereka. Perbezaan kepentingan yang boleh menggugat kedudukan dan dominasi mereka dalam berbagai hal kehidupan. Maka rasa setiakawan tidak lagi dapat memujuk mereka untuk mengekalkan tali persahabatan. Malah mereka lebih rela berpisah dan menghamburkan kata-kata yang berbaur kebencian yang tidak pernah mereka fikirkan semasa bersahabat dulu. Segala yang rahsia, sulit dan bersifat peribadi yang telah dikongsi bersama atas dasar setiakawan dulu khususnya yang melibatkan nama baik dan imej akan ditelanjangkan. Bukan itu saja, malah direkacipta sesuatu yang boleh mencacatkan maruah dan imej diantara mereka atas kekuatan bahawa mereka lebih tahu apa yang sebenarnya berlaku, hasil persahabatan mereka dulu. Dengan itu apa yang ditelanjangkan didakwa sebagai yang benar dan boleh dipercayai.

Jadi adakah Musuh Yang Bersahabat  dan Sahabat Yang Bermusuh ini sebenarnya wujud dalam kehidupan harian?

Jawabnya ia sesuatu yang lumrah. Yang bermusuh bersahabat dengan musuhnya atau paling kurang bersikap bermesra dengan musuh untuk menentang musuh bersama. Yang Bersahabat akan bermusuh dengan sahabatnya atau sekurang-kurangnya menyamar sebagai sahabat tetapi hati telah mula membenci kerana kesetiakawanan telah pupus.

Finomina ini berlaku dalam hubungan antara individu, individu dalam kumpulan/organisasi dan antara kumpulan/organisasi dengan kumpulan/organisasi yang lain.

Musuh yang bersahabat dan sahabat yang bermusuh tidak akan mengesan sangat jika ianya melibatkan perhubungan antara individu kerana bilangan yang kecil. Tetapi jika perhubungan itu melibatkan indivividu/kumpulan indivividu  dalam sesuatu kumpulan/organisasi kesannya besar sekali.

Yang paling mengesan sangat ialah organisasi yang terlibat dalam meraih pengaruh untuk mendapat kuasa untuk meneraju sebuah negara . Organisasi politik.


Cuba kita ingat-ingatkan peristiwa-peristiwa, cerita-cerita, kisah-kisah dan kejadian-kejadian yang telah dan sedang berlaku ditempat kita sendiri. Sudah tentu sepanjang usia kita terutama semasa ingatan kita masih jelas dan kuat maka apa yang telah dan sedang berlaku itu sebahagiannya mempunyai unsur atau bersifat seperti yang kita katakan Musuh yang bersahabat dan Sahabat yang bermusuh. 

Dalam organisasi politik, setiap ahli organisasi politik itu percaya bahawa kuasa adalah matlamat yang perlu diperolehi jika mahu meneraju negara. Dan dalam organisasi politik itu sendiri mempunyai struktur yang menjadi rebutan yang perlu dikuasai untuk menuju ke puncak. Maka dalam kebersamaan tujuan untuk mendapat tempat dan kuasa dalam organisasi, wujud  persaingan (sihat dan kotor bergantung kepada tafsiran mengikut kepentingan masing-masing) terutama yang merasakan dirinya lebih layak duduk ditempat yang lebih tinggi atau di puncak organisasi mengatasi yang lain , yang selalunya meninggalkan kesan-kesan luka, ada yang berparut dan ada yang parut tidak kelihatan.

Ada diantara yang bersaing itu mudah sangat jatuh kecewa apabila tewas dalam persaingan. Yang tidak merasa kecewa akan tetap mencuba lagi. Tetapi sama ada kecewa atau cuba lagi , retak-retak hubungan mula mererambut didalam hati. Dan jika nafsu menguasai perasaan dan fikiran apatah lagi yang gagal kecewa itu mula disingkirkan maka rerambut itu akan menjadi akar tunjang yang tegak kukuh menunjangi hatinya untuk memulakan satu babak perhubungan berasaskan kebencian. Lahirlah sahabat yang menjadi musuh yang tidur dalam selimut yang sama.  

Itulah yang dikatakan Sahabat Yang Bermusuh yang masih lagi menyamar sebagai sahabat. Masih lagi tidur satu selimut.  Perlakuan bersalaman masih tetap diteruskan dengan penuh takzim menundukkan badan menghulurkan tangan kanan yang disokong tangan  kiri sambil mencium tangan pihak yang menang yang tersenyum simpul penuh bangga. Tapi dalam hati sentiasa curiga.

Kiranya kebencian tidak dapat dibendung, tidak juga dapat diselindung kerana masing-masing wajah tidak lagi menarik mata untuk saling pandang memandang malah lidah telah tidak sanggup mengeluarkan kata mesra bertegur sapa maka yang gagal kecewa membawa diri keluar atau dinyahkeluarkan dari organisasi itu. Maka bermulalah secara terang dan jelas Sahabat yang bermusuh.

Ketika status sahabat menjadi musuh, ketika inilah masing-masing melakukan penelanjangan akan segala yang buruk dan jelik mencemar dan memperlekehkan sesama mereka tanpa batas dari segi ruang dan waktu serta cara. Semuanya dipergunakan seolah-olah dulunya tiada satu yang baik, tiada yang berbudi-menerima budi dan tiada yang berjasa-menerima jasa, dan tiada yang manis semua pahit belaka. Kebenaran cerita dan apa yang dikata bukan menjadi pertimbangan.


Seperti biasa falsafah yang telah diterima oleh ahli politik ialah tiada kawan dan musuh yang berkekalan. Maka benarlah bahawa musuh itu boleh menjadi sahabat dan sahabat itu boleh bila-bila masa menjadi musuh. Atau dalam kata lain sahabat adalah juga musuh dan musuh adalah juga sahabat. Berbagai kaedah digunakan sama ada terang-terangan atau bertopengkan kepuraan-puraan menyamar sebagai orang yang sejalan.
 


Namun tidak semua ahli politik begitu. Sebahagian besarnya adalah terdiri dari mereka yang benar-benar mahu memikul tanggongjawab dengan keinsafan. Cuma karekter yang berciri Musuh Yang Bersahabat dan Sahabat Yang Bermusuh saja yang wajar dikenalpasti.

Maka dengan itu cuba ingatkan lagi, pandang sekitaran, depan belakang atas dan bawah, kiri dan kanan, jauh dan dekat, kejadian yang lama dan yang terbaru, kemudian kaitkan dengan cerita Musuh Yang Bersahabat dan Sahabat Yang Bermusuh. Adakah boleh kita ketengahkan karekter-karekter seperti itu.


Jika telah dikenalpasti dan boleh ditunjukkan dengan jelas, dan  jika orang ini cuba mengada-ngada menjadi calun pilihanraya mewakili apa saja parti atau bebas tidak berparti maka jangan sekali-kali tangan kita memangkah mengundi mereka.

Benar, mereka boleh berubah menjadi sahabat tapi jangan sekali-kali percayakan mereka kerana apabila menjadi musuh habis rahsia kita ditelanjangkan seolah-olah yang buruk dan jelik kita saja. Apatah lagi mereka menguasai segala-galanya atau sekurang-kurangnya bermesra dengan yang berkuasa walaupun musuhnya atau pernah menjadi musuhnya.

 



Tiada ulasan:

Catat Ulasan