Saya percaya ramai orang/rakyat yang merasa lega buat sementara apabila Perdana Menteri membentangkan Bajet Negara 2012 pada petang semalam.
Banyak yang menyenangkan hati: subsidi minyak tidak dipotong; terima berbagai habuan untuk diri dan keluarga termasuk anak-anak yang bersekolah; tidak ada cukai baru; perihatin kepada penjawat awam termasuk yang telah bersara dengan tambahan pendapatan dalam bentuk gaji dan bonus; dan banyak lagi yang menggembirakan hati dalam 'lingkungan waktu ini'.
Lingkungan waktu ini membawa maksud jangka masa pendek atau buat sementara saja. Lingkungan waktu ini adalah bertunjangkan kepada satu tujuan iaitu untuk memenangi hati sebahagian besar rakyat yang ketika ini menghadapi beban sara hidup yang sentiasa meningkat kerana kenaikan harga dan barangan khususnya barangan dan perkhidmatan perlu dan asas.
Pendekatan bajet seperti ini amat dialu-alukan kerana apa ertinya sebuah kerajaan yang bertanggongjawab dan perihatin jika kesusahan rakyat tidak dibantu dan diatasi. Cuma lingkungan masanya yang menjadi pertanyaan. Bukan membantu 'masa' rakyat susah kerana itu adalah satu kewajipan. Tapi lingkungan masa itu nampaknya buat sementara dan pada ketika hampir pilihanraya.
Bagaimana dengan pendekatan meransang pertumbuhan ekonomi yang bersifat pendekatan jangkamasa panjang untuk membuahkan pendapatan negara yang meningkat yang seterusnya dapat diagihkan secara adil (distribution with equity) kepada rakyat yang terbeban dengan kos sara hidup itu?
Soal kecekapan dan ketelusan dalam urustadbir, soal kebertanggongjawaban, rasuah dan ketirisan, pembaziran wang negara atas perbelanjaan yang berbentuk seremonial dan menterampilkan imej adalah beberapa isu yang mesti diberi perhatian.
Jika ini dan beberapa lagi langkah dan tindakan bagi merancak pertumbuhan ekonomi dan pengurusan kewangan yang baik tidak terangkum dalam agenda Bajet 2012 maka ianya tidak akan membawa Malaysia ke satu masa depan yang lebih cerah.
Hasil negara akan berkurangan dan kemampuan menyara kesejahteraan rakyat menjadi kekangan.
Jadi Bajet 2012 dilihat berjaya menyenangkan hati rakyat pada jangka masa yang pendek saja.
Saya percaya Kerajaan tidak akan bertahan lama dengan bajet yang dibentangkan ini. Akan ada perubahan dan akan ada pembentangan yang baru bagi menyesuaikan pertumbuhan ekonomi atau hasil yang masuk dengan wang yang keluar.
Yang saya ingat ialah Perdana Menteri pernah maklumkan bahawa cukai barangan dan perkhidmatan (GST) hanya menunggu sesudah pilihanraya. Maknanya Kerajaan hendakkan tambahan hasil bagi membiayai perbelanjaan. Bukan begitu?
Apabila kita bercakap pasal perbelanjaan dua perkara yang mesti terlibat iaitu wang yang masuk dan wang yang keluar.
Wang yang masuk adalah antara lain berdasarkan kepada prestasi ekonomi, pertumbuhan ekonomi. Pertumbuhan ekonomi banyak bergantong kepada dasar dan polisi yang boleh menarik banyak para pelabur dan para peniaga untuk terlibat dalam ekonomi negara. Persaingan dan bukan monopoli boleh mengasilkan kecekapan. Kecekapan boleh mengurangkan kos pengeluaran. Kos pengeluaran yang rendah mengahsilkan harga barangan dan perkhidmatan yang kompetitif dan relatif rendah. Harga barangan dan perkhidmatan yang rendah mengurangkan beban sara hidup. Dan jika polisi seperti itu berterusan maka rakyat pun secara berterusan akan menghirup kehidupan yang berkualiti.
Dan jangan lupa persekitaran ekonomi dunia. Setengah pihak menjangkakan ekonomi dunia terutama ekonomi Eropah dan Amerika Syarikat masih lagi belum menunjukkan suasana yang boleh menggalakkan pertumbuhan.
Sementara wang yang keluar pula hanya akan memberi faedah kepada rakyat dan negara jika penggunaannya dalam rangka pengurusan kewangan yang berasaskan kebertanggongjawaban. Yang penting ialah adakah tabung kerajaan itu mencukupi untuk membiayai perbelanjaan yang dirancang.
Dalam kata lain Kerajaan boleh membentang dan mencadangkan apa saja angka belanjawan. Ianya wang diatas kertas saja. Dia tidak semestinya akan jadi begitu. Kalau jadi begitu bersyukur kita semua. Tapi jika tidak malah wang masuk terlalu kecil dari perbelanjaan yang telah dirancang maka bagaimana kita berhadapan dengan masaalah ini. Kerajaan akan menggunakan simpanan yang ada? Berapa banyak berbanding dengan simpanan yang sedia ada?
Hubaya-hubaya langkah ini. Boleh jadi bengkrap dan merudumkan kedudukan keupayaan kredit negara dari segi 'rating' dunia. Masalah besar.
Seperkara lagi wang yang keluar itu jika 'meleleh' ketempat lain maka matlamat perbelanjaan asal tidak akan tercapai. Apa yang telah berlaku nampaknya 'lelehan' itu sudah menjadi satu yang biasa, amalan biasa yang meleleh dalam berbagai bentuk. Ada yang dipanggil komisen, bayaran perunding , hadiah, sagu hati, dividen dan bonus. Ada bentuk yang lain?
Sebab itu Bajet 2012 adalah bajet lingkungan waktu sementara. Akan ada perubahan sekiranya BN menang pilihanraya. Doa kita agar tidak jadi begitu.
Apa pun tahniah kepada yang mendapat bantuan dan berbagai kemudahan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan